Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencetus Minda 10 - Yang Menjerat dan Menjerit

Rumah terbuka di Aidilfitri adalah satu tradisi umat Islam di negara ini, zaman berzaman. Inilah tradisi yang mewarnai kebudayaan orang Melayu. Inilah masanya hamba Allah bersua muka, berkongsi rasa dan bersalaman untuk bermaaf-maafan. Dengan bermulanya penggal persekolahan esok hari di ibukota, rumah terbuka dijangka akan berambah galak lagi dianjurkan. Akan ramai lagi isu baru yang akan diperdebatkan. Parlimen rakyat akan terus bergolak lagi.

Namun, agenda yang banyak itu tidak dapat diberi fokus kerana adanya satu agenda yang paling utama dan mendesak orang Melayu. Ia boleh diolah dalam apapun bentuk prosa yang dimahukan; maknanya akan serupa sahaja. Secara ringkasnya agenda utama itu akan berbunyi seakan-akan begini: "Siapakah yang berani menandingi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak boleh disaingi itu?"

Budaya Brahman - Brahmin

Kalau lima tahun dulu, arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi UMNO pasti diterima dengan rela hati. Tidak ada yang mengungkitnya kerana patuh pada keputusan konsensus. Tetapi kini apa yang dikatakan keputusan konsensus sudah pun berani dipertikaikan. Malahan 'semangat konsensus' itu sendiri dipersoalkan, apatah lagi keputusannya. Ramai ahli parti yang bertanya apakah budaya Hindu sudah menular dalam UMNO sehinggakan dua jawatan teratas dalam parti dianggap sebagai jawatan hanya untuk golongan Brahma yang suci dari segala bentuk kebersihan? Sampai begitu sekali marahnya orang Melayu sehinggakan sanggup memberi gelaran Brahman-Brahmin kepada anggota pucuk pimpinan parti orang Melayu. Inilah gelagat orang Melayu. Mereka merelakan pelbagai cap-nama dan gelaran kepada sesiapa yang mereka bencikan.

Apabila pucuk pimpinan parti yang digelar Majlis Tertinggi itu dikaitkan dengan kelas pendeta-pendeta orang yang beragama Hindu, maka timbullah pelbagai cerita lain yang mirip dongeng dan mitos seperti dewata yang mempunyai banyak tangan.

Ada satu cerita lama bagaimana tiga orang manusia yang menaikki satu perahu. Seorang mempunyai punggung yang tajam, seorang mempunyai banyak tangan dan seorang yang mampu mengeluarkan banyak tahi-mata. Mereka mahu menyeberangi Sungai Ganges yang dianggap sungai kesucian. Di sungai itulah keluarga yang papa menghanyutkan bangkai ahli keluarga kerana ketiadaan wang untuk membeli kayu api untuk membakarnya. Ketiga-tiga pemuda ini mahu menyeberang sungai kerana mahu mandi di tebing seberang yang tidak tercemar airnya. Lantas mereka menyewa sebuah perahu yang sanggup membawa mereka ke tempat yang dituju tanpa banyak cerita dan mahu menaruh harga tambangnya.

Belum pun perahu itu berlepas dari penambangnya, tiga saudara tadi sudah mula geger tentang siapa yang sepatutnya mengambil tempat yang di tengah dan siapa pula tempat yang menyeronokan, di hujung perahu. Mereka bertelagah sesama sendiri tanpa dicampuri oleh empunya perahu tadi. Dia membiarkan sahaja perangai penumpangnya itu dan mengambil sikap untuk membisu. Oleh kerana bahasa yang mereka gunakan adalah loghat keluarga yang tidak diketahui oleh empunya perahu, perbalahan mereka itu tidak diikuti sangat olehnya. Tambahan pula dia terus mendayung selaju mungkin untuk mencapai tebing seberang yang cetek dan mengutip tambang untuk berpatah balik.

Pertelagahan terus berpanjangan sehinggalah perjalanan sudah melepasi pertengahan sungai. Tiba-tiba tiga beradik itu mula naik baran dan perang mulut bertukar dengan perang tangan. Tentunya yang banyak tangan yang mudah menang kerana pukulan lawannya mudah ditangkiskan. Begitu juga si adik yang banyak bertahi mata. Sesiapa yang cakap banyak mudah sahaja ditutup mulutnya; dengan tahi mata. Nasib baik bukan dengan taik hidung ataupun taik telinga. Apa yang mampu dibuat oleh si bungsu, dia tidak pun ada apa-apa yang berlebihan. Sedangkan punggunganya pun hanya satu?

