Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencetus Minda 12 - Setiap Dentum ada Dentamnya

Awalkata : Penulisan siri ini dianggap satu 'tribute' kepada Yang Amat Berhormat Tun Ghafar Baba.

Dentuman keputusan konsensus yang mahu menyekat pertandingan dua kerusi bertaraf 'Berahman' dalam Majlis Tertinggi UMNO sudah disanggah dengan satu dentaman dari orang yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sekaligus, sanggahan Tun Ghafar Baba itu telah memperlekehkan satu keputusan yang dipengerusikan oleh bosnya dulu. Tentunya ada sesuatu yang terpendam daripada sanggahan Tun Ghafar yang cukup bagus kerana beliau jarang berperangai menongkah arus.

Hanya seorang sahaja pemimpin UMNO yang terkenal yang pernah bersuara lantang seperti Tun Ghafar dalam masa yang terdekat ini. Beliau ialah Dato Dr. Afifuddin, seorang timbalan menteri yang telah diketepikan oleh MAHFIRAUN dalam pemilu ke-10 dulu. Hasilnya kerusi yang pernah dimenangi oleh Afifuddin kini sudah berada di tangan PAS. Afifuddin menyarankan bahawa kerusi yang dimenangi oleh BA itu adalah satu pinjaman untuk satu tempoh yang pendek sahaja. Dia yakin Barisan Nasional dapat meragut kembali kerusi yang hilang itu.

Begitu yakinnya beliau dalam hal ini. Sayangnya bosnya tidak pun mempunyai keyakinan begitu walaupun pada waktu yang lalu, Afifuddin sememangnya mempunyai sokongan kuat yang ketara di kawasan parlimen itu. Ramai orang berpendapat bahawa Afifuddin telah disingkirkan sebagai pengajaran untuknya kerana mengkritik MAHAFIRAUN secara terbuka dalam mesyuarat UMNO yang lalu.

Suasana Guruh Gemuruh

Sememennganya sejak keputusan pemilu ke-10 yang berlalu, ramai veteran UMNO sudah berani menyuarakan pendapat mereka bahawa kekalahan UMNO adalah disebabkan kepimpinan MAHAFIRAUN yang tidak lagi disenangi oleh rakyat. Sudah banyak suara yang mahukan MAHAFIRAUN mengundurkan diri secara terhormat. Mereka sering mengungkitkan betapa MAHAFIRAUN pernah berikrar bahawa beliau akan meletakkan jawatannya setiba masanya rakyat tidak lagi memerlukan khidmatnya. Tetapi, MAHAFIRUAN memang sudah berkata beliau sememangnya mahu meletakkan jawatan pada tahun 1997 lagi. Ketika itu negara sedang dilanda kegawatan makanya beliau berfikir eloklah menangguhkan hasratnya itu. Pada 1998 beliau telah 'bersedia' untuk bersara. Sekali lagi ini terbantut kerana masalah yang menimpa Daruk Seri Anwar Ibrahim. Ketika itu beliau merasakan bertanggungjawab membawa Anwar Ibarahim ke hadapan pengadilan di atas salah laku yang tidak pun dipercayai oleh rakyat sebagai sesuatu yang pernah berlaku. Kini Anwar sedang merengkok dalam penjara dan masih menunggu kes yang lain yang tertangguh disebabkan perayaan aidilfitri. MAHAFIRAUN masih lagi belum meletakkan jawatannya walaupun sudah timbul petanda betapa ekonomi negara akan aktif lagi.

Sekilas Ikan Di Air

Sejarah Melayu moden akan mencatatkan betapa seorang tua politik yang layak diberikan gelaran 'orang pendeta' dalam bidang politik bangsanya. Beliau terkenal kerana kesetiaan terhadap ketuanya. Laksana Tun Tuah yang pernah berkhidmat setia-membuta terhadap tiga singgahsana raja Melaka, si orang tua politik ini telah berkhidmat kepada lima perdana menteri semuanya. Tun Ghafar Baba demikian namanya. Orangnya gempal tidak terbayangkan oleh kata-kata. Bahasanya jelas kalau dia ceria tetapi amat pedas kalau terusik hatinya.

