PERUTUSAN HAPAK SEORANG ................ III

Globalisasi Pengancam Siapa?

Sudah hampir dua tahun MAHAFIRAUN memberi ingatan kepada rakyatnya betapa "besarnya bahaya jahat agen asing yang mahu menjajah negara ini." Inilah satu agenda yang diulang-nya sejak DSAI dipenjarakan. Tema agen asing itu sentiasa bermain di bibirnya sehinggakan sebahagian rakyat masih tertanya-tanya siapakah sebenar agen asing itu? Tekateki itu terjawab sudah dalam perutusannya itu bilamana beliau berkata:

... "Kita mungkin berfikir bahawa Malaysia tetap akan merdeka selama-lamanya dan orang Melayu tetap akan berkuasa dan negara tetap akan kaya raya. Kita mungkin percaya bahawa kita akan memasukki abad dan alaf baru dengan keadaan negara kita yang tidak berubah, dengan kita terus merdeka dan berdaulat. Tetapi, bekas penjajah sudah merancang untuk menjajah negara kita. Cara ini diperkenal sebagai globalisasi dan dunia tanpa sempadan."........

Saya masih bingung dengan perutusan seperti ini kerana kenyataan yang menggambarkan betapa pessimisnya seorang pemimpin yang sekian lama dianggap sebagai wira dunia ketiga. Sebagai perbandingan cuba kita teliti apa pula kata Perdana Menteri Singapura dalam perutusannya:

..."Negara boleh menjadi ekonomi bersaing secara global dalam masa 10 tahun dan untuk mencapainya Singapura perlu memanfaatkan globalisasi; dan Singapura perlu mengenal pasti bakat baru dan membina kepimpinan generasi ketiga, kerana kepimpinan adalah faktor penting untuk kejayaan negara. Kita harus menyahut perubahan, menggelongsor gelombang ekonomi baru, membuat innovasi dan menjana kekayaan baru. Melakukan perkara yang sama dengan lebih baik tidak lagi akan mencukupi"

Demikianlah perutusan seorang perdana menteri yang tidak pun diberi gelaran wira dunia ketiga. Inilah ucapan yang menaikkan semangat rakyat kerana rakyat diberikan satu panduan yang jelas untuk dicapai, tidak kira berapa umur rakyat ketika itu. Tidak ada pun satu perkataan di mana pemimpin Singapura itu menakut-nakutkan rakyatnya akan ancaman globalisasi. Malahan dia yakin rakyat Singapura mampun melayari gelombang cabaran fenomena yang pasti akan datang.

Bila Pemimpin dihantui bayang-bayangnya

Kenapakah berbeza amat persepsi seorang pemimpin yang berpengalaman seperti MAHAFIRAUN? Kenapa dia takut dengan globalisasi. Baginya globalisasi yang ditakrifkan sebagai dunia tanpa sempadan akan menggondolkan segala harta benda yang ada pada rakyat Malaysia kerana orang luar mampu membawa masuk modal yang lebih besar lagi. Ataupun dia takut harta anak cucunya yang tergondol? Beliau berhujah demikian:

...." Interpretasi globalisasi oleh mereka ialah kebebasan modal melintasi sempadan dan mengatasi sebarang sekatan terhadap penguasaan modal ke atas ekonomi mana-mana negara. Kononya dengan kebebasan modal maka kemiskinan boleh dihapuskan di seluruh dunia. Mereka hendaklah bebas membeli semua bank dan perniagaan-perniagaan milik negara kaya sahaja. Semua eksekutif dan pekerja akan bekerja untuk mereka jika khidmat mereka masih diperlukan. Yang lain akan digugur supaya pembaziran dihapus demi efficiency. Sebagai contoh kereta nasional kita akan diganti dengan kereta jenama antarabangsa dan kita akan mengeluarkan komponen kereta berjenama dan mungkin memasang kereta-kereta ini."

Demikianlah bebelan MAHAFIRAUN dalam perutusan itu. Apakah tujuan sebenar dia takutkan globalisasi itu sedangkan ramai pemimpin negara asing yang sanggup menghadapinya. Kenapakah dia tiba-tiba mahu mempertahankan projek kereta nasional sedangkan dia tidak pernah menahan kemasukan kereta luar melalui pengeluarn AP yang berleluasa?