Pergaduhan terus berpanjangan, tuan punya perahu masih berdiam diri kerana kesibukan mengawal kemudi. Dia amat pentingkan harta pusaka yang ada di tangannya daripada menjerit kepada tiga penumpang yang kaya itu. Dia lebih rela mereka berbalahan daripada bersuara untuk memberikan amaran. "Apalah ada pada aku ini kalau dibanding dengan Brahma yang bijak bistari? Demikian rintihan hatinya untuk menenangkan keadaan." Kelucuan masih berlegar di mata hatinya melihatkan cara si bungsu menangkis maki hamun dan hayunan tangan-tangan saudara kandung yang lebih tua itu. Oleh kerana lucunya itu dia masih tidak mahu mengeluarkan kata-kata kepada mereka bertiga. Dia masih menghormati mereka kerana status Brahmin itu adalah lebih tinggi daripada status raja-raja di India dulu.

Namun, kelucuan itu tidak pun kekal lama apabila si bungsu mengambil keputusan meletakkan punggungnya ke lantai perahu yang dibuat daripada papan itu. "Cuss..." bunyi air yang memancut dari bawah yang datang dari sungai yang dalam dan sentiasa tenang sahaja arusnya.

Ketiga-tiga penumpang itu menjerit. Dalam keghairahan mereka berebut tempat duduk di tengah-tengah perahu itu mereka terlupa adik mereka yang bongsu itu mempunyai hanya satu punggung yang tajam. Sepatutnya dia tidak boleh diberikan tempat duduk pada awal perjalanan lagi. Ketamakan dua abang yang tua telah melalaikan mereka akan sifat anggota adik mereka itu. Lantas, tercetuslah suasana yang kelamkabut kerana ketiga-tiga penumpang sibuk menampal lubang yang semakin membesar. Si 'Tahimata- banyak' sibuk terkebil-kebil untuk mengeluarkan tahi mata bertahil-tahil. Si Tangan-banyak sibuk menyungkil tahi mata dan menampalnya di lubang yang bocor itu. Si punggung-tajam tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia sendiri ketakutan dengan apa yang berlaku. Dia sendiri tidak tahu akan kuasa punggungnya yang tajam, kerana sebelum itu belum pernah dia menaikki perahu dan diberikan peluang untuk duduk.

Keadaan kelam-kabut lebih menyibukkan tuan punya perahu. Pengayuh di tangan semakin kuat dihayunnya dengan harapan lubang yang bocor dapat ditampal sebaik mungkin sehingga perahu sampai ke penambang. Dia tidak mampu untuk menjerit lagi kepada penumpangnya bertiga. Perangai bisunya sudah berubah kini kepada perangai menjeringaikan gigi semata-mata. Ketika lubang itu mula tembus dia telah menjerit sekuat-kuatnya tetapi tidak didengar oleh sesiapa. Lagipun suaranya tidak dapat menandingai suara lantang orang yang banyak tangan dan banyak tahi mata.

Perahu hampir mencecah penambang, lubang yang kecil terus membesar. Si Tahimata Banyak sudah tidak mampu mengeluarkan bahan gam lagi untuk menampung lubang itu. Matanya sudah kejur kerana terlalu lama terkebil-kebil. Malahan dia sudah tidak mampu menutupkan matanya lagi kerana otot kelopak mata yang sudah terkehel. Begitu juga dengan Si Tangan Banyak. Dia tersepuk di lantai perahu kerana senak. Tangannya yang banyak itu sudah tidak boleh digerakkan lagi kerana sudah menjadi kematu. Semua jejarinya sudah disumbatkannya pada tempat yang bocor. Setidak-tidaknya jejarinya itu dapat melambatkan proses lubang lantai itu membesar. Dia juga hanya mampu menjeringaikan gigi kepada adiknya yang bongsu. "Kenapakah kau diberikan punggung yang tajam dan tidak tahi yang banyak?" soalnya dengan nada penuh kekesalan.

