Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 15 - Terang Bulan Menyinari......

Saya merasa bangga apabila penulisan saya mengenai asal-usul lagu 'Negaraku' telah diperbetulkan oleh Webmaster RPN. Beliau telah membuat pembetulan dan mencatitkan sebagai nota-kaki kenyataan berikut:

"Catatan RPN: Irama lagu 'Terang Bulan' atau 'Trang Bulan' telah terlebih dahulu dijadikan lagu rasmi Negeri Perak Darul Ridzuan dan digunakan hingga kini - sebelum dijadikan irama bagi lagu 'Ngaraku'. Mengikut sejarahnya lagu 'Trang Bulan' telah dibawa ke Negeri Perak oleh Raja Abdulah daripada Kepulauan Sychelles di mana Almarhum menjalani hukuman pembuangan negeri oleh Kerajaan British).

Saya amat berterima kasih kepada Webmaster(s) RPN akan trambahan ini. Sebenarnya saya telah pergi ke Sychelles beberapa tahun yang lalu untuk melihat sendiri kesan sejarah orang Melayu. Saya singgah ke situ setelah menjejakki pelayaran Raja Abdullah itu yang dikatakan singgah di Pulau Madagascar. Insya Allah ada masanya nanti kita akan bercerita akan pengamatan saya itu sehinggalah catatan yang panjang lebar akan perkembangan budaya Melayu di kepulauan tersebut hinggakan ia menular ke tanah besar benua Afrika.

Mungkin secara kebetulan catatan RPN memberkan saya satu motivasi untuk menulis berpandukan semangat baris pertama lagu Terang Bulan itu yang kalau dipenuhi adalah berbunyi 'Terang bulan menyinari alam maya'. Tetapi untuk tujuan tajuk penulisan saya letakkan titik-titk (dot-nya) bagi tujuan tertentu untuk kita ulas di akhir penulisan ini.

2. Ekonomi Negara yang Mencelaru

Saya merasa terpanggil menulis berdasarkan penlitian Polong Cyber daripada Mindarakyat 2. Beliau telah memberikan beberapa contoh yang baik bagaimana sesorang pegawai kerajaan yang hidup tertekan semata-mata untuk hidup. Tulisan di bawah tajuk 'Kegagalan Dasar Kerajaan BN membimbing Ekonomi Negara' dirujuk sebagai pencetus minda bahagian penulisan ini.

Saya pernah menulis di bawah tajuk Rumah Untuk Setiap Rakyat, berdasarkan apa yang saya lihat di Switzerland. Di sana kita tidak dapat melihat anak watannya yang merempat di rumah setinggan. Malahan para pendatang asing yang bekerja kontrak di negara itu pun mempunyai rumah yang selesa untuk mereka berlindung dan sewanya pun disediakan oleh para majikan mereka. Kerana itu setiap rakyat jati negara itu mempunyai rumah mereka sendiri yang dijual dengan harga yang berpatutan. Tetapi di negara ini kalau seorang pegawai kerajaan mengambil pinjaman rumah berdasarkan 4% faedah tahunan untuk 25 tahun, berereti dia akan membayar tiga kali harga rumah beliannya itu. Oleh kerana sebuah rumah perlu penyeliaan setiap 10 tahun (kalau dihuni oleh si pembeli) ini juga bererti orang berkenaan perlu berbelanja besar sepanjang waktu rumah itu masih dicagarkan kepada kerajaan. Kalu rumah itu dibeli daripada pemaju perumahan besar kemungkinannya di akhir 25 tahun rumah itu perlu dibaik pulih dari segi penggantian atap, struktur bumbung, tangki air. zinc yang sudah bekarat, paip air yang semakin tersumbat, cat luar dan dalam, dan beberapa struktur binaan yang terdedah kepada panas dan hujan.

