Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Keamanan yang menipu di kaca TV

Oleh : Fathi Aris Omar

Stesen penyiaran milik kerajaan nampaknya mengukuhkan lagi kempen untuk menggambarkan pembangkang sebagai punca keganasan dan rakyat harus mengekalkan pemimpin kini agar negara terus aman.

Akibat kencangnya kempen itu, keamanan yang cuba dipaparkan itu terasa seolah-olah penglipura lara baru ketika rakyat berdepan dengan pelbagai krisis, termasuk warisan wabak kemelesatan ekonomi 1997 dan konflik politik sejak 1998.

Jika pemikir komunis Karl Marx pernah berkata ‘agama itu candu’, kempen keamanan yang kosong dan palsu di kaca TV kita juga sejenis candu - bertujuan meniduri pemikiran orang ramai.

Imej-imej keganasan, semuanya dipinjam daripada footage peristiwa di luar Malaysia, sengaja diketarakan (contrast) dengan suasana sawah padi di kampung dan pembangunan negara yang ceria.

Jika ucapan dipenuhi retorika, imej itu juga sejenis paparan yang sarat dengan nilai retorika - sarat nilai propaganda kerajaan untuk mengaburi mata mereka yang tidak terlatih. (Sebenarnya, minda yang tidak terlatih!).

Tetapi keamanan dan kedamaian apakah yang diimpikan di sesebuah negara? Apakah keamanan ala hubungan Perdana Menteri dengan bekas timbalannya yang kini terkurung di Sungai Buloh? Gandingan mereka seakan-akan sahabat akrab, tetapi apabila terdedah pekung di dada, sanggup bercakaran hampir mati?

Jika ini imej keamanan yang cuba dikempenkan itu, ia mengandungi bahaya yang tersirat. Pada permukaannya sahaja tumbuh bangunan pencakar langit di sana-sini tetapi di celah-celah lorongnya, kesengsaraan manusia bertompok-tompok.

‘Bersyukur kepadamu’

Negara maju, tetapi rakyat terkurung di bumi sendiri. Bangunan tinggi simbol kemodenan tetapi sarat pembaziran, rasuah dan hutang - bebanan ini wajib kita tanggung bersama tetapi poket pemimpin awal-awal lagi buncit dengan wang rasuah.

Imej-imej keamanan dan kedamaian itu sebenarnya sejenis framing media - memilih sudut-sudut indah untuk menyedapkan hati tetapi menutup segala wajah kekotoran dan kekejian pemimpin negara. Ia adalah candu, untuk dihirup seketika sebagai melepaskan gian serta mencipta khayalan tetapi kenyataan hidup yang perit jauh lebih panjang dan kekal.

Mesej kempen TV1 dan TV2 itu sangat jelas. Ia selaras pula dengan usaha kerajaan memburukkan pembangkang, khususnya gerakan rakyat yang membantah dalam bentuk politik jalanan. Semua imej keganasan itu mempunyai makna pertempuran di pinggir jalan dan di tengah kota.

Imej perbandingan ganas-aman ciptaan RTM itu diharapkan akan disantap penonton televisyen secara separuh sedar - sejenis iklan, bukan untuk menggalakkan kita membeli tetapi sekadar mengingatkan produk itu ada di pasaran!

Dalam strategi pemasaran, iklan jenis ini sesuai untuk jenama barangan yang sudah kukuh tetapi persaingannya sengit (dan margin untungnya pula kecil).

Dalam sejarah politik Malaysia, produk yang mempunyai sifat-sifat seumpama itu adalah kerajaan Dr Mahathir yang tidak stabil, diserang dari segenap penjuru tetapi telah bertapak kukuh selama 20 tahun genap pada Julai depan.

Jika kita amati, stesen-stesen radio juga memainkan lagu tema yang menyuruh kita menghargai apa yang ada di negara kita kini dan ‘bersyukur kepadamu’ (siapa?).

Seluruh kempen ini - lisan (radio) dan imej (TV) - selari pula dengan kenyataan-kenyataan pemimpin Umno dan kerajaan dalam akhbar (teks). Sejak 1998, inilah ungkapan yang disebut-sebut: rusuhan, perpecahan, huru-hara, keganasan.

Topeng comel wajah ngeri

Malah, ia digunakan secara meluas oleh Barisan Nasional ketika menghadapi pembangkang dalam pilihanraya umum 1999. Pada waktu itu, imej orang ramai memprotes di jalan-jalan dikaitkan dengan pergolakan politik di Indonesia, sesuai pula dengan slogan ‘reformasi’ yang dilaungkan oleh gerakan rakyat itu.

Genap sebulan sebelum sambutan ulang tahun ‘Black 14' baru-baru ini, media massa kerajaan itu memainkan isu tragedi Kg Medan dengan tujuan yang sama. Begitu juga ungkapan, bahasa dan penekanan dibuat bagi menghalalkan penangkapan borong di bawah akta ISA.

Sama ada kenyataan Ketua Polis Negara pada 11 April lepas atau alasan-alasan untuk menahan empat aktivis pembangkang di Kamunting, Perak minggu lalu - semuanya sendat dengan ungkapan yang menakut-nakutkan, mengancam tetapi kosong isinya.

Selama ini, di seluruh dunia, keganasan sebenarnya alat kerajaan menekan rakyatnya sendiri. Rakyat tidak pernah menang jika menggunakan keganasan kerana jelas sekali hanya kuasa (kerajaan) membenarkan keganasan dilindungi undang-undang. Rakyat yang cuba bermain api keganasan akan diganasi lagi, malah!

Semua ini satu pakej rekayasa politik untuk memanjangkan tempoh kekuasaan Dr Mahathir - tidak lebih, tidak kurang daripada itu. Kekuasaannya itu pula tidak sunyi daripada skandal, cengkaman kuku besi dan perseteruan sengit tetapi sisi-sisi buruk ini dipadamkan daripada ingatan orang ramai.

Imej keamanan-kedamaian itu hanya sebelah wajah cantik kekuasaan Dr Mahathir. Sementara imej keganasan itu pula percubaannya untuk menghalang rakyat bangun dan membuka topeng comel di sebalik wajah ngerinya itu. Jangan cuba membuat perubahan atau reformasi.

Pendek kata, biarkan Dr Mahathir terus berkuasa selama-lamanya dan rakyat harus sedia ditidurinya. Malangnya, imej-imej di kaca televisyen itu tidak selama-lamanya berjaya menipu semua orang.

--------------------------------------------------------------------------------
FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai pengarang berita malaysiakini






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 12 Jun 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com