Si Bongsu terus gelabah. Dia tidak faham bagaimana terjadinya musibah. Dia berpaling pada tuanpunya perahu untuk meraih simpati dan cuba berjalan kearahnya untuk mendengarkan nasihat pula. Pergerakannya itu menggoyangkan perahu tidak menentu. Stabiliti perahu semakin tergugat dan menakutkan kedua abangnya yang hanya mampu menjeringaikan gigi lagi. Sekali-sekala terkeluar juga bunyi jeritan dari tekak mereka. Itu sahaja yang mereka tahu buat, kerana menjerit secara berisyarat sudah tidak lagi mampu dilakukan. Si Bongsu masih belum faham lagi makna jeritan yang belum penah didengarnya sebelum itu. Dia terus merangkak ke buntut perahu untuk bersama tuan empunya kenderaan itu. Sekali lagi perahu terumbang ambing dan ini membuatkan kedua-dua abangnya terjerit-jerit laksana anjing-anjing yang sedang didera oleh tuannya.

Si Bongsu menjadi kehairanan dan berpusing menghadap mereka. Dia cuba mentafsirkan mimik muka dan jeringai gigi yang dilihatnya itu. Dia terduduk di lantai kerana keletihan dan membuatkan perahu itu bertambah bocor lagi hinggakan air sungai menerjah masuk dengn banyak. Tuan empunya perahu tidak mampu berbuat apa-apa. Dihumbannya pendayung di tangan, dia pun terus terjun ke sungai untuk menyelamatkan dirinya. Tinggallah perahu pusaka nenek moyangnya dengan ketiga-tiga penumpang istimewa itu tadi yang masih berteriakan. Apabila si empunya perahu sampai ke tebing dia mampu berdiri melihat perahunya yang semakin tenggelam bersama dengan penumpangnya. Kalaulah dia berwaspada pada awal perjalanan dan menjerit ganas kepada penumpang yang dimuliakannya itu, sudah pasti terselamat perahu yang dipusakainya.

Demikianlah satu bahagian dongeng lama yang boleh didengar kalau ada yang sanggup berkenal rapat dengan beberapa pendeta tua di India. Inilah dongeng yang kerap diberitahu kepada sesiapa yang mahu tahu dan tidak semestinya kepada sesiapa yang serba-mahu. Inilah dongeng lama yang amat mengena sebagai kiasan akan apa yang sedang berlaku dalam sebuah parti Melayu yang terumbang ambing disebabkan kebudayaan asing yang dibawa masuk untuk memertabatkan maruah bangsa. Inilah bahananya apabila budaya asing dibiarkan meresap jiwa Melayu di persada kepimpinan tanpa dimengerti oleh akar umbi.

Yang Menjerat

Kini akar umbi sudah terjerat. Mereka diminta membuat pilihan siapa yang patutnya menjadi anggota Majlis Tertinggi parti. Syaratnya, dua jawatan terpenting diatas "adalah jawatan untuk golongan Brahman" dan tidak bolih diganggu-gugat. Inilah jerat yang sudah siap terpasang. Tetapi zaman teknologi canggih ini, jerat yang dipasang bukannya sebarang jerat. Inilah jerat yang mesti mengena.

Soalnya sekarang, akar umbi di alaf baru ini bukannya boleh disamakan dengan akar umbi di tahun-tahun yang berlalu. Inilah akar umbi yang sudah lali dari pukauan dan tipu muslihat kumpulan brahman-brahmin yang sudah lama bertakhta di atas. Inilah kumpulan rakyat marhain yang sudah sedar bahawa ketuanan Melayu yang sekian lama digembar-gemburkan adalah sebenarnya pengekalan beberapa YB dan YAB pilihan yang harus dibiarkan memegang jawatan parti sehingga mereka mati.

Pucuk pimpinan parti mengharapkan akar umbi mencalonkan beberapa nama pilihan yang rapat dengan Maharaja segala raja-raja yang sekarang ini berada di luar negara untuk bercuti. Kerana itu lagu 'Individu tidak penting' dibisikkan selalu secara berhemah di merata tempat agar akar umbi perihatin dengan aspirasi parti. Ahli parti diberikan kursus khas untuk mengenal apa makna sebenar 'parti itu penting dan individu itu tidak penting'. Selepas itu mereka diberikan lagi kursus tambahan yang mempunyai agenda berbunyi: 'Individu tidak penting, tetapi parti itu penting'. Demikianlah diulang-ulang slogan itu sambil memusing-musing ungkapannya. Akhirnya slogan itu akan ditambah lagi dengan berkata: 'Parti itu penting, individu itu penting dan saya yang paling penting!'.

