Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencetus Minda 17 - Menanti Pelangi Di Malam Hari

Dalam penulisan kali ini izinkan saya menarik perhatian saudara pembaca sekalian, kepada beberapa perkara penting yang berlaku dalam sehari dua ini. Ia adalh menyangkuti beberapa hal yang mungkin menjadi catatan sejarah penting bagi kita semua. Pertama ialah kenyataan bahawa Perdana Menteri Malaysia yang sepatutnya bertugas di Davos setelah bercuti di Argentina, menukar rancangannya itu dan mengambil keputusan menyambung cutinya di London pula. Tentunya ini satu percutian yang paling mahal memandangkan kos para pasukan keselamatan yang ditugaskan begitu lama ke luar negara.

Yang kedua ialah wawancara di TV di antara Zam (ataupun sekarang ini mahu lebih terkenal dengan panggilan Dato Senator Zainuddin Maidin, Timbalan Pengerusi Ekskutif Kumpulan Utusan..... Cukuplah setakat itu formaliti pengenalannya. Kalau lebih panjang lagi ia mungkin menjadi satu budaya kepada kita mengikut budaya orang Afrika pula) dengan Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Yang ketiganya ialah satu posting di internet yang amat menarik oleh seorang insan yang menggunakan nama 'Kaultiya'. Dia telah mencatatkan tujuh hukum lama maharajah India yang diamalkan pada 400 tahun sebelum wujudnya kalendar masehi (400 years BC).

Mungkin secara kebetulan yang membuatkan seorang insan yang menggunakan nama 'Kautliya' mengirimkan tujuh hukum (undang-undang) yang digunakan oleh para diktator ke atas rakyatnya. Saya amat berterima kasih dengan pengirim berita ini. Sebenarnya nama Kautliya adalah satu nama yang besar dalam sejarah India tua. Kautliya adalah seorang perdana menteri ketika pemerintahan seorang maharajah India di zaman yang dicatitkan tadi. Saya amat terpesona dengan kitab Arthasastra ini. Malangnya buku saya yang bertajuk sama itu telah dipinjam oleh seorang teman lama yang tidak pun tahu ke mana perginya. Buku itu saya beli ketika berada di Cochin, Kerala satu ketika dulu di awal lapan puluhan lagi. Saya masih ingat bahawa Arthasastra adalah bererti undang-undang untuk raja-raja. Ia telah dirangka oleh Kaultiya ketika pemerintahan Marajah Chandaragupta Murva. Untuk penerapan isi buku itu adalah diharapkan insan yang membuat posting itu dapat menyiarkan beberapa 'Dying Wisdom' yang tertulis dalam sastera lama itu. Banyak sekali hikayat di dalamnya yang memang relevan sepanjang zaman. Saya percaya sesiapa yang pernah belajar ilmu ketenteraan di Indian Military Academy tentu ada menyimpan beberapa jilid buku sastera tua itu. Mungkin juga beliau ada satu terbitan baru yang merupakan ' an abridge version' falsafah itu.

Pada mulanya saya amat tertarik dengan pengajaran Arthasastra itu setelah mengetahui bahawa ia menjadi satu kajian yang mendalam oleh pasukan risik Mosad di Israel. Seperti yang telah kita ketahui ada tujuh prinsip utama yang digunakan oleh seseorang maharajah untuk menentukan keutuhan empayarnya. Eloklah kita catatkan ketujuh-tujuh prinsip itu untuk rujukan masa depan:

(1) SAMAN: Bererti berendah diri. Menggunakan kata-kata yang lembut dan memikat hari.

(2) DANA: Pemberian sesuatu untuk merasuah. Tumbuk rusuk. Korupsi dalam artikata amalan hidup masakini.

(3) DANDA: Bererti Kuasa. Kuasa ketenteraan. Penderaan dan sebarang tindakan menekan dan menindas secara ganas.

(4) BEDHA: Bererti perbezaan yang dilakukan ke atas pihak yang menentang untuk memecah-belahkan mereka supaya tidak dapat bersatu. Inilah amalan yang dilakuakan oleh MAHAFIRAUN tehadap parti pembangkang dan juga kepada persatuan pekerja dan NGO's

(5) MAYA: Kekeliruan ataupun lencongan fakta yang boleh memalsukan sesuatu yang benar untuk mengalihkan fikiran ramai.

