Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencetus Minda 13 - Setiap Guntur adan Kilatnya

Dalam hidup kita ini, kita kerap tertipu dengan keadaan sekeliling disebabkan kurangnya pengetahuan. Tanpa pengetahuan tentulah kita percaya bahawa kilat yang berlaku di angkasa adalah satu fenomena yang tidak ada sangkut-paut dengan kemunculan guruh. Sedangkan kilat dan guruh adalah kejadian yang berlaku pada satu ketika yang sama dan disebabkan satu fenomena alam yang sungguh unik. Disebabkan cahaya bergerak lebih pantas daripada bunyi makanya kita mudah menjadi tertipu dengan fenomena ini.

Demikian juga halnya dalam dunia politik, tidak kira di mana politik itu disensasikan. Di Manila, Jakarta, Bangkok, Rangoon malahan di negara kita ini. Kepalsuan yang berlaku disebabkan kelewatan guntur bergema selepas kilat menjelma menyebabkan kita mudah terpaku dan terpukau dengan fenomena politik manusia. Inilah kelemahan manusia sejak ia kecil lagi, mudah diperdaya dengan fenomena yang sensasi dan diputarbelitkan. Perkara ini boleh terjadi disebabkan kepintaran manusia yang kelihatan seolah-olah serba tahu, sedangkan dia sebenarnya serba mahu. Apabila sesuatu wadah politik itu dimonopoli orang yang serbamahu maka tercetuslah suasana di mana manusia yang serbamahu ini akan memegang tampuk kuasa.

Inilah yang sebenarnya berlaku kepada apa yang dikatakan perjuangan orang UMNO sejak tiga puluh tahun yang lalu. Kalau dalam perkiraan umur manusia dan zuriatnya, tiga puluh tahun dikira sebagai satu generasi. Kalau diambil sejarah pergolakan orang Melayu, tiga puluh tahun yang lalu adalah merupakan bermulanya pangsi sejarah Melayu baru selepas tercetusnya peristiwa yang menyait hati yang lebih dikenal dengan peristiwa Mei 13. Inilah peristiwa sejarah yang menjadi permulaan satu episod yang panjang yang menonjolkan nama seorang insan yang pintar dan berkelulusan perubatan daripada Universiti Singapura. Inilah manusia yang berjaya menggerakkan hati seorang pejuang kemerdekaan negara untuk merelakan dirinya berundur daripada jawatannya sebagai perdana menteri pertama dan ketiga negara ini. Maka bermulalah satu era di mana pemikiran orang Melayu banyak terpengaruh dengan penulisan dan percakapan seorang doktor Melayu yang sudah bersedia mengenepikan bidang perubatan untuk bergerak cergas dalam dunia politik anak watan. Oleh kerana pintarnya dia bercakap dan cekapnya memimpin dan juga menindas secara terlindung, doktor Melayu ini akhirnya menjadi perdana menteri jua di negara ini. Bermulalah pula satu era di mana pembangunan negara dibuat mengikut acuan sendiri bikinannya yang amat taksub untuk menonjolkan negara dan bangsa Melayu agar sebaris dengan negara maju dan bangsa lain yang lebih lama berkuasa.

Kepintarannya berpolitik amat terserlah terutama sekali dalam penggunaan tenaga manusia untuk menupang kuasanya agar terus gagah. Sehingga kini sudah terlantik empat orang timbalan perdana menteri yang sekian lama menyokongnya. Yang keempat itu adalah satu lantikan baru yang tidak tentu bila pula akan digantikannya. Kerana begitulah perangainya dengan timabalannya yang tiga dulu. Semuanya terpelanting setelah pati-santan yang ada pada mereka sudah semakin kuning. Mereka pun menjadi idividu yang tidak penting.

