Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencetus Minda 16 - Bila Gerhana Menjelma

Gerhana bulan pertama di alaf baru sudah pun selesai. Ia tidak menerima sebarang catatan dalam akhbar arus perdana negara ini. Kerana ia tidak penting, tidak ada sesiapa yang mahu menceritakannya. Demikianlah hidup ini apabila sesuatu keajaiban ciptaaan Allah itu kerap sangat diabaikan, kerana ia tidak menjanjikan satu habuan yang segera. Ruang akhbar yang ada lebih baik dimuatkan cerita-cerita yang berkaitan dengan pemilihan anggota baru Majlis Tertinggi yang dijangkakan berlansung awal Mei nanti.

Tetapi, tidak begitu halnya dengan tamaddun bangsa yang lebih berusia daripada kita. Setiap pergerakan cakrawala diikuti dengan penuh hati-hati kerana catatan sejarah mereka telah mengajar pelbagai ilmu pengetahuan yang menyayat hati. Bangsa Melayu tidak mahu ambil iktibar akan semua ini kerana Bangsa Melayu hari ini adalah satu bangsa yang lebih taksub dengan pergerakan politik dalam negeri.

Bila Politik Menghantui Jiwa Melayu

Sejak lima tahun yang lalu, kita nampak sangat akan transformasi yang berlaku dalam pemikiran orang Melayu. Dunia politik telah menjadi satu dunia yang paling diminati sehinggakan sudah ramai orang Melayu yang sanggup mati kerana politik. Ramai lagi yang sanggup membohong besar, berbuat kerja-kerja yang jijik-jijik atas nama perjuangan politik. Perkara ini memuncak apabila terhumbannya seorang tokoh politik ke penjara atas tuduhan liwat dan pelbagai tuduhan lagi yang masih perlu ditangkisnya. Yang menjijikkan lagi, martabat politik itu sudah tercemar apabila berlakunya tuduh-menuduh membabitkan anak yang semakin membesar. Ia menjadi hodoh apabila membabitkan tilam tanpa cadar yang diangkut setiap hari sebagi barang bukti di mahkamah tinggi.

Walaupun Saudara Anwar Ibrahim kini hampir melunaskan setengah daripada hukumannya di penjara Sungai Buluh, kita perhatikan semangat rakyat yang menyokongnya tidak pernah lusuh. Anwar yang merupakan katalis perjuangan majoriti orang Melayu yang mencari kebebasan bersuara kini merupakan satu simbol perjuangan segolongan besar para pemuda pemudi negara. Tidak kira apa agama anutan mereka dan apa pula asal usul darah mereka. Anwar yang lebih dikenal dengan abjad DSAI sudah merupakan satu obor yang tetap menyala di sanubari mereka.

- Pertembungan Persepsi

Kerajaan yang memerintah di bawah seorang diktator yang semakin tua tidak mahu memperakukan apa yang sedang berlaku di kalangan anak-anak muda di negara ini. Walaupun berbagai-bagai agenda baru telah ditonjolkan untuk mengalihkan minat muda mudi itu, perjuangan ke arah pencapaian politik mereka tidak pernah terabai. Golongan muda yang disisihkan hak memangkah kertas undi di pemilu ke-10 dulu, kini semakin sedar akan tanggungjawab mereka. Mereka semakin sedar akan tafsiran semangat nasionalisme, setelah melihat beberapa program kerajaan yang cuba memesongkan pemikiran mereka.

Salah satu agenda pemesongan kebangkitan nasionalisme ini ialah menaja dan menggalakkan sambutan kemunculan mellinium tempoh hari. Kerajaan telah merestui satu acara sambutan yang amat gamat sekali. Hebat, menggegarkan dan penuh berantakan bumi bandaraya Kuala Lumpur dengan segala dentam-dentum, sorakan menggila dan gerakan badan yang terkinja-kinja dengan rentak irama yang tidak tentu hala dan mungkin juga maknanya. Kini, irama-irama menggila itu sudah lama berlalu. Yang tinggal hanyalah gambar-gambar yang diambil ketika darah muda dibuai nafsu yang tidak terkawal ketika itu. Gambar-gambar itu pun sudah menjadi satu lambang yang memalukan empunya diri. Hari-hari yang tenang yang berikutnya telah membawakan satu kesedaran akan apakah ertinya keinsafan, maruah diri dan maruah bangsa. Sudah semakin ramai anak muda yang mengaku betapa mereka mudah tertipu dengan segala sambutan yang gah itu sehinggakan merka sendiri terpukau dan terpaku untuk bersuka ria bersama hantu.

