PERUTUSAN HAPAK SEORANG ................ I

Bila Kerlipan Api Berguguran

Dentuman bunga api yang mencetuskan kerlipan cahaya yang turun berbutir-butir dari langit tentunya menjadi satu kenangan indah bagi sesiapa yang menyaksikannya. Tentunya ia lebih indah kalau pesta yang diadakan itu membawa makna tertentu yang dimeriahkan. Namun, sudah menjadi satu tradisi di negara ini apa sahaja yang diiktiraf sebagai peristiwa bermakna, akan disambut dengan gahnya oleh pihak kerajaan yang akan menonjol ke hadapan untuk menaja, membiayai dan memberi segala dorongan untuk memeriahkannya. Walaupun sebahagian besar dunia luar masih mempertikaikan kesahihan tarikh sebenar millenium baru itu, Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam telah menyambutnya dengan penuh warna warni.

Sebagaimana biasa, hari yang dianggap begitu bermakana dalam sejarah tamaddun dunia pasti memerlukan perutusan khas oleh sesaorang pemimpin negara. Sudah tentu ia dianalisa oleh pihak yang berminat kerana ia pasti menjadi agenda kepimpinannya.

Saya semacam tidak percaya dengan ucapan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu ( yang saya dengar melalui radio di kereta ) kerana memikirkan ia adalah mainan rekod lama yang lebih menjurus kepada ucapan dasar seorang presiden parti politik. Kerana itu saya telah membaca rakaman perutusan itu di akhbar untuk menelitinya. Yang menarik perhatian ialah tajuk yang digunakan oleh akhbar itu berbeza di antara satu dengan lainnya. Berita Harian memberikan tajuk "Pengajaran sejarah dalam menghadapi cabaran alaf baru" sedangkan Utusan Melayu menggunakan tajuk "Globalisme mengancam negara." Kenapa tajuk itu berubah-ubah masih menjadi satu tekateki yang mungkin sukar untuk diselami.

Sememangnya MAHAFIRAUN tidak ada sesuatu yang baru yang boleh dikemukakannya dalam perutusan itu. Dia telah menggunakan rekod lama seolah-olah dia bercakap di pentas kempen politik sahaja. Ia lebih merupakan satu pengajaran dalam Kelas Sejarah oleh seorang professor tua yang ingat-ingat lupa. Beliau telah menceritakan betapa:

a) Orang Melayu telah dijajah disebabkan kelemahan raja-raja Melayu menyediakan satu pasukan bala tentera yang berdisiplin. "Tidak ada taktik perang dan tidak ada 'standing army'. Kerana itu walaupun kerajaan Melayu Melaka mempunyai pasukan gajah perang, mereka tumpas kepada Portugis yang mempunyai senjata canggih seperti 'muzzle loaders'.

b) Kejatuhan kerajaan Melaka adalah juga disebabkan pembelotan. "Pembelot dan penderhaka ini memang manusia terkutuk kerana mereka lebih mengutamakan kepentingan sendiri."

c) Kejatuhan Melaka melunturkan keyakinan orang Melayu sehinggalah pertengahan abad ke-20. Orang Melayu menjadi tidak yakin untuk memerintah negeri sendiri sehinggakan terpaksa menerima bantuan orang putih untuk mengekalkan kuasa sesaorang raja. Akhirnya semua negeri Melayu dikuasai oleh British melalui penasihat atau advisor mereka. Maka tertakluklah seluruh Semenanjung serta Serawak. Apabila British menyerahkan perniagan dan urusan kerajaan kepada orang China dan India, "tidak ada protes daripada orang Melayu.."

"Sementara orang China dan India mengejar pelajaran di sekolah Inggeris, orang Melayu menolak sekolah Inggeris kerana takut dikristiankan. Maka semakin lemah dan miskinlah orang Melayu. Pada satu masa, bilangan orang Melayu di Malaya menjadi kurang daripada orang China dan India. Jika tidak kerana kemelesetan ekonomi pada dekad kedua dan ketiga yang menyebabkan ramai orang China kembali ke China, peratusan orang melayu di Malaysia mungkin seperti di Singapura sekarang. Jika peratusan ini rendah kemerdekaan Malaysia tentulah dituntut dan dikuasai oleh bukan Melayu". Demikianlah antara perutusan itu.

