Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

APA SUDAH JADI SEKARANG ?

Rumah kami Kg. Pandan sekarang bukanlah rumah asal tempat ayah kami dilahir dan dibesarkan. Tiga puloh tahun silam, ayah dan ibu tinggal di Kg. Baru dibelakang Jaan Chow Kit. Abang-abang dan kakak-kakak saya dilahirkan disana. Saya dan adik perempuan saya dilahirkan di Kg. Padan.

Kg. Pandan dan Kg. Baru adalah kampung-kampung Melayu. Seperti Kg. Datuk Keramat (dulu di namanakan ‘Tangga Cina’ – kata ayah aku), kebanyakan penduduk asal adalah orang Melayu. Sebagai orang Melayu, seperkara yang sangat diambil berat oleh orang Melayu ialah mengekalkan teras budaya yang menjadi identiti Melayu.

Selain dari amalan ugama (itu pasti), yang paling dihargai ialah perasaan kekitaan (espiri de corp) sebagai ‘orang Melayu’ yang wujud dalam diri masing-masing walaupun antara jiran ada yang berketurunan Jawa, Bawian, Bugis, Minang, Mandahiling, Banjar, dll. Bagi mereka, semua suku-kaum itu dirangkum sebagai Melayu.

Unsor yang merapat dan memperpadukan kami adalah ugama. Ugama dalam konteks ini ialah “UGAMA ISLAM”. Di zaman penjajah, Islam telah merapatkan hubungan semua suku-kaum “Melayu” itu hingga amat sukar bagi penjajah memecah-belahkan orang Melayu. Raja Melayu @ Sultan-sultan dijadikan lambang ‘payung negara’. Dengan berstatus “Lambang”, bermakna baginda-baginda mempunyai peranan dan fungsi yang khusus sebagai pelindung keharmonian hidup rakyat – khususnya orang Melayu.

Setelah negara Merdeka, peranan Raja Melayu @ Sultan-sultan (kini ada DYMM Yang Di Pertuan Agung pula) tercatat dalam Perlembagaan Negara. Baginda-baginda tetap berfungsi sebagai “pelindung” dengan peranan khusus “the ultimate saviour of the people”. Bermakna, hubungan rakyat dengan Raja Melayu @ Sultan-sultan tidak ada sebarang undang-undang dan peraturan yang boleh menyekat. Begitu sekali!!

Apa sudah jadi sekarang ?

Sejak awal dekad 90-an, Dr. Mahathir telah membangkitkan satu “Krisis Perlembagaan” melibatkan kedaulatan Raja Melayu @ Sultan-sultan. Para pemimpin UMNO dan orang Melayu tidak berfikir 2 kali, terus menyokong dengan satu perasaan seumpama “vandetta” terhadap institusi Raja Melayu @ Sultan-sultan. Orang Melayu berbangga dengan kejayaan mereka mengurangkan kedaulatan baginda-baginda Raja Melayu.

Akhbar-akhbar Melayu memainkan peranan yang amat besar mewar-warkan pelbagai keburukan Raja Melayu sedemikian meluas sekali. Bebulan-bulan lamanya dijadi isu hangat membara hati rakyat. Segala apa yang cakapkan oleh Dr. Mahathir diterima bulat-bulat seperti “gospel truth” – tidak ada yang membantah. Jangankan hendak membantah, api amarah yang disemarakkan oleh Dr. Mahathir waktu itu memungkinkan rakyat seakan-akan sanggup menjadikan Malaysia sebuah negara Republik. Begitu sekali.

Apa sudah jadi lagi ?

Beberapa peruntukkan khusus dalam Perlembagaan berhubungan dengan kuasa DYMM Yang Di Pertuan Agung telah berpindah kepada Parlimen dan Kerajaan yang memerentah. Kerajaan disini ialah Kerajaan UMNO/BN yang memerentah dengan majoriti lebih dari 2/3. Contohnya, jika Kerajaan mengusulkan keputusan Parlimen kepada DYMM Yang Di Pertuan mengenai sesuatu perkara (untuk dilaksanakan), jika ditolak oleh Baginda, setelah kesekian kali; maka Kerajaan akan terus melaksanakan tanpa merujuk kepada Baginda lagi.

Nampaknya baik dan wajar. Tetapi apa sudah jadi?

Melihat ‘trend’ beberapa insiden yang berlaku dalam kes DS Anwar dilucutkan, kita nampak jelas banyak dasar-dasar dan perlaksanaan sesuatu perkara melibatkan hal-ehwal rakyat hanya diputuskan oleh MKT UMNO. Seolah-olah UMNO itu adalah Kabinet, dan Kabinet memanglah berstatus Kerajaan.

Tetapi, apa kata kalau MKT UMNO itu dikuasa oleh seorang Presiden parti (merangkap Perdana Menteri Kerajaan) yang boleh menggunakan kuasa mutlak (yang dianugerahkan oleh pemimpin UMNO) itu tidak sejejar dengan kemahuan rakyat, bagaimana?

Mohd Halim Abdul Wahab,
Kg. Pandan KL.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com