Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 14 - Di Malam Bulan Purnama

Awalkata : Untuk merakamkan tibanya bulan mengambang pada malam ini dan malam esok kita akan bincangkan sedikit hal bulan sebagai merehatkan otak daripada terlalu membincangkan hal politik. Secara kebetulan pula bulan mengambang pertama di alaf baru ini akan disambut dengan satu gerhana bulan pertama kali juga pada tahun ini.

* * * * *
Gerhana bulan berlaku apabila bulan beredar mengikut orbitnya yang melalui satu ruang kegelapan yang berada betul-betul di belakang kedudukan bumi. Gerhana bulan boleh menjadi gerhana penuh (penumbral) ataupun gerhana kurang penuh (partial eclipse). Pada 20 Januari, 2000 satu gerhana bulan yang bersifat 'penumbral' ataupun gerhana penuh dijangka berlaku. Kali ini gerhana akan kelihat jelas di sebelah petang di benua Amerika (Amerika Utara dan Amerika Latin) dan juga Canada. Peristiwa ini juga dapat kelihatan di Eropah Barat pada pagi Januari 21.

Kita di Malaysia tidak akan melihatnya lansung. Tentunya gerhana ini menjadi satu pengalaman kepada warga Malaysia yang berada di Amerika, di Eropah dan di Afrika.

Gerhana bulan dapat dilihat ketika bulan mengambang penuh dan ketika bulan bergerak memasukki ruang gelap bumi. Ruang gelap bumi ataupun bayangan bumi ini sebenanrya berbentuk dua kon yang bertindih kedudukannya. Kita tidak akan bincangkan segala ciri-ciri teknikal yang mencetuskan kewujudan gerhana. Memadai kalau kita catatkan di sini betapa bulan mengelilingi bumi setiap 29.5 hari dan selalunya masuk dalam ruang bayangan bumi samada di bahagian utara ataupun barat yang tidak memungkinkan kejadian gerhana. Akan tetapi, sekali sekala bulan akan bergerak menerjah bayangan bumi itu yang menyebabkan berlakunya gerhana.

Pada kali ini, gerhana bulan akan berlaku selama tiga setengah jam. Adalah dijangkakan proses gerhana penuh akan memakan masa 77 minit sahaja. Oleh kerana tidak ada aktibiti ledakan gunung berapi dalam waktu yang terdekat adalah dijangkakan warna bulan pada kali ini merah kekuningan di sepanjang 77 minit itu. Adalah dijangkakan gerhana ini dapat dilihat pada waktu 8.44 malam mengikut Pacific Standard Time. Ini adalah bersamaan dengan 4.44 pagi mengikut GMT. Kita di Malaysia dan juga di gugusan kepulauan Malayu tidak akan dapat menyaksikan gerhana ini kerana permulaan gerhana hanya akan kelihatan di sebelah barat Latin Amerika dan peringkat akhirnya akan kelihatan di bahagian angkasa benua Afrika. Mungkin disebabkan perkara ini makanya kita lihat tidak ada akhbar tempatan yang menerbitkan sesuatu menarik berkenaan gerhana ini. Namun sesiapa yang berminat menyaksikan kejadian gerhana kali ini bolehlah membuka website: //eclipse.span.ch/total.htm. Kita akan berupaya melihat proses gerhana ini secara tertunda lima minit siaran lintas lansungnya.

Kita di Malaysia hanya mampu menyaksikan gerhana bulan penuh pada Julai 16, 2000. Gerhana penuh ini dijangkakan berlaku selama 1 jam dan 47 minit. Ini merupakan gerhana penuh yang paling lama sejak 140 tahun yang lalu (1859).

Pentingnya Gerhana Bulan

Secara kasar gerhana bulan adalah satu fenomena yang berlaku untuk menunjukkan kebesaran Allah. Kerana itu ada beberapa ajaran dan amalan yang telah diatur oleh junjungan nabi kita (saw) setiap kali berlakunya gerhana bulan. Jikalau kita buka Kitab Shahih Bukhary, kita akan dapati pelbagai pengajaran yang bersangkutan gerhana bulan dan juga mentari. Dari pengajaran itu kita akan sedar betapa gerhana adalah satu kekuasaan Allah yang perlu diambil ingatan oleh hamba-hambanya.

Bulan Purnama

Mengikut fahaman orang-orang tua, malam bulan purnama adalah malam di mana bulan penuh yang berada pada malam ke-14 dan ke-15. Inilah yang dikatakan 'malam dahsyat' ataupun 'malam hebat' oleh para golongan yang serbatahu. Pada malam beginilah manusia dikatakan bertukar haluan. Kalau di sebahagian setengah bulan pertama itu dia buas, di bahagian setengah terakhirnya pula dia akan menjadi tenang.