Kita mesti akui ada kebenaran dalam sorotan sejarah ini. Tetapi, kita harap MAHAFIRAUN sedar bahawa ada beberapa perkara penting dalam sorotan itu yang tidak diberikan penekanan seolah-olah ada tujuan memputarbelitkan fakta sejarah yang sebenarnya. Sejarah telah menunjukkan betapa kemelesetan ekonomi pada abad ke dua dan ketiga telah menyebabkan ramai orang China balik kembali ke China. Bukankah ini bererti bahawa:

1) Kenyataan bahawa peratusan Melayu rendah kalau tidak kerana orang Cina pulang ke China a itu adalah satu penipuan semata-mata. Sejak bilakah adanya bancian penduduk di negara ini? Bagaimanakah MAHAFIRAUN sanggup menggunakah kenyaatan itu sebagai fakta sedangkan orang Melayu di abad ke-2 dan ke-3 dulu masih lagi membuat rumah dipinggir sungai dan tasik yang jauh tersish daripada kekuasan sultan dan raja ?. Nampak sangat MAHFIRAUN telah termakan dakyah yang sama dibuat oleh orang Cina kepada Almarhum Tunku dulu.

Raja-raja dulu melantik pelbagi wakil untuk menentukan rakyatnya itu sentiasa berada di bawah pengaruhnya. Mereka mejadi tenaga penting bagi setiap raja Melayu yang suka berperang. Apabila seorang raja mengiystiharkan perang, rakyat yang layak berperang disuruh berkumpul di perkarangan istana untuk ke medan perang. Mereka perlu menyediakan senjata sendiri dan juga bahan makan dan minum mereka.

Ini bermakna, raja Melayu dulu memerlukan rakyat hanya untuk mempertahankan singgahsana mereka. Tidak ada upah ketika itu. Upah yang ada hanyalah dalam bentuk peluang bala tentera itu bersenang-senang dengan janda-janda para askar istana yang mati dalam peperangan yang terdahulu. (Cerita ini dicatatkan oleh seorang pengkaji sejarah Belanda dan Belgium yang bukunya ada diterbitkan oleh Dewan Bahasa). Kalau mereka menang sesuatu peperangan itu maka berpeluanglah seseorang askar itu memperisterikan janda yang ditidurinya sebelum pergi berperang. Dengan lain perkataan, rakyat yang muda-muda pergi berperang untuk mendaptkan gundek raja sebagi isteri; kalau menang dan kalau tidak mati. Samada anak yang akan lahir itu anak raja ataupun anak rakyatnya tidak pula diceritakan oleh pengkaji sejarah itu tadi.

Mungkin juga itu sebabnya ramai orang Melayu yang berpangkal raja padan namanya tetapi tidak tahu di mana istana lama nenek moyangnya.

2) Kemelesetan ekonomi berlaku secara bermusim? Dan apabila ia berlaku di negara ini, bukankah orang Cina yang mula mengalihkan keuntungan mereka?

3) Sejak merdeka, kita telah mengalami kemelesetan ekonomi tetapi siapakah yang tetap tinggal di negara ini? Cuba lihat apa yang terjadi kepada golongan Cina yang pernah kaya raya menggali bijih timah dan bijih besi di negara ini. Bukankah mereka ini ramai yang menetap di Canada, Austaralia, Amerika, United Kingdom, Peranchis, Jarman, Switzerland, Hongkong, New Zealand dan Tasmania?

Bukankah perkara yang sama berlaku kepada taukeh-taukeh yang membuka hutan untuk pembalakan? Bayangkan bagaimana hutan rimba diteroka untuk dikeluarkan balak dan diangkut untuk diproses di bandar-bandar. Soalnya sekarang kita mesti renung sejarah itu kembali. Kenapakah balak yang ditebang itu diangkut ke bandar, berbatu-batu jauhnya sedangkan kilang papan mudah dibina di kawasan rimba itu? Kenapakah kita perlu menghantar pasukan askar Melayu ataupun polis hutan untuk menentukan keselamatan para pekerja yang menebang balak dan menentukan keselamatan para pengangkut balak yang berulang alik dari bandar yang jauh?