"Jangan mudah salahkan kami," kata mereka. "Kami hanya menyahut tawaran kerajaan untuk berpesta, untuk menyambut ketibaan alaf baru secara perbelanjaan yang tidak seberapa." Sememangnyalah, kenapa mudah sangat memarahi mereka kerana kos menghadiri majlis serupa itu amat kecil sekali. Cuma menghadirkan diri. Yang lainnya disediakan. Sekadar membayar sebotol air minum untuk tekak yang sentiasa kering, dan sekeping kertas tisu untuk mengikis peluh yang senantisa mengalir dari tempat yang mudah haring atupun hancing.

Rupanya persepsi para pemikir institusi yang memerintah amat berbeza dengan persepsi yang lahir daripada minda anak-anak muda yang menjadi sasaran mereka. Mungkin juga hari lebaran yang mewarnai kelahiran syawal telah membawa satu kesedaran yang baru yang tidak dapat dilahirkan ketika kelahiran mellinium dulu. Bagi muda mudi yang beragama Islam, kedatangan syawal telah membawa kesedaran yang mendalam betapa pentingnya mereka bersatu dalam satu barisan untuk menegakkan keadilan.

Di kalangan penganut Hindu pula kedatangan upacara Thaipusam telah membawa satu kesedaran juga. Penghambaan diri kepada Tuhan yang mereka pohonkan melalui dewa Muruga menjadi satu motivasi untuk bergerak seirama menuntut reformasi. Lantas, kita dapat rasakan satu semangat baru yang muncul di kalangan anak-anak muda di negara ini tidak kira apakah budaya asal mereka dan anutan agama mereka itu. Sayang sekali perasaan yang membara di kalangan muda mudi ini tidak dapat dimengerti oleh pucuk pimpinan parti yang memerintah. Mereka masih beranggapan betapa sebarang kegiatan berdemonstrasi adalah satu tingkah laku yang tidak boleh dibiarkan.

- Pertembungan kekerasan yang boleh dielakkan

Apabila orang yang berusia dan berkuasa tidak mahu memahami cetusan rasa golongan muda, maka akan tercetuslah satu pertembungan kekerasan yang boleh mengaibkan. Setiap bangsa yang tidak mahu menerima pergolakan darah muda disebabkan rasa ketidakpuasan pada tatacara pentadbiran negara akan menjadi satu bangsa yang dirundung bencana. Sejarah tamaddun dunia yang luas ini telah menunjukkan betapa besarnya musibah yang datang melanda apabila pertembungan kekerasan itu tidak dielakkan.

Ura-ura para peminat DSAI berkumpul secara beramai-ramai pada subuh pagi di Masjid Negara minggu hadapan semakin rancak dicanangkan. Ia tidak perlu penyediaan bas untuk mengangkut mereka yang bersedia menghadirkan diri. Ia juga tidak perlu tajaan air minuman, kertas tissu ataupun pemetik api. Tidak juga pakaian yang mempunyai lambang dacing ataupun keris togel, maalahan juga tudung dan topi. Ia tidak perlu adanya peket-peket kecil yang berisi beberapa keping not merah ataupun not berwarna biru. Yang penting ialah tekad dan semangat yang empunya diri.

Paklah sebagai Menteri Dalam Negeri dan juga Timbbalan Perdana Menteri, sudah pasti merasakan dirinya tercabar dengan desas-desus ini. Perhimpunan sebegitu ramai pastinya tidak mendapat kelulusan bertulis mana-mana pihak kerana perhimpunan begitu tentunya tidak 'menjamin keselamatan negara'. Bukankah negara ini sedang diserang oleh orang asing? Bukankah mereka ini menjadi musuh utama negara kita yang perlu dijaga siang dan malam? Kalau kelulusan polis tidak diminta bagaimana pula kelulusan itu boleh dterima? Sejak bilakah rakyat perlu mengambil permit untuk pergi sembahyang subuh? Sejak bilakah rakyat perlu permit untuk berdiri di tepi jalan melambaikan tangan kepada seseorang yang mereka minati? Bukankah rakyat pernah beratur daripada depan uniersiti hospital hinggalah ke bangunan parlimen satu ketika dulu? Bukankah anak-anak sekolah kerap diaturkan berdiri dengan penuh rendah diri memagang jalur gemilang di tangan kanan dan kertas tissu di tangan kiri? Bukankah itu cara kita menyambut tetamu asing bila sampai ke negara ini?

