Laporan Ceramah The Giant Killers di Taman Melewar

Assalamu'alaikum.

Hadirin pada malam ini sama sebagaimana sebelum pilihanraya dahulu, bakan lebih ramai lagi! Syukur kepada Allah yang telah menjadikan perjuangan BA kita ini diterima rakyat walaupun kita telah "ditewaskan" oleh BN dengan tipuan yang paling memalukan negara.

Lima orang MP BA telah menyampaikan ceramah mereka pada malam ini, di mana mereka itu merupakan MP yang telah menewaskan giant-giant BN seperti Ustaz Basir yang telah menyumbatkan Megat Junid ke dalam Parit, Shahnon Ahmad yang telah mencurahkan Shit ke muka Hamid Man di Sik, Apandi yang telah memalukan Anuar Musa, Mohamad Mustafa yang telah manghancurkan kredibiliti Annuar Musa di Peringat, dan Haji Mahfuz Omar sendiri di mana Mahathir merupakan rakyat beliau sekarang ini di kawasannya. (Sila betulkan yang mana salah, ambo tak berapa ingat).

Ustaz Basir tidak ingin beliau digelar sebagai Yang Berhormat, sebaliknya lebih gemar dipanggil Ustaz, kerana panggilan YB itu baginya boleh menjauhkan dirinya daripada masyarakat. Inilah contoh yang harus diikuti oleh semua YB-YB yang mewakili BA. Beliau juga memang tidak pernah menyangka akan menjadi seorang MP, apalagi kisah dirinya sebelum ini hanyalah sebagai seorang pekebun kecil sahaja di Parit sana, hari-hari tengok pokok pisang. Tetapi kekuasaan Allah yang menentukan segalanya. Allah pasti akan melantik di kalangan hamba-hambaNya yang bertaqwa untuk menjadi pemimpin, lebih-lebih lagi hambaNya yang tidak pernah meminta-minta untuk menjadi ketua, sebagaimana orang AMENO yang berebut-rebutkan jawatan tersebut sampai hancur punah lanah kehebatan mereka.

Ambo rasa secara peribadi, ceramah Shahnon Ahmadlah yang paling power pada malam ini, walaupun agak slow sedikit perjalanannya, maklumlah orang veteran kita. Memang padat dengan isi tentang bagaimana beliau boleh mencapai kemenangan dalam pilihanraya lepas. "Chunong" begitulah panggilan orang sebelah Sik sana kepada beliau, kerana dekat dengan pengaruh Pattani. Shahnon menyatakan bahawa antara faktor kemenangan beliau di Sik itu ialah kerana kerja kuat orang-orang BA khususnya PAS di sana. Orang-orang PAS di sana katanya sangat memahami erti perjuangan dan begitu komited kepada perjuangan Islam.

Shahnon ialah di antara MP PAS/BA yang sangat terkejut apabila pertama kali memasuki dewan Parlimen. Beliau yang selama ini merupakan seorang pensyarah yang buku-buku tulisannya dijadikan bahan kajian pelajar-pelajar sastera seluruh negara menyatakan bahawa perbincangan yang diadakan di bilik-bilik kuliah di universiti memang dikendalikan secara ilmiah dan penuh beradab. Tetapi apabila masuk ke dewan Parlimen, beliau amat terkejut memerhatikan gelagat dan tingkah-laku para MP yang tidak terkawal dan tidak beradab itu. Sedangkan mereka itu sepatutnya membincangkan perkara-perkara yang sangat serius kerana ianya menyangkut maslahat rakyat jelata.

Satu faktor penting yang telah membantu Chunong di dalam pilihanraya lepas ialah bantuan yang telah dihulurkan golongan mahasiswa dan korporat. Ada mahasiswa yang merupakan bekas muridnya dahulu datang ke Sik dan menghulurkan bantuan tenaga dan wang ringgit. Begitu juga golongan korporat yang datang dari KL dan menghulurkan wang ringgit yang tidak terkira banyaknya kepada perjuangan Islam ini.

Ada di antara korporat tersebut yang sanggup menggajikan seorang setiausaha peribadi untuk beliau di dalam menjalankan kerja-kerjanya semasa pilihanraya tersebut ketika beliau merantau ke suluruh negara ketika berkempen selama empat bulan dahulu. Beliau sangat berterimakasih kepada setiausahanya itu kerana baginya setiausahanya itulah yang telah banyak membantunya untuk menang.