Rakyat tentu mahu tahu kenapakah MAHAFIRAUN yang sudah hampir di ambang senja karier politiknya masih sangsi dan takut sangat dengan globalisasi itu? Siapakah yang dipertahankannya? Sebagai lazimnya MAHAFIRAUN telah menuduh penyangak matawang sebagai bajingan yang paling merbahaya. Kata beliau:........."Hakikatnya penyangak matawang dan pelabur jangka pendek telah sengaja menjatuhkan nilai wang dan saham untuk mendapat keuntungan besar. Mereka memusnahkan ratusan billion dollar keuntungan bagi pemodal mereka. Berjuta pekerja hilang pencarian, sementara rusuhan dan pembunuhan berlaku. Kerajaan jatuh dan negara hilang kestabilan politik, ekonomi dan sosial.

"Inilah hasil sebenar globalisasi, dunia tanpa sempadan dan kebebasan gerakan modal yang dapat kita lihat. Apabila mereka sudah beli semua bank dengan harga yang murah, maka mereka akan pulihkan semula ekonomi. Tetapi rakyat negara yang diserang sudah tidak lagi memiliki apa-apa. Bukan sahaja ekonomi akan terlepas ke tangan penjajah Barat tetapi politik juga akan dikuasai oleh mereka. Kebebasan dan kedaulatan sudah pun hilang. Inilah pengalaman daripada peristiwa kegawatan yang dialami baru-baru ini.

"Segala-gala ini bukan ramalan, bukan khayalan. Segala-gala ini sudah pun berlaku. bahawa ia tidak berlaku di negara ini bukanlah kerana penjajah moden tidak mencuba. Mereka cuba dan mereka hampir berjaya. Tetapi Alhamdullilah kita dapat menangkis percubaan ini dan kita dapat memulihkan negara kita. Namun kita belum selesai. Percubaan sedang dibuat lagi. Jika tidak kerana rusuhan menentang WTO di Seattle mungkin sebahagian lagi daripada sempadan kita akan dapat diruntuhkan. Tetapi mereka akan mencuba lagi."

Kita pernah menulis tentang apa yang ditakutkan oleh MAHAFIRAUN ini. Kalau diteliti ucapannya itu kita boleh kesan bahawa itulah ucapan untuk 'masuk bakul dan angkat diri sendiri'. Sebenarnya dalam penulisan kami bertajuk 'Era Putar Alam yang Menakjubkan' dan 'Apabila Rakyat Menjadi Bingung' ada kita bayangkan secara terperinci jua faktor-faktor yang memungkin Malaysia menjadi gelanggang mesra bagi proses globalisasi.

- Kenapa Mesti Takut Kepada Globalisasi

Keraguan MAHAFIRAUN terhadap globalisasi adalah satu tandatanya yang besar bagi kita. Apakah Globalisasi itu satu raksaksa yang menyerupai hantu yang tidak dapat dikesan akan kedatangannya? Apakah Malaysia ini sebuah negara 'anak ayam' yang mudah menjadi pilihan tekanan globalisasi itu sehinggakan 'anak ayam' itu akan terus mejadi bahan ratahan; menjadi ayam golek ataupun direbus lama untuk dijadikan pati ayam? Pemimpin negara lain tidak pun takut dengan kedatangan globalisasi itu. Kenapakah kita tidak mengambil langkah yang sama untuk menangani globalisasi itu supaya rakyat negara ini turut bersedia seperti rakyat Singapura?

Apakah muslihat sebenar makanya MAHAFIRAUN terlalu sensitif dengan kemunculan globalisasi? Kita boleh menjangkakan bahawa beliau sememangnya mempunyai phobia terhadap tentangan ataupun persaingan seperti yang dipertontonkannya dalam usaha mengekalkan jawatan Presiden UMNO. Mungkinkah ini satu trauma yang berputik sejak beliau kalah di pilihanraya Kota Star pada tahun 1969 dulu?

