Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Cabar Umno bongkarkan 'Amanat Hadi'

Oleh Fathi Aris Omar
[emel: faomar@yahoo.com]

Dua kali rentak dan taktik yang sama digunakan. Pertama kali, sebaik sahaja tercetus peristiwa Memali, kira-kira 15 tahun lalu dan kali ini, selepas babak Sauk. 'Amanat Haji Hadi' begitulah namanya. Tujuannya, kononnya dua kejadian itu disebabkan -- dan sebagai bukti kukuh dan sahih -- daripada ajaran PAS tentang jihad dan menolak politik Umno.

Ternyata tindakan Umno dan media massa suruhannya akan gagal. Kegagalan itu sudah mula ketara apabila kerajaan Barisan Nasional dan media mereka gagal memanjangkan isu tersebut. Kini, pada awalnya akhbar-akhbar Melayu cuba mengingatkan semula pada 'amanat' tersebut. Tetapi hari ini, dalam sebuah akhbar Melayu, berita tentang itu diletakkan di halaman belakang (Mingguan Malaysia, 23 Julai 2000, lihat muka surat 15).

Sekeping poster yang mengandungi petikan ucapan Tuanguru Abdul Hadi Awang dikenali 'Amanat Hadi'. Bagi Umno dan kerajaan, ucapan itu bercanggah dengan 'Islam.' Bagi mereka, ucapan itu mengajar keganasan, sebab itu tercetus insiden di Memali dan Sauk -- kononnya!

Dalam kutipan ucapan yang pendek sahaja, poster ini meringkaskan falsafah perjuangan PAS. Ucapan itu disampaikan oleh Abdul Hadi (kini Menteri Besar Terengganu, dan juga Timbalan Presiden PAS), pada awal 1980-an.

Dalam ucapan itu, Hadi menjelaskan bahawa pertentangan antara PAS dan Umno bukannya soal nama dan organisasi; bukan soal menyertai pilihan raya seperti parti-parti politik cuba memenangi kerusi dan memerintah.

Tetapi soal dasar yang amat asasi.

Kata Hadi dalam amanat itu, Umno dan BN mengekalkan warisan undang-undang penjajah Inggeris, mengekalkan sekuralisme dan mendukung kepercayaan bahawa 'politik suku, agama suku.' Ungkapan 'politik suku, agama suku' ini sebenarnya lazim disampaikan oleh ahli-ahli akar umbi Umno dan pemimpin nasional mereka sejak beberapa dekad lalu lagi. Ungkapan ini juga cara mudah untuk menerangkan konsep sekularisme kepada rakyat terbanyak dan akar umbi PAS. Lagipun, ungkapan itu relevan dengan realiti semasa.

Ringkasnya, MB itu ingin menjelaskan bahawa perjuangan PAS lawan Umno adalah perjuangan akidah, pegangan seseorang Muslim yang yakin dan beriman (PAS) dengan kumpulan orang Islam yang telah meninggalkan asas-asas perjuangan agamanya (Umno).

Oleh itu, di hujung kutipan kata-katanya itu, tertulis bahawa kematian dalam proses menentang Umno ialah dikategorikan 'mati syahid' atau dalam bahasa yang lain, berjuang menentang Umno merupakan satu jihad.

Umno dan media arus perdana yang menjadi kulinya menyangka dengan menyebarkan dan mempolitikkan isu 'Amanat Haji Hadi' akan meletakkan PAS dalam keadaan bertahan (defensive). Mereka menduga PAS akan serba-salah. BN mengagak orang ramai akan terkeliru dan meninggalkan PAS. Oleh itu, membangkitkan isu berkenaan akan menguntungkan kerajaan Umno dan BN.

Tetapi mereka pernah silap dan kali ini, jika mereka membangkitkan isu itu sekali lagi -- mereka akan silap. PAS akan bangkit seperti raksaksa yang perkasa dan gagah untuk menjawab huraian dan kekeliruan yang cuba disebarkan tentang fitnah itu. Keperkasaan PAS dalam hal ini akan mengasak Umno itu sendiri.

Parti nasionalis sempit dan pragmatis itu tidak mampu menjawab hujah-hujah PAS. Keupayaan Umno dalam hal-ehwal agama selalunya amat terbatas atau tidak wibawa. Tokoh-tokoh agama Umno dan kerajaan (yang mengampu) tidak dipandang kukuh. Sebaliknya, PAS berjaya menjelaskan maksud jihad yang sebenarnya. Mengutip hujah Al-Quran dan hadis, PAS dengan mudah menyokong konsep jihad, mati syahid, kezaliman, dan sekularisme Umno serta kerajaan dengan petah dan lancar.

Bukan sahaja jentera PAS akan bergerak dengan pantas untuk menjawab kekeliruan itu. Malah, kumpulan-kumpulan Islam di luar PAS - seperti JIM atau ABIM, pegawai agama kerajaan sendiri (yang jujur pada Al-Quran dan hadis), pensyarah, ustaz di jabatan agama, khatib yang menyampaikan khutbah dan penceramah bebas (dalam bidang agama) -- secara automatis akan bangun serentak menjawab fitnah kerajaan dan Umno terhadap konsep-konsep Islam tersebut. Apabila kumpulan-kumpulan bebas ini menjawab sama seperti PAS, maka ramailah anggota masyarakat yakin bahawa PAS berada atas landasan yang benar, sementara Umno cuba memutar-belitkan ilmu Islam.

Sebenarnya isu agama dan Islam, bukan lagi isu Umno. Parti itu akan keletihan jika cuba bersilat di gelanggang tersebut. Hakikatnya pun, isu Melayu -- pada saat ini -- bukan lagi isu Umno. Lebih banyak dan lebih mudah menentang Umno berdasarkan kegagalannya dalam isu membela Islam dan Melayu daripada isu-isu yang lain. Lagipun, isu-isu ini bersifat emotive dan sangat dekat dengan jiwa Melayu. Dengan logik yang mudah, jiwa Melayu-Islam akan dapat diyakinkan dengan penerangan PAS.

Oleh itu, saya tidak yakin Umno, BN dan media arus perdana akan membesar-besarkan isu 'Amanat Haji Hadi.' Kalau berani, cubalah...


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com