Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencetus Minda 11 - Bila Guntur Datang Bertalu

Kemarahan rakyat Malaysia terutama sekali ahli akar umbi UMNO terhadap 'keputusan konsensus Majlis Tertinggi (MT) parti' semakin laju momentumnya. Walaupun konsensus MT 'mengarahkan' agar dua jawatan teratas pucuk kepmpinan tidak dipertandingkan, semakin ramai ahli parti yang mahu menentangnya. Namun kini sudah timbul tiga kumpulan yang berlainan dalam perkara ini. Ada satu kumpulan yang bersetuju dengan arahan itu, ada satu kumpulan lagi yang mempertikaikannya. Ada satu kumpulan lagi yang mahukan jawatan ketua wanita dan ketua pemuda di 'Brahman' kan pula seperti yang dibuat kepada jawatan presiden dan timbalan presiden parti.

Sebelum ini, apa sahaja yang dilakukan oleh MT Umno, reaksinya datang hanya daripada akar umbi parti. Tetapi kali ini, reaksi terhadap konsensus MT itu telah datang daripada segenap lapisan rakyat Malaysia. Ini adalah satu pembaharuan dari segi kematangan berpolitik di negara ini. Apa yang diputuskan oleh MT Umno dikira penting oleh masyarakat lain. Betapa tidak, kalau pemilihan yang dibuat oleh perwakilan seramai 2000 orang di PWTC nanti akan menentukan pucuk pimpinan negara ini, tentunya sebarang lencongan dalam ataurcara itu sudah pasti mendapat reaksi yang besar.

Bila kilat sabung menyabung

Sebaik sahaja konsensus MT didedahkan kepada media massa, kita dapat rasakan betapa reaksi para veteran UMNO telah digunakan sebagai bahan propaganda pucuk pimpinan parti untuk mengabui pemikiran rakyat. Perkara ini diperhebatkan lagi oleh komen-komen yang dirancang begitu berhemah oleh parti dan terus dicanangkan oleh media cetak serta elektronik di seluruh negara. Mereka telah mendapatkan persetujuan Samad Idris, Mustapha Jabbar, Aishah Ghani sebagai personaliti veteran yang bersepakat menyokong konsensus itu. Pendapat ini diperkuatkan lagi oleh hampir semua ketua perhubungan negeri sedangkan cawangan dan bahagian belum pun bermesyuarat. Kelantangan para pemimpin negeri yang juga menjadi ketua perhubungan itu sudah tentu menyerlahkan betapa terdesaknya pucuk pimpinan parti untuk meraih simpati akar umbi agar dua jawatan teratas itu tidak ditandingkan. Hampir semua ketua perhubungan negeri telah mengeluarkan kenyataan bahawa nama dua penyandang jawatan itu tidak akan digugat. Mereka memainkan satu silap mata untuk mengabui fikiran agar tidak ada bahagian yang akan mencadangkan calon lain daripada dua nama yang sudah dinaikkan taraf Brahman itu.

Sebagai satu muslihat (political ploy) politik, ada pula pihak yang membuat cadangan agar jawatan ketua pemuda dan ketua wanita tidak dipertandingkan juga. Semakin gamat lagi suasana berkempen sehinggakan ia mencetuskan satu suasana gelabah di beberapa tempat. Keadaan kelamkabut ini banyak timbul apabila Napsiah Omar dikatakan mahu menentang penyandang jawatan ketua wanita; Dr. Zaharah Osman, secara pertandingn satu lawan satu. Tiba-tiba muncul pula Rafidah yang membuat pengumuman bahawa dia sanggup dicalonkan bagi menandingi Dr. Zaharah. Tentunya ahli akar umbi akan menyaksikan pertarungan tiga segi dalam pemilihan ketua wanita pada tahun ini. Soalnya sekarang kenapakah Rafidah amat bertegas mahu melawan Siti Zaharah sedangkan ramai kaum wanita yang mahu beliau dicalonkan bagai jawatan naib presiden? Kenapakah Rafidah menolak pencalonan jawatan naib presiden itu sedangkan itu pun satu jawatan berprestij juga?