Sebenarnya pada tahun 1975 lagi saya pernah menulis pada sebuah badan kerajaan memberikan pandangan kenapa harga rumah untuk rakyat harus diturunkan harganya. Ketika itu harga rumah murah adalah di tahap RM25,000. Mengikut kajian saya ketika itu kos sebenar membina rumah tidak pun melebehi RM7,000. Ini bererti tambahan 18,000 (waktu itu) yang dikenakan berupa kos tanah dan perkhidmatan. Kini, rumah murah sudah dinaikkan ke tahap RM35,000 dengan ditambah sebuah bilik kecil yang mungkin cukup untuk menyimpan beg sekolah dan buku sekolah anak-anak sebuah keluarga yang mempunyai empat orang anak. Kenapakah kos tanah itu tinggi ? Di sinilah letaknya konspirasi kumpulan tertentu dalam parti yang memerintah, sedangkan tanah itu boleh dikeluarkan secara percuma laksana tanah wakaf kepada para pembelinya. Mengikut kajian saya ketika itu kalaulah tanah itu tidak diletakkan harganya oleh setiap kerajaan negeri dan dikira sebagai satu hak kepada setiap rakyat yang membeli rumah pertamanya, ia bererti setiap rakyat sudah mampu membeli rumah dan melunaskan kos pembeliannya itu. sebelum dia mencapai umur empat puluh tahun, paling lama. Dengan hal yang demikian dia mampu menyimpan untuk kegunaan anak-anak yang semakin membesar. Tetapi apakah yang mampu dilakukan oleh satu keluarga yang terpaut hidupnya kepada hutang sekeliling pinggang?

Keluarga serupa itu akan terus mengharapkan sabsidi kerajaan dalam semua aspek. Menyedari hakikat hidup inilah makanya kita lihat betapa pemimpin UMNO boleh mendabek dada kerana mereka tahu inilah caranya mengekalkan ketuanan Melayu itu agar sentiasa berada pada UMNO dan bukannya kepada rakyat. Kalau pendapatan bulanan sepasang suami isteri diambil balik bagi pembayaran hutang rumah dan kereta, apa lagi yang ada pada mereka untuk hari tua? Kemudian, kita sudah pun didedahkan kepada kemungkinan mengahadapi kos perubatan yang boleh ditanggung daripada pencaruman KWSP. Di waktu yang sama pencaruman itu akan digunakan untuk mengongkosi pelajaran anak-anak di peringkat universiti. Apakah lagi yang akan tinggl untuk hari tua sepasang suami isteri itu?

- Tanah Percuma kepada wakil rakyat?

Mungkin sekarang ini semakin ramai rakyat yang sedar kenapakah saya telah menulis agar kerajaan memberikan peluang rakyat memelikki rumah pertama secara sabsidi. Inilah yang saya tuliskan sejak dua puluh lima tahun yang lalu. Ia telah ditolak tepi sahaja kerana tanah adalah 'emas berderai' yang membuatkan ramai wakil rakyat kaya raya. Mereka gunakan kuasa yang ada untuk membolot tanah 'untuk tujuan pertanian' dan kemudiannya ditukar syarat kepada tanah kommersial dan dijualkan pada orang yang mahu memajukannya. Proses mengaut kekayaaan yang amat menakjubkan itulah yang membuatkan kerajaan MAHAFIRAUN melaksanakan beberapa projek yang berbentuk 'mega' dan gah sekali. Tujuan sebenarnya ialah untuk mengaut keuntungan besar dalam pengagihan tanah itu. Inilah yang berlaku di setiap projek perindustrian negeri dan paling terbaru ialah projek Bandarcyber dan Projek Koridor Multimedia.

- Ketiadaan tanah untuk Pembikinan Sekolah dan Tadika

Disebabkan lumayannya projek perumahan yang dinikmati oleh pemimpin politik BN kita dapati amat kurang para pemimpin politik ynng mahu membincangkan secara serius pembikinan sekolah dan segala insrustruktur persekolahan agar anak-anak kita mampu bersekolah satu sesi. Mereka lebih gemar menyatakan harga tanah sudah naik tinggi dan kerajaan tidak mampu membazirkan hak dan pesaka rakyat jelata. Di waktu yang sama mereka terus membalun tanah yang ada. Kita sudah merdeka selama 43 tahun, kita masih tidak mampu menyelesaikan perkara ini. Bukankah ini satu gambaran betapa cuainya kita sebagai rakyat kerana tidak menuntut hak untuk masa depan generasi kita ?

