Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


PM burukkan PAS depan pelajar universiti

Fathi Aris Omar

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semalam banyak mendedahkan "keburukan" pembangkang khususnya PAS dalam satu pertemuan dengan pelajar di Masjid Putrajaya.

Beliau mendedahkan sikap Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang didakwa "menyatakan Tuhan juga mencarut" ketika pemimpin PAS itu mempertahankan buku satira terkenal, Shit.

Sumber-sumber memberitahu malaysiakini, pemimpin negara itu juga menyifatkan Nik Aziz "tamakkan kuasa."

Dr Mahathir juga mendedahkan Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar yang dipenjara selama sebulan baru-baru ini "sengaja memilih berbuat demikian" untuk dikenali sebagai "hero Palestin."

Mahfuz sebenarnya boleh membayar denda RM1,500 apabila dijatuhkan hukuman tersebut, katanya lagi kepada kira-kira 1,000 pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi tempatan di Lembah Klang, selain Universiti Teknologi Malaysia dan Maktab Perguruan Batu Pahat.

Pertemuan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu bermula dengan majlis berbuka puasa dan sembahyang terawih di masjid itu. Ucapan PM disampaikan selama lebih sejam ketika jamuan makan selepas sembahyang itu.

Perdana Menteri juga mengulas kekalahan Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Lunas baru-baru ini. Beliau berkata, pengundi Cina bersedia menyokong calon Keadilan Saifuddin Nasution Ismail selepas mendapat sokongan 75 peratus orang Melayu dalam ceramah-ceramah pembangkang ketika kempen itu.

Tambahnya, pengundi Melayu bersorak apabila pemimpin ekstremis Cina menyampaikan ucapan dalam bahasa Cina kerana penterjemah tidak menyampaikan sepenuhnya maksud asal.

Pada bahagian ucapan yang tidak diterjemahkan itu, kata PM lagi, pemimpin kaum itu berpendapat bahasa Cina sepatutnya dianggap setaraf dengan bahasa kebangsaan.

Dr Mahathir juga melahirkan rasa bimbang terhadap siri-siri perhimpunan yang dianjurkan pembangkang akhir-akhir ini.

Beliau tidak hairan jika pembangkang suatu hari nanti mengadakan perhimpunan untuk mencabar polis dan membaling batu, menurut sumber yang sama.

Kata Presiden Umno lagi, perhimpunan seumpama itu akan menyebabkan keadaan huru-hara dan mudah diambil kesempatan oleh kuasa-kuasa asing untuk menjatuhkan Malaysia.

Menurut sumber, ucapan Dr Mahathir itu bagaimanapun tidak mendapat sambutan yang "menggalakkan" berbanding ucapan ringkas Presiden GPMS Datuk Suhaimi Ibrahim.

Esok, Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan ucapan kepada pemimpin-pemimpin pelajar di Universiti Putra Malaysia.

......................................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 15 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com