PEMBUKAAN TANAH UNTUK PEMBALAKAN

Sekali lagi kita akan terpesona dengan fakta sebenar kalau kita tahu akan tipu muslihatnya. Kita mesti ingat pembukaan hutan untuk pembalakan berlaku di zaman negara sudah merdeka dan di bawah kerajaan yang sedia ada. Sekali lagi MAHAFIRAUN tidak mahu menyentuh era pembalakan itu.

Apabila Tunku mengambil alih tampuk pemerintahan negara, khazanah negara tidaklah sebesar mana. Kita amat bergantung kepada bidang pertanian dan perlombongan. Orang Melayu masih merupakan satu bangsa yang merempat di negaranya sendiri. Industri timah dan besi sudah pun menurun kerana mengikut musim kejatuhannya. Begitu jua dengan getah kerana ia sudah menurun sebaik sahaja tamat perang Korea. Untuk memajukan negara, Tunku dan Tun Razak telah membuat kepastian bahawa orang Melayu harus diberi tempat untuk maju dengan membuka hutan belantara. Tetapi ketika itu ancaman komunis masih kuat dan para peniaga China tidak berminat dengan industri pembalakan melainkan kerajaan membenarkan mereka membina kilang papan di bandar-bandar.

Kawasan hutan untuk pembalakan telah dibagi-bagi di antara golongan istana dan juga golongan elit di dalam kerajaan. Para peniaga China hanya diberikan peluang menebang balak itu setelah memberi kommisen kepada pemegang konsessi balak. Maka balak pun ditumbangkan dan konsessi diberi mengikut keluasan balak yang diluluskan. Walaupun kawasan itu ditentukan oleh peta, siapakah yang sebenarnya tahu kalau kawasan sebenar itu diubah di atas tanah? Untuk menampung 'modal angin' yang telah dibayar kepada para sultan dan raja-raja, dan juga segala komisen yang berbangkit kepada semua yang bersangkutan dalm industri pembalakan, setiap usahawan pembalakan telah mengubah kawasan pembalakan itu dengan meluaskan kawasan kerja mereka. Perkara ini amat senang dilakukan kerana kawasan itu ditandakan dengan pangkahan parang dan contengan kapur sahaja.

Siapakah yang kaya raya akhirnya? Di manakah majoriti mereka itu sekarang ini? Majoriti pengusaha balak sudah pun berhijrah ke luar negara bersama keluarga mereka. Ada yang membuka klinik dan pejabat perofessional di negara maju dan ramai juga yang membuka restoran 'Makanan Malaysia'. Para pewaris kumpulan yang kaya-raya inilah yang selalu mencemuh orang Melayu dalam petuturan mereka dengan orang luar. Ada kalanya kita terbaca juga tulisan mereka di internet.

Apa yang jadi kepada pemegang konsessi balak?

Kalau orang yang menyewa konsessi balak boleh menjadi kaya raya apa pula yang terjadi kepada pemegang konsessi itu sebenarnya? Jawapnnya ada di depan mata. Pemegang besar konsessi adalah daripada golongan istana, golongan elit dalam kerajaan dan pemimpin UMNO juga. Mereka inilah yang merupakan 'pelabur terbesar' ketika tapak lumba kuda berada di Jalan Ampang. Mereka berjudi dengan aman di hari perlumbaan kuda di situ. Cuba pergi ke Arkib Negara dan lihat semua akhbar lama dan buatlah rujukan kepada akhbar 'Malay Mail' ataupun semua kahbar berbahasa China. Kita akan lihat ramai warga istana yang berdiri megah di sebelah kuda yang menang dalam perlumbaan.

Apabila tiba hari perlumbaan kuda, kita akan lihat betapa sesaknya Jalan Ampang ketika itu. Kesesakan itu bukannya disebabkan banyaknya kereta. Ia menjadi sesak disebabkan kerapnya lalulintas diganggu untuk membolehkan raja-raja dan pasukan pengiringnya masuk ke kawasan lumba kuda itu. Yang menjadi bahan ketawa, perlumbaan kuda yang berlansung di Singapura pun boleh menjadikan kesesakan di Jalan Ampang. Para kaki-kuda sanggup duduk di gelanggang itu cuma mendengarkan ulasan larian kuda melalui corong radio. Bayangkan betapa aibnya orang Islam ketika itu dihina oleh raja-raja mereka. Kalau pun sudah gilakan sangat kuda yang berlari kenapa tidak diatur agar ulasan radio itu disalurkan ke istana dan semua urusan 'punting' (pertaruhan) dibuat melalui telefon?

