Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Antara Farish dan Ning Baizura

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Dalam artikel beliau, Sex And The Malaysian Women, Farish mahu mempertahankan tindakan keterbukaan Ning Baizura dalam pengakuan Ning tentang khayalan seks orgy-nya, semuanya atas nama kebebasan bersuara.

Syabas kepada Farish yang daripada awal lagi mengaku bahawa penulisan beliau itu bakal menerima tentangan hebat puak yang kerap menjadi sasaran penulisannya. Sekurang-kurangnya Farish berpijak juga di bumi nyata dan sedar sensitiviti yang tinggi di kalangan rakyat negara ini - Islam dan bukan Islam - terhadap isu tersebut.

Walaupun kesedaran Farish itu tinggi, tetapi Farish masih tidak berputus-asa dan masih mahu mencuba untuk menegakkan sesuatu yang beliau sendiri sedar sangat sukar untuk berjaya di negara seperti Malaysia ini, khususnya dalam kes Ning ini.

Pertama sekali, sasaran masyarakat yang mahu di"perbaiki"nya ialah majoriti berbangsa Melayu dan beragama Islam. Mungkin lebih baik Farish menulis dalam bahasa mereka itu supaya mereka mudah memahami dan akhirnya terpengaruh dengan tulisan beliau. Kalau menulis dalam satu bahasa yang tidak difahami majoriti bangsa itu, dan bombastik pula, mungkin tahap kejayaan dari sudut penerimaan bangsa itu tidak begitu memberangsangkan.

Kedua, berkhayal melakukan seks dengan 5 orang lelaki dalam satu masa (atau dengan 5 ekor kuda sekalipun) adalah berbeza dengan mengiklankan khayalan tersebut kepada orang ramai. Lebih-lebih lagi individu yang sedang mengiklankan itu sepatutnya menjadi contoh yang baik dan ikutan anak remaja lain.

Lintasan hati memang sukar dihalang kerana nafsu dan iblis (bagi yang mempercayainya) sentiasa meruntun manusia kepada kejahatan. Biasanya apa jua tindakan baik atau jahat akan dimulai dengan lintasan hati ini. Tetapi apabila ianya diiklankan, maka jadilah ia satu pengiktirafan, apatah lagi kalau tiada sebarang bangkangan daripada masyarakat.

Bagi saya, masyarakat Malaysia yang berani menentang "pengakuan berani" Ning itu harus dipuji. Mereka itu hanya berfungsi sebagai pihak yang mengawal perlakuan tidak senonoh setengah individu yang sudah melampaui batas daripada terus mempengaruhi golongan lain. Cukuplah dengan keruntuhan moral yang sudah semakin tenat hari ini, samada di kalangan remaja atau yang sudah berumur, datuk ataupun Dato'.

Seorang sahabat pernah datang berjumpa Nabi Muhammad SAW dan memberitahu Nabi SAW bahawa beliau gemar berzina. Nabi SAW bertanya, "Apakah kamu suka kalau orang lain berzina dengan ibu, kakak atau adik perempuan kamu?"

Farish mungkin tidak perlu berasa malu malah begitu berbangga sekali apabila satu hari nanti, anak gadis beliau sendiri yang akan tampil ke hadapan dan membuat pengakuan yang serupa, atau lebih berani lagi, berserta gambarnya sekali.

Ya, marilah kita mempertahankan kebebasan bersuara versi Dr Farish.

Salam,

HC


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com