Orang Melayu banyak mengetahui pergerakan bulan melalui kajian saintifik yang dipelajari daripada barat ataupun daripada ilmu falak. Tetapi, kesan kepada manusia disebabkan pertukaran pergerakan bulan tidak pun ditulis secara meluas. Kerana itu pengetahuan mendalam mengenai kesan-kesan itu hanya diketahui secara ajaran lisan yang diturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang mendatang.

-Pentingnya Pergerakan Bulan

Setiap gerak langkah orang Islam adalah bergantung kepada pergerakan bulan. Malahn kalau kita lihat pepatah Melayu, banyak pepatah yang menggunakan perkataan bulan menunjukkan sesuatu yang mengenai masa dan perubahannya. Pepatah seperti 'masuk bulan', 'naik bulan', 'dimakan bulan'. Awal bulan. Hujung bulan, akhir bulan dna pelbagai bulan lagi. Kerana itu kita dapati banyak sekali irama lagu yang baik-baik yang dikaitkan dengan bulan. Malahan kalau kita selidikki lagu kebangsaan kita yang kini diberi nama 'Negaraku' kita akan ketahui bahawa pada asalnya iramanya itu adalah diambil daripada sebuah lagu lama yang tidak diketahui siapa penggubah asalnya. Nama lagu itu ialah ' Terang Bulan'. Apabila Tunku Abdul Rahman mahukan satu lagu kebangsaan negara, beliau telah mengambil keputusan mengubahsuai irama lagu 'Terang Bulan' dan mengharamkan lagu asal itu daripada dimainkan di khalayak ramai. Sebenarnya 'Terang Bulan' berirama keroncong adalah satu lagu yang sungguh mempersonakan. Cuma, kini setelah dijadikan lagu nasional dan rentaknya diubah kepada gerak 'march' (kemudiannya ditukar pula kepada rentak cepat), ia membawa satu semangat yang lain pula.

Memang orang Melayu amat terpesona dengan bulan. Kerana itu setiap lagu yang mengandungi perkataan bulan menajdi satu lagu yang 'top' sekali. Ada satu lagu yang dinyanyikan oleh arwah Tan Sri P. Ramlee yang berjodol 'Kau Laksana Bulan'. Ia sungguh menggiurkan dan menaikkan bulu tengkok bagi orang muda. Tetapi, sedarkah kita ada kalanya pepatah yang mengaitkan kecantikan wajah sesaorang wanita kepada wajah permukaan bulan tentunya tidak tepat? Kita tahu permukaan bulan bergunung ganang dan menggerutu seperti muka P. Ramlee yang banyak jerawat batu pada satu ketika dulu. Yang dikaitkan pada kecantikan itu ialah cahaya yang dipantulkan oleh bulan setelah menerimanya daripada matahari.

- Tabiat Manusia dan Pergerakan Bulan

Kalau kita perhatikan sekeliling kita, akan jelas terbayang betapa manusia dan binatang berubah perangai ketika bulan menghampiri malam purnama. Manusia yang kita ketahui mempunyai 'skru yang longgar' boleh menjadi ganas secara tiba-tiba. Malahan kalau kita perhatikan binatang peliharaan seperti kucing dan anjing mereka pun berubah perangai ketika bulan purnama. Kerana itu sesiapa yang memelihara anjing jenis 'Routeweilla' amat takut dengan anjing peliharaannya ketika bulan purnama. Ini adalah disebabkan baka anjing jenis ini yang datang daripada kacukan anjing dan serigala.

- Tabiat Anjing dan Kucing

Di Eropah ramai manusia yang memelihara anjing untuk memanaskan badan mereka di waktu tidur. Ini adalah amalan yang mereka mulakan selepas perang dunia ke dua dulu. Ketika itu banyak bangunan yang pecah dan tidak bertingkap. Keadaan ekonomi yang teruk tidak mengizinkan mereka membeli kayuapi untuk memanaskan bilik tidur. Jadinya mereka pelihara anjing dan galakkan anjing itu tidur bersama mereka di bahagian kaki. Cara ini kepanasan badan anjing itu memanaskan badan mereka juga. Apabila kos memelihara anjing naik mendadak, mereka mula berubah dengan memelihara kucing pula. Kucing kegemaran mereka ialah kucing Parsi kerana bulunya yang lebat. Kucing peliharaan ini digalakkan tidur di atas dada untuk menjadi pemanas badan. Mereka telah perhatikan betapa kucing jenis Parsi kerap terlebih aktif apabila bulan mengambang.