Saya pernah berkhidmat secara percuma selama satu purnama pada satu ketika dulu di Kinabalu. Itulah waktunya Harris Salleh sedang segak dan megah di kerusi ampuknya setelah berjaya mengalahkan Tun Mustapha dan Tun Said Keruak, yang merupakan guru-guru politiknya. Tun Ghafar dihantar menetap seketika di Kinabalu International Hotel (KIH) untuk memberi pandangan dan nasihat agar kelantangan Haris Salleh dapat diikat. Dia bertugas secara sukarela juga kerana ketika itu dia tidak pun memegang apa-apa jawatan dalam kabinet kerana ingin bersara untuk satu ketika.

Kini Tun Ghafar sudah semakin dimamah usia. Tetapi ia tidak dijamah kesewelan yang nyata sudah menghambat seorang tua yang hampir seangkatan dengannya. Walaupun si tua yang hampir sewel itu pernah berlagak begitu dalam sebuah buku yang ditulisnya di akhir alaf yang lalu. Alangkah ajaibnya putaran dunia kehidupan ini. Seorang yang hampir tenat diserang dadanya kerana satu penyakit lama yang ditanggungnya sanggup memanggil sekumpulan pemberita akhbar untuk meluahkan perasaan hatinya. Luahan hati itu bukannya sebarang kenyataan. Itulah gambaran kemarahan yang mungkin sudah lama terperam di dada dan hampir mencabut jiwanya. Itulah kenyataan yang menyanggah konsensus yang dirodokkan ke otak para ahli; dari mereka yang mendudukki Majlis Tertinggi hinggalah ke akar umbi.

"Kenapakah dia takut dan gentar bertanding sedangkan orang yang paling ditakutinya telah pun lama dipenjarakan?" demikian soal Tun Ghafar. "Lagipun siapakah ada selepas Anwar yang boleh dikatakan berkarisma seperti dia? Tidak ada sesiapa lagi," demikian kata orang tua itu.

Tun amat jengkel dengan Paklah kerana sanggup menerima jawatan timbalan presiden laksana satu hadiah. "Kenapakah Paklah sanggup menerima tawaran jawatan itu sebagai satu sedekah?" Nampaknya Tun Gahafar beralas bahasa tanpa menggunakan perkataan 'rasuah ' dalam pengagihan kuasa daripada bosnya kepada seorang kawan lama. Inilah fenomena yang mencetuskan kemarahan rakyat yang diminta berpasrah.

Tun memang amat berkeras mahukan dua jawwtan bertaraf brahman itu dipertandingkan. "Biar yang layak menang dan berhak untuk memimpin", demikian katanya. "Kalau dia menang kerana perwakilan mengundinya dengan yakin, bolehlah dia sambung kerja untuk terus memimpin. Kalau dia tidak layak bererti ada orang lain yang lebih layak."

Tun telah cuba menyorot sejarah dan memberi ingatan akan apa sebenarnya yang berlaku sejak perjuangan memerangi Malaysan Union dulu. "Dia tidak ada masa itu. Janganlah cuba mendabek dada untuk menulisnya dalam buku! Kami orang veteran UMNO yang lebih tahu". Salahkah kalau Tun Ghafar mahukan UMNO berjalan di atas landasan DEMOKRASI yang sudah lama diketepikan seolah-olah itu satu falsafah politik yang sudah basi? "Mana ada orang mahu jadi ketua sampai mati? Kalau orang tak mahu patutnya kita dulu yang angkat kaki. Bukankah kita ada maruah diri dan kenapakah kita mahu tunggu lagi? Apakah makna pentingnya seorang individu kalau orang yang membenci tambahnya beribu? Apakah maknanya individu itu penting kalau angin kemarahan ahli semakin berpusing?" Demikian caranya kesungguhan Tun Ghafar memberi pesan.