Kalau perkara ini diungkit semula tentu ada pemimpin politik yang akan berkata bahawa kos pembikinan sekolah adalah tinggi. Kalau inilah jawapan mereka kita boleh pintas dan beri notis agar kerajaan membuat satu rancangan menentukan semua sekolah diadakan satu sessi sahaja. Ini memerlukan pembikinan sekolah baru, padang dan lengkap denganya tadika sekali. Malahan setiap sekolah disediakn dengan bas sekolahnya yang kemudiannya dipajakkan kepada pengusaha yang berminat dengan bayaran yagn tetap. Kos pembikinan ini boleh diperuntukan daripada sekarang kalau:

a) Semua menteri termasuk Perdana menteri tidak lagi menggunakan kereta mewah seperti Mercedes;

b) Pembekuaan dibuat dalam pembelian kelengkapan baru bagi pasukan tentera dan polis kita sehinggalah semua sekolah baru yang diperlukan sudah pun terbina;

c) Pemergian seberang laut oleh para menteri hendaklah dicatu kepada jadual yang perlu dan amat penting sahaja.

D) Pengurangan peruntukan kepada semua menteri dan perdana menteri dalam aspek 'enertainment' ataupun keraian harus dilkasanakan. Begitu juga dengan program raja-raja melancung ke luar negara bagi tujuan lawatan ataupun perubatan. Semua itu boleh ditangguhkan untuk satu waktu yang panjang. Contoh yang paling baik ialah permegian Perdana Menteri bercuti ke luar negara setiap tahun. Bayangkan berapakah kos menyara semua tenaga pengiringnya itu. Kalau kita ambil Raja Thailand sebagai contohnya, kita akan merasa amat malu. Baginda jarang sekali ke luar negara. Baginda lebih gemar bercuti di kawasan pendalaman sambil melihat keadaan hidup rakyatnya. Pernah satu ketika dulu beberapa akhbar barat telah mengikuti program baginda bercuti bersama rakyatnya dan mereka amat kagum dengan perangai baginda itu. Apabila ditanya kenapa beliau tidak berminat pergi bercuti di negara luar jawapannya amat menarik sekali; "Beta lebih suka bercuti di negara sendiri sambil mendampingi rakyat beta. Merekalah sebenarnya raja di negara ini."

Begitulah juga dengan anak-anak baginda. Setiap putera dan puteri baginda mempunyai projek tertentu bersama rakyat. Semua projek ekonomi itu bertujuan menggalakkan rakyat berdikari dengan projek yang menghasilkan keuntungan. Kebanyakan projek itu mengeluarkan hasil yang dapat diekspot setiap hari seperti penanaman orkid, sayur-sayuran dan projek pertanian yang mempunyai niali tambahan. Rakyat di Malaysia memang kurang mengetahui akan kemajuan di Thailand kerana projek diraja tidak pernah mendapat liputan daripada saluran TV dan radio kita.

- Penyelewengan dan kecuaian rakyat

Semakin ramai rakyat yang sedar kini betapa setiap wakil rakyat BN mempunyai 'hak' pengagihan beberap lot rumah dalam setiap projek perumahan, walaupun projek itu diusahakan oleh pihak swasta. Peruntukannya itu adalah berupa 'bonus' yang diperuntukkan dalam pembahagian tanah rakyat kepada pemaju perumahan. Pulangan lumayan dalam setiap projek perumahan dan tanah lot bagi projek perindustrian yang membuatkan ramai wakil rakyat BN enggan melepaskan jawatan penting mereka dalam parti. Mereka sanggup berjuang mati-matian agar kekal berkuasa sehingga mati. Tak kiralah kalau kubur sudah kata 'mari'dan rumah kata 'pergi'.

- Harga tol yang semakin naik

Kita boleh menjangkakan di hari muka, setiap perjalanan keluar rumah akan diganggu oleh keperluan membayar tol. Untuk mengelakkan ini kita perlu menunggang motorsikal. Tetapi, apakah tidak mungkin pada satu hari yang terdekat penggunaan motorsikal pun dikenakan tol?

