Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kenapa media bebas gagal disekat?

Oleh : Fathi Aris Omar

Selain media perdana yang sujud kepada kerajaan dan parti memerintah, tidak seharusnya wujud saluran maklumat lain - itulah hakikat kehidupan di Malaysia. Tetapi mulut tempayan tidak mudah ditutup.

Sejak krisis ekonomi 1997 dan kemudiannya krisis politik pada 1998, sudah terdapat corak yang jelas pembolotan maklumat dan putar-belit media.

Pengarang kanan akhbar perdana yang dilihat rapat dengan musuh politik Dr Mahathir Mohamad disingkirkan. Kemudian Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memproses maklumat ekonomi-politik untuk kegunaan ramai. Malah, kerajaan sanggup ‘membiayai’ pula syarikat-syarikat media yang kehangusan duit apabila terlalu memburukkan musuh politiknya dan mempertahankan tindakan antidemokrasi terhadap pembangkang.

Selain laman web harian malaysiakini, minggu ini majalah luar negara seperti Asiaweek dan Far Eastern Economic Review pula menjadi sasarannya. Antara dua perkembangan ini, dalam tempoh tahun-tahun krisis itu, memang jelas corak tersebut.

Sejak krisis ekonomi Asia hampir empat tahun lalu, media digunakan untuk memberikan gambaran comel langkah-langkah kerajaan menangani hal itu. Ironi sekali, krisis Asia itu wujud kerana media sendiri tidak dapat bersuara untuk menyatakan realiti sebenar ekonomi sehingga banyak pihak menelan propaganda kerajaan tentang ‘economic boom’ (kebangkitan ekonomi) walau sebetulnya ‘economic bubble’ (gelembung ekonomi). Bukannya kerajaan memberikan nafas reformasi kepada media untuk menangani gejala krisis itu, sebaliknya ia menguatkan lagi kongkongan dan putar-belit.

Apabila krisis muncul dalam Umno dan pemimpin nombor duanya Anwar Ibrahim dipelantingkan dengan skandal moral terhebat abad lalu, media sekali lagi digunakan untuk mempertahankan tindakan Dr Mahathir dan mencerca Anwar serta gerakan reformasinya.

Bagaimanapun, oleh kerana rakyat semakin geram dan ekonomi - selama ini menjadi nadi kekuasaan untuk mengagihkan kronisme dan merasuah rakyat - masih lagi ‘demam kura’, maka bukannya rakyat dapat dipujuk melalui manipulasi media tetapi media itu sendiri tiba-tiba hilang wibawanya!

Oleh kerana Umno dan Barisan Nasional berhadapan dengan pilihan raya umum 1999, tindakan menindas disimpan dahulu - seolah-olah seekor kucing kurap yang penuh dendam mencakar-cakar dinding, sedang mengasah kuku yang disembunyi di hujung jarinya.

Apabila mandat kuasa diperbaharui semula dalam pilihan raya itu - atau begitulah yang cuba dipertontonkan - maka, kuku kezaliman itu terus mencakar. Mangsa pertama, majalah dua kali sebulan dengan slogan ‘suara reformasi rakyat’ Detik terkorban.

Mengganggu tidur Dr Mahathir

Beberapa bulan selepas itu tabloid PAS Harakah pula dikurangkan kekerapannya, daripada lapan kepada hanya dua kali sebulan. Selang dua bulan, sebuah mingguan politik yang bebas dan persendirian Eksklusif turut dikorbankan.

Ketiga-tiganya media berbahasa Melayu yang mempunyai ramai pengikut. Tindakan itu diambil sekurang-kurangnya untuk dua sebab. Pertama, Umno kehilangan sokongan Melayu yang ketara. Asas politiknya ibarat sedang dirobek anai-anai. Kalau membiarkan anai-anai, tunggul Umno lama-kelamaan menyembah bumi.

Kedua, parti itu sedang menghadapi pemilihan dalam perhimpunan agung pertengahan tahun lalu. Kewujudan media bebas, atau alternatif, atau pembangkang membolehkan pencabar Dr Mahathir bersuara. Oleh itu, sebelum mereka melalak dan hanya mengganggu tidur pemimpin nombor satu, Dr Mahathir mengambil ‘langkah proaktif’ menutup saluran tersebut. Akibatnya, Tengku Razaleigh Hamzah - dikatakan pencabar berpotensi - tinggal gigi dan lidah tanpa suara.

Bagaimanapun, laman-laman web yang selama ini menggigit Dr Mahathir siang dan malam sejak 1998 mula bertukar wajah. Sejak awal tahun lalu, daripada tidak mempunyai kumpulan pengarang dan wajah, kini muncul Harakahdaily, Detikdaily dan Malaysiakini.com. Sekali lagi, Dr Mahathir pening dan tidak senang duduk.

Walau cuba dikaitkan dengan pembangkang atau diperkecilkan kewujudannya, malaysiakini tetap memainkan peranan kewartawanan bebasnya, mendedahkan pergolakan Parti Keadilan Nasional serta Ketua Hakim Negara (waktu itu), mengkritik reformasi dan pembangkang, selain meneruskan tradisi menghentam Dr Mahathir.