Rafidah sudah melenting bila mengetahui ada cadangan agar beliau bertanding jawatan naib presiden parti. Tentu ada orang-orangnya yang merasakan cadangan itu satu muslihat politik pihak tertentu yang tidak mahukan beliau bertanding jawatan ketua wanita. Pihak media pun ligat dengan pelbagai rumusan yang memberikan gambaran bahawa Rafidah mahu melepaskan dendamnya terhadap Zaharah. Yang melucukan sekali posting di internet mula galak memberikan ulasan kepada pertembungan tiga seteru dalam satu khemah politik itu. Ada yang menyebut: " ...jiwa yang tidak tenteram, perasaan yang tidak stabil, gangguan psikologi yang keterlaluan, tidak tentu arah, menjadi terlalu sensitif dan tidak dapat memastikan tindakan yang betul atau tidak. Inilah symptom mereka yang mengalamai meno*****" Demikianlah berbisanya komen beberapa posting di internet apabila tersebar meluas akan pertembungan tiga personaliti dalam kumpulan wanita itu. Rata-rata, para ahli Umno memikirkan bahawa kumpulan wanita sudah dipengaruhi badai hasad dengki dan irihati yang sekian lama memang tertanam di hati ramai pemimpin wanita Umno. Rupanya bayu kesedaran belum lagi sampai ke telinga nipis para ketua wanita itu. Melihatkan keadaan yang semakin tegang ia telah mendorong Khalil Yaakob membuat kenyataan yang dirakamkan oleh media elektronik. Khalil mahukan semua bakal calon jawatan ketua wanita agar tidak terbawa-bawa dengan ayunan emosi sehingga mencemarkan perjuangan mereka.

- Pemuda lebih lembut daripada wanita?

Kehangatan yang dirasakan dalam pergerakan wanita nampaknya tidak pula menular di dalam pergerakan pemuda. Ini terjadi apabila Hishamuddin Hussin sebagai pemangku ketua pemuda sanggup tidak bertanding merebut jawatan ketua "seandainya tercetus perbalahan besar dalam pergerakan" itu. Perkara ini mungkin bertujuan untuk mengalihkan pandangan ahli pemuda supaya tidak terlalu ghairah dalam situasi yang mungkin menegangkan keadaan. Tetapi, alangkah ajaibnya perkara ini dan alangkah peliknya sikap seorang ketua pemuda yang satu hari mungkin menjadi pemimpin ulung Umno? Rupanya kenyataan Hisyam itu telah menghangatkan suasana yang mungkin mencetuskan pelbagai tandatanya. Apakah sikap itu melambangkan semangat juang yang ada dalam dirinya yang boleh meyakinkan gerakan pemuda untuk terus menyokongnya? Apakah kenyataan itu dibuat kerana desakan dan latihan pihak dalang di balik tabir?

- Manakan boleh pokok bergoyang sendirian ?

Kedua-dua situasi yang berbeza skopnya dalam dua pergerakan yang berbeza sudah mencetuskan satu tandatanya apakah benar perjuangan dalam Umno itu sudah terbuka kepada permainan dalang ? Kita boleh lihat betapa setiap isu yang timbul dalam perjuangan individu untuk memenangi jawatan dalam parti dijadikan satu topik yang hangat. Zaharah lawan Napsiah, Napsiah lawan Rafidah, Zaharah lawan Rafidah dan seterusnya adalah satu isu yang diputarbelitkan untuk menarik minat ahli agar mengikuti perkembangan itu secara serius. Untuk mengimbangi keadaan sensasi ini maka dicetuskan pula beberapa isu dalam pergerakan pemuda agar ia terus bergolak. Kita rasakan bahawa isu yang sebenarnya kecil itu sengaja diperbesarkan oleh media massa agar orang Melayu mula membeli akhbar harian perdana, seperti dulu. Orang yang tidak memahami putar belit politik tentu memikirkan manakan pokok boleh bergoyang tanpa angin yang datang? Tetapi, angin kali ini datangnya daripada dalang yang mempunyai niat yang terselindung.

Kita boleh menjangkakan mulai minggu ini beberapa penulisan yang menarik akan dibuat dalam semua akhbar perdana dan juga tabloid yang mengejar berita sensasi. Mereka akan menyiarkan penulisan orang upahan yang akan menonjolkan beberapa personaliti dalam parti yang mempunyai impian besar untuk memenangi pencalonan dalam Majlis Tertinggi itu. Sekali lagi kita akan berhadapan dengan kenyataan-kenyaaan yang berupa nasihat daripada pucuk pimpinan parti yang akan melatah juga apabila terdedahnya penulisan itu. Contoh yang paling baik sekali ialah pendedahan Dr. Afifuddin yang disiarkan oleh 'Eksklusif' pada keluarannya yang terbaru sekali.

Menyedarai hakikat ini kita dapat jawapan pada satu tekateki kenapa kerajaan terlalu berminat mengharamkan penjualan HARAKAH secara bebas. Rupanya, pemimpin UMNO sudah menjangkakan kemampuan HARAKAH memainkan satu peranan besar yang dapat mempengaruhi para ahli UMNO dalam pemilihan calon mereka. Bayangkan kalau HARAKAH menyiarkan tulisan para analis bebas yang tidak punyai kesetian kepada UMNO dan juga pada para calon yang terbabit?

