Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Jika media bebas, Mahathir pasti tumbang

Oleh : Fathi Aris Omar

Sebilangan kecil pembaca malaysiakini tidak faham mengapa tiba-tiba sahaja media arus perdana dan kerajaan menyerang Malaysiakini.com.

Mereka tidak mengerti apakah isunya sehingga ia layak diberikan keutamaan dalam ruang berita utama televisyen dan akhbar.

Malaysiakini diserang - diberikan gambaran buruk, dinafikan hak membuat liputan majlis rasmi sejak April tahun lalu, cuba dikaitkan dengan Soros atau dituduh tidak wibawa - kerana kerajaan pimpinan Umno di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad semakin goncang, hilang yakin diri, bermasalah dan tidak popular.

Rakyat, khususnya orang Melayu dan kini Cina, semakin sedar bahawa wang mereka disalurkan untuk menyelamatkan kroni, hak demokrasi mereka dirampas serta disempitkan, institusi-institusi negara diperalatkan untuk melanjutkan kekuasaan Dr Mahathir yang semakin dibenci orang ramai.

Selain polis sebagai satu tongkat (topang), Dr Mahathir bergantung pada media sebagai satu lagi tongkat. Kedua-duanya berada di celah ketiaknya. Ekonomi dan pengaruh politik (Umno dan Melayu) yang memberikan jantung kekuatannya selama ini telah lumpuh. Media bebas, seperti malaysiakini, berjaya mencuri sebelah tongkatnya. Bayangkan bagaimana keadaan seorang tua yang sakit terketar-ketar tanpa topang itu - merudumlah seperti nangka buruk!

Media prokerajaan yang sujud kepada Dr Mahathir masih cuba menggambarkan kerajaannya berkhidmat untuk rakyat. Tetapi media bebas seperti akhbar mingguan Eksklusif, majalah Detik dan laman web berita harian malaysiakini mendedahkan hal sebenar.

Selain pembangkang dan media mereka, tiga media bebas ini membocorkan busuk tembelang kerajaan dengan mendedahkan isu-isu rasuah dan salah guna kuasa Umno dan kerajaan, mendedahkan sokongan besar rakyat kepada pembangkang, memberikan suara yang wajar serta adil kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang.

Dua media bebas itu, Eksklusif dan Detik kini telah berkubur hampir setahun. Bukan sahaja tidak ada sebarang kenyataan pemimpin politik tetapi satu pun akhbar tidak melaporkan berita penutupan (baca: pengharaman) dua penerbitan ini, kenapa?

Hanya beberapa organisasi aktivis media luar negara mengecam tindakan tersebut. Mereka mengirim surat-surat kepada Dr Mahathir dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah, lebih lucu lagi Perdana Menteri dengan muka tidak malu menyebutkan ‘hanya kerajaan diktator sahaja yang menutup penerbitan.’ “Kita tidak pernah menutup media,” katanya suatu hari tahun lalu di Dewan Rakyat yang mulia - walaupun beliau selalu ponteng.

PM sendiri lupa Wawasan 2020

Kini Perdana Menteri yang pernah berbohong tentang mata lebam Anwar Ibrahim pada 1998 itu - konon kejadian itu ‘self-inflicted’ - menuduh malaysiakini “pengkhianat” atau “traitor”. Mereka yang sayangkan negara ini tidak akan menyokong akhbar web harian ini yang kononnya dibiayai oleh George Soros, tambahnya.

Ibarat seorang yang kalah judi, Dr Mahathir mengecam Soros selepas krisis matawang Asia 1997, yang turut membabitkan negara ini. Sebelum itu, kenapa Soros dibenarkan membuat spekulasi matawang negara ini atau jualan singkat di bursa saham kita? Malah, Dr Mahathir sendiri pernah mengadakan promosi di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah - menjemput pelabur mereka datang ke Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1993.

Saya pernah menonton klip video korporat di Universiti Malaya dalam satu seminar ekonomi apabila ia ditayangkan oleh Pengerusi BSKL, Datuk Mohd Salleh Abdul Majid, tentang promosi dan lawatan itu. Sebelum Salleh, saya membentangkan kertas kerja tentang ekonomi pengetahuan (k-economy) dan kesannya terhadap pembangunan sumber manusia. Hasil pengolahan semula kertas kerja itu, satu rencana saya diterbitkan oleh Berita Harian.

Hakikatnya, kegiatan Soros dalam spekulasi matawang - walau ada orang mendakwa ia bukan kegiatan ekonomi yang produktif dan malah, sejenis perjudian - itu halal di sisi undang-undang antarabangsa dan negara ini. Malaysia sendiri pernah mengalami kerugian yang parah dalam aktiviti spekulasi itu - sebelum krisis Asia - walau ia dipertahankan oleh Anwar, waktu itu Menteri Kewangan, sebagai ‘kerugian atas kertas’.