Alangkah lucunya cerita ini, kalau ia diperbesarkan dan dikaut pula oleh akhbar asing untuk dipaparkan di muka depan akhbar mereka? "Oh, ini rupanya muka manusia yang suka menyampakkan TV dan radio ke sungai dan tasek kerana terlalu taksub kepada agama Islam." Apakah itu reaksi mereka nanti? "Inikah rupanya manusia yang suka membeli tilam mahal dan menggunakannya tanpa cadar?" Mungkinkah itu pula soalan yang mereka tanya?

Untuk mengelakkan soalan-soalan yang mencuit hati itu mungkin, makanya Paklah sudah menunjukkan berang. Maka terhamburlah kata-kata pedas yang menyentuh perasaan dan membuatkan si pendengarnya pun turut berang juga. Kalau ketua sudah berang pembantu pun mesti berang. Apatah pula kalau pembantu itu seorang yang paling berkuasa dalam menentukan keselamatan negara. Apa yang perlu dilakukannya? Apakah ia akan bertindak mengaturkan pasukan khas untuk membendung pergerakan yang tidak berpermit itu? 'Kalau Tok Ketua sudah berang dan tidak mahu melihat perhimpunan seperti itu sudah tentulah ia perlu disekat sebelum berlaku Jika tidak bukanlah pembantu yang setia namanya. Soalnya sekarang, mana satu yang mesti disekat itu? Sembahyang subuh beramai-ramaikah yang perlu disekat ataupun perarakan di tepi jalan di mahkamah yang perlu dielakkan? Kalau disekat pertemuan di masjid negara, itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Sebelum ini, tidak pernah rakyat dihalang untuk bersembahyang. Menyekat orang ramai berkumpul secara berlebihan di tepi jalan adalah sesuatu yang mungkin ada dalam undang-undang. Tetapi, melakukannya ke atas orang yang baru pulang dari bersembahyang tentu tidak merupakan satu tindakan yang matang.

Inilah yang dikatakan satu situasi yang memeningkan kepala. Ini bukannya situasi yang mudah dikendalikan. Tidak seperti majlis menyambut alaf baru di mana beratus ribu wang dibakar hangus untuk menyediakan bunga api. Majlis semacam itu memang mudah dikendalikan setiap hari. Rakyat yang berminat pasti akan pergi. Mereka senyum ceria bila datang dan ketawa menghilai bila pulang. Mungkin ada yang jalannya berlenggang lengguk bila tiba tetapi bila pulang adanya terhangguk-hangguk kerana sedikit mabuk. Semua itu boleh diatasi baik dari tempat pesta sehinggalah ke stesen bas dan keretapi. Tetapi, kumpulan kali ini bukannya senang hendak difikirkan kemunculannya. Jumlah yang akan datang pun belum lagi dapat dikira dengan congak sahaja. Berapakah agaknya yang akan datang itu? "Oh, pening, pening kepala aku!!!"

Jadi apakah yang mungkin berlaku di pagi Selasa itu ? Akan berlakukah satu pertembungan di antara rakyat yang cintakan kedamaian dengan satu institusi kerajaan yang hilang arah pedoman? Apakah yang ada di dalam kapala Paklah masakini untuk mengelakkan perkara yang mengaibkan terjadi? Mestikah perhimpunan itu digagalkan dengan menutup sahaja masjid negara di pagi Selasa nanti? Apakah pula alasan yang boleh diberikan kerana perkara semacam itu tidak pernah pun berlaku? Beredarkah nanti lautan manusia dengan penutupan masjid itu dan pulang terus ke rumah mereka? Apakah tidak mungkin mereka berarak terus ke dataran merdeka dan berkumpul untuk bersolat pula? Bukankah itu kes aniaya juga kalau dibiarkan berlaku?