(6) UPEKSA: Amalan pura-pura tidak tahu ataupun tidak mahu tahu. Ini adalah satu taktik untuk merencana sesuatu yang lebih berbisa kalau mahu bertindak. Inilah taktik yang selalu dilakukan oleh MAHAFIRAUN. Dia mudah pergi ke luar negara dan membiarkan sesuatu masalah itu diselesaikan oleh balacinya.

(7) INDRAJALA; Taktik Pengabuan. Contoh yang terbaik ialah dengan membawa ramai manusia menghadiri satu perjumpaan sebagai tanda betapa besarnya sokongan dan pengaruh yang ada kepada MAHAFIRAUN itu. Demikian juga yang telah dilakukan dalam membuat kerja 'superimposing' ke atas gambar yag sama daripada dua sudut berbeza seperti yang bias dilakukan untuk musim berkempen dulu. Taktik yang sama pernah dilakukan oleh pentadbiran militari British di perang dunia kedua dulu. Mereka telah membuat kapalterbang daripada jerami padi dan menyusunnya di lapangan terbang di Malaya untuk mengabui pandangan tentera Jepun.

Apa yang menarik dalam hukum-hukum Arthasastra ini ialah cara maharajah dulu-dulu memerintah negara mereka. Mengikut ajaran Kautliya, seseorang maharajah itu membahagikan masanya kepada lapan bahagian waktu. Di siang hari ada lapan bahagian waktu dan di malam hari pun ada lapan bahagian waktu. Daripada bahagian waktu itu sudah ada beberapa agenda yang tersusun dan dilengkapi dengan pelbagai khidmat sokongan daripada pasukan tentera dan pengawal istananya. Sebahagian besar tugas seorang maharajah itu ialah mendengar akan berita yang dibawa oleh para pasukan risiknya. Dari setiap lapuran yang diterimanya itu ia mempunyai masa yang cukup untuk menganalisa setiap keadaan dengan para panglimanya jika perlu. Setelah dianalisa dia akan menggunakan sesuatu masa yang ditetapkan itu untuk menurunkan arahan bertulis kepada para panglimanya. Arahan itu telah diedarkan melalui utusan khas yang cukup terlatih dan terpilih.

- Amalan Ajaran Arthasastra oleh MAHAFIRAUN

Kita dapat melihat betapa pelbagai ajaran Arthasastra ini telah merupakan sebahagian hikmah kuasa yang mempengaruhi pentadbiran MAHAFIRAUN. Oleh kerana kesenian ajaran ini telah menjadi satu kajian mendalam oleh Akademi Tentera Israel, ia telah diguna pakai juga oleh setiap syarikat perniagaan yang ditaja oleh orang Yahudi. Di waktu yang sama kita dapat melihatkan betapa ajaran ini telah dipraktikan oleh kerajaan Wilayah Kerala yang merupakan negeri bagi kaum Malayalee. Saya juga pernah membuat sedikit catatan akan orang-orang Malayalee ini kerana ada segelintir daripada mereka itu yang merupakan sukusakat kaum Yahudi yang tercampak ke sana secara tidak sengaja selepas mereka bertapak di Goa. Oleh kerana MAHAFIRAUN mempunyai talian darah yang berlatar belakangkan Kerala, apakah tidak mungkin beliau telah lama terdedah kepada ajaran Arthasastra ini sehinggkan beliau berjaya menaklukki pemikiran orang Melayu? Penaklukan fikiran orang Melayu itu adalah sesuatu yang mudah untuk MAHAFIRAUN disebabkan budaya 'Tidak-apa' yang diamalkan oleh orang Melayu.

