Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Setiap bulan diamuk KDN

Oleh : Fathi Aris Omar

Rabu ini, genaplah setahun kita membuang undi dalam pilihanraya umum ke-10. Pada 29 November tahun lalu, dunia mengetahui sejelas-jelasnya isyarat orang Melayu dan rakyat Malaysia terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Krisis yang bermula secara terbuka 14 bulan sebelumnya kini telah dirasmikan. Umno mempunyai banyak pilihan untuk melayan desakan reformasi rakyat itu tetapi ia memilih jalan yang lebih tertutup dan menindas.

Sasarannya yang pertama ialah Detik dan Harakah. Dua minggu selepas kemenangan baru Barisan Nasional, majalah ‘suara reformasi rakyat' itu ditarik semula permit walau telahpun diluluskan beberapa hari sebelumnya.

Penjual Harakah di beberapa tempat di Kuala Lumpur diserbu pengawai penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri tetapi peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman tidak pernah serik. Selang beberapa hari, pembaca boleh mendapatkannya "di bawah meja."

Menjelang perayaan Krismas tahun lalu, penulis menjangkakan KDN akan menjadikan majalah dan akhbar bebas sebagai sasarannya. Isyarat itu disampaikan oleh Perdana Menteri sendiri melalui satu tulisan dalam akhbar Jepun, Mainichi Shimbun. Sebagai mengulas sebab-sebab kekalahan partinya, Dr Mahathir menuduh kemenangan parti-parti pembangkang kerana "pembohongan, fitnah dan rasuah". [Media propembangkang sasaran KDN, 25 Dis 1999]

Detik digantung tidak bertali mulai kemenangan besar parti Dr Mahathir dan kemudiannya beberapa hari selepas sambutan Hari Raya Aidil Fitri pada pertengahan Januari lalu, pengarang Harakah Zulkifli Sulong dihadapkan ke mahkamah bersama beberapa pemimpin pembangkang, Karpal Singh, Mohamad Ezam Mohd Nor dan Marina Yusof (waktu itu, Naib Presiden Keadilan).

Malam terakhir Februari lalu, malaysiakini tergesa-gesa melaporkan permit Harakah pula gagal diperbaharui sehingga PAS akhirnya tunduk untuk menerbitkan dua kali sebulan - daripada lapan kali setiap bulan.

Pada 21 Mac pula, KDN terpaksa mengalah dan mengeluarkan surat rasmi kepada pemilik permit dan penerbit Detik memaklumkan bahawa majalah itu diharamkan. Bulan ini juga, sekumpulan aktivis reformasi dan pemimpin pembangkang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan terlibat dalam perhimpunan pro-Harakah di Masjid Negara.

Sambutan 3 Mei

Belum sempat dua penerbitan itu menarik nafas lega, akhbar mingguan bebas dan komersial Eksklusif pula menjadi sasaran kementerian itu apabila permitnya tamat pertengahan April. Beberapa hari sebelum itu, sekumpulan aktivis media bebas mengadakan satu ceramah ringkas tentang isu kebebasan akhbar di Kuala Lumpur.

Permohonan kad perakuan akhbar malaysiakini juga ditolak oleh Jabatan Penerangan dalam tempoh yang sama.

Pada 3 Mei, seluruh dunia menyambut Hari Kebebasan Media. Tetapi cara KDN menyambutnya sangat luar biasa. Seminggu selepas Dr Mahathir diisytiharkan antara "10 musuh utama kebebasan media" pada hari itu buat dua tahun berturut-turut, KDN membuat serbuan di pejabat Haraki, milik wartawan terkenal Ahmad Lutfi Othman dan syarikat percetakannya di Shah Alam. Pejabat seorang lagi pengarang majalah tidak berkala Suria Janib menerima nasib yang sama.

