Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite                             


Penswastaan Hospital: Kontrak RM1 Billion untuk Daim dan Mahathir?

Desas-desus suatu kontrak besar yang bernilai RM 1 billion telah meniup kencang beberapa bulan ini. Desas-desus ini akhirnya disahkan oleh laporan sebuah akhbar “Sun” pada pada 10 Oktober dengan tajuk “Little known company lands RM1b job” (Syarikat yang tidak dikenali mendapat kontrak RM 1,000 juta).

Kontrak ini dilaporkan telah diberikan kepada sebuah syarikat, Diligent Network Sdn. Bhd., untuk pembekalan sistem komputer “Total Hospital Information System” (THIS) untuk lebih 500 buah hospital dan pusat perubatan seluruh Malaysia.

Syarikat DNSB, yang baru ditubuhkan pada bulan Mac 2000, dimiliki oleh Syarikat Pemodalan Kebangsaan Berhad (SPK) sebanyak 49.9%, manakala Dr. Azman Ahmad juga memiliki 49.9%. Dua orang lain memiliki satu saham setiap seorang iaitu Leong Kok Wai dan Ivy Wee Swee Moi. Modal berbayar DNSB ialah sebanyak RM1 juta.

Siapakah di sebalik pemilik-pemilik saham DNSB?

Menurut laporan akhbar The Sun pada 10 Oktober 2000, pejabat Dr. Azman menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai hubungan langsung dengan DNSB! Apakah maksudnya? Jika seorang pemilik sah mengikut ROC dikatakan tidak mempunyai kepentingan langsung dalam sesebuah syarikat yang sepatutnya dimilikinya, ini bermakna ada orang yang hanya menggunakan namanya. Siapakah orang itu yang menjadi pemilik sebenar?

Menurut maklumat dari ROC, Dr. Azman adalah Pengarah Tongkah Holdings. Umum mengetahui, Tongkah dimiliki oleh anak Mahathir. Tongkah telah pun memiliki kontrak penswastaaan untuk khidmat di hospital. Tongkah juga baru awal tahun ini diberikan kontrak Telemedicine MSC untuk menyediakan Sistem Video Conferencing di hospital seluruh negara.

Manakala SPK pula, menurut rakan-rakan korporat IB, sebenarnya dimiliki oleh seorang wanita India bernama Josephine (JPS) dan (Toh Puan?) Narimah.

Siapakah pula kedua-dua wanita ini? (sila rujuk tulisan IB pada 7 April 1999: Siapa Cik Josephine? https://members.tripod.com/~mahazalimtwo/josephine.html)

Kedua-dua mereka ini dilaporkan menjaga kepentingan Daim Zainuddin. Narimah ialah isteri ketiga Daim dan pemilik utama International Bank of Malaysia. (Yang pertama, sudah dicerai dan tinggal di England dan yang kedua ialah Toh Puan yang sah yang tinggal di istana Daim di lereng bukit Taman Melawati.

JPS, seperti dinyatakan dalam artikel IB dahulu, telah lama diamanahkan oleh Daim untuk mengendalikan banyak perniagaan Daim. Suatu yang harus diambil perhatian oleh bahagian risikan keselamatan negara ialah bahawa JPS mempunyai banyak hubungan dengan negara Singapura yang perlu disiasat lanjut.

Sebelum ini, telah hebuh sebelum pilihanraya berhubung penswastaan hospital dan perkhidmatan kesihatan. Kerana takutkan isu ini memihak kepada Barisan Alternatif maka diumumkan bahawa penswastaan tersebut dibatalkan. Sebenarnya ianya hanya ditangguhkan sementara. Setelah selesai piliharanraya dan kerana masih ramai rakyat yang menerima tipu helah Mahathir/Daim, kini penswastaan tersebut dilaksanakan semula dengan kaedah yang lebih inovatif.

Apa perlunya perkhidmatan THIS itu diswastakan? Apa pentingnya THIS berbanding dengan keperluan perkhidmatan kesihatan asas yang masih daif lagi di kawasan-kawasan pendalaman dan terpencil? Jika kita ke pusat-pusat kesihatan di kawasan pendalaman, kita dapati untuk meletakkan komputer pun dirasakan tidak sesuai kerana suasana dan keadaan klinik yang amat daif.

Dan mengikut rakan-rakan IB yang telah lama dalam perniagaan IT, mereka mengatakan bahawa kos RM1 billion adalah amat tinggi. Kebanyakannya bersetuju bahawa berdasarkan bilangan hospital yang dinyatakan dan sesetengah hospital telah pun mempunyai sistem komputer, kos sebenarnya tidak melebihi 60% - 75% dari nilai kontrak tersebut.

Suatu yang memeningkan banyak pihak ialah tiada sebarang tender atau jemputan untuk mencadangkan projek tersebut dari mana-mana jabatan yang berkaitan. Malah beberapa pegawai EPU dan Kementerian Kewangan mendapat maklumat berhubung kontrak tersebut hanya selepas DNSB dimaklumkan terlebih dahului.

Apa lagi bahagian perkhidmatan kesihatan yang akan diswastakan selepas ini?

Sekian
Ibrahim Baba
20 Oktober 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com