Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Terdapat Kesilapan Dalam Al Qur’an Terbitan JAKIM

JAKIM (semenjak BAHEIS dulu lagi), di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menerbitkan terjemahan Al Qur’an “Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al Qur’an.

Di dalam beberapa cetakan yang telah saya semak, saya dapati setiap cetakan akan ada satu atau dua kesilapan. Saya tidak mempunyai kesemua cetakan yang diterbitkan semenjak 1980. Namun, sehingga kini, setiap cetakan yang telah saya teliti, akan ada kesilapan yang saya temui. Masalahnya ialah, kesilapan cetakan tersebut terdapat pada teks Ayat Al Qur’an, bukannya pada terjemahan.

Sebagai contoh, dalam cetakan keenam (1995), pada muka surat 643, surah An Nahl, ayat 50, terdapat tambahan ‘mim dan alif’ menjadikan tambahan ‘maa’ di tengah-tengah ayat tersebut.

Dalam cetakan terbaru (yang saya beli), iaitu cetakan kesepuluh (1999), yang telah diswastakan kepada syarikat Darul Fikir Kampung Baru untuk diterbitkan, terdapat dua kesilapan. Kesalahan pertama pada muka surat 217 Surah An Nisa’ ayat 104. Kesalahannya ialah tertinggal huruf ‘wau’ untuk bunyi ‘wa’ dalam ayat tersebut. Manakala kesalahan kedua ialah, meletakkan satu ayat lain yang lengkap di antara ayat 12 dengan ayat 13 dalam surah Faatir (muka surat 1146). Ayat lain yang dimasukkan di situ ialah ayat 22 dari surah al Mukmin. Terbitan ini dicetak oleh Percetakan Yayasan Islam Terengganu (zaman pemerintahan BN).

Dalam terbitan khas bagi memperingati setahun kemangkatan Sultan Terengganu Al Marhum Sultan Mahmud al Muktafibillah (ayahanda Tuanku Sultan Mizan Zinal Abidin), kesilapan-kesilapan yang sama dengan terbitan cetakan kesepuluh turut dilakukan lagi. Terbitan ini juga dicetak oleh Percetakan YIT dan diterbit untuk sebaran percuma.

Di dalam dua terbitan yang saya sebut di awal tadi mempunyai sehelai kertas/muka surat yang dilampirkan bagi memberitahu akan kesilapan yang terdapat dalam kandungan teks Al Quran. Namun, berapa ramaikah orang akan membaca ‘pemberitahuan ralat’ dan membetulkan pada tempat yang dimaksudkan atau ingat akan ralat tersebut bila membaca bahagian yang tersilap cetak tersebut.

Malangnya, pada cetakan yang diberi percuma untuk rakyat negeri Terengganu, helaian pemberitahuan ralat tidak saya dapati. Dan saya telah menyemak, bukan satu naskah, tetapi lebih dari tiga yang saya usahakan mencari. Apakah JAKIM membiarkan sahaja umat Islam membaca teks Al Qur’an yang salah? Yang lebih memalukan ianya adalah terbitan dan di bawah kawalannya sendiri pula.

Apakah Pengarah serta menteri yang berwajib, yang sibuk mencari dan mereka-reka fitnah dan tuduhan terhadap mereka yang benar-benar memperjuangkan Islam tidak teliti dalam hal-hal jabatan/kementeriannya sendiri?

Apakah mereka melepaskan tangan kerana bukan dicetak oleh mereka? Bukankan ianya tanggungjawab mereka memastikan tiada sebarang kesilapan di dalam sebarang teks Al Quran yang disebarkan di negara ini? Kalau perkara-perkara yang amat mudah untuk dikawal seperti ini tidak dapat mereka laksanakan – tak usahlah cuba mencari kesalahan orang lain. Lebih-lebih lagi kesalahan-kesalahan tersebut kebanyakannya adalah fitnah yang direka-rekakan mereka sendiri.

Jka benar mereka bersungguh dan bertanggung jawab dalam melaksanakan tugas dan amanah ini, mereka seharusnya bertindak dengan lebih serius.

Apakah salahnya, pada permulaan setiap cetakan, selepas dijalankan cetakan ujian untuk beberapa naskah pertama, sebelum dijilid, naskah-naskah tersebut diteliti sehabis-habisnya. Dan segala pembetulan dilaksanakan pada filem cetakan tersebut (yakni buat semula filem untuk mukasurat yang tersilap).

Yang anehnya, kalau cetakan baru mengambil filem dari cetakan lama, kenapa timbul kesilapan-kesilapan baru? Dan kesilapan seperti tambahan ayat dari surah lain ke dalam surah lain seharusnya sudah dikenalpasti dalam cetakan berikut dan tidak sepatutnya segala kesilapan lepas diulangi kesemuanya.

Bagi saudara-saudara yang mempunyai naskah terbitan semperna memperingati kemangkatan Al Marhum Sultan Mahmud sila betulkan naskah anda.

Sekian
Ibrahim Baba
Feb 12, 2000



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com