Kita mesti faham kenapa Tun Ghafar amat marah dengan keadaan UMNO masakini. Masa yang terluang baginya ketika terlantar di hospital dulu pasti telah memberi ruang untuk dia memikirkan sesuatu yang paling berharga untuk bangsanya. Seperti yang kita bincangakan semalam, Tun Ghafar tentunya sudah merasakan betapa pentingnya setiap pemimpin veteran UMNO memikirkan masadepan parti yang menjadi wadah perjuangan mereka. Ketika masih muda dan bertenaga dulu. Semoga Allah memberi berkatnya kepada seorang pemimpin tua agar terus bertenaga dan kembali sihat untuk bersua muka dengan para pemimpin pelapis bangsanya. Tidak kira apakah ideologi partinya.

Kita tahu Tun Ghafar bin Baba amat ikhlas dalam sarananya itu. Ini adalah satu semboyan yang amat bermakna kepada bangsa Melayu. Ini bukannya isyarat dari pulau yang mahukan para berlibur berdayung ke laut dan menuju pulau impiannya. Seruan Tun Ghafar Baba adalah amat bermakna kerana dia pernah berkata; "Janganlah dia bercakap pasal Malayan Union kalau dia sepatutnya bersekolah dulu akan hal itu." Tun Ghafar mahukan seseorang yang pelahap itu pergi bersekolah dulu untuk bertanding memegang jawatan yang dilahapnya itu. Memang Pak Ghafar tidak mahu orang yang suka buka temberang. Sebagai orang lama berpolitik dia amat tahu akan setiap sesuatu yang bergolak dalam UMNO. Laksana ikan yang berkilas di air dia sudah tahu "Mano satu jantan dan mano satu betino-e".

Tetapi, maaf seribu maaf Pak Ghafar. Orang tua yang anda maksudkan itu sebenarnya ada juga mempunyai ilmu untuk menengok kilas ikan di air. Baginya sekali ikan berkilas di air dia sudah tahu yang manu satu yang pondan. Itulah pengetahuannya yang paling ulung yang tidak ada pada pemimpin veteran UMNO. Itulah fahamannya kerana itulah persepsinya. Itulah tanggapannya menjadi seorang pemimpin bagi sebuah parti politik yang mempunyai keahlian seramai 2.7 juta (he.he!) orang. Kerana itu dia mahu semua orang tahu bahawa demokrasi dalam parti adalah bergantung kepada satu persepsi bahawa individu tidak penting. Yang penting baginya ialah parti. Tetapi, apakah jenis parti yang dimaksudkannya itu? Apakah itu parti yang dimaksudkan oleh semua ahli veteran UMNO yang berjuang menolak Malayan Union dulu. Apakah itu semangat berparti yang menjadi tonggak penubuhan UMNO pada 1946 dulu?

Tidak, Pak Ghafar,

UMNO yang dilihat pada hari ini adalah satu parti bikinan manusia yang berhati syaitan. Ia adalah satu parti yang dipimpin oleh seorang pelahap yang pintar bersilap mata dan yang menggunakan ilmu kelentong sebagai falsafah utama hidupnya. Kerana itu dia mahukan parti yang menggunakan nama 'UMNO' itu diterajuinya bersama segerombolan perompak yang terlatih memahami citarasanya. Di kalangan gerombolan malaon pilihan ini termasuklah manusia yang sanggup berbelanja besar untuk mengubah kedudukan tandas pejabat barunya. Sedangkan tandas itu hanya untuk dia memancut lebihan minuman dan kitaran peluh mungkin untuk sekali bagi setiap dua jam. Bagaimanakah perkara ini dapat dimengerti oleh akar umbi kalau tandas pun perlu dirujukkan kepada pakar Fengshui untuk mengetahui kedudukan yang paling serasi? Atau apakah ada pakar Fengshui yang beragama Islam yang boleh menentukan arah kiblat yang paling tepat?