Memang pintar perdana menteri ini. Semua timbalannya yang terdahulu telah dtungganggnya laksana 'orang Muo' menunggang kuda kepang. Dia telah berjaya menunggang mereka sehinggalah satu ketika difikirkan mereka tidak lagi berguna. Kemudian direncananya satu pesta di mana kuda kepang itu dijatuhkan tanpa orang tahu bahawa semua itu adalah muslihatnya. Semua rencana itu berjaya belaka. Melainkan apabila dia sampai kepada timbalannya yang nombor tiga. Apabila dia bersiap mahu menendang kuda kepang nombor tiga itu, dia terasa rintangan yang amat besar kerana kudanya itu mula melawan. Dia tersentak dan terkejut kerana tidak terlintas bahawa kuda kepang muda itu tidak makan diugut. Berlakulah satu episod panjang yang memungkinkah kuda nombor tiga itu masuk penjara dan menyebabkan penunggang tuanya hidup sengsara.

Kini, kuda kepang nombor empat sedang ditunggang dan sibuk menguruskan kerja sambil tuannya ke luar negara untuk merehatkan tulang dan otot. Dia mahu pulang dengan lebih tenaga dan wajah yang kurang kerepot. Tetapi, tugas yang ditinggalkan bukannya sebarang tugas. Inilah tugas negara yang berbentuk kemas-mengemas. Si tua mahukan kuda nombor empatnya menentukan jawatan dalam parti tetap tidak akan dipertandingkan kerana dia amat takut dengan pertandingan. Sebagai imbohan telah ditetapkannya juga supaya jawatan kuda kepangnya itu pun tidak ada tandingannya. Untuk satu ketika rencana besar itu nampak berjalan beres sehinggalah munculnya seorang pendeta politik yang sama umurnya dengan si tua. Si pendeta ini bangkit dan terus membangkang. Dia naik marah dan mahukan tandingan terbuka diadakan kerana itulah kehendak demokrasi. Inilah bangkangan seorang pendeta yang satu ketika dulu menjadi kuda kepang nombor dua. Demikianlah berakhirnya Babak Pertama dalam pentas hikayat Melayu moden hari ini.

Kita akan mulakan babak kedua dengan berurusan secara terbuka dengan pendeta itu tadi. Urusan ini dibuat secara terbuka kerana ia akan menentukan masa-depan bangsa kita dan generasi yang akan datang.

Yang Amat Berhormat Pak Ghafar,

A. Menepati janji yang saya tulis semalam izinkan saya menulis laksana seorang anak kepada bapanya. Hanya dengan cara itu baru ada kemesraannya tanpa memikirkan kita tersilap alah kalau tersalah menggunakan kata-kata.

Bangsa kita Melayu sekarang ini sedang berada di satu persimpangan yang amat luas dan berbahaya. Inilah satu persimpangan pancaroba yang bukan mudah ditangani dalam sehari dua. Tidak juga dalam sebulan dua ataupun setahun dua. Inilah persimpangan mencelaru yang perlu ditangani bersama oleh setiap anak Melayu tidak kira apa usianya dan di mana jua dia berada. Ia perlu direncanakan dengan begitu tertib dan hati-hati kerana sebarang langkah yang silap akan menjerumuskan bangsa ini menjadi satu bangsa yang akan merempat di negaranya sendiri. Seperti orang Kurdis di Turki, Iraq dan Iran; sedangkan semua tempat yang dikatakan mereka merempat itu pernah menjadi wilayah mereka yang lebih terkenal sebagai wilayah Kurdistan. Begitulah juga halnya dengan beberapa bangsa lain yang merempat di dunia ini. Eloklah kita tidak sebutkan nama bangsa itu kerana takut kita melencong jauh sangat daripada isu penting yang kita sedang bincangkan.

B. Kini, orang Melayu berada di satu persimpangan kerana parti politik yang selama ini menjadi tulang belakang bangsa Melayu sudah gagal dalam fungsinya untuk meneruskan semangat memperjuangkan ketuanan Melayu. Akan tetapi, disebabkan kuasa mutlak yang dipegang oleh seorang diktator tua yang memimpin parti Melayu itu tadi, kita dapati bangsa Melayu semakin menghampiri situasi yang memungkinkan orang Melayu itu menjadi setinggan di negaranya sendiri. Detik demi detik perjalanan hidup mereka, harakah demi harakah perjalanan pernafasan mereka sedang ditindas, disekat dan diperkecilkan ruang kebebasannya oleh seorang diktator tua yang amat rakus dan amat bersahaja percakapannya. Cukuplah di sini kiasan yang diberi agar tidak melampau batasan yang mungkin mencuit emosi berlebihan dalam perbincangan kita seterusnya.

