Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Krisis besar selepas Mahathir

Fathi Aris Omar

22 Ogos: Banyak orang bercakap perkara yang sama tetapi semuanya tidak menyuarakannya. Maksudnya, bersuara secara terbuka. Sepatutnya media menyuarakannya tetapi seperti lazim, media perdana meneruskan sahaja tabiat lamanya.

Kaum intelek dan inteligensia semakin berdiam diri, seolah-olah mewarisi penyakit sebelum wabak krisis politik dan ekonomi Asia beberapa tahun lalu.

Siswa dan gerakannya pula tenggelam punca. Sementara pembangkang menagih "alternatif" walau apa harga dan kewarasannya.

Bagaimanapun semua orang tahu penyakit atau krisis atau ancaman (atau apa sahaja nama) yang sedang melanda negara ini, dan akan memburukkan keadaan masa depan kita bersama. Cuma, bezanya pada nama, ungkapan, sudut pandangan atau cebisan gejala yang diceritakan. Pemimpin

Umno cukup arif - malah cukup gementar - dengan krisis ini, seakan-akan kapal parti itu akan tenggelam bila-bila masa sahaja.

Krisis itu selalu dilihat bermula daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri, khususnya selepas memecat timbalannya dua tahun lalu. Tetapi krisis yang bakal dihadapi kini tidak selesai dengan berakhirnya kepemimpinan Mahathir dan menaikkan kembali Anwar.

Krisis ini bukan pula boleh diselesaikan apabila Barisan Alternatif menggantikan Barisan Nasional. Ia membarah di dalam "sistem." Sistem - satu lagi konsep yang sering disebut untuk pelbagai tujuan mengelakkan diri daripada tanggungjawab tetapi tidak difahami sepenuhnya.

Mungkin Peter Checkland, Peter Senge atau pemikir sibernetiks wajar mengajar pemimpin negara, pegawai kerajaan, ahli akademik dan aktivis negara ini tentang sistem.

Krisis negara ini seakan-akan sistem sedang mengalami ‘sembelit’ (dilontarkan oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dalam novel kontroversi Shit), sesuatu yang buruk dan menyakitkan tetapi gagal dikumuhkan.

Krisis ini sudah cukup lama, perlahan-lahan memburuk seperti anai-anai mencuri masuk di celah-celah rekahan dinding dan akhirnya kelihatan di mana-mana kesan koyak-rabak istana impian rakyat Malaysia. Cuma, anai-anai krisis itu belum berjaya meruntuhkannya.

Insiden pemecatan Anwar dan re-for-ma-si itu bukanlah punca krisis, ia hanya berjaya menzahirkan krisis yang terpendam. Apa yang dinamakan ‘Anwar saga,’ re-for-ma-si, BA, insiden Sauk, atau pemilihan Majlis Tertinggi hanyalah ungkapan untuk menggambarkan cebisan-cebisan krisis itu sendiri.

Pembangkang dan kerajaan, termasuk rakyat negara ini, sedang mengalami krisis yang sama, berkongsi kesembelitan yang sama dan akan terus mewarisinya walaupun Mahathir telah tiada lagi di dunia ini.

Alasannya ringkas: Separuh usia kemerdekaan (43 tahun) dan demokrasi negara ini berjaya dicernakan (baca: dimanipulasi) sesuka hati, khususnya untuk menghadapi musuh di dalam dan luar parti dan ketika menangani krisis yang menyusahkan, oleh Perdana Menteri keempat ini (20 tahun).

Sepatutnya masa dihabiskan untuk menyatukan masyarakat, mengagihkan kekayaan dan membangunkan institusi-institusi demokrasi yang masih mentah itu, tetapi Dr Mahathir (dan juga tidak terlepas, Umno) memaksa demokrasi itu ‘dibonsaikan’ mengikut spesimen yang ada dalam makmal mindanya - inilah krisis dan ‘senak perut’ bangsa kita hari ini.

Inilah dosa yang paling besar Mahathir terhadap negara ini, barangkali lebih besar daripada "waging war against the nation." [ayat ini disunting dalam edisi Malaysiakini.Com: Penulis]

Bukannya memecat Anwar tetapi dosa menghakis ruang demokrasi melalui pindaan dan pengetatan undang-undang, termasuk Perlembagaan Persekutuan. Tidak kurang kesannya, pindaan terhadap perlembagaan Umno dan tradisi parti itu.

Ia akhirnya meminda gelagat manusia-manusia di bawah dan di sekitar beliau - atau apa yang dinamakan ‘budaya’ sama ada di kalangan kroninya, dalam Umno, dalam masyarakat Melayu, hubungan antara-etnik dan generasi muda.

Saling tindak dan reaksi berantai antara peristiwa-peristiwa politik selepas pindaan demi pindaan itu pada mulanya menguntungkan Mahathir dan Umno. Tetapi akhirnya mencetuskan kesan sembelit yang menyenakkan. Selera makan secara rakus dan gelojoh yang dikecapi sejak awal 1981 kini sampai ke peringkat barah usus!

Pindaan-pindaan ini boleh disebut satu bentuk ‘kejuruteraan sosial’ tetapi dalam satu sistem, homeostasis ciptaan Mahathir memuncakkan lagi krisis kini.

Makanan yang sedap dan menyelerakan tidak memberikan manfaat apa-apa kepada Mahathir kini. Segala percubaan untuk memperbaiki imejnya, membawa semula sokongan kepada kerajaannya dan partinya gagal. Malah, lebih banyak makanan ditelan, lebih parah krisis dalam usus bangsa Malaysia.

Dalam sistem badan manusia, daya hidup seseorang bergantung pada makanan seimbang, kerehatan dan senaman. Tiga komponen ini membolehkan unit-unit dalam badan menerima, memproses, mengagih, memulih, memperbaiki, membuang kumuhan dan menggantikan yang lama.

Sistem yang terbuka seperti negara ini harus melalui proses yang sama. Tetapi bilakah punca-punca penyakit dan krisis ini akan berjaya dikumuhkan? Tetapi yang pasti, pengkumuhan seseorang Mahathir tidak akan memulihkannya sistem negara ini ke tahap maksima.

Krisis bangsa negara ini lebih besar daripada Mahathir, tetapi barang kali pengunduran beliau merupakan satu permulaan yang baik dan barang kali juga lebih memburukkan. Paling pasti, rakyat harus memulihkan krisis ini.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com