- Lain hulu lain parang

UMNO yang Pak Ghafar sayangkan itu sudah lama pergi. Ia pergi ketika orang Melayu berperang sesama sendiri. Satu kumpulan mengikut Ku Li dan satu kumpulan mengikut Pak Ghafar sendiri. Kemudian orang Melayu yang mencelaru itu disatukan kembali di bawah satu parti yang dipimpin oleh seorang pelahap yang sanggup berpura-pura laksana musang berbulu ayam. Mungkin Pak Ghafar sendiri tidak sedar bahawa semangat perjuangan yang mungkin masih tertanam di dada Pak Ghafar kini tidak ada bersama orang yang sekian lama Pak Ghafar dampingi. Semangat UMNO mereka cuma tinggal pada namanya. Yang ada itu hanyalah semangat ketuanan Melayu yang baru di mana apa yang ada untuk orang Melayu adalah untuk mereka sahaja.

Pak Ghafar perlu banyak istigfar kerana masih ada satu perjalanan yang jauh lagi di mana khidmat dan tunjukajar Pak Ghafar amat diperlukan. Lain hulu, lain parang; lain dulu lain sekarang, Pak Ghafar. Orang Melayu sebenarnya kehilangan seorang pemimpin untuk membawa mereka ke alaf baru. Pemimpin yang mereka percayai masih disita dalam satu bangunan tinggi berjejari besi tanpa belas kesihan di bulan aidilfitri. Tanpa perasaan peri kemanusian terhadapnya bahawa apa sangatlah jenayah yang pernah dilakukannya sehingga memungkinkan dia terus terpenjara ?

Lawan Pak Ghafar Lawan

Kini, kepenatan, keresahan dan kepedihan yang ditanggung oleh anak-anak muda Melayu yang mahukan saudara DS Anwar Ibrahim dibebaskan merupakan satu penantian yang panjang. Hanya Pak Ghafar yang mampu membawa ubat melegakan kerinduan dan penantian yang amat panjang itu. Lawan Pak Ghafar Lawan, kami akan sebulat suara berada di belakang Pak Ghafar. Kami mahu Pak Ghafar memikirkan perkara ini:

a) Orang Melayu dalam UMNO harus menentang MAHFIRAUN secara berlandaskan demokrasi yang Pak Ghafar cakapkan. Kami akan menyokong sepenuhnya satu nama yang akan kami cadangkan pada Pak Ghafar yang amat layak dicadangkan menjadi tentangan pada MAHAFIRAUN di hari pemilihan presiden parti. Kami harapkan Pak Ghafar boleh merestui cadangan nama ini secepat mungkin agar semua cawangan di seluruh negara tahu akan nama orang ini.

B) Kami amat mengharapkan Pak Ghafar akan menjadi satu katalis sementara DS Anwar Ibrahim masih merengkok di dalam penjara.

C) Kami mengharapkan Pak Ghafar yang kami anggap sebagai arkib Melayu yang bergerak dapat mendedahkan kepada generasi muda apa yang Pak Ghafar tahu akan erti sebenarnya perjuangan orang Melayu itu. Kami mahu tahu apa yang masih lagi tersorok di ceruk kalbu Pak Ghafar hinggakan Pak Ghafar menjadi seorang insan yang penuh misteri, dan yang amat kurang difahami oleh generasi kami.

D) Hanya Pak Ghafar yang dapat mendedahkan apakah benar adanya agen asing yang mahu memporak-perandakan negara ini dan memecah-belahkan Bangsa Melayu seperti yang dikatakan bertalu-talu oleh invidu penting itu.

Esok Pak Ghafar, akan kami sebutkan nama calon kami dan harapkan dapat Pak Ghafar bantu beliau ini untuk dicalonkan sebagai penentang ulung melawan 'orang itu'.

Mendengar guntur di langit....