Kita sekarang melangkah ke alaf baru walaupun kalendar alaf baru itu bukannya bertepatan dengan ajaran agama kita. Sebagai satu bangsa yang mahu membesar kita sanggup toleran dengan kehendak besar dunia luar asalkan maruah bangsa kita tidak tercemar. Soalanya sekarang, serba serbi penghiduapan Melayu itu sudah tercemar tanpa penglibatan orang luar. Ia tercemar kerana dicemarkan secara berhemah oleh orang-orang yang diberikan amanah oleh bangsanya sendiri. Keadaan ini semakin genting dan menekan pernafasan orang Melayu sejak bermulanya apa yagn dakatakan alaf baru.

C. Orang Melayu semakin menggelonsor keadaan ekonominya. Ekonomi Melayu yang banyak berpaksikan budaya sabsidi dan budaya makan gaji semakin tertekan. Apa juga penonjolan kemewahan di rumah ataupun di badan adalah imej sistem jual-beli secara ansuran di mana pembelian perlu dibayar secara beransur setiap bulan. Semua benda kemewahan memang tersedia ada mengikut kehendak selera si pembeli dan mengikut rentak nafsu nafsi. Inilah yang menjerut ekonomi Melayu masakini sehingga memungkinkan orang Melayu menjadi hamba kepada sistem kemewahan yang palsu tetapi amat digalakkan oleh kerajaan yang memerintah.

Harga keperluan harian semakin melonjak naik walaupun ada pelbagai institusi dan organisasi yang berjuang untuk menentukan harga yang dikatakan berpatutan. Itu semuanya laksana lakonan yang dirancangkan dan didalangi oleh orang-orang yang berpelajaran tinggi dan amat hampir dengan penegak dinasti. Semua bidang kaut-untung berlebihan telah ditaja dan dikorporatkan untuk memudahkan para kroni berkolusi. Apa lagi yang tinggal pada orang Melayu untuk menyimpan seringgit dua untuk hari tua? Apa lagi yang ada kalau pencaruman KWSP boleh digunakan untuk membeli rumah, membayar rawatan hospital dan pembelajaran anak-anak? Semua ini adalah sistem yang membelenggu orang Melayu yang makan gaji kepada satu sistem pemerintahan feudal di mana orang Melayu akan terus hidup bebas hanya pada namanya. Segala kemudahan untuk menggunakan simpanan KWSP itu akan menjadikan orang Melayu satu bangsa yang terus bergantung kepada sabsidi kerajaan yang hanya diberikan kepada orang yang sanggup menjilat institusi politik kerajaan itu.

D. Orang Melayu adalah orang yang beragama Islam. Kerja-kerja ibadat laksana 'umrah' dan 'naik haji' adalah satu tugas hidup yang amat dekat di hati mereka. Kerana itu ketika Professor Ungku Aziza mencadangkan penubuhan Lembaga Tabung Haji, ia telah diterima oleh Tunku dan Tun Razak secara berbesar hati. Setiap insan Islam yang mampu mencarum memasukkan seperenggan gajinya kepada tabung khas sebagai satu langkah untuk berjimat. Sepatutnya wang yang banyak itu dilaburkan untuk membolehkan umat Islam pergi ke Mekah dengan mudah. Tetapi, sejak tabung haji dilancarkan, harga kerja-kerja beribadah itu tidak pernah diturunkan. Laksana harga barang makanan, ia senantiasa naik sehinggakan ada penyimpan yang terbantut hasrat sucinya. Di waktu yang sama kita dapat tahu wang yang besar telah diselewengkan untuk pelaburan yang tidak menentu. Malahan ada satu ketika dulu pelaburan dibuat untuk membotolkan air syaitan di India, sebagai sejenis pelaburan bertaraf antarabangsa.