Kenyataan Khalil Yaakob yang mahukan semua calon bagi jawatan ketua wanita bertenang, menunjukkan besar kemungkinnnya isu hangat akan timbul cara lain pula. Kali ini kita akan mendengar beberapa cerita menarik mengenai nama-nama yang akan dicalonkan untuk jawatan naib presiden parti. Kemudian, bagi jawatan majlis tertinggi akan muncul pula desakan semoga pencalonan dibuat mengikut umur ahli yang ada. Tujuan isu ini ditonjolkan agar komposisi Majlis Tertinggi merangkumi perwakilan dari semua tahap umur ahli yang ada. Tetapi, agenda yang tersembunyi adalah bertujuan melemahkan perhatian ramai terhadap tekanan yang difokuskan terhadap dua jawatan kategori Brahman itu.

Bila guntur mula berdentum

Belum pun sempat ketua cawangan memanggil ahlinya bermesyuarat, Tun Ghaffar Baba telah membuat satu kenyataan akhbar yang mengejutkan. Beliau yang baru sahaja keluar daripada hospital telah membuat satu kenyataan yang mahukan dua jawatan kelas Brahman itu dipertandingkan. Beliau berpendaat kedudukan presiden dan timbalan presiden parti akan lebih kukuh jika ianya dipertandingkan dan mendapat sokongan majoriti terbanyak. Kenyataan Tun Ghaffar ini boleh diibaratkan sebagai satu dentuman guruh yang datang daripada keadaan tidak keruan dalam pergerakan parti. Inilah guruhnya yang telah muncul setelah beberapa kilat yang dicetuskan oleh beberapa cawangan yang tidak mahu akur dengan keputusan konsensus itu. Kenyataan Tun Ghafar menepati ramalan kita semalam:

...."Tetapi kini apa yang dikatakan keputusan konsensus sudah pun berani dipertikaikan. Malahan 'semangat konsensus' itu sendiri dipersoalkan, apatah lagi keputusannya."........ (Dari Yang Menjerat dan Menjerit)

Akan tetapi, bagaimanakah Ghafar sungguh berani dengan kenyataan itu. Ketika dia berada di atas katil hospital dia sudah terketar-ketar bercakap dengan suara yang amat payah betapa UMNO mesti terus memperjuangkan "satu semangat agar rakyat dapat membina Malaysia yang adil, maju dan makmur." Bagaimanakah Ghafar sanggup menunjukkan satu sikap yang membelakangkan aspirasi seorang ketua yang selama ini sanggup membantunya daripada jurang kemuflisan? Apakah membuat Ghafar berpatah balik daripada sikapnya yang amat setia kepada seorang ketua itu? Apakah dia tidak sedar akan risiko yang akan dihadapinya. Apakah dia tidak peka dengan tindakbalas yang amat pantas yang mampu ditunjukkan oleh MAHAFIRAUN seperti yang kita tuliskan?:

...." Di sinilah letaknya bisa yang terselindung dalam budaya 'individu tidak penting' tajaan MAHAFIRAUN itu. Dia sudah mencongak bahawa ada individu yang penting yang akan dikecualikan daripada budaya itu. Kerana itu dia sanggup menghambat sesiapa sahaja yang akan menghalang rencana seterusnya."......

Kita percaya Tun Ghafar mempunyai alasannya tersendiri kenapakah beliau mahukan dua jawatan kelas brahman itu dipertandingkan. Sebagai orang lama dalam parti yang telah berjasa kepada semua perdana menteri Malaysia, Ghafar mempunyai alasan yang konkrit. Dia sudah pasti merasakan UMNO kini sudah semakin tertekan. UMNO sudah hampir ke ambang kehancuran.

Ataupun mungkin Ghafar mahu berbuat jasa kali terakhir kepada parti dan golongan pemimpin pelapis supaya menyedari betapa pentingnya menyatu- padukan kembali ahli parti. Apakah Ghafar mahukan MAHAFIRAUN kembali ke pangkal jalan mengikut semangat perjuangan asal UMNO? Ataupun Ghafar sendiri sudah menepati jangkaan kita bahawa dia mahu mepastikan MAHAFIRAUN :

.......``berbuat sesuatu yang dapat merelakan pemergian roh daripada jasadnya."...... (Rujuk Siri 9).

Apakah Ghaffar sebagai seorang bendahara kepada empat Perdana Menteri sudah merasakan bahawa:

........" diktator itu tidak dapat melepaskan kata-kata yang menunjukkan keinsafan dirinya. Dia tidak dapat melakukannya kerana waktu pemergiannya adalah sesuatu yang dia sendiri tidak akan tahu. Tidak juga bayu yang sentiasa datang berlagu yang amat hampir dengan dirinya. Walaupun bayu yang berlagu itulah akhirnya yang membisikkan sesuatu ke telinga sesaorang itu agar menutupkan mata buat kali terakhirnya."....