Siapakah yang dapat menyangka konsensus yang diumumkan oleh MT dulu boleh disanggah begitu kuat sekarang? Tetapi, sebelum Tun Ghafar bersuara lantang siapakah di antara beberapa orang ternama di Majlis Tertinggi itu yang sanggup bersuara lantang juga? Jawapannya : TIADA. Inilah satu iktibar yang perlu diambil oleh akar umbi parti betapa taksubnya para pemimpin UMNO terhadap seorang tua yang sudah amat hampir kepada tarikh luputnya. Bayangkanlah betapa kuatnya pengaruh pukau yang digunakan ke atas tidak kurang dari 30 orang insan yang hidupnya senang lenang dalam MT itu. Bukankah mereka ini yang sepatutnya memperjuangkan aspirasi ahli parti yang didaftarkan dalam 17021 (he,he!) cawangan UMNO di seluruh dunia?

Demikianlah kuasa Allah. Sepatutnya ketika konsensus itu diumumkan, sudah ada beberapa ahli MT yang begitu dihormati oleh akar umbi yang sanggup berdiri dan bersuara lantang seperti Tun Ghafar. Ini tidak pula. Mereka semuanya sanggup bersekongkol dengan keputusan yang diumumkan itu sedangkan rakyat sudah pun tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kalau beginilah caranya UMNO akan terus ditadbirkan apakah yang ada pada orang Melayu yang miskin, yang merempat di seluruh negara dan yang amat memerlukan pembelaan ke atas hidup mereka? Apakah yang boleh mereka harapkan daripada para ahli Majlis Tertinggi ini? Apakah serba mungkin pada hari pemilihan nanti suara 2000 (dua ribu) ahli yang akan mengundi untuk meletakkan seorang individu yang paling penting dalam parti di singgahsana yang dibinanya dengan airmata rakyat? Inikah yang dikatakan demokrasi di mana individu itu tidak penting dan hanya parti yang penting?

Bagaimanakah Tun Ghafar Baba yang ketika itu sedang berada terlantar di hospital sanggup kini menyanggahnya seorang diri sedangkan orang-orang yang lebih muda daripadanya sanggup akur dengan kehendak seorang individu penting ini?

Sindrom Perjuangan Zahid Hamidi

Inilah yang dikatakan, mendengarkan bunyi guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Para pemimpin yang dihormati oleh akar umbi sanggup berdiri lantang menyokong keputusan 'konsensus' itu kerana mereka sendiri takutkan kehilangan segala bentuk kemewahan yang sedang mereka nikmati. Inilah sindrom perjuangan Zahid Hamidi yang juga ditiru oleh Ibrahim Saad dalam apa yang mereka sebut sebagai "perjuangan untuk mempertahankan ketuanan Melayu di alaf baru." Sebenarnya perjuangan itu adalah perjuangan untuk mengekalkan kemewahan yang sedia ada tanpa memikirkan penderitaan rakyat jelata.

Akar umbi parti yang masih menyokong UMNO dalam pemilu ke-10 dulu tidak sampai pun 50% daripada jumlah pengundi Melayu. Inilah statistik yang menunjukkan betapa UMNO itu sebenarnya tidak lagi layak bergelar sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Dengan hal yang demikian siapakah yang diperjuangkan oleh UMNO? Raja-raja Melayu ? Tentulah tidak, dan tidak juga para ulamak Islam yang berbangsa Melayu. Jelas sekali ia menunjukkan UMNO hari ini sudah menjadi satu parti yang mengikut fahaman komunis Russia pada satu ketika dulu.

Apa Ketua UMNO Cawangan Wajib Buat?

