Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


ISA tidak akan digunakan 4 Ogos

Oleh: Fathi Aris Omar [emel: faomar@yahoo.com]

Ada orang takut untuk menyertai perhimpunan aman 4 Ogos (Jumaat) ini? Ada penyokong reformasi "rasa" kerajaan akan menggunakan akta karut ISA (akta keselamatan dalam negeri)?

Semuanya itu tidak benar. Semuanya itu kesimpulan yang cetek.

Kerajaan TIDAK AKAN dan tidak bersedia menggunakan akta drakonian ini kerana kesalahan berhimpun boleh didakwa melalui akta-akta lain yang jelas, misalnya Akta Polis seperti lazim digunakan.

Kedua, ugutan dan gertakan kerajaan untuk menggunakan ISA sejak dua minggu lalu selama 10 hari berturut-turut menunjukkan akta ini TIDAK AKAN digunakan. ISA tidak bertindak begitu. Kerajaan selalunya menangkap secara diam-diam dan tidak mengeluarkan kenyataan awal -- ia akan mengganggu tugas polis.

Ugutan dan gertakan yang bertubi-tubi setiap hari selama 10 hari itu menunjukkan kerajaan TIDAK BERANI menggunakan akta karut itu. Pemimpin Umno serba-salah untuk menggunakan akta ini ke atas aktivis politik dan penggerak serta penyokong reformasi.

Mengapa?

Pertama, dunia sudah tahu aktivis pembangkang dan penyokong reformasi (juga dikenali penyokong Anwar Ibrahim) bertindak dan berkumpul secara aman. Tindakan mereka bersifat politik, bukannya ancaman ke atas keselamatan negara.

Dunia juga tahu bahawa isu Anwar menggambarkan demokrasi di Malaysia sedang digugat oleh seorang pemimpin tua -- Mahathir yang paling lama memerintah di Asia!

Seluruh dunia, sama ada kerajaan Eropah dan Amerika, sama ada badan bukan kerajaan (NGO) di peringkat antarabangsa, sama ada negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina sedang memerhatikan gelagat Mahathir.

Jangan bimbang, Mahathir sedang ditekan oleh seluruh dunia jika menggunakan ISA untuk menutup mulut aktivis pembangkang dan penyokong reformasi. Mereka akan bertindak mendesak pelaburan, syarikat dan dasar luar mereka.

Oleh itu, kini Mahathir bimbang untuk menggunakan ISA.

Lagipun, kempen anti-ISA yang dilancarkan oleh Gerak, PAS, Suaram dan Barisan Alternatif berjaya menyedarkan rakyat bahawa kerajaan BN mem-per-alat-kan ISA untuk menjaga kedudukan mereka; bukannya untuk keselamatan negara dan bukan untuk keamanan rakyat.

Isu Anwar juga mendapat liputan meluas di seluruh dunia sejak September 1998 hinggalah pada 4 Ogos (Jumaat) ini. Malaysia kini semakin terkenal di serata dunia. Bukan hanya dikenali kerana imej positifnya tetapi juga kerana imej negatif.

Semakin ramai warga dunia mengenali Anwar, nasib malang yang menimpa dirinya dan keluarganya, rakan-rakannya dan penyokong-penyokongnya. Di mana-mana, mereka mengenali kita (jika anda melancong ke luar negara) melalui kes Anwar. Mereka cukup bersimpati dengan Anwar dan rakyat Malaysia.

Kalau di negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Brunai -- mereka dengan automatis mengecam dan mengutuk kepimpinan Mahathir.

Tiga buah negara jiran utama (bermula Thailand [1970-an], Filipina [1980-an], dan Indonesia [1990-an]) sudah mengecapi kesakitan diperintah diktator. Tanpa bercerita panjang lebar, rakyat di tiga negara ini cukup faham apa ertinya "pemerintahan Mahathir" sebab mereka pernah diperintah oleh "mahathir-mahathir" di negara mereka dahulu!