Tidak ada seorang raja pun yang dapat menambahkan kekayaan mereka melalui perjudian lumba kuda kerana kuda yang menang diekploitasi oleh sindiket yang berpusat di Singapura. Adalah lebih mudah memenangi tiket pertaruhan itu dengan mendengar ramalan para penjaga kandang-kuda daripada membaca ramalan yang dibuat oleh pakar-kuda. Orang-orang Bauyan dan Jawa yang didatangkan khas untuk bekerja di kandang kuda amat pintar dengan segala tipu helah untuk menentukan kuda mana yang menang dan kuda mana yang tumbang di setiap perlumbaan, kerana mereka dibayar untuk melaksanakannya. Mereka mendera kuda-kuda yang sudah direncanakan untuk kalah. Kaedah yang paling senang ialah memberi makan berlebihan kepada kuda berkenaan. Ada juga kuda yang dieri ubat julap pada malam sebelum perlumbaan. Itulah sebabnya sehingga kini apabila ada perlumbaan kuda ada sahaja manusia yang diupah untuk tidur bersama kuda lumba itu untuk menjaga keselamatannya.

Alangkah ironisnya kehidupan ini apabila kita memikirkan betapa kayanya orang Melayu dari warga istana dan juga daripada pucuk pimpinan UMNO yang pernah mewarisi kawasan pembalakan pada satu masa dulu. Apakah jadinya dengan segala kekayaan itu? Semuanya hilang berderai laksana taik kuda bila sudah terlalu lama dipanah matahari. Yang boleh menjadi penenang dan penyejuk hati rakyat Melayu apabila membincangkan episod ini, ialah dengan munculnya semakin ramai zuriat para penjaga kandang kuda dan pemandu kereta kuda yang sekarang ini sudah menjadi doktor, peguam dan para professional di negara ini. Mereka inilah yang dapat menutup keaiban bangsa Melayu bila terserempak dengan golongan China yang kaya raya hasil penipuan industri balak dan perlumbaan kuda yang dibiarkan secara sengaja oleh pemimpin Melayu dan warga raja-raja.

Penjajahan Moden ke atas orang Melayu - Bagaimana raja-raja diperangkap oleh kekayaan dunia

Apabila raja-raja yang sudah terlalu taksub dengan permainan kuda menjadi hampir bengkrap, mereka mula mengalihkan perhatian kepada kasino pula kerana di situ pun keseronokannya adalah lebih menggiurkan. Lagipun rakyat tidak berapa tahu kalau mereka berjudi di kasino di luar negara. Sekali lagi raja yang lingkup di meja judi memerlukan bantuan kerajaan pimpinan UMNO untuk menyelamatkan mereka.

Akan tetapi, bagaimanakah raja-raja mudah berangkat ke luar negara kalau tidak 'diberi ihsan' oleh pemimpin kerajaan? Pemergian raja-raja untuk berjudi tentunya dilakukan secara kongsi-sama juga. Apabila raja pergi ke luar negara tentu ramai pemimpinnya yang mesti mengikuti rombongan diraja, bukan? Mudahlah rombongan diraja membuat tempahan bilik khas untuk berjudi. Ramailah para korporat dan keparat yang turut sama, bukan? Jadinya, kalau meja judi boleh dikongsi tentulah ketika berehat, meja makan dikongsi sama. Kalau meja makan dikongsisama, tentulah perniagaan pun boleh dikongsikan. Kerja kongsi-mengongsi yang direncana di meja judi terus menular untuk mengabui mata rakyat. Di depan rakyat para ketua korperat dan keparat terhangguk-hangguk dan tersembah-sembah di hadapan raja-raja. Di luar negara dan di bilik judi mereka saling bertukar 'chip perjudian' apabila keputusan modal kerana kerugian. Apabila letih berjudi mereka bertukar pula 'kuda putih' yang kakinya dua untuk ditunggang silih berganti.