Kita lebih cenderung menelah bahawa MAHAFIRAUN sememangnya mempunyai trauma ini yang tidak diubatinya. Kerana itu dia kerap merancanakan sesuatu yang drastik untuk menyingkirkan beberapa Timbalan Perdana menteri sejak 18 tahun yang lalu. Oleh kerana ia melihat ancaman yang amat besar daripada DSAI, makanya dia telah mengambil satu tindakan proaktif untuk menamatkan karier pejuang bangsa itu. Tindakan ini tentunya tidak dapat diterima oleh rakyat jelata kerana MAHAFIRAUN orangnya yang membimbing DSAI masuk ke dalam kabinetnya.

Kenapa Tidak menjadi Bangsa Yang Mesra Globalisasi?

Kalau kita lihat akan ciri-ciri globalisasi itu kita akan dapati rakyat Malaysia merupakan manusia yang sepatutnya mudah menerima konsep globalisasi. Kalau globalisasi itu satu proses yang universal tentunya setiap tindakan untuk menyerap masuk dalam persekitaran kita didorang dan dikawal-selia oleh satu undang-undang yang universal juga. Menyedari hakikat ini bukankah elok kalau kerajaan mempunyai satu Pelan induk (Master Plan) untuk mengeluarkan pakar-pakar muda yang dapat menangani segala masalah yang mungkin berbangkit setelah penyerapan globalisasi itu diterima-pakai di negara ini? Pendedahan awal kepada golongan muda yang baru lulus daripada universiti tentunya memberikan satu motivasi bagi semua institusi yang besar untuk membuat rencana yang sama. Inilah peluangnya untuk negara merencana satu karikulum baru yang dapat menangani serangan globalisasi seperti mana negara ini telah merencana satu sistem untuk menanti kemunculan pepijat Alaf Y2K yang baru lalu.

- Apakah yang diperlukan?

Sudah dua tahun berlalu sejak MAHAFIRAUN mencanang tentang kedatangan agen asing menjajah Malaysia. Pendedahannya akan bahana globalisasi sudah tentu melunturkan imejnya di kalangan rakyat kerana rakyat sendiri yakin bahawa globalisasi itu tidak seburuk yang digembar-gemburkan. Kita tidak boleh mengambil kias pada tunjuk perasaan yang dilakukan di Seattle, selagi kita tidak tahu siapakah dalang yang menganjurkan tunjuk perasaan itu. Di Amerika tunjuk perasaan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja termasuk juga Kerajaan Amerika sendiri. Oleh kerana terlalu banyak muslihat niaga yang hendak dipelopori oleh Amerika kita boleh mengsyakki bahawa tunjuk perasaan yang ganas itu dipelopori oleh salah satu insitutsi kerajaan juga.

'Fact-sheets dan maklumat terkini

Sepatutnya rakyat diberikan satu maklumat dalam bentuk risalah ataupun 'fact-sheets' tentang apa yang dimaksudkan dengan perkataan 'GLOBALISASI'. Apabila proses kesedaran itu dapat di tanam kepada rakyat di peringkat awal lagi, ia mudah mencetuskan minat rakyat untuk menghadapi cabaran yang berbangkit itu dengan satu keyakinan yang berganda. Kerajaan boleh mengadakan seminar, bengkel, perjumpaan secara resmi ataupun tidak formal di mana rakyat diajak berunding untuk merencana sesuatu yang konkrit dalam menghadapi ancaman yang mungkin menjelma.

Melalui proses musyawarah ini kerajaan dapat menilai reaksi rakyat mengikut pembabitan mereka dalam menghadapi globalisasi itu. Kita dapat menganalisa apakah kekuatan kelemahan yang amat ketara. Proses ini memberikan peluang kedua-dua pihak memantapkan persediaan masing-masing. Apabila tercapai kata muafakat maka mudahlah usaha merencana strategi yang baik untuk disebarkan. Negara akan mampu menghadapi cabaran itu dengan satu pendekatan yang positif.

Kenapa kita perlu takut?