Kita di Malaysia memelihara anjing dan kucing bukannya untuk tujuan yang dilakukan oleh orang putih. Kita pelihara anjing sebagai 'penjaga rumah'. Itu tujuan asalnya dan pada satu ketika dulu pemeliharaan anjing adalah satu 'novelty' yang menggambarkan kecanggihan hidup setara dengan kegemaran orang yang menjajah kita. Kemudian, bila orang putih mula pelihara kucing ramai pula orang kita yang memeliharanya. Ada yang memelihara kucing sampai berpuluh ekor, terutama sekali apabila mendapat hadiah istimewa daripada syarikat yang membekalkan makanan kucing. Pemeliharaan kucing menajdi satu 'novelty' pula bagi orang Melayu kerana terikut-ikut dengan budaya yang dianjurkan itu. Ada yang ke hulu ke hilir dengan beg khas untuk mengangkut kucing kesayangan. Doktor haiwan pun menjadi popular kerana setiap kali kucing mendengus ia perlu dikejarkan ke klinik haiwan untuk rawatan. Harga ubat dan pemeriksaannya bukannya murah, malahan ada kalanya lebih mahal daripada kos perubatan manusia.

Lima tahun yang lalu pemeliharaan kucing menjadi satu trend yang diamalkan oleh oraang Melayu kelas atasan kerana mereka memang tidak punya pilihan lain kerana kekurangan idea macam mana hendak menghabiskan wang berlebihan. Tetapi mereka lupa bahawa kucing adalah sejenis binatang yang dikatakan mampu mengubat penyakitnya sendiri. Kalau tidak percaya tanyalah doktor veterina di zoo negara. Kerana harimau pun sejenis kucing juga. Itu sebabnya orang putih kata :"A cat has nine lives". Malahan pernah dilakukan satu kajian bagaimana seekor kucing yang dicampakkan pada bangunan yang tinggi mampu mendarat di tanah tanpa sebarang kecederaaan.

Setiap kali seekor kucing merasakan tidak sedap badan dia akan mencari rumput dan herba yang sesuai untuk dikunyah ataupun dimakan. Dari situ dia dapat mengubati dirinya yang kurang sehat.

Minat orang Melayu terhadap pemeliharaan kucing hanya meluntur di pertengahan tahun sudah apabila tersebar berita betapa makanan kucing yang diimpot dan ditulis 'HALAL' dikotaknya itu sebenarnya tidak halal. Rupanya makanan binatang itu adalah lebihan daging khinzir yang diadunkan dengan bahan makanan yang lain.

- Kesan Bulan Mengambang pada kehidupan laut

Fenomena bulan mengambang juga menjadi panduan kepada para nelayan dan juga tuanpunya kedai-makan di seluruh dunia. Ketika itu segala kehidupan laut menjadi lebih berisi. Ketam akan berisi dan mengeluarkan telur. Siput dan kerang akan mudah membesar dan lebih isinya. Akan tetapi, pergerakan angin ketika bulan mengambang adalah amat berbahaya pada kapal kecil kerana putarannya kerap sangat berubah. Ketika inilah para nelayan terpaksa rapat di antara satu dengan yang lain untuk mengurangkan risiko kapal mereka dilambung ombak dan terbalik. Tetapi, ada kalanya angin akan mati dan membuatkan perahu layar tidak pun dapat bergerak. Inilah keajaiban dunia dan kuasa Allah semata-mata.

* * * *

Saudara sekelian,

Sempena bulan mengambang pertama di tahun baru ini dan bertepatan pula dengan gerhana bulan pertama di alaf yang baru, saya mengajak saudara memikirkan beberapa keadaan hidup di sekeliling kita.

- Orang Melayu pergi ke bulan ?

A. Setiap kali bulan mengambang tentu kita teringatkan kejayaan manusia bernama Neil Armstrong yang menjejakkan kakinya ke permukaan bulan. Saya pernah menulis perkara ini dan mengkaitkan betapa NASA pernah menghantar monyet dahulu ke bulan sebelum menghantarkan Neil Armstrong. Kita pernah bincangkan betapa monyet itu datangnya dari Bangi dari satu kawasan yang kini dibersihkan dan membesar. Inilah asal usul tapak Universiti Kebangsaan, Bangi. Yang menangkap monyet Bangi dulu adalah orang Melayu dan yang mengekspotnya ke Amerika adalah orang China. Mungkin pemandu lori ketika itu orang bukan China atupun bukan Melayu.