Saudara Apandi pula merupakan di antara slash-hammer yang mewakili BA di Parlimen. Dengan gandingan Mat Sabu, Mahfuz dan yang lainnya, beliau telah berperanan untuk mengetuk kepala-kepala MP BN yang tertidur selama ini di samping menggegarkan dewan ketika bersidang selama tiga hari lepas. Di dalam ceramah pada malam ini, beliau telah memberikan peringatan betapa kita harus memanggil bulan ini sebagai bulan Ramadhan dan bukan lagi bulan puasa. Ini kerana istilah bulan puasa seolah-olah menggambarkan kepada kita bahawa kita hanya melepaskan diri daripada berlapar sahaja. Sedangkan istilah bulan Ramadhan adalah lebih umum daripada itu, termasuklah menjaga anggota yang lain daripada melakukan maksiat. Beliau memang mempunyai karisma sebagai seorang pemimpin yang dinamik di samping seorang penceramah yang karismatik.

Haji Mahfuz Omar pula telah memecahkan perut kami semua pada malam ini dengan kisah gelagat para MP AMENO di dewan Parlimen sejak tiga hari lepas. Beliau membentak Mahathir kerana menjadi seorang yang pengecut kerana hanya berani masuk Parlimen untuk hari pertama sahaja dan ponteng pada hari kedua dan ketiga. Agaknya Mahathir juga kecut perut dengan kehadiran giant killers daripada BA ini.

Haji Mahfuz juga menyatakan kemeluatannya terhadap sikap Mahathir yang apabila diminta olehnya untuk menunjukkan di manakah di dalam Perlembagaan itu yang menyatakan bahawa tindakannya untuk menasihatkan YDP Agung sebelum pembentukan kabinet itu sebagai sah, Mahathir TELAH MENJELIRKAN LIDAHNYA seperti lagak seorang perempuan yang kalah di dalam berdebat! (Oh. betapa telah nyanyuknya orang tua pujaan orang-orang AMENO ini)

Beliau juga menyatakan bahawa selama ini beliau hanya mengikuti Ustaz Fadhil dan yang lainnya ke dalam dewan ketika bersidang, duduk kat belakang saja, kalau ikutkan hati memang nak bercakap dan berdebat dengan MP-MP BN yang kurang ajar itu tetapi apakan daya, masa tu dia belum jadi MP lagi. Tetapi kali ini, terimalah kamu semua wahai MP BN yang kurang ajar dan biadap! Yang sanggup menghina orang seperti Tok Guru Nik Aziz dan Arwah Pak Nik dahulu ketika mereka berseorangan diri di dalam Parlimen dahulu. "La ni aku nak bubuh habis-habis", katanya.

Satu gelagat puak BN yang kelakar ini ialah ketika dewan  sedang gamat dengan perkelahian dengan masing-masing mengutuk dan menunjuk penumbuk ialah dengan tanpa disedari, speaker Parlimen, Datuk Zahir tiba-tiba sudah berada di kerusi speaker!

Ketika menyatakan bantahan, MP BA semuanya keluar dewan tanda membantah tindakan dewan yang tidak menurut Perlembagaan. Selama satu jam setengah mereka berada di luar dewan, mereka pun masuk semula untuk mengangkat sumpah. Tiba-tiba seorang MP BN daripada Rompin mengutuk mereka yang masuk semula itu dengan berkata, "kenapa nak angkat sumpah ni"? Haji Mahfuz menjawab balik, "kalau hang tak mau dengaq kami angkat sumpah, hang keluaq"!

Mahfuz juga menyatakan bahawa dewan pemuda PAS pusat ada menyediakan sebuah laman web yang boleh disalurkan maklumat-maklumat tentang apa saja salah-laku pemimpin BN seperti korupsi dan penyelewangan untuk diambil tindakan dan dibawa ke dalam Parlimen.

Banyak lagi yang diperkatakan pada malam ini, tetapi ambo pun tidak ingat kesemuanya. Eloklah tuan-tuan semua beli kaset ceramah pada malam ini kerana ambo rasa pun memang berbaloi mendengarnya walaupun sekali lagi. Semuga berjumpa lagi, ampun dan maaf dari ambo...
 

Salam,

HC

honciv@yahoo.com