Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Bersama 3 Mei, membantah sekatan media bebas

Oleh : Fathi Aris Omar

Pada 1993, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu akhirnya mengisytiharkan 3 Mei setiap tahun sebagai ‘Hari Kebebasan Akhbar’ bagi sambutan di seluruh dunia.

Asalnya pada 1991 Unesco, sebuah agensi di bawah PBB, menggesa Mesyuarat Agung badan itu mengiktiraf hari tersebut.

Di seluruh dunia kini, 3 Mei dijadikan hari untuk mengumumkan kepada orang ramai pencabulan terhadap hak bersuara dan peringatan bahawa wartawan menghadapi pelbagai tekanan, termasuk penjara dan pembunuhan, untuk membawa berita setiap hari ke ruang tamu mereka.

Menurut PBB, 3 Mei adalah hari untuk:

1. menggalakkan dan membina usaha bagi menyokong kebebasan akhbar

2. menilai kebebasan akhbar di seluruh dunia

3. mengingatkan kerajaan masing-masing agar menunjukkan iltizam untuk menghormati kebebasan akhbar

4. menyedarkan orang ramai betapa pentingnya akhbar itu bebas

5. mengingatkan petugas-petugas media dan menggalakkan debat di kalangan mereka betapa pentingnya kebebasan akhbar dan etika kewartawanan

6. mengenang jasa wartawan yang terkorban di seluruh dunia

7. menyatakan sokongan kepada media dan petugas media yang menjadi mangsa tindakan-tindakan menghalang, atau usaha menghapuskan, kebebasan akhbar.

Dalam kenyataan bersama pemimpin-pemimpin kanan PPB sempena 3 Mei tahun lalu, Setiausaha Agung Kofi Annan, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Mary Robinson dan Ketua Pengarah Unesco Koïchiro Matsuura berkata:

“Dalam setiap masyarakat, kebebasan akhbar sangat penting untuk menyuburkan ketelusan, akauntabiliti, pentadbiran yang baik dan keluhuran undang-undang. Ia (kebebasan akhbar) tidak boleh ditindas kecuali akan memberikan kesan yang buruk ke atas kestabilan dan kesatuan masyarakat. Apabila kebebasan itu dikorbankan, dengan apa jua alasan, maka jalan-jalan untuk konflik berkembang akan terbuka luas.”

Menyedari kepentingan media bebas dan ancaman terhadap hak itu oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, sekumpulan aktivis media bebas di Malaysia menggesa 3 Mei disambut secara besar-besar oleh segenap lapisan masyarakat.

KDN memantau majalah politik

Jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami), Ahmad Lutfi Othman, dalam kenyataannya minggu lalu menggesa sambutan Hari Kebebasan Akhbar itu sebagai membantah tindakan kerajaan yang sering menekan media di negara ini.

“Orang ramai sebagai pengguna maklumat harus menuntut liputan media yang bebas, adil dan seimbang daripada setiap pihak (organisasi media) dan mereka harus berperanan aktif menentukan perjalanan media agar tidak terkeluar daripada etika kewartawanan dan moral,” kata Ahmad Lufti.

Beliau juga berpendapat perkembangan yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan lalu menunjukkan “kerajaan sengaja dan sepakat menguatkan tekanan terhadap media bebas dan pengkritik kerajaan.”

Selang empat hari daripada kenyataan Kami itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan “akan meningkatkan kawalan dan pengawasan bagi membendung penjualan majalah-majalah politik yang dicetak tanpa permit.”

Timbalan Menterinya, Datuk Zainal Abidin Zin berkata, pegawai-pegawai kementerian itu akan membuat pemeriksaan dan siasatan terperinci berhubung fenomena tersebut yang semakin meningkat.

Katanya, KDN selama ini memberi teguran dan amaran kepada penerbit dan wartawan yang terlibat dalam mencetak dan mengeluarkan majalah-majalah seperti itu.

