Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Kenapa akhbar Cina bebas ?

Fathi Aris Omar

Kepada ramai orang Melayu, mereka akan terkejut apabila mampu membaca dan menganalisis akhbar berbahasa Cina, atau Mandarin, di negara ini.

Mereka pastinya terkejut besar kerana akhbar dan malah stesen RTM, bahagian berita Mandarin, lebih terbuka berbanding media Melayu. Bekas ketua pembangkang, Lim Kit Siang mempunyai kolum di dua akhbar utama, Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Jit Poh.

Naib Presiden Parti Keadilan Nasional, Tian Chua, baru-baru ini merupakan kolumnis akhbar Nanyang. Seorang aktivis muda reformasi, Yong Kai Peng, menulis untuk kolum belia. Saya sendiri diizinkan mempunyai kolum mingguan dalam akhbar yang sama setiap Rabu, malah beberapa wawancara dengan akhbar ini dan Sin Chew.

Penulis politik Melayu dan pengkritik kerajaan yang konsisten dan prolifik, Ahmad Lutfi Othman, pernah ditemubual oleh Nanyang - satu halaman penuh di ruangan belia.

Sedangkan berita pengharaman dua majalah pimpinannya, Detik dan Al-Wasilah, tidak dilaporkan walaupun sepatah dalam akhbar Melayu! Apatah lagi cuba mendedahkan kesulitan yang dihadapi sepanjang kerjayanya atau isi hatinya sebagai pengkritik kerajaan.

Satu lagi contoh, akhbar Mandarin juga melaporkan berita pemecatan seorang aktivis pelajar Universiti Teknologi Mara, dan juga Setiausaha Agung PKPIM, Ahmad Zaki Yamani Zainon tetapi media Melayu memadamkannya. Akhbar itu menghubungi malaysiakini untuk mendapat maklumat lanjut.

Amaran KDN

Akhbar-akhbar Cina juga tidak pernah miss (tertinggal) melaporkan perkembangan berita pembangkang, khususnya peristiwa utama, misalnya perhimpunan aman reformasi. Bukan hanya berita bertulis sehingga muat satu halaman penuh, malah turut menyiarkan sekurang-kurangnya 10-15 foto, khususnya warna penuh.

Oleh itu, tidak hairan sejak pemecatan Anwar Ibrahim, kita melihat orang Melayu "membaca foto" di akhbar Cina, walaupun "sepatah haram" karakter bahasa itu tidak difahami!

Pada hari Keadilan dilancarkan 4 April tahun lalu, sebuah akhbar Cina menyiarkan logo parti dan objektifnya di muka surat depan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri tentunya tidak selesa dengan cara liputan akhbar Cina. Awal tahun lalu, menurut Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Ismail, editor-editor akhbar Cina telah diberikan ingatan agar tidak memberikan liputan seperti itu.

Tetapi sikap akhbar itu berterusan hingga kini walaupun dimiliki oleh "kroni-kroni" (jika istilah ini sesuai). Ia disiarkan dalam dua akhbar harian arus perdana itu, juga akhbar malam mereka.

Misalnya, dua hari selepas Anwar dijatuhkan hukuman penjara sejumlah 15 tahun pada 8 Ogos lalu, sebuah akhbar Cina menyiarkan berita (berserta foto!) satu perhimpunan protes yang diadakan di Bangkok.

Akhbar berbahasa Melayu bukan hanya tidak menyiarkan foto, malah terus blackout (tidak pernah menerbitkan) berita-berita seumpama ini. Begitu juga protes di Jakarta minggu lalu.

Kecenderungan yang sama juga boleh dilihat oleh sebuah lagi akhbar yang dimiliki oleh orang Cina, atau dikatakan mempunyai hubungan dengan MCA, The Star.

Menghisap darah Melayu ?

Akhbar ini tersepit dan terpaksa melayan dua kehendak sekali gus: satu, pembaca berbahasa Inggeris dan kedua, golongan menengah dan profesional Cina. Oleh itu, liputan akhbar ini sedikit-sedikit menyerupai kebebasan akhbar Cina vis a vis berita pembangkang.

Jangan termimpi untuk membaca berita yang sama dalam New Straits Times atau Berita Harian, jauh sekali Utusan Malaysia! Saya ikuti trend ini agak dekat sejak bertugas bersama akhbar web ini kerana selalunya Star bersedia memetik berita daripada malaysiakini untuk turut melaporkannya jika mereka tidak mempunyai sumber langsung.

Berita-berita tentang pembangkang, dari aspek kewartawanan, sentiasa mempunyai nilai berita. Ia juga mempunyai nilai komersial kerana pembangkang juga mempunyai jumlah penyokong yang besar.

Tetapi dua gergasi pengawal akhbar Melayu, Kumpulan Utusan dan Kumpulan NSTP - cara mereka melaporkan berita, serta cara mengizinkan suara pembangkang diterbitkan dalam bentuk kolum, rencana dan wawancara - semacam berminat menutup minda bangsa sendiri.

Apakah tuan-tuan politik mereka (baca: Umno) memang gemar membodohkan orang Melayu? Oleh itu, mereka akan terus memperkudakan minda dan menghisap darah Melayu?

Barang kali, inilah yang dikatakan "Melayu bunuh Melayu"?

--------------------------------------------------------------------------------

"Catatan Tengah," kolum yang meninjau isu-isu pembangkang dan kerajaan serta rakyat umumnya dari perspektif kepentingan awam. Ia selalunya akan lebih bersifat sinis-kritis daripada objektif! FATHI ARIS OMAR boleh dihubungi di fathi@malaysiakini.com


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com