Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Malaysiakini tidak sekali-kali bertujuan melaga-lagakan pemimpin kerajaan

SAYA merujuk surat bertajuk FEER bongkar tembelang Malaysiakini dalam Utusan Malaysia 13 Februari 2001.

Malaysiakini ingin membuat beberapa penjelasan. Pertama, laporan majalah asing Far Eastern Economic Review (FEER) edisi 8 Februari lalu telah dinafikan oleh Malaysiakini.com, Pertubuhan Akhbar Asia Tenggara (Seapa) dan Institut Masyarakat Terbuka (OSI) yang mengurus tabung yang dikatakan milik spekulator mata wang George Soros.

Malangnya, majalah asing itu tetap dengan agendanya - tidak bersedia menarik semula laporannya yang tidak benar dan penuh tafsiran yang meragukan.

Bagaimanapun, Malaysiakini ingin menegaskan bahawa sebagai pendukung semangat kebebasan media, tindakan undang-undang (saman) terhadap majalah asing itu bukanlah menjadi pilihan utama kami.

Sebagai organisasi berita, Malaysiakini sedar wartawan dan media mudah terdedah kepada kesilapan dan tindakan undang-undang seumpama itu. Oleh itu, tindakan saman tidak sewajarnya menjadi sebahagian `tradisi' masyarakat yang mendukung kebebasan berfikir dan bersuara.

Namun begitu, jika sesuatu kenyataan atau laporan itu mendatangkan kesan yang sangat negatif kepada kami, Malaysiakini.com tidak teragak-agak mengambil tindakan sedemikian.

Malaysiakini percaya kewibawaannya sebagai organisasi media terletak pada profesionalisme wartawan dan liputan beritanya, serta sikapnya yang terbuka terhadap pelbagai pandangan (diversity of opinion).

Kewibawaan ini akan ditentukan oleh pembacanya yang boleh menilai laman web akhbar ini setiap hari dan ia tidak akan berjaya dirosakkan dengan semata-mata sesuatu laporan majalah asing, kenyataan tokoh politik atau rencana dalam sesebuah akhbar.

Melalui surat ini juga, Malaysiakini ingin menegaskan bahawa akhbar web ini tidak sekali-kali bertujuan melaga-lagakan dua pemimpin kerajaan, antara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan timbalannya Datuk Chor Chee Heung.

Tuduhan penulis itu, Muzaffar Shah Abdul Rahman, adalah liar dan tidak berasas sama sekali.

Kami sering membentangkan kedua-dua pandangan yang berbeza dengan adil dan saksama, sama ada berdasarkan laporan agensi berita Bernama atau akhbar-akhbar harian perdana, termasuk Utusan Malaysia, selain menemu bual menteri-menteri berkenaan.

Oleh itu, terpulang kepada sesiapa sahaja untuk menilai hujah kedua-dua pihak secara rasional dan terbuka.

Malaysiakini, sebagai mendukung semangat akhbar bebas, meraikan semua pandangan sama ada dalam bentuk surat pembaca atau pendapat (kolum). Oleh itu, semua surat yang difikirkan mencerminkan latar belakang masyarakat Malaysia diberikan keutamaan untuk diterbitkan.

Malaysiakini sekali lagi menafikan pertanyaan liar penulis itu kononnya kemungkinan akhbar web ini menulis sendiri surat-surat pembaca. Penulis itu jelas tidak mengetahui apa-apa tentang budaya pengguna Internet dan keanjalan akhbar dalam talian (on-line newspaper) yang bersifat interaktif dan masa nyata (real-time).

Malaysiakini setiap hari secara purata menerima antara 30-50 pucuk surat. Banyak juga (tetapi bukan majoriti) surat itu adalah kecaman kepada kerajaan dan pemimpinnya tetapi tidak disiarkan kerana bahasanya yang tidak teratur atau hujah yang lemah.

Perlu ditegaskan, Malaysiakini mengutamakan hujah yang rasional, sudut pandangan yang pelbagai dan fikiran yang terbuka terhadap pelbagai isu.

Malaysiakini yakin masyarakat Malaysia pada alaf baru harus menguatkan tradisi berhujah secara akliah berdasarkan asas pengetahuan dan ilmu yang tinggi. Kami ingin tegaskan bahawa sebagai sebahagian rakyat Malaysia yang patriotik dan bertanggungjawab, Malaysiakini juga ingin menyumbang untuk pembangunan bangsa, agama dan negara.

FATHI ARIS OMAR,
Pengarang Berita (Bahasa Melayu),
b.p Editor, Malaysiakini.com.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 15 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com