- MAHAFIRAUN dan percutiannya

Di dalam penulisan siri 'Manusia Berhati Syaitan' ada satu falsafah yang selalu saya tonjolkan; "Sepandai-pandai manusia merancang, kuasa veto tetap di tangan Tuhan". Nampaknya MAHAFIRAUN semakin sedar akan kenyataan ini. Nampak sangat dia merancang pelbagai agenda untuk diselesaikan oleh Paklah ketika dia pergi bercuti ke Argentina dan Kepulauan Caribean. Kita telah melihat betapa penahanan bersiri telah dilaksanakan oleh pihak polis di bawah Akta Hasutan (1948). Beberapa majalah dan akhbar yang pro parti pembangkang telah ditarik permitnya ataupun dikekang penjualannya. Semua itu dilakukan sebaik sahaja MAHAFIRAUN beredar dari angkasa raya negara ini. Ada tindakan Paklah yang sungguh tergesa-gesa seolah-olah mesti dilakukan sebelum ketuanya tertidur lina di malam pertama dia bercuti. Inilah taktik UPEKSA yang diamalkan eh MAHAFIRAUN.

Sememangnya tindakan terburu-buru seolah-olah menjadi satu amalan baru dalam kerja Paklah. Setiap kali arahan kerja itu diserahkan kepadanya oleh MAHAFIRAUN dia nampak gelabah. Dia terus terburu-buru mahu melaksanakannya. Ini sudah menjadi satu budaya dalam UMNO juga. Kalau tidak masakan Majlis Tertinggi UMNO boleh membuat satu keputusan konsensus dalam menentukan dua jawatan terpenting dalam parti di kategorikan sebagai 'jawatan Brahmin'. MAHAFIRAUN memang amat takutkan kehilangan kuasa dalam UMNO. Ini bererti beliau juga akan kehilangan jawatan Perdana Menteri. Kerana itu dia mahu jawatan presiden parti dibrahminkan. Untuk memudahkan kerja, dia telah meancang agar jawtan yang disandang oleh Paklah pun tidak ditandingkan. Inilah ajaran Arathasastra berbentuk 'SAMAN' kepada Paklah pada tahap awalnya dan kemudiannya kepada pucuk pimpinan MT yang sanggup mengaku akan adanya keputusan konsensus.

Paklah dan MT mahukan semua tugas dibereskan sebelum MAHAFIRAUN pulang daripada Davos. Tentunya perkara ini termasuk juga kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) di mahkamah tinggi. Kalau kes DSAI itu dapat dibereskan dalam masa satu minggu sudah pasti sapina yang dikeluarkan kepada MAHAFIRAUN itu akan luput begitu sahaja. Untuk memudahkan keraja jijik ini, maka digangu-gugat HARAKAH, Al Wasilah dan DETIK. Ini adalah mengikut hukum BHEDA dan MAYA yang kita terangkan itu. Kalau kita lihat cara Paklah mentadbir negara sekarang ini, nampak sangat Paklah tidak mempertontonkan perwatakan yang menyerlah. Dia tidak mampu berbuat demikian kerana adanya satu kuasa ghaib yang seolah-olah berada di sisinya setiap masa. Paklah kelihatan serbasalah dalam setiap gerak gerinya. Kenyataannya kadangkala merapu dan tidak meyakinkan. Kenapakah begitu jadinya kepada Paklah?

- Wawancara Paklah yang mencurigakan

Untuk mendapatkan jawapan yang jelas, kita boleh renungkan wawancara yang disiarkan secara lintas lansung di TV1 malam tadi. Saya fikir wawancara itu muncul di bawah rencana 'Malaysia Cemerlang'. Paklah telah diwawancara oleh Zam yang merupakan seorang panglima dan orang kuat MAHAFIRAUN. Kalau kita lihat wawancara seorang personaliti politik yang matang tentunya tetamu yang dijemput itu yang lebih bercakap sedangkan penemubual itu jarang bersuara. Kalau kita tengok "Larry King Live", begitulah caranya. Kadangkala sahaja Larry King lebih bercakap disebabkan tetamunya itu seorang yang novice dan penyegan. Wawancara di TV bagi seorang tokoh politik seperti Paklah tentunya satu pentas pablisiti yang amat mudah untuk ditanganinya. Tetapi, apa yang sudah jadi?