Terlalu ramai rakyat negara ini yang telah komplen tentang harga tol yang tinggi. Saya juga pernah menulis mengenai hal ini dan mendedahkan beberapa insiden salah-tadbir yang saya fikir mungkin tidak dikesan oleh bahagian audit pihak yang berkenaan sebelum itu. Soalnya sekarang, setiap kali kita komplen tentang harga, ada sahaja orang ternama yang cuba memberikan alasan betapa harga tol di negara ini yang terendah sekali di dunia. Mereka pun meberikan fakta berdasarkan harga tol di Jepun dan Taiwan. Saya pernah berbincang dengan beberapa kawan yang berpengaruh dalam kerajaan mengenai hal ini. Masya Allah, kata saya. Kenapakah dibandingkan harga tol negara asing dengan negara kita. Tidak ada asasnya lansung. Di negara luar, mereka kena ambil kira kos gangguan disebabkan kerja tergendala kerana musim yang berubah-ubah sedangkan kita hanya ada satu musim sahaja. Di negara ini tenaga kerja boleh diperolehi dengan murah. Saya pernah menulis mencadangkan agar dikerahkan separuh tenaga askar tentera kita bagi kerja-kerja pembinaan jalan dan jambatan. Kenapakah kita masih memerlukan beribu pendatang asing untuk membuat jalan dan membiarkan mereka menghantar wang ke luar negara? Kenapakah kita tidak memberi sebahagian kontrak membikin jalan kepada beberapa battalion tentera agar mereka melaksanakannya? Kemudian, sebahagian harga kontrak itu dimasukkan ke dalam satu tabung khas yang hanya boleh dkeluarkan oleh setiap askar yang terbabit ketika dia keluar daripada perkhidmatan tentera. Dia boleh mengeluarkannya untuk melunaskan pembayaran rumah yang dibelinya.

Kalau cadangan ini diterima kita tidak payah berbelanja besar dalam angkatan tentera untuk selalu bikin operasi semata-mata untuk menentukan askar kita dalam keadaan sihat dan bersedia untuk menghadapi keadaan pancaroba. Kenapakah tidak digalakkan mereka berbakti kepada negara sambil berbakti kepada kantong mereka untuk kegunaan di hari tua? Dalam perbincangan ini kita belum pun selak ciri-ciri konspirasi yang telah lama dilaksanakan oleh pihak tertentu. Cuba kita lihat berapa ramai manusia pendatang yang bekerja untuk membuat lebuhraya kita. Apakah pengalaman mereka itu dulu? Bukannya mereka mempunyai pengalaman membikin landasan keretapi Burma seperti dalam filem 'The Bridge on the River Kwai' yang mesti kita berikan mereka peluang sebagai kenangan jasa mereka itu. Mereka datang ke sini untuk mencari rezki yang lebih baik. Tetapi, kedatangan itu menjejaskan peluang anak-anak muda kita. Disebabkan kos yang tinggi menggaji mereka itu makanya segala perencanaan untuk membikin jalanraya dinaikkan dan ditonjolkan kepada pihak kerajaan. Setiap akhir tahun kita diberitahu pula bahawa harga tol dinaikkan lagi kerana mengikut perjanjian pihak konsensi dengan kerajaan.

- Bila harta rakyat difaraidkan kepada parti politik

Adalah sesuatu yang memalukan kita apabila diberitahu bahawa konsessi lebuhraya dan tol adalah dimonopoli oleh parti politik di bawah naungan Barisan Nasional. Di sini saya ingin menarik perhatian semua rakyat Malaysia yang cintakan negaranya. Sepatutnya projek mega yang membabitkan wang rakyat tidak boleh diberikan secara faraid kepada sebarang syarikat perniagaan, apatah lagi syarikat itu dipunyai oleh parti politik. Ini adalah satu kerja mengarut yang patut diperbetulkan. Kita harap dalam tahun 2000 ini semua wakil rakyat daripada Barsan Alternatif akan berusaha mendapatkan kerjasama beberapa pemimpin UMNO dan BN untuk mengubah sistem faraid UMNO ini. Sepatutnya semua syarikat yang diberikan monopoli kerja-kerja yang lumayan diberi notis dan kerja mereka itu diambilalih dan setiap projek itu diwakafkan kepada Institusi Pengajian Tinggi di negara ini. Cuba kita lihat di Amerika dan beberapa negar maju yang lainnya.