Demikianlah episod ketuanan Melayu hingga ke hari ini. Begitulah buasnya perangai para pemimpin bangsa yang diamanahkan oleh orang Melayu untuk memimpin. Inilah golongan yang selalu dipanjatkan doa kepada Illahi oleh para ulama yang ikhlas dan diaminkan oleh seluruh jemaah yang tidak tahu cerita yang sebenarnya. Cuma, sudah terserlah kelembutan dalam perangai yang buas itu, bukan disebabkan kekurangan wang modal untak berjudi. Ia menjadi lembut disebabkan setiap insan yang disembah, didoakan panjang umurnya dan diaminkan doa itu, sudah semakin dimamah usia. Bayangkanlah betapa orang Melayu sebagai 'hamba' diperlukan menyebut "Ampun tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun".

Soalnya sekarang kenapakah buruk-laku warga istana itu dibiarkan oleh semua pemimpin Melayu UMNO yang paling kerap keluar masuk istana raja-raja itu? Bagaimana pula dengan para ulama yang digaji untuk menasihati para baginda sekelian? Semua pemimpin ini sanggup meniti kerakusan dunia di bawah bendera UMNO kerana itulah tradisi kepimpinan Melayu di bawah UMNO. Itu sebabnya sehingga hari ini ada para hulubalang istana yang digelar Pawang Diraja, dan mereka amat megah dengan jawatan itu.

Kalau kebanyakan raja-raja yang dijadikan lambang pemimpin agama Islam di negara ini sudah rela dihanyutkan oleh benda-benda khurafat apakah mereka mempunyai masa untuk memikirkan bagaimana caranya untuk menarik bangsa asing menganuti agama Islam? Kalau raja asyik sibuk mengaut kekayaan apakah mereka mahu menjenguk kawasan setinggan kaum yang terlalu kerap mendoakan panjang umur mereka? Itu sebabnya kita tidak terkejut apabila seorang sultan sanggup memerintahkan rakyatnya yang duduk menceroboh di tanah yang tidak pernah dibersihkan selama ini. Kerana apa, kalau bukan disebabkan kerakusan jua?

Bagaimana orang Melayu disisihkan dalam dunia perniagaan

Pembalakan dibenarkan di hutan belantara untuk memudahkan pembesaran angkatan tentera dan polis yang ketika itu dianggotai oleh orang Melayu sebagai anggota majoriti. Kaum asing tidak berminat menjadi anggota tentera melainkan kalau menjadi pegawainya sahaja. Orang China hanya mahu masuk pasukan tentera kalau diberi peluang menganggotai pasukan teknikal. Kerana itu kalau ada orang China yang sanggup menjadi seorang pemandu ketika itu, dia sudah boleh dianggap sewel ataupun jelmaan hantu.

Penempatan askar dan polis dalam hutan adalah untuk menjaga kepentingan perniagaan kaum Cina yang berkongsisama dengan golongan istana dan ningrat Melayu. Inilah kepintaran penjajah yang diwarisi oleh parti yang memerintah tanpa mengesan muslihatnya. Sememangnya ketika negara ini dijajah, British telah mengerahkan askar Melayu dan pasukan keselamatan bertugas di setiap perkampungan China ataupun kem peralihan sebagai satu taktik mengasingkan penghuni kem tersebut daripada ancaman komunis. Di siang hari penghuni itu dibiarkan ke ladang-ladng untuk membuat pekerjaan harian dan di malam hari mereka dikenakan 'curfew' dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan larangn itu. Inilah nikmat yang dirasa oleh kaum mendatang. Tidur mereka lena kerana ada pasukan bersenjata yang mengawal di luar rumah. Oleh kerana kawasan itu dibekalkan air bersih dan letrik, kehidupan anak-anak mereka amat terjamin dan membolehkan mereka belajar di malam hari tanpa gangguan.

Di waktu yang sama, askar Melayu dan polis ditempatkan dalam hutan sedangkan anak isteri mereka dihantar pulang ke kampung. Ketika itu berek polis amat terhad dan kem tentera pun belum dimajukan sangat. Lagipun mengikut ajaran Islam adalah baik kalau kaum Hawa yang berjauhan daripada suaminya diselia oleh kaum keluarga mereka.