Setiap ketua cawangan UMNO ada dibekalkan sebuah buku yang berjodol 'Apakah Ketua UMNO Cawangan wajib buat.' Buku ini telah disusun oleh Ikhwan Nasir dengan kumpulan pemikir tajaan UMNO. Buku ini bertujuan sebagai satu inspirasi untuk aktivis UMNO terutama sekali untuk para pemimpin "165 UMNO bahagian dan 2.7 juta (he,he!) ahli UMNO di seluruh dunia". Di bahagian kulit depan buku dan terletak di sudut bawah, ada ditulis "Sampai Hati Biarkan Mahathir Sendirian!".

Buku ini adalah satu buku rujukan yang bersifat "The must read" untuk semua pemimpn UMNO. Saya ingin menarik minat pembaca kepada muka saurat 56 dalam buku ini. Pada muka surat ini Datuk Najib ada disebut berkata: "Tanpa jemu-jemu, Dr, Mahathir menyentuh soal amanah, jujur, bekerja keras, bersih, cekap, bertanggungjawab serta melakukan sesuatu secara berulang-ulang sehingga mencapai kemahiran."

Demikianlah catatan buku ini yang menunjukkan betapa para pemimpin UMNO itu dipukau oleh satu pasukan khas untuk menaikkan semangat para pemimpin agar terus taksub kepada MAHAFIRAUN. Kita ingin memetik catatan pada muka surat 62 dalam buku yang sama di mana Naib Presiden UMNO itu kemudiannya memetik ucapan MAHAFIRAUN yang beliau bacakan mewakili Perdana Menteri pada bulan Mei yang lalu;

..."Sememangnya terlalu banyak perkara menarik untuk dipertimbang dan difikirkan jika anda ingin membuat perubahan pada kehidupan anda. Sebahagian daripada perkara yang hendak diputuskan memerlukan keberanian moral malah pengorbanan. Kita harus boleh menentang arus yang kuat."

Daripada catatan di buku ini kita dapat melihat betapa semua ketua cawangan dan bahagian UMNO telah dikondisi otak mereka untuk terus terpaku dan terpukau kepada apa juga yang akan dilakukan oleh MAHAFIRAUN. Maka terjawablah tekateki kenapa MAHAFIRAUN dan kumpulan pemukaunya terus menyanyikan satu lagu rindu yang berbunyi 'individu tidak penting, parti itu penting." Inilah 'kata-sakti' yan dibawa secara berulang dan yang dikirim di angin lalu. Ia sudah mampu memukau seluruh jentera pemikir parti sehinggalah bangkit seorang veteran parti daripada sakitnya dan sedar bahawa lagu yang dibawa oleh bayu itu akan mempunahkan orang Melayu.

Antara Dentum dan Dentam

Kesedaran yang dibawakan oleh Pak Ghafar merupakan jawapan kepada cetusan pukau yang dipetik oleh MAHAFIRAUN ke atas Majlis Tertinggi. Itulah yang dikatakan petik bukan sebarang petik. Hinggakan jambatan yang pernah dibakar sanggup dibina semula oleh orang yang mengaku bijak dalam hukum undang-undang. Inilah petikan yang terus memukau seorang anak raja yang sanggup mengaku dia tidak punya cukup kriteria untuk menjadi seorang menteri dalam rombakan kabinet baru.

Petik bukan sebarang petik. Ia tidak dapat memukau seorang insan yang dianggap pendeta politik Melayu. Itulah petikan yang menyedarkan pendeta itu daripada tidurnya kerana berehat selepas sakit. Lantas bangunlah pendeta itu laksana seorang tengku mahkota yang sedar dari satu petikan yang memukaunya. Kini, pendeta politik ini menjentikkan jarinya pula. Ia menjentik satu petikan yang membawa kesedaran agar bangsanya bangkit dan memikirkan perkara yang sebenarnya.

Jentik bukan sebarang jentik. Konsensus Majlis Tertinggi parti adalah laksana dentuman guntur yang membelah bumi. Tetapi, dentum guntur tidak dapat membawa kesan selagi dentamnya muncul satu irama. Dentum dan dentam harus bertikam irama. Barulah hujan turun bersama.

-MT-
19.1.2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com