Kalau kita buat kajian akan perjalanan ekonomi global kita dapati bahawa fenomena kebebasan modal tanpa sempadan adalah merupakan keluasan dasar ekonomi berbentuk 'laisser-faire' yang sudah lama dipraktikkan. Cuma, kali ini ia memberi ruang yang lebih besar bagi orang yang mampu untuk menerjah masuk peluang niaga kawasan orang lain dalam satu masa yang lebih cepat. Perkara seperti ini bukannya satu fenomena yang menakutkan kerana ia telah dicanangkan sejak berpuluh tahun yang lalu. Cuma ketika ia mula dibincangkan dan ditulis dalam 'The Club of Rome' perkataan 'globalisation' ataupun globalisasi itu tidak ditonjolkan.

Jika kita teliti revolusi rakyat yang dicetuskan oleh orang Peranchis kita akan sedar kenapa ia dirakamkan sebagai ibu kepada semua revolusi. Revolusi itu yang berslogankan 'Liberty, Equality and Fraternity' sebenarnya berbau fahaman Katholik. Tetapi, semangat yang dicetuskan yang menaikkan bulu roma telah diterima-pakai oleh setiap reformis di seluruh dunia. Revolusi ini sebenarnya pengatur cara kepada fenomena globalisasi.

Tumbangnya Tembok Berlin

Semangat itu terus membara di awal abad yang lalu dan melonjak naik dengan tertumbangnya Tembok Berlin pada November 9, 1989. Peristiwa ini telah mengubah peralihan kuasa di seluruh dunia. Inilah temboknya yang menjadi lambang kebinatangan manusia yang akhirnya mencetuskan Perang Dingin yang mencipta sempadan pemikiran, sistem perniagaan dan tatasusila kehidupan sejak 1945 dulu.

Perang Dingin ciptaan barat telah melonjakkan revolusi elektronik kerana kedua-dua pihak yang 'berperang' mahu menonjolkan kejuaraan masing-masing sambil cuba mencuri maklumat dari pihak saingannya. Saingan dalam proses curi-mencuri maklumat itu dikamoflasy dengan apa yang dikatakan perang ideology. Berlakulah pertentangan di antara blok yang berfahaman Komunis dengan blok bukan-komunis. Amerika dan Britain mahu menonjolkan fahaman demokrasi sedangkan Peranchis mementingkan Sosialisme. Lantas, beberapa negara barat yang lainnya mengambil jalan tengah dengan menonjolkan semangat 'demokratik sosialisme'.

Bila Arab Naik Minyak

Inilah zamannya bila harga minyak mula melonjak naik dan orang barat yang lantang bersuara dengan segala rupa bentuk sistem pemerintahan sibuk berlumba-lumba untuk memikat hati para pemimpin negara minyak. Sepatutnya, semua ketua Arab itu berkongsi strategi dan memanggil semua ketua kuasa besar itu dan mengatakan bahawa apa yang mereka sibuk itu sebenarnya boleh disengkatkan dengan penggunaan kata yang berbunyi 'Fahaman Bermusyawarah'. Minyak menjadi semakin mahal dan orang Arab menjadi semakin angkuh. Di sana-sini, tanah Arab digerudi untuk mencari 'emas hitam' dan gas yang semakin menggila harganya.

Arab Saudi menjadi satu tanah besar yang dikerumuni oleh pekerja asing. Mereka datang berbondong, tanpa iklan kerana kemewahan yang melempah-ruah sudah disebarkan oleh jemaah haji yang baru pulang daripada Mekah. Kemewahan yang ditunjukkan oleh Allah tidak dipegang sebagai amanah oleh pemimpin Arab. Di U.A.E kita boleh lihat beberapa bangunan tinggi yang masih kosong dan lengang. Ini adalah kesan salah tadbir yang berlaku ketika minyak naik mendadak pada tahun lapan puluhan dulu. Apabila minyak naik harga semua ketua Arab turut naik minyak. Mereka menjadi terpesona dengan kemajuan dunia. Daripada pesawat terbang yang canggih sehinggalah cangkir kahwa yang berbentuk unta menjadi benda yang menakjubkan mereka. Semuanya mahu dibeli dan kalau boleh termasuk kilangnya sekali.