Malaysia masih dianggap negara penting di rantau ini. Malah, di peringkat organisasi antarabangsa dan dunia, Malaysia masih dihormati. Tetapi... ini tidak bermakna Mahathir juga dihormati sebagaimana Malaysia disegani.

Mahathir akan disisihkan. Hubungan diplomatik, perdagangan dan sosial antara Malaysia (di bawah Mahathir) akan melalui jalan sukar jika Mahathir menggunakan ISA lagi.

Sebab itu, pemimpin kerajaan seperti Pak Lah dan Rais Yatim tiap-tiap hari mengugut rakyat untuk menggunakan ISA, akta hasutan dan penulis internet. Apa mereka boleh buat? Apakah selama ini ugutan-ugutan dikeluarkan dahulu sebelum ISA digunakan? Tidak ada, bukan?

Sebab itu, gertakan kerajaan Umno itu hanya kenyataan dalam media, dalam surat khabar, TV dan radio. Mereka tidak sanggup menggunakannya. Hanya orang bodoh (termasuk wartawan) yang percaya dan melayan ugutan kerajaan untuk menggunakan ISA.

Negara kita (dan pemimpin Umno) LEBIH memerlukan negara-negara luar daripada negara asing memerlukan Malaysia. Negara kita perlukan kepakaran dan teknologi asing. Negara kita perlukan modal dan pelaburan asing. Negara kita perlukan kestabilan mata wang dan wang pelancong asing.

Oleh itu, imej Malaysia mesti dikekalkan bersih dan demokratik. Negara-negara asing tidak akan datang ke Malaysia jika negara ini tidak demokrasi. Akta ISA bertentangan dengan demokrasi.

Satu lagi hujahnya ialah KEBANYAKAN (atau hampir semua) syarikat gergasi di negara ini dimiliki oleh kroni-kroni Umno dan BN. Anak-anak Mahathir sahaja mempunyai beratus-ratus buah syarikat. Anak-anak pemimpin lain? Pemimpin-pemimpin, wakil-wakil rakyat dan aktivis BN ada berapa banyak syarikat?

Sanggupkah syarikat ini terlingkup apabila disisihkan atau diketepikan oleh rakan pelaburan asing mereka? Tidak... Percayalah mereka tidak akan sanggup.

Oleh itu ISA tidak akan digunakan.

NGO asing, wakil-wakil kerajaan negara luar dan pertubuhan dunia di negara-negara asing dengan mudah melobi dan mendesak kerajaan masing-masing untuk MENILAI SEMULA hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Malaysia jika Mahathir masih menggunakan ISA.

Tetapi kenapa pengikut Al-Ma'unah ditahan ISA? Sebab mereka didakwa terlibat merampas senjata berat di dua buah kem tentera dan membunuh dua anggota keselamatan. Sama ada benar atau tidak, kita belum tahu tetapi jelas isu keselamatan seumpama itu boleh "meyakinkan" negara-negara asing.

Tetapi apakah perhimpunan aman, yang disertai beribu-ribu rakyat, dengan laungan slogan dan nyanyian, tanpa senjata dan kerosakan harta benda, lelaki dan perempuan, secara terbuka, selama beberapa jam boleh dianggap "mengancam keselamatan negara."?

Apakah dosa perhimpunan aman 4 Ogos itu sama dengan rampasan senjata? Jawabnya... jelas dan ketara TIDAK SAMA. Oleh itu, ISA tidak akan digunakan.

Lagipun, hak kita berhimpun dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 10. Perlembagaan Malaysia membenarkan kita menyertai persatuan, berkumpul beramai-ramai, berucap dan menulis -- kenapa kita harus takut?

Bagaimanapun, kerajaan yang gila akan tetap menggunakan ISA. Pemimpin yang nyanyuk tidak berfikir panjang. Rakyat yang bacul sudah cukup percaya "pada burung yang terbang dipipiskan lada."

Guruh di langit, air di tempayan dicurahkan -- itu bukan sifat penyokong reformasi.

**Nota: Sila cetak dan sebarkan jika tulisan ini baik untuk pengetahuan orang ramai


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com