Berbeza dengan amalan, Zam yang lebih bercakap. Malahan ada kalanya beliau yang menonjolkan idea untuk diulang kembali oleh Paklah. Cuma pada satu ketika Paklah ada menunjukkan kewibawaannya sebagai seorang yang pernah mengambil HSC dan seterusnya belajar di universiti. Zam ada cuba menonjolkan sauu idea betapa faktor ekonomi sesebuah negara itu mempengaruhi kestabilitian politik. Dia cuba mengambil Itali dan Jepun sebagai contoh. Tentunya ketika dia menonjolkan idea itu ramai penonton yang terfikirkan apa sudah jadinya dengan politik negara ini. Seorang ketua pengarang akhbar yang dilonjakkan ke jawatannya cuba mempengaruhi rakyat dengan teori ekonomi yang dia tidak pun pernah pelajari? Nasib baik Paklah menyedari taktik ini dan memperbetulkan fakta yang sepatutnya.

Cara Zam mewawancara Paklah adalah seiras cara yang dilakukan oleh pengacara TV ataupun radio di negara komunis. Inilah taktik yang digunakan oleh juruacara di negara komunis. Kalau di Russia dulu, seorang juruacara itu sebenarnya mempunyai pangkat yang lebih besar daripada seorang duta atau menteri kerana juruacara itu adalah anggota KGB. Walaupun dalam penggunaana kata-katanya seorang juruacara itu menunjukkan perangai yang berhemah, dia sebenanrya memimpin seseorang tetamunya itu ke arah matlamat propaganda yang perlu ditonjolkan. Kalau itulah taktik yang digunakan oleh Zam, maka timbul satu soalan di kepala kita. Siapakah Zam sebenarnya dalam status heiraki pentadbiran negara? Kenapakah beliau kelihatan semakin lantang masakini dalam percakapannya di TV, di radio dan juga di dewan senate ? Apakah Zam sudah diberi satu mandat baru oleh MAHAFIRAUN untuk melenturkan sesuatu pendapat yang mahu ditonjolkan oleh MAHAFIRAUN secara proksi? Beberapa 'opinion' yang digunakan oleh Zam terhadap Paklah dalam wawancara itu memberikan kita satu gambaran seolah-olah Zam cuba memperkecilkan watak Paklah sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri. Apakah tujuannya yang sebenar? Kalau dianalisa cara Zam mengendali wawancara itu dan cara dia menggulungnya kita boleh membuat satu andaian bahawa ada sesuatu muslihat yang direncanakan. Kalau dibandingkan dengan orang media massa yang lain nampak sangat Zam tidak sehebat dan sematang Azman Ujang daripada Bernama. Malahan Zam tidak berjaya menunjukkan sikap rendah diri seperti Chamil Warya. Ini mmberi kita satu gambaran seolah-olah ada satu mesej yang diterima daripada bosnya untuk memberitahu rakyat apa yang bosnya mahu ketengahkan.

KESIMPULAN

Berita perubahan jadual Perdana Menteri yang membatalkan niatnya berucap di Davos telah disambut dengan satu wawancara oleh Paklah di TV. Wawancara yang lebih menonjolkan Zam sebagai juruacaranya tentu sekali memberikan satu pesan terselindung kepada rakyat. Rakyat semakin tertekan sekarang ini terutama sekali dengan ura-ura adanya satu perhimpunan di subuh Selasa ini di masjid negara. Dari situ rakyat akan berarak tanpa permit ke mahkamah tinggi. Tujuannya ialah untuk melambai tangan kepada DSAI. Samada perhimpunan itu berlaku ataupun tidak, ia pasti menggugat pasaran KLSE pada Hari Isnin ini. Ini bererti pasaran akan merudum bukan disebabkan proses pengambilan untung tetapi disebabkan keraguan dan ketidakpastian keadaan kesihatan Perdana Menteri yang menyambungkan percutiannya.

Senator Dato Zainuddin Maidin, cuba menonjolkan imej pasaran KLSE sebagai sesuatu keajaiban yang menepati tekaan Perdana Meneri 'yang kita cintai' (he,he,he!). Zam telah mengemukakan stau hipotesis betapa ekonomi negara telah 'melonjak naik' mengikut ramalan perdana menteri. Malahan dia cuba menonjolkan satu idea betapa faktor ekonomi tidak ada hubungkaitnya dengan stabiliti politik sesebuah negara itu. Soalannya dan cara dia memintas jawapan Paklah menunjukkan seolah Zam mempunyai agendanya yang tersendiri dalam mengendalikan wawanrcara itu.