Di Dubai kita akan melihat pelbagai bentuk banglo. Ada yang berbentuk kuil di Mumbai ada berbentuk berhala Shanghai, ada yang berbentuk candi hindu di Bali Hai. Ada yang membina pondok Tokpekong di depan pintu rumah, seoalah-olah mereka sudah taksub dengan budaya semah-menyemah. Lonjakan ekonomi yang naik menggila mendesak pembikinan bangunan tinggi dan kediaman yang selesa. Para usahawan telah menciplak lakaran bangunan tinggi-tinggi di negara barat dan menggunakan komputer untuk mengubah suai lakaran itu . Bayangkan wajah-wajah orang badawi yang sebelum itu amat selesa dengan kereta keldai dan unta, kini bertukar kepada Merz, BMW dan Toyota. Itulah pertama kali mereka melihat rupa komputer dan lakaran rumah tinggi yang menjulingkan mata.

Orang putih yang datang berbondong-bondong membawa pelbagai cadangan secara borong. Arab kuno yang sudah moden mudah sekali kena bohong. Semua projek mahu dibikin kerana fulus sedia tersusun. Tetapi, masa yang berlalu bikin otak Arab jadi mencelaru. Mereka didatangi oleh orang Jepun, Korea, China, Taiwan, Singapura, India dan Pakisatan pula. Orang dari Asia ini sudah menjolok si Arab agar membuka matanya dan jangan mudah terpedaya. "Bayangkan sendiri Ya Akhi," kata mereka; " Kalau anta bikin projek ini dengan orang putih, siapakah nanti mahu menjadi pekerjanya?" Orang Arab menjadi tersentak. Mereka semakin gelabah hingga hilang tasbih di celah jubah. Barulah timbul kesedaran bahawa wang yang melempah ruah tidak dapat membeli kebahagiaan. Maka diaturnyalah segala projek itu untuk menentukan kejayaannya. Lakaran orangputih diterima kerana mereka datang lebih awal. Nasihat kepakaran Jepun dan Korea diterima juga kerana merekalah yang berani menunjukan jalan. Khidmat China, Taiwan dan Singapura diterima sama untuk bahan pembinaan dan jentera ciplakan. Orang India, Bangla, Indon, Paki dan Filippina diterima juga untuk menjadi orang bawahan.

Demikianlah secebis kisah kemajuan tanah Arab pada tahun lapan puluhan dulu. Semua pembangunan itu telah memungkin kemasukan pelbagai barangan dan khidmat pengurusuan yang diperlukan. Itulah contoh perniagaan tanpa sempadan yang paling ulung. Ia tercetus bukan bikinan Barat ataupun Syaitan. Ia tercetus sebagai berkat dari Tuhan. Cuma manusia tidak menyedarinya kerana memikirkan peratusan hidup yang baik mesti dicerna dengan pemikiran manusia jua.

Semua ciri-ciri pelaburan tanpa sempadan telah diuji keberkesanannya di Tanah Arab. Ia telah merobah tamaddun Arab sehinggakan ramai anak muda Arab yang pelat dengan bahasa ibundanya. Kekayaan yang datang mendadak telah tidak diterima sebagai amanah. Tiba-tiba, peperangan Iraq dan Iran meletup dan tidak lama kemudian ia bersambung pula di anatara Iraq-Kuwait.

Menyedari hakikat ini cuba kita lihat di depan mata. Bukankah kemewahan yang datang melempah ruah di negara ini telah disalah-gunakan? Kita telah menjadi angkuh dengan pembinaan segala projek mega untuk menonjolkan satu bangsa yang mundur menjadi maju. Ataunpun untuk memuaskan ego seorang yang sudah angkuh dan lupa pengangan? Kita banyak menulis tentang pembaziran khazanah negara ini dan terlalu banyak paparan rintihan rakyat yang telah dirakamkan oleh para penulis dan para analis. Tetapi, apakah rintihan yang tertulis itu mendapat perhatian yang berkuasa?