Di Amerika kebanyakan universiti wilayah (State Universities) dapat berjalan dengan baik kerana punca kewangan tahunan yang cukup. Pejuang kemerdekaan negara itu dulu telah membuat satu plan yang baik di mana setiap universiti wilayah itu diberikan tanah yang luas yang kemudiannya disewakan kepada peladang untuk satu jangkamasa yang panjang. Daripada hasil kutipan sewa setiap tahun dan juga perolehan keuntungan kepada beberapa projek yang besar, universiti itu mendapat wang yang boleh mencukupi. Dengan hal yang demikian universiti itu dapat berjalan dengan baik tanpa sebarang tekanan daripada pihak yang mahu mengeksploitasinya. Kerana itu kebebasan yang ada membolehkan setiap universiti berfungsi dengan baik dan mereka berupaya membuka pintu kepada pelajar asing menuntut di sana.

Cuba bayangkan nasib universiti kita pula. Setiap tahun universiti mengharapkan bantuan dan peruntukan kerajaan. Kerana itu ia terpaksa mengeluarkan para pengajar yang kuat mengampu kerajaan sehinggakan keupayaan tenaga pengajar itu berfikiran bebas terus terbelenggu. Kalau tenaga pengajar sudah dirantai otaknya apakah yang kita harapkan kepada kumpulan pelajar universiti itu? Sudah pasti mereka pun menjadi anak-anak gajah yang dirantai kakinya setiap hari sehinggakan menghasilkan satu kumpulan majoriti gajah yang otaknya sudah diputarbalikkan.

Bayangkan kalau setiap universiti di negara ini diberikan konsessi setiap kilometer lebuhraya yang bertol, mereka sudah mampu menjana satu rencana untuk berkembang maju dengan projeksi wang yang akan masuk ke dalam tabung pelajaran dan pengurusan universiti tersebut. Daripada kawasan tanah luas di sepanjang lebuh raya itu beberapa projek yang baik boleh diusahakan yang menjamin keuntungan berpadan secara jangkamasa yang panjang. Apabila universiti mempunyai projeksi keuntungan baik, adalah serba mungkin yang unviersiti itu menawarkan peluang pelajaran yang murah kepada anak watan.

Sebenarnya perkara ini memang mudah difikirkan oleh beberapa ramai pegawai tinggi yang mengendalikan konsessi lebuhraya itu. Mereka masih mengimpot tiket tol dengan harga yang tinggi setiap bulan daripada Amerika Syarikat. Malahan ramai di antara mereka yang berkelulusan daripada universiti Amerika. Adalah tidak masuk akal kalau mereka tidak terfikir akan apa yang kita bincangkan ini. Mereka cuma pura-pura tidak perasaan kerana muslihat tertentu. Inilah yang kita katakan kerakusan individu yang diamanahkan oleh rakyat. Inikah yang dimaksudkan dengan kenyataan bahawa individu itu tidak penting?

Kesimpulan

Kita berbincang ini sempena bulan mengambang yang pertama kali di alaf baru ini. Makanya saya petik lagu Terang Bulan sebagai jodol penulisan ini. Cuma kalau kita mahu menikmati bulan mengambang kita perlu berusaha untuk pergi ke tempat lapang dan menjenguk ke atas. Tetapi, kalau kita kaya raya tentulah kita mampu berlibur di halaman rumah yang luas. Kalau saudara kita itu seorang wakil rakyat tentunya laman rumahnya itu luas sebesar gelanggang sepaktakraw, paling kecil. Kalau di Putra Jaya, tak payah kita bayangkanlah. Soalnya sekarang, rumah-rumah yang kita beli utnuk anak cucu kita sekarang ini hanya cukup untuk meletakkan sebuah kereta. Kalau kita terpaksa membeli sebuah lagi kereta kerana kemestian terpaksalah kereta itu berembun di tepi jalan. Dalam keadaan begini, siapakah yang ada selera utnuk mendongak ke langit dan menikmati keindahan bulan mengambang? Jadinya kalau yang betul-betul berminat kenalah dia pergi ke taman bunga ataupun ke padang sekolah untuk melihatnya. Di waktu itu pemikiran kita tidak juga tenang. Kita takut akan keselamatan rumah kita yang tidak berjaga di malam hari. Dengan lain perkataan, keselamatan menjadi prioriti kita.