E. Semua orang Melayu sedar bahawa Allah merestui kemudahan penggerudian minyak dan gas asli di negara ini sebagai bekalan untuk rakyatnya. Harga minyak yang meningkat tinggi sepatutnya membolehkan negara mempunyai khazanah negara yang tinggi, setanding dengan Taiwan dan Singapura. Namun apa jadinya pada segala keuntungan yang tinggi itu ? Ia dilaburkan untuk projek mega yang tidak memberikan pulangan kepada modal pokoknya seperti yang dicanangkan kepada kita. Semua pelaburan yang sia-sia itu dilaksanakan hanya untuk memuaskan ego seorang diktator tua yang bermegah sebagai juara dunia ketiga.

F. Disebabkan pemborosan dan songlapan khazanah negara untuk membiayai projek mega yang tidak bermakna, negara menjadi gawat apabila diasak oleh spekulataor matawang. Kepincangan yang amat ketara dalam pengurusan kewangan negara mencemarkan maruah bangsa yang tidak mampu menangkis pencerobohan spekulator global. Sedangkan Taiwan dan Singapura yang tidak pun mempunyai hasil bumi yang kaya seperti kita, berjaya mengatasi masalah global itu. Si diktator tua tidak mahu mengaku kelemahannya. Ia lebih rela menuduh kuasa besar sebagai penyangak yang sengaja mahu sabotaj negara.

Untuk mengalihkan fokus utama rakyat terhadap kepincangan ini si diktator tua telah merencana agar timbalannya ditohmah meliwat dan berbuat pelbagai kerja yang menjijikkan. Yang sebetulnya dialah yang meliwat sistem kehakiman negara untuk membolehkan diada-adakan dalil dan bukti palsu. Akhirnya saudara Anwar Ibrahim terpenjara.

G. Kini rakyat telah bangkit mempersoalkan segala kerja kotor si diktator tua itu. Ia lebih menekan suasana keharmonian negara setelah selesainya pemilu ke-10 yang nyata menunjukkan betapa besarnya penipuan yang berleluasa. Namun, segala tipu muslihat untuk menang undi tidak dapat menjamin kemenangan mutlak kepada parti Melayu yang dijadikan wadah penipuan itu. UMNO lingkup dan hampir tersungkur di lembah kehinaan. Namun, ia telah dijadikan satu institusi yang hanya boleh dipimpin oleh seorang diktator tua ataupun klonnya.

Kini, UMNO bukan lagi menjadi parti yang mewakili orang Melayu kerana majoriti orang Melayu sudah pun melepaskannya. Masalahnya sekarang apa yang berlaku pada UMNO akan mengubah dasar kepimpinan negara ini kerana UMNO masih menjadi tunjang kepada Barisan Nasional yang memerintah negara.

H. Menyedari hakikat ini, si diktator tua terus mahu berkuasa dan menentukan jawatan presiden parti tidak ditandingkan pada tahun ini. Majoriti rakyat tidak menyetujuinya dan mahu bangkit menentang konsep yang dikatakan konsensus Majlis Tertinggi parti. Malangnya tidak ada seorang pun pemimpin parti di Majlis Tertinggi itu yang sanggup berdecit untuk menyanggah keputusan yang dimanipulasikan. Keseluruhan pucuk pimpinan parti hinggalah kepada ketua cawangan menjadi bisu serta merta dengan keputusan yang amat memalukan. Cuma penulis laman reformasi dan rakyat marhain yang berani terus mempertikaikan keputusan konsensus itu. Mereka sedar sudah sampai masanya si diktator tua itu diberi sedikit pengajaran apa ertinya demokrasi sebenarnya.

Pak Ghafar,

Semalam kita telah bincangkan betapa majoriti rakyat negara ini merasa lega dengan keberanian Pak Ghafar menyanggah keputusan MT itu. Soalnya sekarang siapa yang patut menandingi jawatan pressiden parti itu agar pemilihan secara terbuka dapat menentukan siapa yang paling layak memimpin negara.

