Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

Jiwa saya memberontak dan berantakan dengan penyelewengan demi penyelewengan

Subject: Assalamualaikum........
Date: Wed, 05 Apr 2000 14:10:37 GMT

Pak Maihaintua,

Sebagai seorang warganegara Malaysia yang amat cintakan negaranya, saya sentiasa mengikuti setiap penulisan tuan dan juga webmaster yang lain. Hati dan jiwa saya memberontak dan berantakan dengan penyelewengan demi penyelewengan yang terbongkar dan juga yang berlaku didepan mata kepala kita. Saya kerap menyoal diri saya dari aspek apakah yang wajar saya lakukan untuk membantu dalam menggulungkan lagi gelombang reformasi yang sedia ada supaya gelombang ini lebih menggunung tingginya untuk menghempas tebing yang tinggi agar berderainya nanti membawa perubahan dan matlamat yang kita semua idamkan....

Saya berharap bapak dapat memberikan gambarannya....

Ikhlas,
Comel.

Ulasan Marhain Tua

Anakku Meranti,

Terimakasih dengan emel anda. Saya terharu membacanya terutama sekali apabila anak memanggil saya dengan panggilan begitu. Ini menunjukkan anak sudah menerima asuhan yang baik mengikut susur galur budaya Melayu tulin, Insya Allah.

Jikalau kita lihat akan perkembangan politik tanahair memang kita boleh merasa curiga dan gusar akan perjalanan hidup Bangsa Melayu itu akhirnya. Tetapi, kita harus ingat, semuanya adalah kuasa Allah semata-mata. Kita boleh merancang, tetapi perancangan yang paling jitu adalah hakNya.

Menyedari hakikat ini ada beberapa perkara penting yang boleh anak lakukan untuk menghidupkan semangat perjuangan rakyat terhadap ketidakadilan regim yang memerintah. Kita harus mengambil iktibar daripada ajaran Al Quran. Pertama, bacalah Al Quran selalu dan kajilah tafsirannya. Banyak yang boleh diperolehi daripada ajaran Allah. Sedangkan Perdana Menteri UK Tony Blair pun selalu membacanya apakan pula kita? Seandainya anak sudah bekerja di pejabat, simpanlah sebuah kitab itu di pejabat dan bacalah sepotong dua surah ketika ada kelapangan. Jikalau anak berkereta simpanlah Surah Yassin di tempat yang baik, dan baca bila ada kelapangan.

2) Kalau ada kemampuan, ambillah beberapa artikel yang baik-baik dan buatkan potokopinya untuk dijilid dan disedekahkan kepada pihak yang memerlukannya. Kita harus ingat, perjuangan reformasi ada di mana-mana. Mereka mungkin menjadi seorang pemandu lori, pemandu teksi, polis trafik, askar yang menjaga pintu masuk kem tentera dan sebagainya. Saya mendapat kepastian ini apabila menerima emel daripada mereka. Mereka menggunakan cafe cyber dan juga komputer anak-anak mereka untuk menghubungi saya. Tetapi bilangan semacam ini memang terhad kerana majoriti bangsa kita adalah golongan yang daif dari segi mencari maklumat. Inilah golongan yang memerlukan bantuan.

3) Sebarkan berita terkini dan sahih. Saya pernah diberitahu bagaimana seorang pemandu teksi kerap membeli HARAKAH dan sengaja meletakkannya di tempat orang awam menanti doktor di hospital dan klinik. Saya cuba buat eksperimen ini dan mengsahkan kesahihan usaha beliau.

4) Amalkan agar kita bersedia mendengar selalu akan kata-kata pihak yang sengaja mengapi-apikan sentimen rakyat agar membenci perjuangan golongan reformasi. Kita mudah ketawa dengan gelagat mereka. Contohnya apabila seorang diktator tua sanggup menipu setiap hari membohongi rakyatnya. Kalau seorang perdana menteri rela berbuat demikian setiap hari apa lagi yang boleh diharapkan daripada pemimpin bawahannya?

Cukuplah dulu dari saya. Mungkin di satu hari nanti kita dapat menyambungnya lagi. Ambillah iktibar daripada ciri-ciri pokok meranti. Kalau ditanya pakar hutan tropika, mereka akan berkata, meranti amat menonjol di hutan. Daripada warna pucuknya sahaja kita dapat menilai berapa tan kayu yang ada di satu konsessi itu. Daripada batangnya kita dapat menilai berapakah usia sesuatu pokok itu. Namun apabila ditebang, tidak sampai dua puluh persen yang dikomersialkan. Yang lain dibiarkan lapuk di tempat penebangannya. Demikainlah juga dengan perjuangan manusia untuk mencari kebebasan itu. Ia adalah satu perjuangan yang panjang dan semangat perjuangan itu mesti terus membesar dan naik meninggi walaupun ia bererti sesoerng pejuang itu akan dipenjarakan bertahun lamanya. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Nelson Mandela. Bukankah itu juga yang dialami oleh Pramodeya Anantatur dan banyak lagi pejuang reformasi asing yang lain.

Tidak ada sesiapa yang dapat menyangkakan bahawa perjuangan menegakkan keadilan di negara ini akan memerlukan pengorbanan seperti personaliti yang saya sebutkan itu. Tetapi, seperti yang baru saya tulis siapakah yang boleh meneka apabila dia tidur nanti, tidurnya itu akan diulit mimpi yang indah ataupun igauan yang ngeri?

Salam Hormat.
Marhaintua.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com

Balik Semula Laman Tranung Kite