- Hilang Kilau dalam Kilat

Kita berpendapat, kenyataan yang berani daripada Tun Ghafar akan disambut dengan gembira oleh ramai lagi ahli parti di cawangan dan bahagian. Ini akan mencetuskan sifat keberanian di kalangan pemimpin pelapis untuk bangkit menyokong saranan itu. Laksana terpetiknya suis di dinding, saranan Ghafar akan menerangi dewan pemikiran setiap pemimpin pelapis parti; baik yang bersikap opportunis mahupun pessimis. Ramai lagi yang akan cuba meloncat menaikki 'bandwagon' ini kerana mahukan keseronokan larian kereta arus perubahan yang dipacu oleh seorang ahli politik tua yang sememangnya banyak berbuat jasa kepada bangsanya.

Sekaligus, keputusan konsensus yang dicapai oleh Majlis Tertinggi di awal Januari lalu akan luntur kehebatannya. Malahan, kelantangan Ghaffar menyanggah keputusan itu akan memperlekehkan lagi kewibawaan ahli Majlis Tertinggi di mata akar umbi yang memang sudah lama jengkel dengan prestasi mereka.

Mulai esok, kita dapat menjangkakan beberapa suara lantang yang lain yang akan menyokong Tun Ghaffar. Lantas akan terpaculah satu kuda tunggangan baru yang akan membawa panji-panji bantahan beberapa puak bawahan dalam parti untuk menyanggah 'semangat perjuangan' yang dipertontonkan oleh Majlis Tertinggi itu. Oleh kerana konsensus yang dipertikaikan itu dibuat dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh seorang diktator tua, apakah impaknya kepada akar umbi parti seterusnya? Kita dapat merasakan gegaran emosi yang meluap-luap, mulai hari ini daripada akar umbi parti.

Kesimpulan

Sebagaimana yang kita jangkakan, semangat perjuangan parti sudah mula dipertikaikan. Inilah semangat perjuangan asal yang dipertontonkan oleh orang Melayu semasa menubuhkan UMNO dulu. Inilah juga semangat yang dipertontonkan oleh orang Melayu ketika episod penculikan Natrah di Singapura dan ketika maruah Melayu digugat di Kuala Lumpur pada Mei 13. Inilah dia semangat yang terpendam kerana sengaja dipendamkan sejak sembilan belas tahun yang lalu.

Semangat inilah yang telah dibayangi oleh ketaksuban beberapa ahli pucuk pimpinan parti yang amat taksub dengan agenda orang asing yang mahu memadamkan maruah Melayu. Ketaksuban yang bersalutkan ugutan bahawa Melayu akan dijajah oleh bangsa yang lebih besar telah menakutkan majoriti orang Melayu hingga sanggup akur dengan isyarat bahaya yang sengaja diada-adakan untuk menentukan tertegaknya satu dinasti kodi. Inilah dinasti haprak yang direncanakan untuk menjadi lambang ketuanan Melayu yang mengambil alih singgahsana raja-raja Melayu.

Inilah semangat asal perjuangan Melayu yang telah dipesongkan dengan penggunaan bayu yang datang berlagu. Namun, bayu tetap bayu. Ia berkisar mengikut kuasa yang menggerakkannya. Ia berputar mengikut kuasa yang menggerakkan pangsinya. Jikalau inilah semangat Melayu jatidiri yang akan diungkit dan dikembalikan dalam UMNO seperti yang disarankan oleh Tun Ghaffar Baba, bererti UMNO akan mengalami satu proses kitaran dalam perjuangannya. Ia akan mula mempersoalkan asas perjuangan di mana individu dan parti mempunyai peranan yang tertentu yang menonjolkan keunikan dan kepentingan yang tersendiri. Inilah dia semangat yang dinantikan oleh semua orang Melayu baik yang masih berada di dalam UMNO ataupun di luar prati itu. Inilah semangat yang baik dibayangkan dalam bentuk puisi:

Bila Guntur Datang Bertalu

Bila guntur datang bertalu
Angin sepoi datang berlagu
Langit enggan berwarna biru
Haiwan lari langkah seribu
Unggas terus diam membisu
Bumi gersang senyum tersipu

Sanggupkah wira berlagak sombong
Disambar kilat sabung menyabung
Menunggu suara datang mengunjung
Membawa pesan sambung bersambung
Kepada bangsa yang sedang meraung
Kepenatan keresahan dan kepedihan
yang tidak tertanggung?

Marhain Tua
18 Januari, 2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com