Soalnya sekarang, kalau monyet Malaysia boleh ke bulan bilakah agaknya seorang anak Melayu dapat menjejakkan kakinya ke bulan?

B. Kira-kira empat puluh tahun dulu orang Melayu yang pergi belajar di sekolah Inggeris datangnya daripada kampung dan desa. Kebanyakan mereka terpaksa bangun pukul lima pagi dan mula berjalan kaki ke jalanraya ataupun jalan besar untuk menunggu bas sekolah yang akan membawa mereka ke bandar. Perjalanan memakan lebih kurang dua jam sebelum sampai ke sekolah. Mereka ke sekolah berbekalkan nasi yang dibalut dengan upih pinang. Ketika itu tidak ada pelastik bungkus ataupun 'aluminium foil' untuk dijadikan pembungkus makanan. Tidak ada juga wang saku kerana ibu bapa mereka kebanyakannya pekerja kampung ataupun bergaji kecil yang hanya cukup untuk makanan seharian.

Kini, tahun 2000, anak-anak bandar samada di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh dan Alor Star kena bangun pagi jam lima juga. Naik bas sekolah yang akan tiba ke sekolah sebelum pukul 7.30 pagi. Kalau si anak itu kena bersekolah petang, dia kena bersiap sedia jam 10.30 pagi untuk sampai ke sekolah jam dua belas tengah hari. Perkara ini berlaku kerana sekolah kita masih mengamalkan sistem dua persekolahan dalam satu bangunan. Keadaan yang sama berlaku juga di kampung-kampung tetapi tidak terserlah sangat kerana anak-anak di kampung lebih selesa mengayuh basikal pergi ke sekolah mereka. Lagipun lebih menjimatkan. Anak-anak bandar membeli basikal hanya untuk dikayuh di waktu kelapangan. Ibu bapa tidak yakin akan keselamatan mereka berbasikal ke sekolah.

Kesesakan di sekolah bandar amat jelas apabila hari Jumaat. Sekolah sebelah pagi tutup awal untuk membolehkan murid yang beragama Islam pergi sembahyang jemaah. Tetapi di waktu yang sama sessi sekolah petang pun dilewatkan untuk tujuan yang sama. Soalnya sekarang anak-anak yang sepatutnya berada dalam bas untuk pulang terpaksa menunggu kedatangan bas yang kebanyakannya dipandu oleh orang Islam juga. Kemanakah anak-anak sekolah ini pergi? Ramai yang merapu tidak tentu hala merokok, bermain video dan berjudi secara virtual casino. Semua ini berlaku tanpa pengetahun ibu bapa.

Soalnya sekarang kenapakah kita masih mendera anak-anak sekolah dua sessi selepas 43 tahun kita merdeka? Di negara barat tidak pun ada sekolah dua sessi. Tetapi kita amat bangga dengan segala projek mega tanpa memikirkan betapa perlunya wang itu untuk membuat lebih banyak sekolah lagi dan menyediakan bas sekolah secara percuma kepada setiap sekolah agar tambang bas boleh dikurangkan.

Empat puluh tahun yang lalu, buku sekolah boleh di pegang dengan satu tangan. Kini, anak-anak kecil perlu menyangkut beg sekolah di belakang. Ada pula anak-anak yang terpaksa meletak tali beg di dahi seperti orang Tibet dan orang Nepal mengangkut kayu api. Apakah disebabkan masalah ini makanya MAHAFIRAUN melantik dua senator untuk menjadi menteri pendidikan ? Walaupun dulu kita hanya menggunakan papan batu, kita tidak pun berminat menghisap rokok dan membuat kerja-kerja yang mengikut perangai hantu. Tetapi kini, dengan pelajaran melalui radio dan TV serta projek video dan Kelas Motivasi, anak-anak kita sudah pandai buat kerja yang kita sendiri masih belum selidikki. Anak-anak kita sudah lebih matang sehinggakan mereka tahu banyak benda di sekolah tinggi apa yang kita belajar hanya selepas keluar daripada universiti. Apakah ini yang dikatakan sistem pelajaran berdemokrasi?

C. Dulu, selepas sekolah pagi kita berjalan kaki ke sekolah agama yang ditaja oleh orang kampung. Kita belajar mengaji dan fardu ain. Ada juga kita belajar fardu kifayah. Kini anak-anak kita mempunyai guru agama di sekolah kerajaan. Mereka belajar agama juga tetapi mereka digalakkan agar tidak melihat bulan. Bila tiba di rumah kita tanya kenapa ? Anak-anak jawab, "Che'gu kata tak payah!" Bila kita selidikki secara diam-diam barulah kita tahu kerajaan tidak mahu anak kita taksub pada benda-benda yang menonjolkan bulan. Benda yaag menonjolkan keris tidak mengapa.

