Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Mendepani kemelut reformis

Oleh: Fathi Aris Omar,
Pengarang Berita, Malaysiakini.Com

Malaysia hari ini berdepan krisis yang besar dan ia menjadi lebih buruk apabila tenaga rakyat tidak dapat digabungkan melalui kekuatan intelek yang besar. Malah, sebahagian besar tenaga intelek itu tidak berfungsi, sekurang-kurangnya sebagai daya bersama.

Tenaga itu boleh menjelma dalam pelbagai bentuk - dan memang baranya wujud nyata - tetapi tidak membakar. Habanya tidak sampai ke peringkat itu. Ya, gejala itu penuh paradoks tetapi itulah realiti masyarakat kita.

Tenaga yang besar itu, sekurang-kurangnya di kalangan orang Melayu, memang nyata. Di sana-sini orang berbicara tentang politik. Gejala ini tidaklah baru; politik sentiasa menarik minat bangsa ini.

Yang baru di sebalik sembang politik itu ialah kekecewaan, kegeraman dan kebencian yang mendalam terhadap keadaan yang wujud ini - dan sepatutnya ia menjadi tenaga raksasa yang besar. Tetapi tidak begitu.

Termasuk dalam kategori sembang ini ialah mereka yang berpendidikan, mempunyai kerjaya di peringkat pengurusan tengah dan tinggi, dan akses kepada maklumat terkini tetapi tidak menjelma sebagai satu tenaga.

Sebahagian penyebabnya kerana wujud kepelbagaian - orang cerdik sukar akur pada satu aliran tertentu dan minat sekali berbahas. Tetapi tenaga debat dan kepelbagaian itu, sekali lagi, tidak menjadi satu gerakan intelek massa yang harus diperhatikan dan digeruni, atau setidak-tidaknya yang menghasilkan kewarasan dalam senario krisis politik hari ini.

Dalam kelompok besar manusia cerdik ini, terdapat dua hujung yang boleh dikatakan bertentangan, maksudnya, golongan yang Islamik dan satu golongan yang tidak mahu mengunakan label Islamik - mereka menggelarkan diri dengan pelbagai nama.

Kedua-dua kelompok ini juga mempunyai kelemahan yang tidak membantu menarik keluar Malaysia daripada gejala politik hari ini. Yang saya maksudkan, keadaan politik, ekonomi dan sosial masyarakat kita yang saling kait-mengait daripada jaringan kompleksiti sejarah dan masa kini.

Perlu ditegaskan, keadaan semasa yang dimaksudkan itu bukan sekadar perbezaan politik antara BA-BN, atau Mahathir-Anwar, atau Islam-sekular atau miskin-kaya, atau apa-apa yang dilihat secara langsung daripada gejala selepas September 1998.

Tetapi sebahagian penyakit golongan intelek ini terletak pada kegagalan mereka menyelami gejala itu sendiri. Bak kata pengarang buku ‘Intelektual dalam Masyarakat Membangun,’ kegagalan untuk memahami dan mengungkapkan masalah itu sendiri.

Masih ramai rupa-rupanya tertarik mengejar berita demi berita, dengan segala kesempitan sudut pandang dan sampah propaganda. Kesempitan ini dan sampah itu ketara di mana-mana sahaja, baik ‘Utusan Malaysia’, ‘Harakah’ atau ‘Laman Reformasi.’

Saluran popular informasi politik ini tidak lain dan tidak bukan sebenarnya penghalang utama kecerdikan massa untuk lari daripada tabiat meneropong secara sempit isu-isu besar yang seharusnya digarap.


[Satu tulisan panjang yang mengkritik kaum cerdik pandai Melayu, golongan Islam dan liberal, pembangkang dan kumpulan reformasi akibat kegagalan mereka membangkitkan "kecerdikan massa" yang digeruni]

[Teks penuh, kira-kira 70 peratus lagi, boleh diperolehi dalam "GERAK" yang kini berada di pasaran, susunan penulis prolifik, Ahmad Lutfi Othman]


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com