Saya menjangkakan pasaran KLSE akan mula menjunam kerana faktor yang pernah saya kiaskan selama ini. Saya belum bersedia menulis akan perilaku emosi manusia yang mengguris dan mempengaruhi perilaku pasaran. Insya Allah akan kita tulis juga dalam satu masa yang terdekat. Memadailah kalau saya katakan, pasaran KLSE sebenar bergerak ganjil secara 'abnormal' dari kelakuan semua pasaran ternama di dunia ini. Pengumuman dan kenyataan yang dibuat secara berulang-ulang betapa pelabur asing sudah pun masuk ke pasaran kita merupakan satu ejekan yang tidak mudah dipercayai. Kalaulah pasaran kita kuat dan bertenaga kenapakah perlunya diulang-ulang berita kemasukan wang asing itu? Apakah itu satu fakta ataupun satu fiksyen?

Kalau diikuti amalan biasa, pasaran KLSE selalunya merudum setiap kali MAHAFIRAUN berlepas keluar negara. Ini adalh berdasakan satu ramalan yang dibuat oleh seorang tukang tilek bebrapa tahun yang lalu. Dia pernah berkata dan menilek bahawa pasaran saham KLSE akan merudum secara tiba-tiba apabila tersebarnya berita seorang perdana menteri yang tenat di luar negara. Tukang tilek yang sama pernah membuat tilekan di Bukit Pelandok di Sepang. Ketika itu para penduduk kampung baru sahaja memulakan projek pemeliharaan khinzir. Tukang tilek itu telah meramalkan betapa "kampung itu akan menjadi satu bandar berhantu sebelum menjelangnya tahun dua ribu. Sekolah tidak akan ada muridnya, jalan raya tidak akan digunakan oleh kereta dan rumah akan tidak berpenghuni." Semua penduduk Bukit Pelanduk aamat faham akan ramalan ini. Mereka tidak menyangka penyakit JE akn muncul sebelum munculnya alaf baru. Tetapi itulah hakikatnya.

Sebenarnya, tilek menilik tidk direstui olehIslam. Apabila kita mengungkitnya kita hanya merakamkan sesuatu fenomena mengikut kepercayaan orang lain. Ia tidak semestinya gambaran kepercayaan kita. Ini penting kalau kita mahu bersifat saintifik dalam penganalisaan kita. Berdasarkan ramalan yang sama kepada pasaran KLSE, kita dapat melihat betapa pasaran itu telah diransang secara mendadak dan 'artificial' sejak beberapa hari yang lalu. Inilah ciri-ciri permainan kasino yang selalu menghambat KLSE sebelum menjelangnya hari lebaran. Ia tidak berlaku sebelum kedatangan Syawal. Tetapi, ia berlaku selepas munculnya satu syawal. Lonjakan yang amat tinggi pada tahap awal ini adalah sesuatu yang dirancangkan kerana ia berlaku ketika MAHAFIRAUN berada di luar negara. Mungkin ada pihak tertentu yang melakukannya selepas mengetahui keadaan kesihatan MAHAFIRAUN yang baru beraada di luar negara itu. Mungkin juga ia dilakukan untuk mencari modal bagi projek Mei 11, di mana kempen untuk memenangi kerusi MT adalah satu projek kalah mati karier politik beberapa oraang menteri.

Satu lagi faktor kenapa KLSE mendadak ialah disebabkan rencana terpendam oleh beberapa kumpulan yang tersepit disebabkan pembekuaan saham mereka dalam CLOB. Jikalau andaian ini tepat, bererti ransangan yang dibuat di KLSE adalah bikinan pelabur daripada seberang tambak, dan bukannya oleh pelabur runcit tempatan. Mereka mahukan keuntungan cepat dalam pelaburan singkat untuk menutup kerugian yang terpendam sekian lama. Hampir dua tahun sudah berlalu sejak pelaburan mereka dalam CLOB terpendam. Harga saham yang digantung masih belum lagi dicecah oleh kenaikan harga sekarang. Oleh itu mereka akan terus meransang pasaran saham itu untuk meraih keuntungan dalam jangkamasa lima hari bagi setiap pelaburan. Ini adalah bertepatan dengan pusingan 'kontra' . Apabila mereka mengamalkan sistem pelaburan begini, bererti saham akan turun naik begitu cepat laksana mainan 'yo-yo. Lagipun pelaburan bersindiket itu akan dibuat secara berpilih-pilih, dan tidak menyeluruhi semua kaunter yang ada.