Sambutan "hari kebebasan media" ala KDN ini seolah-olahnya mahu merekodkan "hattrick" Dr Mahathir pada sambutan tahun depan pula. Jangan bimbang, tokoh Asia ini akan mencapai impiannya itu!

Selama beberapa minggu, tanpa diketahui sesiapa, polis Shah Alam mengganggu syarikat percetakan Haraki sehingga akhirnya menimbulkan "keberanian" kepada pihak pengurusannya untuk tidak lagi dibuli sebegitu rupa.

Siri-siri rampasan dan gangguan terus berjalan terhadap wartawan dan penerbit media bebas. Akhirnya, majalah bulanan remaja Al-Wasilah pula terpaksa gulung tikar apabila KDN enggan memperbaharui permitnya yang berakhir Ogos lalu.

Tindakan-tindakan ini bagaimanapun belum memuaskan hati KDN. Siri rampasan dan serbuan di beberapa tempat terus dijalankan secara senyap-senyap. Namun, wartawan bebas dan penerbit pula tidak jemu mengadakan bantahan dengan mengeluarkan bahan bacaan popular dan mendapat pasaran meluas – sesuai dengan isu-isu politik yang sentiasa panas.

Majalah Tamadun, yang cuba meraikan syarat KDN kerana permitnya berjaya diperbaharui, gagal mendapat sambutan pembaca Melayu - tidak seperti tahun sebelumnya, khususnya peringkat awal gerakan reformasi. Pemilik dan penerbit majalah itu, ketika mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), mendakwa mengalami kerugian yang serius.

Usaha Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bertemu Suhakam awal Oktober itu tidak memberikan janji dan harapan yang berbunga. Nampaknya badan bebas itu masih lagi bertindak seperti sebahagian "superstructure" sistem lapuk yang menindas media bebas.

Berdiri di atas kaki sendiri

Nampaknya Kami harus berdiri di atas kaki sendiri dan jangan mengharapkan sesiapa - jika mahu benar-benar bebas.

Akhir Oktober, siri tekanan meningkat lagi apabila Penerbitan Pemuda, milik Ahmad Lutfi, dikehendaki hadir di mahkamah atas tuduhan mengeluarkan Haraki (yang dirampas Mei) tanpa permit KDN.

Bagaimanapun, kes ini ditangguhkan sebutannya kepada 22 November lalu dan kini akan mula dibicarakan pada 22 Januari depan.

Dua minggu sebelum itu, sekali lagi serbuan dibuat terhadap syarikat Penerbitan Pemuda, kali ini sasarannya Al-Islah, juga diterbitkan oleh Ahmad Lutfi. Kali ini kakitangan penguatkuasaan KDN menggeledah dengan lebih bersemangat dan berjaya merampas 640 naskhah.

Seminggu selepas serbuan ini, kementerian bergegas ke sebuah syarikat percetakan di Sungai Buloh pula, dipercayai mengeluarkan sebuah majalah karya Suria Janib bersama Penerbitan Hemah.

Suria dan pengurus syarikat ini, Anis Sofian Amran, sentiasa diburu pihak berwajib dan sekatan terhadap kebebasan media nampaknya kian serius.

Tiada harapan untuk melihat media lebih bebas. Minggu lalu, tujuh orang penjual kaset ceramah pembangkang, cakera padat video (VCD) dan majalah reformasi pula ditahan polis dalam operasi Kampung Baru dan sekitar Wisma Yakin, Kuala Lumpur. Barang-barang jualan mereka semuanya dirampas.

Lima lelaki ditahan hampir 24 jam, sementara tahanan wanita dibebaskan dalam tempoh 8 jam. Mereka dikehendaki melaporkan diri di balai polis pada 6 Disember depan. Tunggulah berita sedih ini dan marilah menangisi kebebasan yang sudah tiada lagi.

Apa kata kaum wartawan Malaysia, mahu terus berdiam diri? Kita - bukan KAMI - harus sama-sama menjawabnya.


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 28 November 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com