Akhirnya awal Februari lalu, mereka mendapat peluru baru - kaitkan akhbar web harian itu dengan penyangak matawang George Soros. Kononnya kewibawaan laman web itu akan diragui dan ditinggalkan pembaca.

Pada masa yang sama, Dr Soros kini yang bertakhta di mahligai baru dapat meneruskan agenda menyangaknya dengan mem-bail-out syarikat-syarikat tenat. Kini senarai ketenatan itu semakin meningkat ke angka 70 di bursa saham dan senarai hutang pun makin meninggi - maklumlah berdikit-dikit, lama-lama membukit!

Sayang sekali tidak ada modal luar yang masuk, tenaga buruh makin mahal, harga komoditi merudum, imej negara memburuk - apa lagi yang tinggal?

Ingat, ekonomi yang menjadi nadi kuasanya bukan semakin pulih, malah dengan kawalan matawang dan senarai panjang pencabulan hak asasi itu, nadi itu semakin lemah dan ‘menunggu masa’ - tidak jauh beza usia tua yang menggayut pemimpin utamanya.

Rupa-rupanya kita senasib, Dr M!

Dalam keadaan tersepit, terpencil akibat asakan pelbagai penjuru, rakyat dan komuniti antarabangsa - ditambah laungan terbaru dari dalam Umno sendiri - Dr Mahathir memilih menyerang Asiaweek. Bukan soal wawancara yang palsu atau tidak tepat tetapi kerana menunjukkan foto seorang pemimpin agung yang “dungu” dan “kelihatan letih.”

Sebenarnya dalam tempoh berperang, rambut yang uban dihitamkan, badan yang bongkok ditegakkan, berjalanlah dengan megah seperti seorang panglima muda untuk menggerunkan musuh, kononnya. Itu sememangnya adab berperang. Tiba-tiba majalah asing itu dengan nakalnya merosakkan semua sandiwara peperangan itu, alamak!

Lalu, majalah itu dan FEER menjadi mangsa terbaru kerajaan. Edisi awal bulan ini bagi dua majalah itu disimpan elok-elok di Kementerian Dalam Negeri untuk dijadikan arkib sejarah agar muzium keruntuhan Umno mempunyai rekod-rekod yang tepat! Jangan dibiarkan terjadi seperti sekarang - kita terpaksa mencari manuskrip-manuskrip sejarah sendiri di Belanda atau United Kingdom.

Semua penindasan terhadap media ini mendedahkan satu corak - usaha ke arah kawalan mutlak saluran maklumat dan putar-belit imej dalam usaha mengawal krisis politik dan ekonomi negara. Kerajaan tidak berusaha membaiki diri tetapi menyalahkan orang lain.

(Nota: Selain itu pengedar, penerbit dan wartawan terus menghadapi rampasan, ugutan dan tindakan mahkamah)

Terbukti sentiasa mereka silap dan kesilapan ini besar, iaitu media bebas di negara ini tidak akan berjaya dimatikan atau ditarik kewibawaannya. Dalam keadaan rakyat membenci kerajaan - atau lebih tepat, pemimpin tertentu - dan krisis ekonomi semakin gagal dipulihkan, media prokerajaan pula hilang wibawa, pembangkang dan media bebas menjadi idaman orang ramai.

Persoalan asasi di sini, bukan kewibawaan media bebas - sama ada dikaitkan dengan ‘Soros,’ ‘agen asing’ atau pembangkang - tetapi pilihan orang ramai untuk mendapatkan saluran maklumat bagi mengekalkan kewarasan diri sendiri di tengah-tengah ‘kelentong’ kerajaan dan Dr Mahathir.

Soalnya bukan kewibawaan (credibility) tetapi keboleh-dapatan (availability) media, maklumat dan pandangan bebas. Selagi media arus perdana sujud kepada kerajaan, selagi itulah media bebas - tempatan atau luar negara - ditagih rakyat. Hanya satu pilihannya, bebaskan media arus perdana.

Apabila media perdana (khususnya akhbar harian) dibebaskan, malaysiakini, Harakah, Asiaweek atau laman-laman web proreformasi dengan sendirinya akan ‘tutup kedai.’ Jika kita boleh mendapatkan maklumat berwibawa dengan harga seringgit dua, kenapa pula kita harus membayar lebih dan bersusah payah (untuk mencari maklumat alternatif)?

Tetapi... jika media dibenarkan bebas (seperti media Indonesia di zaman BJ Habibie), apakah Malaysiakini.com, Asiaweek dan Harakah sahaja yang gulung tikar atau Dr Mahathir juga akan turut serta?

Hai, nampaknya kita ini rupa-rupanya senasib, Dr M! (Maka patutlah Pak Lah pernah berkata: “Jangan Habibie-kan saya.”)

Petikan Malaysiakini.com

--------------------------------------------------------------------------------
FATHI ARIS OMAR adalah editor berita malaysiakini


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com