Apa yang saya tuliskan tentang pergerakan saham ini adalah satu telahan mengikut kelakuan pergerakan pasaran. Ia dapat dibuktikan ketepatan esok hari apabila saham dibuka. Saya menjangkakan saham akan diransang selama tiga puluh minit pertama pasaaran itu sebelum ia mula dihenyak secara bersiri, daripada satu kaunter kepada satu kaunter yang lain. Berita penarikan diri MAHAFIRAUN daripada persidangan Davos akan membawa pelbagai andaian yang akan menakutkan pasaran. Kalau berita itu dianggap negatif besar kemungkinannya indeks komposit boleh jatuh sehinggalah melebehi tiga puluh mata di sebelah pagi sebelum ia menjadi tenang kembali di sebelah petang untuk jatuh dalam lingkungan 20 mata. Jika ini tidak berlaku, besar kemungkinnnya ia akan terus merudum secara berdikit setiap hari sepanjang minggu hadapan.

Kita dapat melihat sokongan yang akan dilakukan oleh institusi kerajaan seperti yang telah ditunjukkakanya sepanjang minggu yang lalu. Tentu ada muslihat tertentu dalam perkara ini dan akan kita bincangkan nanti. Lagi satu perkara yang mungkin menggugat stbiliti pasaran ialah desas-desus perhimpunan pagi Selasa itu. Ini lebih merunsingkan. Apatah lagi Paklah cuba memberi ingatan secara berlembut di TV. Apakah ingatan itu satu muslihat agar pihak polis terus mengambil jalan yang keras seperti biasa? Ataupun pihak polis akan berlembut kali ini seperti yang kita cadangkan semalam?

Apa pun yang akan berlaku sudah mula terbentang sekarang ini. Satu corak kehidupan yang akan dilalui oleh warga negara ini dalam seminggu dua lagi, akan mula terserlah secara berdikit. Samar-samar pada mulanya.. Terlalu banyak peristiwa penting yang pasti akan tercatat dalam sejarah negara ini. Ia akan bermula dengan keadaan pasaran esok yang mungkin mencerminkan perasaan emosi para pelabur. Apakah pelabur akan sensitif kepada berita percutian MAHFIRAUN di London ataupun akan desas desus perhimpunan di pagi Selasa itu.

Kemunculan Paklah di kaca TV yang memberi penekanan kepada tugas pasukan polis menjaga imej mereka memberi satu kiasan betapa "polis sudah pun bersiap sedia." Bersiap sedia untuk apa? Kalau boleh kita tanya. Inikah caranya seorang pemimpin mahu menangani masalah negara yang membabitkan emosi manusia. Kenapakah tidak diceritakan ura-ura Paklah berbincang dengan semua pemimpin parti pembangkang untuk meredakan keadaan agar perhimpunan itu tidak dianjurkan? Kenapakah tidak ada usaha oleh pihak polis berunding awal dengan para reformis agar ura-ura mereka itu dibatalkan? Bukankah perundingana secara tidak rasmi merapakan satu taktik menjaga keselamatan negara? Disebabkan tidak adanya berita seperti itu ia sudah menunjukkan betapa pihak kerajaan sudah bersedia dalam satu pertembungan dengan rakyatnya.

Apakah serba mungkin MAHAFIRAUN sendiri akan pulang untuk menangani masalah ini? Menunggukan kepulangannya itu Paklah diminta berdepan dengan rakyatnya di TV tanpa kerelaan hatinya sendiri, malam tadi? Perkara yang tidak menentu semakin mencurigakan hati rakyat. Mereka curiga kerana diberikan pelbagai cerita yang tidak tentu kesahihannya. Laksana akan munculnya pelangi di malam hari. Ia adalah satu usaha yang tidak menentu kerana hasilnya yang sudah pasti. Mana mungkin pelangi timbul di malam hari?

-MT-
24.1.2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com