Istiadat pindah-randah di kalangan warga tentera dan polis telah membawa kesan yang buruk kepada masyarakat Melayu yang bergaji tetap. Masayarakat Melayu dalam tentera dan polis merupakan golongan yang paling besar yang bergaji bulanan secara tetap ketika itu. Kaedah ini memberi jaminan bahawa warga tentera akan sentiasa disambung atupun digantikan oleh keturunan mereka dan orang Melayu mudah dipisahkan daripada dunia niaga. Perpisahan yang kerap berlaku memberikan tekanan emosi kepada setiap ahli keluarga yang terbabit. Anak-anak yang biasa dengan lampu letrik di bandar apabila dihantar pulang ke kampung halaman menghadapi tekanan sosial kerana tidak mendapat bimbingan kmenangani masalah peralihan itu. Pelajaran mereka tergugat dan keharmonian rumahtangga ibubapa mereka pun tergigit.

Masalah sosial yang dihadapi oleh pasukan keselamatan dan ahli keluarga mereka tidak diambil pusing oleh penjajah kerana mereka hanya berazam untuk menghapuskan ancaman komunis di negara jajahan mereka itu. Malangnya taktik penjajah ini disambung pula oleh para pemimpin politik Melayu. Ia berubah hanya apabila Tun Abdul Razak melancarkan RIDA yang akhirnya bertukar menjadi MARA. Penubuhan MRSM menjadi institusi perubahan yang memecahkan tradisi penjajah itu.

Apabila anak Melayu mula dikeluarkan oleh MRSM dan kemudiannya masuk ke menara gading maka semakin ramailah yang mula berminat untuk berniaga. Akan tetapi, dunia niaga adalah satu dunia yang berbeza daripada yang pernah dipelajari di universiti ataupun di kolej perdagangan. Walaupun Tun Razak merencanakan agar MARA memberikan pinjaman modal untuk Melayu berniaga, mereka tidak dapat meletakkan asas yang kuat untuk satu masa yang panjang. Kemasukan mereka telah ditentang oleh kaum China dan India. Malahan usaha mereka menjadi peniaga berjaya banyak yang terbantut, kerana penasihat mereka adalah orang Melayu yang berpelajaran tinggi tetapi mengetahui perniagaan hanya melalui kerusi malasnya.

Pakar niaga yang berkelulusan tinggi itu tidak berupaya memberi nasihat kepada bekas pasuakan keselamatan yang diberikan keutamaan untuk mendapat pinjaman modal untuk berniaga. Bayangkanlah bila seorang bekas tentera yang begitu lama dengan memikul senjata diberikan modal untuk menguruskan lori pengangkut. Apa yang boleh dilakukannya untuk mencari muatan? Apabila kantul, ia terpaksa mencari jalan yang paling mudah juga. Begitu juga ceritanya kepada seorang bekas polis yang diberikan tender membina sekolah, apa yang dia tahu mengenai jenis simen dan kayu? Maka terpakslah dia menyerahkan tender itu kepada orang Cina. Maka tercetuslah episod yang lebih panjang di mana perniagaan orang Melayu dikendalikan oleh orang Cina. Bermulalah sejarah perniagaan Ali Baba, di mana gua harta karun berada di tangan kementerian kewangan negara.

Demikianlah secebis sejarah Melayu yang bermula dengan kejatuhan kerajaan sultan dan raja Melayu. Laksana tembakan mercun gergasi dan bunga api yang dihalakan ke angkasa, ledakan kejatuhan kesultanan Melayu telah menjadi rujukan setiap pemimpin Melayu yang mahu membawa perubahan dalam pemikiran rakyatnya. Selalunya ledakan itu hanya berdentum sahaja sedangkan gegarannya tidak pun bermakna apa-apa.

-MT-
1.1.2000

>>>>>> <<<<<<<<

Catatan kepada Webmaster Laman RPN:

Ku panjatkan doa kepada Illahi di atas penghargaan yang diberikan kepada penulisan saya dengan menyediakan ruang 'Tinta Pengalaman'. Sebenarnya segala penulisan itu adalah cebisan pengalaman sebagai perantauan di dunia ini. Terpulanglah kepada masyarakat untuk menilai hasil usaha itu. Selagi khidmat ini diperlukan saudara bolehlah meyakinkan diri, Insya Allah nukilan bahan terbaru untuk Tinta Pengalaman itu akan terus muncul juga.

Marhain Tua
3.1.2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com