Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pertemuan dengan seorang ahli fikir UMNO

Assalamu'alaikum.

Hari ini ambo ketemu lagi dengan teman baru ambo, seorang ahli fikir/ think-tank UMNO. Seperti yang telah ambo sebutkan tempoh hari, beliau ini berkelulusan Phd dan telah banyak menulis mengenai PAS dan sejarah perjuangannya. Pencarian ilmunya sangat membanggakan. Dalam usia sesenja ini pun, beliau masih berusaha untuk mendapatkan dua lagi Masters dalam bidang yang berbeza-beza.

Sebagai seorang yang berpelajaran tinggi, Dr X bukanlah seorang yang emosional bila berbicara. Kebanyakan pointnya memang ada dalil sejarah. Mungkin sebab itulah Daim Zainuddin dan Ibrahim Ali gemar merapatinya?

Melihat kepada kemelut yang melanda umat Melayu dewasa ini, sebagai seorang yang juga sangat prihatin kepada nasib orang Melayu, Dr X turut berpendapat sebagaimana sesetengah orang UMNO lain bahawa UMNO dan PAS harus bersatu...bersatu sebagaimana mereka pernah bersatu pada tahun 70-an dahulu. Kalau tidak, bangsa lain akan menguasai orang Melayu selepas...ya, mungkin selepas pilihanraya 2004 nanti.

Katanya lagi, banyak mata dalam kerajaan kini sedang memerhatikan PAS. Kerana bagi beliau, hanya PAS sahaja yang mampu menjadi alternatif kepada UMNO. Kalau tak UMNO, PAS.. dan demikianlah sebaliknya. Tetapi, kata Dr X, PAS sampai hari ini tidak ada "blue-print" atau skima/ perancangan. PAS sampai hari ini tidak berani mendedahkan identitinya yang sebenar.

Beliau mengakui sangat sedih dengan apa yang berlaku kepada UMNO hari ini. Beliau mengakui kepincangan serius yang dihadapi UMNO hari ini. Di antara sebab yang dikemukakannya ialah kerana sistem politik yang digunakan UMNO hari ini iaitu sistem patronage/ naungan. Katanya, gejala ini boleh berlaku kepada sesiapa dan kepada apa parti sekalipun, termasuklah PAS satu hari nanti apabila ia berkuasa dan beroleh kemewahan.

Setakat ini, ambo tidak mahu komen banyak melainkan banyak mengiyakan sahaja kata-katanya sambil menujahkan persoalan demi persoalan. Mungkin faktor umur juga menyebabkan ambo kurang bercakap berbanding beliau. Insyallah, kami akan bertemu lagi selepas ini. Masa masih terlalu panjang lagi, lagipun kami baru berkenalan, eloklah kurangkan sedikit bercakap politik kan?

Salam,

HC



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com