Soalnya sekarang siapa dia kalau bukan Pak Ghafar sendiri ?

Hanya Pak Ghafar yang layak menjadi calon bagi jawatan presiden parti untuk melawan orang itu. Bukankah disebabkan perlantikannya dalam jawatan penting kabinet dulu yang membuatkan Pak Ghafar bersara untuk seketika? Percayalah Pak Ghafar, akar umbi parti akan bersatu menyokong Pak Ghafar seandainya Pak Ghafar sanggup dengan pencalonan itu secara bersyarat. Syaratnya adalah amat mudah sekali:

I) Sebaik sahaja Pak Ghafar menang pertandingan itu Pak Ghafar akan menjadi Perdana Menteri negara ini yang nombor enam.

Ii) Pak Ghafar harus bersedia melepaskan saudara DS Anwar Ibrahim dari penjara dan menguruskan pengampunannya;

iii) Pak Ghafar harus bersedia melantik beliau sebagai bakal pengganti Pak Ghafar pada satu masa yang dapat dipersetujui bersama antara wakil majoriti orang Melayu dengan Anwar;

iv) Pak Ghafar sanggup menubuhkan satu jawatankuasa bebas ataupun suruhanjaya diraja untuk mengkaji segala salah laku dan perbuatan rasuah yang sedang berleluasa di bawah pemerintahan si diktator tua itu;

v) Pak Ghafar sanggup menubuhkan suruhanjaya bebas yang sedia mengkaji segala keputusan mahkamah yang tidak adil ketika diktator tua itu berkuasa. Suruhanjaya ini juga harus mengkaji implikasi pemansuhan segala akta drakonian negara.

Antara Kilat dan Guntur

Semalam, kita telah membincangkan betapa orang Melayu memerlukan satu katalis untuk memimpin satu pergerakan yang menyedarkan MAHAFIRAUN dan orang-orangnya betapa ruginya bangsa kita dengan suasana kehidupan masakini. Kita mengharapkan Pak Ghafar akan menjadi katalis itu sehingga tercapai cita-cita ini dan terlepaslah orang yang dipernjarakan. Yang penting sekali, rakyat yang sedang resah gelisah dapat ditenangkan agar semua tenaga yang merewang sekarang ini dapat ditumpukan kepada kerja-kerja pembangunan negara secara lebih teratur. Laksana tercetusnya kilat di angkasa yang disebabkan pertembungan dua cas yang berbeza polarnya, emosi orang Melayu sekarang ini amat mudah tercuit dan meledak laksana dentuman guntur yang menakutkan.

Emosi yang tercuit daripada pemikiran yang sentiasa merewang, mengakibatkan ledakan ganas yang mungkin tidak dapat ditahan lagi. Inilah yang saya cuba tenangkan setiap hari melalui penulisan yang berkias dan kadangkala dianyam dengan kata-kata berpuisi. Sebagaimana yang Pak Ghafar sendiri faham ledakan emosi yang timbul laksana kemunculan guntur, hanya terpadam setelah berlakunya pertembungan yang mengerikan. Inilah fenomena bedilan petir yang kita cuba elakkan, Insya Allah.

Apa Ertinya Satu Keinsafan

Di dalam Api dan Bara kita ada membuat kiasan akan apa ertinya satu kemaafan yang sedia menghantui setiap insan yang sudah menghampiri kemaghriban usianya. Kemaafan amat diperlukannya untuk memudahkan perjalanan roh daripada jasadnya satu hari yang dia sendiri tidak tahu akan ketibaannya.

Seperti itu juga setiap insan yang sedang meniti hari-hari senja-usia itu harus mengerti apa erti keinsafan. Ia adalah satu cetusan emosi yang sekian lama tertambat disebabkan kealpaaan ataupun keangkuhan.Menyedari hakikat ini membolehkan setiap insan akur kepada proses kadaq dan qadar yang menjadi salah satu tiang Iman anutan agama Islam. Lantas cetusan rasa keinsafan itu memberikan satu pengajaran betapa pentingnya sesaorang itu mengikis perasaan hasad dengki, cemburu tidak menentu dan pemikiran ganas yang sentiasa merewang yang membolehkannya dihasuti syaitan.