Alangkah peningnya kepala sesiapa yang mahu berbincang hal itu dan cuba mencari jalan penyelesaiannya? Adakah jalan lain yang boleh dilakukan untuk mengurangkan lautan manusia pada Selasa pagi itu? Apakah jadinya kalau ditutup seluruh kawasan dataran merdeka dan mahkamah tinggi yang berdekatan dengannya? Bukankah itu lebih mudah daripada menutup masjid negara? Kalau perkara itu perlu diambil rakyat perlu diberitahu awal-awal lagi. Kalau tidak orang ramai akan beratur selepas maghrib Isnin nanti untuk menempah tempat masuk pada pagi Selasa. Begitu juga para pemberita dan jurugambar mereka. Sudah tentu ramai yang akan berkerumun ke ibukota untuk tujuan yang sama. Tentunya ramai orang luar yang sudah pun sampai kini dan menantikan tibanya Selasa pagi. "Oh tidak, mana boleh pakai rencana ini?" Memang bukan mudah menyekat orang beratur untuk masuk mahkamah. Mereka sudah biasa dengan peraturan itu dan sudah serasi dengan cara beratur di malam hari dan bermimpi seketika di perkarangan mahkamah. Walaupun tidur mereka itu tidak berbantal dan bertilam gebu.Walaupun tidur bersandar di dinding batu.

Apakah serba mungkin ditangguhakan sahaja perbicaraan itu dengan menyatakan tertuduh jatuh sakit? Tentunya perkara semacam ini lebih mudah lagi kerana ia hanya membabitkan seorang insan sahaja. Lagipun tertuduh memangnya pernah sakit. Adalah lebih mudah membawanya ke wad hospital dengan disusuli satu berita mengenainya. Tentunya rakyat akan menerima berita itu dan menangguhkan sebarang ura-ura untuk berkumpul tanpa memikirkan berita itu palsu. Ini lebih mudah dilaksanankan daripada cara lain yang baru dibincangkan. "Oho, cup, cup ! Nanti dulu." Bukankah di awal syawal isteri dan anak-anak Anwar pernah berjumpa dengannya? Bukankah sudah keluar betapa beliau semakin ceria, sehinggakan dapat berpuasa tanpa mengganggu kesihatnanya? Kalau ditimbulkan berita beliau sakit, apakah pula reaksi rakyat yang akan bangkit? Oh,,,,,memeningkan kepala lagi perkara ini. Betapa tidaknya. Bukankah Anwar mempunyai satu kumpulan yang masih ta'at kepadanya yang bertugas di penjara itu? Bukankah ramai lagi manusia yang menyebelahinya disebabkan penderaan yang ditanggungnya? Mana mungkin membawanya ke hospital berasaskan berita palsu tanpa pengikutnya dapat tahu? "Oho,,, memang memeningkan kepala perkara ini. Nampak mudah tetapi amat sulit sekali. Semua yang difikirkan setakat ini tidak mungkin boleh menjadi." Apakata kalau kita jangan usik Anwar tetapi kita usik hakim yang akan membicarakan kesnya? Apakata kalau kita suruh hakim mengambil cuti sakit? Bukankah perkara semacam ini mudah sikit? Kalau rencana ini mudah diterima kenalah rancangkan dengan hakim itu Isnin ini dan beritahu peguam-peguam Anwar sekali. Bolehlah diaturkan satu upacara untuk memberi pesan kepada peguamnya. Tentu rakyat dapat menerima berita ini kerana hakim pun manusia biasa juga yang boleh sakit bila-bila masa.

Memang nampak senang perkara ini kerana ia mambabitkan hanya seorang manusia yang diminta berpura-pura sekali lagi. Tetapi, bukankah beliau baru baik dari sakitnya sebelum bulan Ramadahn dulu lagi? Apa pula katanya kalau disuruh ambil cuti sakit lagi? Apa pula fikir anak-anaknya dan seisi keluarganya? Kali terakhir dulu bolehlah dia berlagak bodoh mengaku sakit pinggang dan bengkok tulang belakang. Tetapi, kali ini apa pula sakitnya yang akan dirancang? Manakan boleh sakit pinggang lagi? Kena cari satu penyakit baru supaya tidak nampak sangat berita palsu.