Yang Menjerit

Memang sudah menjadi satu kelaziman, suasana pemilihan dalam parti adalah laksana satu musim lebaran juga. Malah keriangannya adalah lebih gamat daripada yang dirasakan ketika menyambut Aidilfitri. Maklumlah, rumah terbuka bukannya diadakan di rumah persendirian sahaja. Ada rumah terbuka diadakan di seberang laut, di gunung-gunung malahan ada rumah terbuka di adakan di Medinah, Jedah dan Makkah atas nama 'umrah'. Inilah rumah terbuka untuk memancing undi dan mengatur strategi.

Semua urusan rumah terbuka untuk pemilihan parti tentunya memerlukan kos yang tinggi. Apakah secara kebetulan pasaran KLSE naik menggila kalau bukan diransang untuk menjana wang bagi kerja lobi-melobi? Kerajaan tidak mengakui fenomena ini dan terus mencanangkan betapa kemasukab pelabur asing semakin meningkat untuk memacu indeks komposit mencecah 1000 mata. Tetapi, orang lama dalam dunia saham akan berkata saham akan merudum lagi kerana fenomena 'January Effect' dan 'Fenomena YEWO'. Cuma masa sahaja yang akan menentukan kesan fenomena ini. Barulah pelabur runcit akan menggigit jari sedangkan para YB dan YAB sudah pun lama lari.

Ada pula bakal calon yang tidak berapa minat dengan rumah terbuka. Ia lebih minat dengan rumah tertutup. Kumpulan ini lebih memberi fokus kepada rumah bomoh, tok batin dan sami-sami serta orang pertapaan. Tidak kiralah di mana letaknya rumah tok bomoh ataupun tok batin itu, ia perlu dicari dan perlu didekati. Kalau boleh bawa Tok Bomoh itu terus ke rumah dan diberikan bilik khas untk membolehkannya menyampung pertapaannya ataupun 'munajatnya' (he,he!) mungkin. Apa juga yang diperlukan sebagai pra-syarat kumpulan ilmu ghaib (he,he!) pasti dibereskan tidak kiralah berapa harganya. Semua kehendaknya disedikan secara 'express'. Kalau dia mahu air takungan hujan daripada tujuh pokok yang sudah tumbang, ia perlu dicari dengan menggaji kaum asli yang pakar dalam hasil hutan. Saudara kita kaum asli pun bukannya bodoh lagi semacam dulu. Mereka sanggup menerima kontrek itu dengan pembayarannya dulu dan meminta tempoh seminggu untuk mencarinya. "Tempatnya jauh ke dalam, kena berjalan kaki meredah hutan dan mengikut anak sungai." Demikian canang mereka.

Cukup tiga hari, barang yang dijanjikan itu sudah pun siap. Tetapi, tanpa diketahui oleh si peminta, itulah air yang diambil dari pili sahaja. Ada yang dicampur degan tahi lembu, ada yang dicampur lumpur kematu, ada yang dicampur tanah liat dan ada yang dicampur tanah kubur. Airnya sama cuma campurannya itu yang bercampur baur.

Apabila dibawa kepada bomoh dan diceritakan betapa sukarnya mendapatkan air-air itu, bomoh menggeleng kepala tanda suka kerana dibawakan air yang dikehendakkinya. Tidak pun dia tahu bahawa air itu semuanya air tipu. Bagaimnakah dia mahu membuat penawarnya sedangkan dia sendiri mudah ditipu?

Dengan lain perkataan, proses pilih memilih yang akan berlaku dalam pucuk pimpinan parti UMNO mulai sekarang sehinggalah 29 April nanti, akan merupakan satu suasana rumah terbuka yang akan melanda sebahagian besar orang Melayu. Inilah suasana yang mencetuskan pelbagai kaedah tipu menipu, belit-membelit, dan apa juga bentuk kelentongan yang mendatangkan duit yang banyak. Kalau sejarah yang berlalu menjadi satu pengajaran, wang yang banyak akan bertukar tangan untuk menentukan siapa yang akan menganggotai majlis tertinggi parti.

Apabila bakal calon sudah main bomoh dan pawang orang yang paling teruk bekerja kuat ialah pemandu dan juga pengawal peribadi bakal calon itu. Bukannya mudah menyediakan bahan-bahan jampi serapah dan bukannya mudah berulang-alik ke rumah bomoh yang suka tinggal dipinggir hutan. Semua itu perlu disediakan dan dilakukan tanpa sebarang komplen kerana kalau menang calon itu nanti, bererti bertukarlah lagi status pemandu dan pengawal itu. Semakin banyak lagi peluang untuk membolot harta. Tidak kira itu hak rakyat jelata ataupun itu hak raja-raja. Semua yang boleh dibolot akan dibalun sama.