D. Satu ketika dulu, masyarakat guru adalah satu masyarakat manusia yang paling dihormati oleh orang Melayu. Malahan status yang diberikan kepada para guru adalah sama dengan status yang diberikan kepada imam, khatib dan khadi. Kalau kita berbasikal dan ternampak guru datang dari hadapan kita ada anak muraid yang sanggup melencong dan menyorok diri dalam hutan rimba untuk seketika. Begitulah hormatnya anak-anak murid. Hormat itu timbul kerana guru yang cukup berdedikasi. Sebalum kita mendengar perkataan daripada mulut mereka ibubapa kita sudah menyerahkan sebilah rotan saga kepadanya sebagai simbol menyerahkan nasib punggung kita pada hayunan rotan itu. Kini, hormat serupa itu sudah tidak ada lagi kerana peredaran masa dan peredaran jangkaan hormat manusia. Ramai guru yang kerap ponteng kerana memberikan perhatian kepada masalah politik. Ada juga guru yang kerap gian menghisap dadah dan mengharapkan anak murid pergi membelinya. Inilah yang dikatakan dulu lagi: Bila guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Memang pandai pendeta dulu. Mereka semacam sudah lama tahu perkara begini akan berlaku.

E. Kebanyakan anak murid sekolah berasrama dulu adalah mereka yang ibubapanya bertugs sebagai askar ataupun polis. Peluang anak-anak bersua muka dengan ayah mereka hanyalah di waktu sekolah bercuti ataupun pada musim beraya ataupun ketika ayah pulang ke rumah sebagai jenazah. Nasib anak-anak banyak bergantung kepada kawalan guru asrama dan bantuan rakan yang lebih tua. Anak-anak jenis ini membesar dengan kudrat Ilahi dan jatidiri yang membara. Kini mereka berada dipelbagai posisi pemerintahan kerajaan ataupun dalam sektor swasta. Anak-anak mereka inilah yang sedang membesar dan ditanamkan semangat juang yang sama.

Di sebaliknya pula dengan munculnya beberapa sekolah asrama swasta yang elit dan berjenama, ramai anak-anak orang berada yang dibesarkan laksana mereka itu lahir di istana. Ada yang membesar di negara luar dan pulang ke negara ini tanpa pengetahuan agama yang sebenar. Oleh kerana mereka datang daripada kelas ningrat ataupun hampir menyerupai kelas berahmin, amatlah mudah mereka mendapat jawatan yang baik-baik dalam kerajaan. Mereka cepat naik sebagai pemimpin sedangkan jiwa mereka kosong utnuk memahami perjuangan bangsa di zaman dulu. Kerana itu mereka tidak faham apa sebenarnya makna ketuanan Melayu.

Demikianlah sedikit kisah untuk menjolok pemikiran kita yang mungkin menjadi ilham di waktu bulan mengambang. Setidak-tidaknya kita perlu mengingati asal usul kita untuk menyedari kegigihan generasi lama mempertahankan negara dan memperjuangkan semangat ketahanan ketuanan Melayu. Apakah yang patut kita lakukan. Apakah kita akan terus berkhayal seprti lagu " Bulan mengambang, Pak Ngah lah yang balik. Ala.............hai, sayang?"

Itukah jadinya nasib kita kalau Pak Ngah terus terpenjara oleh seorang diktator tua?. Tak mungkin perkara ini akan dibincangkan oleh orang yang berkuasa sedangkan mereka sedang sibuk untuk menentukan siapa di kalangan mereka yang akan terus berkuasa.

Inilah demokrasi orang Melayu. Tidak cukup dengan kedudukan ahli dewan senat yang tidak pun dipilih oleh rakyat melalui peti undi. Sekarang pucuk pimpinan UMNO pun akan ditentukan tanpa peti undi. Apakah nasib kita seterusnya ? Apakah kita perlu bersabar sehingga Julai 16, 2000 ? Akan berulangkah nanti sejarah yang baru berlaku di Indonesia selepas kemenangan Soharto dulu? Bukankah Soharto tumpas akhirnya lima bulan selepas memenangi pemilu di Indonesia dulu ? Kalau pemilu ke-10 mengisytiharkan kemenangan pada UMNO dan BN pada 29.11. 1999 apakah serba mungkin pemerintahan di negara ini bertukar wajah sebelum munculnya gerhana bulan penuh yang akan dapat kita saksikan itu?

-MT-
21.1.2000

(Sempena Gerhana Bulan pertama)




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com