Ah,,,, bukan senang perkara ini. Memeningkan kepala lagi. Walaupun ia membabitkan hanya seorang hakim sahaja. Alasan untuk dia bercuti itu bukan mudah hendak diolah lagi. Dulu kita boleh lakukan 'cuti sakit untuk hakim' dan mengelakkan pertembungan jadual perbicaraan dengan jadual Perdana Menteri yang terlalu kuat kerja. Kini alasan yang perlu direka hanya untuk mengelakkan rakyat berkumpul di masjid negara dan berarak ke dataran meredeka. Itu sahaja. Perbicaraan perlu dissmbung semula kerana mahu disudahkan secepat mungkin. Ia perlu selesai cepat untuk menjimatkan perbelanjaan negara. Di alaf baru ini semua jabatan perhakiman perlu berhati-hati agar tidak boros. Lagipun perbicaraan mesti selesai sebelum MAHAFIRAUN pulang daripada Davos. Oh, lagi-lagi pening kepala walaupun membabitkan seorang hakim sahaja.!

Inlah sinario yang difikirkan oleh orang-orang Paklah menjelangnya Selasa nanti. Mereka perlu memikirkan jalan yang paling baik untuk menentukan rakyat tidak berkumpul di masjid negara. Begitu juga di depan mahkamah tinggi. Tetapi, apakah pula yang difikirkan oleh seorang diktator tua? Bukankah perkara seperti ini pernah berlaku ketika dia berada dalam negeri? Bukankah dia pernah menangani perkara ini ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri? Apakah berani sesiapa mencuba taktik lain pula? Kenapakah tidak dipraktikkan sahaja teknik lama? Kalau teknik lama digunakan ketika beliau ada di sini, kenapakah tektik baru mahu dicuba ketika beliau di luar negeri? Apa jadinya nanti kalau taktik baru itu memakan diri dan tidak menjadi? Bukankah elok dikekalkan sahaja tektik lama tanpa mengirakan akibatnya? Kalau ada penunjuuk perasaan yang cedera, apakan daya , terserah sahaja. Dulu pun ramai yang cedera, cuma jumlahnya dikurangkan siarannya. Kali ini? Oh, kali ni mungkin jumlahnya bertambah kalau manusia yang datang akan bertambah juga.

Oh, pening kepala lagi rupanya cara ini. Bukan mudah hendak memikirkannya. Kalau jumlah manusia bertambah bererti jumlah polis gerak gempur pun mesti ditambah. Kereta pancutan air pun mesti bertambah. Polis tanpa tanda pun mesti diambah lagi. Kalau boleh biar berganda daripada jumlah yang dulu. Tetapi, apakah dengan tambahan kekuatan itu dapat diselesaikan masalah rusuhan itu nanti? Apakah pula reaksi dunia luar apabila menyaksikan rakaman rusuhan? Apa kata dunia luar kepada MAHAFIRAUN yang akan berada di Davos? Mungkinkah MAHAFIRAUN merestui sebarang kekerasan yang akan dicetuskan oleh pihak polis ? Dapatkah dia menerima taktik yang serupa kali ini? Walaupun dia pernah merestui cara ini satu keika dulu, tak mungkin ia akan bersetuju lagi. Bukankah dia sekarang ini sedang tersepit oleh satu masalah dalaman parti yang sungguh sulit? Apakah tidak mungkin MAHAFIRAUN berpaling tadah dan menyergah polis kerana silap langkah? Kalau ini berlaku apakah tidak mungkin beliau menyuruh seorang dua pegawai kanan polis meletakkan jawatannya ataupun ditukarkan sahaja ke tempat lain?

Oh, pening dan memeningkan kepala rupanya perkara ini. Walaupun kita ambil kira taktik pencegahan yang lama, pening kepalanya masih juga serupa. Kalau begini akibatnya apakah kesudahannya? Apakah cara lain yang perlu difikirkan agar rusuhan tidak berlaku?

Kalau sayalah Paklah, saya akan biarkan perkara ini berlaku:

1. Biarkan sahaja umat Islam berkumkpul di pagi Selasa ini untuk mengerjakan fardu subuh yang wajib itu. Kalau mereka mahu berjemaah, biarkan juga. Itu hak mereka.

2. Saya akan kerahkan sekumpulan anggota polis yang secukupnya untuk mereka berkumpul di dataran merdeka dan berbaris di hadapan mahkamah tinggi itu. Anggota polis hanya dikerahkan untuk mengawal lalulintas dan bukannya untuk menyekat perarakan rakyat.

3. Saya akan aturkan kemasukan kereta yang membawa Anwar Ibrahim melintasi kumpulan yang menanti itu dan membiarkannya melambaikan tangannya terhadap mereka. Kemudian Anwar akan diiringi untuk masuk ke dalam ruang mahkamah untuk proses seterusnya.