- Peragut, Perompak dan Perogol

Kita kerap dihantui keraguan tentang keselamatan kaum hawa kita dan juga anak-anak yang berjalan tanpa teman. Kejadian ragut manjadi-jadi sekarang ini. Inilah disebabkan ramainya pendatang luar yang menganggur dan enggan balik ke negara asal mereka. Mereka lebih rela ditangkap dan dihatarkan balik daripada keluar dengan kerelaan hati. Soalnya sekarang mereka bukan lagi meragut, ramai yang menjadi perompak dan ada yang terbukti menjadi perogol bersiri. Apakah puncanya segala ini? Kenapakah Chow Kit sekarang ini menjadi satu tempat di mana ramai pendatang asing berkumpul di siang hari tanpa pekerjaan? Kenapakah mereka dibiarkan menjaja di kaki lima tanpa lesen dan kebenaran? Bagaimanakah pndan-pondan boleh berkeliaran di kawasan itu secara bebas?

Ironisnya perdana menteri dan para menteri serta para pucuk pimpinan UMNO kerap bercerita tentang agen asing dan agenda mereka. Apabila kita melihatkan kebebasan pendatang asing dengan sikap mereka yang semakin kurang ajar di depan mata dan di halaman rumah kita sendiri, tentunya kita mahu tanya pemimpin kita balik. Apakah agenda kerajaan membiarkan orang asing berkeliaran secara bebas di negara ini?

- Budaya Tidak-apa

Orang asing ini semakin berani kurang ajar kepada kita. Mereka mengambil sikap 'tidak-apa' kerana kita telah mengajar mereka budaya itu. Inilah budaya yang diajar oleh orang Melayu kepada pemimpinnya dulu. Ia bermula kepada raja-raja dan kemudian kepada wakil rakyat. Satu ketika dulu apabila raja-raja menyuruh orang kampung keluar berperang dan menyediakan bekalan sendiri, rakyat berkata 'tidak apa'. Mereka pun pergi berperang dan menggadaikan nyawa. Kemudian apabila wakil rakyat UMNO menyuruh orang Melayu tahu berterimakasih kerana segala sabsidi yang diberikan, orang Melayu kata 'tidak-apa' juga. Orang Melayu akur dengan seruan itu kerana memikirkan kepentingan ketuanan Melayu, konon.

Inilah juga budaya yang orang Melayu ajar kepada setiap orang asing yang datang ke negara ini, sehinggkan kehilangan hak-hak tertentu kini, dianggap sebagai sesuatu yang 'tidak apa' juga. Apabila kita disuruh oleh orang putih masuk hutan belantara mengejar komunis tanpa gaji yang baik, kita kata 'tidak-apa'. Apabila kita diberikan rumah murah sebagai tempat berteduh dengan harga yang tinggi, kita kata 'tidak-apa'. Apabila kita disuruh mengaminkan doa untuk kesihatan raja-raja ketika mereka berjudi di luar negara kita pun kata 'tidak apa'. Apabila ada wakil rakyat yang membalon tanah untuk pertanian dan kemudiannya menjual dengan harga tinggi kita kata 'tidak apa'.

Alangkah peliknya hidup kita ini. Kita sudah menjadi takut kepada bangsa kita sendiri. Kita terlalu taksub kepada segolongan manusia yang mempunyai kaitan darah dengan kita semata-mata kita telah menyerahkan peluang untuk mereka kaya raya di atas dulang kencana.

Adakah satu kesilapan bahawa ketika gerhana bulan yang pertama di alaf baru ini, tidak ada satu kenyataan ataupun sorotan di TV dan media massa kerajaan? Tidakkah kita merasa pelik dengan hal ini? Apakah ktia tidak mahu meyoal diri kita kenapa? Mungkinkah kerana ada pakar psikologi yang menasihatkan agar perkara ini diperamkan sahaja kerana tidak mahu rakyat terutama orang Melayu teringatkan bulan?

Apakah kita akan mudah mengalah dan berkata 'Tidak apa' sekali lagi ?

Kenapakah sebabnya Raja Abdullah memulakan lagu Terang Bulan dengan ayat 'Terang Bulan Menyinari Alam Maya?". Kenapakah tidak lagu itu dimulakan dengan: 'Terang Bulan Menyinari Alam Melayu"?

-MT-
21.1.2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com