Kini, globalisasi menjadi satu perkataan yang mesti ditanam dibibir rakyat agar mereka turut sama menentangnya. Menentang kerana apa? Rakyat semakin yakin kalau dunia ini mahu dihuni dengan bebas mengikut hukum yang diturunkan oleh Tuhan, globalisasi adalah satu fenomena yang sepatutnya diterima dengan hati terbuka. Rakyat sepatutnya bersedia dengan segala cabaran yang akan tiba.

Tetapi, seorang diktator tua tidak mahu globalisasi itu. Dia boleh menelah bahawa kemasukan globalisasi akan melunturkan kuasanya. Globalisasi akan menjadi alat yang membolehkan rakyat melihat betapa kerakusan yang membolehkan segelintir pelahap politik yang hidup angkuh akan menemui 'waterloo'nya. Yang lebih berusaha akan lebih berjaya dan yang masih ragu akan terus termangu. Itulah globalisasi yang kita harapkan.

Adalah amat sayang sekali satu fonomena yang pasti akan melanda negara ini telah dilekehkan oleh seorang pemimpin negara di hari pertama alaf baru. Perutusan ulung seorang pemimpin sepatutnya memberikan kesegaran kepada mental yang menaikkan semangat rakyat untuk mandari segagah Menara Kembar 'H'. Bukankah itu bangunannya yang telah 'disintuk' dengan kerlipan cahaya bejuntaian sebagai lambang menyambut alaf baru? Adalah amat malang sekali negara yang sedang meraba-raba untuk sembuh dari kebetahan kegawatan ekonomi yang disebabkan penyangak dalam negara, dan pakar songlap berstatus antarabngsa; masih lagi mahu dilantak pemikirannya dengan maklumat songsang?

Lunturnya sebuah harapan

Rakyat semestinya bingung dengan perutusan terbaru MAHAFIRAUN. Alangkah hapaknya perutusan itu. Ia seolah-olah datangnya daripada seorang pemimpin kumpulan penyangak yang mahukan orangnya berhati-hati terhadap serangan musuh. Mungkin sudah ada anak muda yang tidak berjaya mengawal emosinya yang menganggap perutusan itu seperti berita haprak yang dikeluarkan oleh seorang bajingan tua. Yang pasti perutusan seperti itu sudah tidak relevan lagi.

Tetapi apa yang boleh diharap dari seorang pakar silap mata politik yang selalunya berani membuka mulut kepada pendengar yang tidak dibenarkan menyoalnya? Bukankah itu mainan hidupnya yang amat takut pada saingan yang sehat? Masakan tidak. Itu sebabnya ia lebih rela memenjarakan seorang wira kerana takut terdedahnya penyonglapan khazanah negara. Dia lebih sanggup mengharamkan terbitan sebuah tabloid kerdil yang muncul dua kali seminggu. Berapa sangat HARAKAH yang ada dalam penerbitan itu jika dibandingkan dengan senjata penangkis yang bertimbun keluarannya; setiap hari dan setiap hujung minggu? Dia lebih rela menarik lesen penerbitan sebuah majallah sosial yang sejemput sahaja tebalnya, sedangkan ada enam stesyen TV dan berbelas saluran radio yang boleh digunakan setiap DETIK untuk menangkis kebenaran yang dituliskan dalam majallah itu.

Apakah ini tandanya Melayu akan terus maju? Ataupun inikah tandanya Melayu perlu mencari teras untuk maju? Apa juga jawapannya, hakikat yang ada harus diterima. Seorang pemimpin yang cuba melawan arus akan hanyut dengan arus itu akhirnya. Inilah tanda bahawa pemimpin itu sudah tidak relevan lagi.

Bunga-api raksaksa yang mencetuskan kerlipan warna warni pun mempunyai tarikh luputnya. Selagi ia segar bolehlah digunakan untuk menerangi keadaan gelap dan gelita. Apabila ia tidak relevan lagi ia akan menjadi bahan yang paling bahaya kerana mencetuskan ledakan yang mungkin berlaku bila-bila masa. Walaupun ia disimpan di sebuah mahligai yang mempunyai singgahsana yang bertakhtakan kencana.

-MT-
3.1.2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com