4. Untuk memudahkan rakyat berkumpul secara aman, saya akan umumkan dulu bahawa Anwar akan masuk kawasan mahkamah beberapa minit sebelum sepuluh pagi. Ini memberi ruang untuk semua pihak datang tanpa ramai yang berkumpul seawal pagi di masjid negara itu. Bukanya semua yang mahu berkumpul di pagi itu beragama Islam. Eloklah beri mereka peluang tidur lebih sedikit lagi, untung-untung mereka terlina lama lagi dan melupakan peristiwa itu.

5. Saya akan tentukan tidak ada pasukan sembur air ataupun kumpulan anjing yang lidah menjelir. Semua itu tidak perlu kerana rakyat mahu beratur melambaikan tangan kepada wira mereka. Kenapakah saya mahu menahannya. Sedangkan nasib masa depan saya sendiri pun belum menentu?

6. Sebaik sahaja upacara lambai-melambai itu selesai, saya akan aturkan agar rakyat menerima minuman ringan yang akan ditaja oleh pengeluar minuman yang memang bersedia menaja upacara tidak rasmi seperti itu.

* * * * *

Inilah jalan yang terbaik kepada Paklah dan juga kepada Ketua Inspektor Polis. Tidak ada jalan yang lebih baik dari itu. Inilah jalan tengah untuk menghindarkan musibah di alaf baru. Rakyat Malaysia cintakan negaranya. Mereka tidak mahu berhuru-hara tidak menentu. Janganlah mulakan huru- hara itu dengan menggunakan 'police provocateur', kerana rakyat sudah pun mengecam muka mereka semua. Jangan cuba kaitkan situasi Kuala Lumpur dengan siatuasi di Jakarta ataupun Bangkok ataupun Manila. Para reformis Kuala Lumpur dan seluruh negara ini adalah satu golongan yang amat cintakan negaranya. Itu sebabnaya si diktator tua harus undur secara terhormat, sebelum terlambat.

Kalau diikut isyarat dari langit, lagi cepat MAHAFIRAUN akur dengan kehendak rakyat lebih baik bagi dirinya dan bagi negaranya. Janganlah MAHAFIRAUN mengelat lagi dengan ke luar negara ketika Anwar dibicarakan. Safina yang dikeluarkan dulu masih belum terjawab lagi. MAHAFIRAUN selalu kata, banyak lagi tugas yang belum selesai. Ini bukannya masa untuk beliau menyelesaikan tugas-tugas itu. Biarlah generasi muda memikulnya dan menyelesaikannya. Berbuatlah sesuatu untuk mengundurkan diri secara terhormat. Janganlah biarkan generasi muda melakukan tugas yang belum selesai itu dengan cara bertindak ganas dan menyingkirkannya.

Paklah mesti faham perkara ini. Begitu juga Norian Mai dan semua pegawai polis yang lain. Perjumpaan kali ini di Masjid Negara bukannya perjumpaan sembarangan. Inilah alamat yang dibawa oleh gerhana purnama yang tidak kelihatan pada manusia, di sebelah sini. Inilah alamat yang membuatkan semua pasaran global merudum. Cuma pasaran KLSE tidak ikut sama, kerana rakyatnya tidak diingatkan akan berlakunya gerhana itu.

Ambillah iktibar daripada penulisan ini sebelum terlambat. Perjumpaan di subuh Selasa ini bukannya kumpulan bersuka-suka. Laksana purnama di langit, ia akan muncul lagi dan lebih jelas lagi kalau tidak ditangani dengan bijaksana dan bukan dengan bijaksini. Oh ya, bagaimana dengan permit untuk berarak itu? Keluarkan sahaja permit itu, satu untuk perhimpunan di masjid negara dan satu lagi di mana sahaja. Bukankah ini bulan syawal untuk kita bermaaf-maafan? Kepada siapa permit itu dikeluarkan? Tulis sahaja sebarang nama, yang menyenangkan. Persetan dengan MAHAFIRAUN. Kalau dia fikir ada cara lain mengatasi masalah ini, suruh dia pulang secepat mungkin. Perhimpunan Selasa ini bukan majlis sembarangan. Ia adalah satu gerak jihad di bulan Shawal yang perlu ditangani dengan semangat jihad juga.

-MT-
22.1.2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com