Tetapi kenapa tiba-tiba Soros menjadi mangsanya? Pemimpin utama rantau ini yang memulakan serangan terhadap spekulator itu adalah Dr Mahathir sendiri. Apakah kita pernah didedahkan bukti yang menunjukkan ‘dosa-dosa’ Soros dari segi undang-undang dan politik?

Apakah media arus perdana negara ini mendedahkan kelemahan-kelemahan ekonomi negara ini sebelum krisis ekonomi itu? Sepatutnya media bertanggungjawab menceritakan keadaan sebenar supaya kita boleh berjaga-jaga. Media arus perdana tidak bertanggungjawab, mereka hanya menyiarkan pandangan berbunga-bunga tentang ekonomi negara.

Malah dengan rasa takjub dan angkuh itu, Anwar menulis dalam Renaissance Asia bahawa kejayaan ekonomi ini akan menambahkan rasa yakin diri Asia, termasuk Malaysia (dalam konteks hubungan dengan negara Barat yang maju dan juga bekas penjajah) untuk menggerakkan kegiatan intelektualisme atau masyarakat madani.

Wawasan 2020 dilancarkan pada 28 Februari 1991 tetapi selepas 10 tahun, Dr Mahathir sendiri malu untuk menyebutnya lagi. Was-was Dr Mahathir terhadap wawasannya itu kini menguasai dirinya walau ia diucapkan dengan rasa angkuh waktu ekonomi negara sedang berkembang.

Dr M terantuk, barulah tengadah

Dr Mahathir sendiri dijemput - dan dengan bangga berita tentangnya dan malah teks-teks ucapannya disiarkan - bercakap dalam forum ekonomi dan globalisasi. Dr Mahathir malah - dengan yakin diri akibat perkembangan ekonomi itu - mendabik dada bahawa Asia-lah sebenarnya “Barat” dan abad 21 ini sering mendapat jolokan “abad Asia.”

Dr Mahathir sebenarnya penyokong kuat globalisasi pada awal 1990-an tetapi sejak dikurung di negara ini selepas krisis ekonomi Asia, beliau mewarisi penyakit xenophobia (takut orang asing) pula. Beliau mula bercerita tentang penjajahan asing dalam bentuk baru. Malah, dia kini begitu kritis terhadap globalisasi walaupun itulah anutannya sebelum ini.

Ibarat seorang janda, Dr Mahathir membebel seorang diri di tepi-tepi jalan tentang bekas suaminya. Ibarat seorang yang kalah judi, beliau menyerang kegiatan jualan singkat dan spekulasi. Beliaupun mula menggesa reformasi architecture sistem kewangan antarabangsa. Inilah tabiat pemimpin negara kita - selepas terantuk, barulah tengadah.

Malaysia mahu peraturan permainan diubah ketika terdesak dan kalah judi sedangkan permainan masih lagi berlangsung. Ketika manfaat diperolehi, Dr Mahathir tersenyum dan bangga - konon beliaulah ‘Wira Adi Jagat’ dan tokoh penyelamat bangsa-bangsa Dunia Ketiga. Dalam konteks inilah Soros dimunculkan - sebagai bogey (momok) untuk melepaskan diri pemimpin negara ini daripada dituding sebagai penyumbang kejatuhan ekonomi negara.

Apabila rakan sejawatnya Presiden Suharto tumbang pada Mei 1998 di Jakarta di tangan ratusan ribu pelajar, Dr Mahathir makin hilang kawalan diri.

Rupa-rupanya Soros hanya dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menutup dosa-dosa Dr Mahathir sendiri kerana gagal membina struktur ekonomi negara yang mantap. Singapura misalnya, yang mempunyai rezab wang luar negara yang besar, tidak tergugat oleh kegiatan spekulasi. Tetapi negara-negara yang dikenali mengamalkan kronisme dan rasuah seperti negara ini dan Indonesia menjadi mangsa utama.

Tetapi negara-negara maju di Barat, dan pelabur-pelaburnya, juga munafik dan hipokrit. Ketika Dr Mahathir melayan kehendak serta nafsu mereka, maka kuranglah tuduhan terhadap pemimpin itu walau rekod rampasan hak rakyat dan amalan antidemokrasi sudah bermula sejak pemimpin Umno itu naik ke takhta kuasa pada 1981.

Soros tidaklah boleh dikatakan baik tetapi apa kurangnya ‘soros-soros kecil’ yang berselindung di sebalik Dr Soros di Putrajaya? Apakah Dr Soros itu juga bukan penderhaka dan pengkhianat? Ya, beliaulah pengkhianat rakyat yang menunggu masa untuk tumbang.

Memang, kita akui bahawa kitalah pengkhianat Dr Mahathir (kerana sayangkan negara ini)!

# Petikan Malaysiakini.com

--------------------------------------------------------------------------------
FATHI ARIS OMAR adalah editor berita malaysiakini.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 8 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com