Bila Akar Umbi Gagal Dipukau

Kita sudah dapat lihat betapa pada kali ini akar umbi parti sudah sedar akan keadaan parti UMNO itu sebenarnya. Semakin ramai yang sedar betapa selama ini mereka dipukau untuk mempercayai bahawa parti itu adalah tunjang ketuanan Melayu. Kerana itu kita dapat rasakan betapa marahnya orang Melayu kepada pucuk pimpnan parti.

Saya pernah melihat beberapa papan tanda kepunyaan Cawangan UMNO yang dibakar oleh ahli yang amat marah ketika Saudara Anwar Ibrahim dipenjarakan. Malahan saya pernah dibawa melihat satu cawangan di mana kesan parti itu hanya terletak kepada papan tanda di tepi jalan. "Itulah sahaja yang ada pada cawangan ini", demikian kata presiden parti cawangan itu. Khabarnya semakin banyak cawangan yang dikuburkan tanpa nisannya. Kalau ini satu kenyataan, betapakah cawangan itu mengadakan mesyuarat tahunan mereka.. Betapa pulakah caranya mesyuarat bahagian dilakukan? Di manakah kuoramnya dan apakah pula agendanya? Apakah kemungkinan berlakunya keputusan mesyuarat bahagian yang dihantar ke pusat dari sebuah mesyuarat tanpa kuoram dan agenda? Bukankah itu yang pernah berlaku sejak dua tahun yang lalu?

Kita boleh manjangkakan satu pergolakan yang amat hangat akan melanda setiap mesyuarat parti. Baik di peringkat cawangan mahupun di peringkat bahagian. Satu semangat memberontak secara berparti tercetus pun sudah. Setiap mesyuarat akan dijadikan gelanggang berdebat untuk mempertahankan maruah orang Melayu. Ini yang akan menjadi soal pokok. Orang Melayu tidak boleh menantikan munculnya si Punggung Tajam, si Taik- mata-Banyak dan si Tangan-Banyak. Orang Melayu tidak lagi hairan kepada apa yang akan jadi kepada UMNO. Mereka lebih memberi penekanan kepada apa yang akan jadi kepada orang Melayu. Seperti yang kita katakan, apabila bayu datang berlagu, apakah ia membawa pesan. Apakah ia membawa amaran. Apakah bayu itu membawa satu irama agar sesuatu bangsa itu bangkit daripada tidurnya untuk membuat perhitungan akan masa depannya yang semakin kabur dan samar-samar.

Inilah dilema Melayu moden yang masih menghantui orang Melayu yang menjadi ahli UMNO. Di bahu mereka terletak satu tanggungjawab yang tidak ada pada orang yang bukan ahli parti itu. Kini mereka harus persoalkan siapakah yang patut dicalonkan dan dipilih menjadi ahli MT UMNO. Yang lebih penting lagi mereka perlu memikirkan apakah dua jawatan teratas dalam parti itu perlu dikhaskan kepada 'golongan Brahman' sehingga satu ketika mereka tidak bernyawa lagi. Untuk menentukan ketuanan Melayu dipelihara oleh orang ataupun golongan Melayu yang berwibawa semua orang Melayu dalam UMNO harus sedar akan jerat yang sudah mengena ramai pemimpin yang berwibawa. Perangkap itu akan menjerat lagi dan ramai lagi yang akan menjerit. Itulah hakikatnya hidup ini. Jerat tidak pernah lupa akan mangsanya. Apatah lagi kalau jerat itu adalah perangkap bikinan golongan Brahman ?

Jelas sudah, kalau orang Melayu mahukan satu bangsa yang bermaruah tinggi, tugas pertama yang mesti dilakukannya ialah mencalonkan sesiapa sahaja yang berwibawa menentang golongan Brahman yang celup itu. Jangan risaukan akan segala imbohan yang dijanjikan di rumah terbuka ataupun di rumah tertutup. Maruah Bangsa Melayu itu harus dijaga sebelum bangsa Melayu itu menjadi bahan sejarah sahaja.

-MT-
17.1. 2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com