Tambahnya, ada pihak yang menganggap tindakan KDN dan kerajaan itu sebagai “kejam.”

“Kalau boleh saya menyatakan di sini bahawa majalah politik seperti diibaratkan sebagai tabloid pelangi kerana ia boleh berubah-ubah dari segi rupa, kandungan, cerita dan sebagainya,” katanya.

Menurut Zainal Abidin, KDN telah melakukan beberapa rampasan majalah-majalah politik sama ada yang telah berada di pasaran atau yang belum dijual.

Jelas sekali, kenyataan timbalan menteri itu bertentangan dengan kenyataan tiga tokoh PBB itu. “Apabila kebebasan itu dikorbankan, dengan apa jua alasan, maka jalan-jalan untuk konflik berkembang akan terbuka luas,” kata Annan, Robinson dan Matsuura.

Minggu lalu juga, Ahmad Lutfi memberitahu malaysiakini, Kami akan meningkatkan program kesedaran kepada orang ramai, termasuk menemui anggota-anggota kabinet, ahli-ahli Dewan Rakyat, parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mahathir tidak malu sekat media

Menurutnya lagi, walau Malaysia mendakwa mengamalkan demokrasi berparlimen tetapi ia menyekat beberapa hak asasi rakyatnya sendiri, termasuk wartawan, penerbit dan pengedar.

“(Masih wujud) undang-undang yang menyekat kegiatan media termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, selain beberapa peraturan yang sengaja merumitkan kerjaya profesional wartawan, misalnya amalan memberikan kad perakuan akhbar,” katanya.

“Sepanjang tahun lalu, sejak sambutan Hari Kebebasan Akhbar 2000, kerajaan secara rasmi menutup dua penerbitan, mingguan politik Eksklusif dan majalah remaja Al-Wasilah, selain mengharamkan majalah Detik dan mengawal kekerapan tabloid pembangkang Harakah beberapa bulan sebelum itu.”

Selain itu, katanya lagi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga meneruskan operasi merampas dan menyerbu syarikat penerbitan di Gombak, Selangor dan Jalan Pahang, Kuala Lumpur; dan syarikat percetakan di Shah Alam dan Sungai Buloh, kedua-duanya di Selangor.

Menurut Kami lagi, seorang kakitangan syarikat penerbitan (Penerbitan Pemuda) didakwa di mahkamah mulai November tahun lalu. Polis juga mendakwa dua orang pengedar Harakah di Pulau Pinang dan tiga lagi pengedar penerbitan bebas bakal didakwa di Selangor minggu ini.

KDN melambat-lambatkan pengedaran majalah-majalah mingguan antarabangsa Asiaweek dan Far Eastern Economic Review mulai lewat Februari lalu.

Katanya, serangan media arus perdana terhadap laman web Malaysiakini.com dan larangan terhadap wartawannya untuk membuat liputan majlis rasmi kerajaan; serta rampasan komputer pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar), Raja Petra Kamaruddin, dengan alasan 'tulisan yang menghasut' membuktikan usaha sistematik mengawal media bebas dan pengkritik kerajaan.

“Walaupun telah dibantah oleh pertubuhan-pertubuhan wartawan antarbangsa beberapa kali sejak 1998 hingga kini, kerajaan Dr Mahathir masih tidak malu meneruskan - malah melipat-gandakan - usaha mengongkong media bebas,” kata jurucakap Kami lagi.

“Kami memandang serius dan berasa sangat dukacita terhadap perkembangan ini,” kata bekas editor Detik itu.

“Kami percaya jika keadaan ini berterusan (tanpa bantahan serius), suatu masa nanti semua saluran-saluran untuk bersuara dan mendapatkan maklumat dibolot oleh sesuatu pihak sahaja (kerajaan) atau seseorang pemimpin negara sahaja.”

--------------------------------------------------------------------------------
FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini dan juga seorang aktivis media bebas


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 28 Mac 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.bizaddress.net/ dan Email : dppkd@hotmail.com