Keinsafan adalah satu kesedaran yang dituntut oleh Islam. Keupayaan kita insaf dengan diri kita menyerlahkan keangungan Allah yang maha esa. Maka dari situlah kita sedar betapa kerdilnya kita ini walaupun ketika kita muda dan bergaya kita mampu memetik jari dan membuatkan insan lain berlari laksana lipas kudung ke mana sahaja yang kita arahkan. Apabila timbul keinsafan yang jati maka timbul pula desakan untuk kita menebus dosa yang ketara.

Dengan segala rendah diri biarlah saya katakan, kesediaan Pak Ghafar menerima cabaran menentang MAHAFIRAUN bagi jawatan Presiden parti UMNO adalah satu cara berjihad yang dapat menebus dosa yang ketara yang mungkin Pak Ghafar lakukan di masa dulu. Kita tahu betapa besarnya risiko yang akan Pak Ghafar hadapi yang memungkinkan terbabitnya beberapa ahli keluarga Pak Ghafar secara tidak disangka-sangka. Ini mungkin merupakan satu proses penderaan yang akan menakutkan Pak Ghafar untuk menerima cabaran ini.

Tetapi, kalau kita percaya dengan kadaq dan qadar, kita harus bersedia menyahut cabaran itu tanpa curiga betapa tingginya risiko yang akan mendatang. Itu adalah sebahagian daripada jihad yang tidak ternilai oleh akal manusia. Berjihad ke jalan Allah adalah suatu fitrah bagi insan yang bertaqwa.

Antara Kilat dan Kilau

Sebenranya Pak Ghafar di alaf baru ini orang Melayu sepatutnya bersatu untuk menjadi satu bangsa yang lebih maju dan besar. Kemajuan yang dimaksudkan berupa keupayaan kita maju dalam menimba ilmu baik untuk kegunaan di dunia mahupun di akhirat.

Disebabkan ketidak-upayaan melakukan sesuatu yang penting itu makanya kita masih terumbang-ambing. Kita dilekakan oleh bangsa sendiri sebagai satu muslihat oleh segolongan manusia yang rakus yang mahu menerajui ketuanan Malyu. Kerana itu orang Melayu sentiasa kelamkabut hidupnya kerana otaknya yang kerap mencelaru.

Sepatutnya masa yang ada untuk Pak Ghafar dicurahkan untuk penulisan memoir, autobiography dan biography. Bukannya untuk menyanggah keputusan yang songsang. Itu adalah kerja golongan yang muda. Di waktu yang sama golongan muda Melayu sepatutnya diberikan ilmu pengetahun yang berguna untuk melayari kehidupan di dunia. Sebagai contoh, bayangkanlah betapa ramai pelabur Melayu ynag tersepit di pasaran saham ketika merudum sekarang ini. Kalaulah ada orang yang sanggup memberitahu bahawa pasaran saham akan terus merudum disebabkan gerhana purnama yang akan berlaku pada Januari 20-21, sudah tentu ramai orang Melayu yang sanggup memeram wang mereka daripada membeli saham yang tinggi harganya. Tetapi apakah yang dikatakan oleh TV. Bukankah peroses 'pengambilan untung' kata mereka yang membuatkan indeks merudum ?

Inilah masalah kita Pak Ghafar.

Kita ketandusan satu katalis untuk menggerakkan bangsa kita secara rasional dan berhemah. Mungkin, kesediaan Pak Ghafar menerima cadangan di atas tadi akan merupakan satu langkah kita yang berani jua.

Seperti yang kita maklum, setiap guntur ada kilatnya. Akan tetapi, Pak Ghafar, guntur tidak akan berdentum-dentam tanpa kilauan kilatnya.

-MT-
20.1.2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com