Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 18 - Antara Bulan Dan Mentari

Sebagaimana yang kita bicangkan semalam, hari-hari yang mendatang akan merupakan hari yang penuh kesangsian dan keraguan untuk orang Melayu. Terlalu banyak hari yang akan muncul itu yang akan membawa bersamanya pelbagai tekateki yang perlu dijawab. Inilah tekateki yang telah dirodokkan ke dalam pemikiran orang Melayu tanpa kerelaan mereka.

Apakah jadinya nanti dengan pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO yang telah dibrahminkan oleh keputusan konsensus itu? Siapakah pula yang akan berani mencabar peresiden UMNO dan timbalannya, seandainya dua jawatan itu mahu dipertandingkan juga? Bagaimanakah keadaaan perdana menteri Malaysia yang sedang bercuti di London? Apakah beliau akan bertolak ke Paris untuk berbincang dengan Jacques Chirac seperti yang dijadualkan pada 29 Januari ini? Kenapakah beliau membatalkan jadualnya untuk bercakap di Davos. Betulkah keaadaan kesihatannya tidak menyenangkan? Inilah pelbagai persoalan yang mahukan jawapan. Yang paling menekan kita rakyat Malaysia seluruhnya ialah apakah betul berita bahawa akan adanya satu kumpulan manusia yang akan berjemaah di Masjid Negara esok pagi dan seterusnya beratur berarak ke dataran Merdeka?

Alangkah peningnya kepala ini apabila memikirkan pelbagai soalan yang perlu dijawab dalam satu hari? Bukankah ini perkara politik Melayu yang akan menjejaskan stabiliti politik negara ini?

- Percutian Perdana Menteri Yang Penuh Misteri

Dalam sejarah pemerintahan MAHAFIRAUN sebagai perdana menteri Malaysia, belum pernah beliau keluar bercuti tanpa ada sebarang berita yang disiarkan di media massa dan elektronik negara ini. Tetapi kali ini, percutiannya itu menjadi satu istirehat yang penuh misteri. Ia sungguh dirahsiakan sehingga mencetuskan pelbagai cerita yang berciri lucu dan juga mencemaskan. Apakah sebenarnya yang berlaku, tanya rakyat marhain di mana-mana? Apakah benar PM menjalani pembedahan di mukanya untak menegangkan kedut-kedut yang semakin kendur dan membawakan seri kepada wajah yang semakin uzur? Apakah benar dia diberikan terlebih bius sehinggakan membawa kesan yang serius? Benarkah beliau terjatuh dari kuda, kerana tersalah tarik tali pelana? Ataupun apakah beliau sengaja mahu bercuti panjang untuk merancang bagaimana menangani masalah tentangan pada jawatan presiden parti yang mahu dimonopoli?

Demikianlah sebahagian daripada soalan yang serius yang boleh kita dengar sekarang ini. Sebenarnya setiap rakyat yang cintakan negaranya berhak mengetahui apakah cerita yang sebenarnya. "Di manakah perdana menteri yang kita sayangi (he,he) sehinggakan beliau sanggup menghilangkan diri selama ini ?" mungkin satu soalan yang mahu dimajukan oleh Senator Datuk Zam kalaulah dia mempunyai peluang berbuat demikian. Tetapi, kehilangan tuan besarnya itu tentulah tidak mendebarkan kerana tentunya dia selalu berhubungan mesra dengan ahli keluarganya yang tinggal di Putrajaya ataupun di ibukota. Tentunya dia selalu mendengar ulasan berita daripada para juaknya yang sudah pasti melakukannya dengan penuh setia. Apatah lagi berita yang dibawakan oleh Abdullah Badawi. Tentunya berita itu lebih terperinci

25 Januari yang penuh bererti

Esok adalah hari yang pertama di alaf baru ini di mana rakyat akan berdemonstrasi. Mereka akan berkumpul secara sukarela dan berjemaah subuh di masjid negara. Kita tidak mahu fikirkan apa yang akan berlaku selepas itu kerana ada rencana mereka akan berarak tanpa permit ke dataran meredeka untuk menunggu ketibaaan seorang wira. Inilah gerakannya yang tidak dirancang secara berinstitusi kerana gerak rakyat k untuk menegakkan keadilan tidak perlu satu agenda mantap sebagai pedoman. Pedoman utama hanyalah menyerlahkan rasa bahawa sudah tiba masanya negara ini mendengarkan suara mereka yang mahukan demokrasi.

Esok, rakyat akan berkumpul beramai-ramai tanpa sebarang upah ataupun imbohan. Mereka akan berkumpul untuk menyerlahkan satu suara dalam satu nada. Mereka akan tegakkan semangat reformasi dan semangat mahukan keadilan. Tentunya ada sebabnya kenapa mereka berperangai begitu di sebuah negara yang sedang giat menuju ke arah negara maju. Tentunya perangai kumpulan itu tidak mudah dimengerti oleh orang luar yang tidak memahami apakah sebenarnya yang mereka perjuangkan. Kenapakah mereka sanggup melakukan semua itu semata-mata untuk Anwar? Mungkin itu soalan basi yang kerap diulangi, kerana itulah persepsi basi majoriti manusia di negari ini.

"Allahuakbar! Reformasi ! Islah ! Hidup Anwar !" adalah beberapa laungan yang akan disuarakan esok oleh insan-insan yang sanggup bersuara lantang di dalam satu kumpulan yang dianggap berkumpul secara haram. Inilah nasib manusia yang menentang establishment di negara ini. Mereka tidak akan diberikan permit untuk bersuara lantang di tepi jalan ataupun di perkarangan sebuah masjid. Itu kerja salah, kata pihak kerajaan. Itu kerja yang tidak boleh diberikan kelulusan ataupun permitnya.

Apakah salahnya berkumpul secara aman ?

Berkumpul secara aman bukannya satu fenomena baru di negara ini. Ketika negara baru mahu mencapai kemerdekaan dulu, orang putih yang menjajah negara tidak pernah menyusahkan rakyat. Di sana sini rakyat berkumpul secara aman dengan semangat kemerdekaan. Di sana sini rakyat boleh berbondong-bondong ke mana sahaja. Dengan basikal, motorsikal, bas dan kereta yang disewa, keretapi yang berenjinkan arang batu yang membuatkan pakaian hitam berdebu, ataupun lori dan kereta lembu. Semua pengangkutan ini telah dijadikan kenderaan yang mengangkut manusia ke sana sini untuk berkumpul dan berbicara 'reformasi'. "Merdeka!" sahut seorang insan, akan bersambut dengan puluhan suara yang sama bunyi oleh orang yang berkeliaran sekelilingnya. Demikianlah semangat rakyat bersatu ketika itu. Mereka mahukan satu reformasi sosial di bawah semangat perkataan "MERDEKA". Tidak ada pun sekatan ketika itu. Tidak ada pun huru-hara ataupun perbalahan daripada rakyat yang berbilang bangsa.

- Gambar Muka depan HARAKAH Edisi Isnin 17 Syawal

Perkampungan rakyat dulu untuk bersatu melaungkan "MERDEKA" di sana sini, tidaklah sama banyaknya dengan perkampungan rakyat yang berjemaah Maghrib di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu. Gambar yang dipaparkan oleh Harakah di muka depannya tentu menjadi pendorong kepada setiap reformis di ibukota Kuala Lumpur. Alangkah ramainya manusia ketika itu dan alangkah kecewanya mereka yang tidak dapat ruang untuk turut serta. Ramai orang ibukota daripada pelbagai agama yang bertanya diri mereka; "Kalau kumpulan seramai itu tidak pun mencetuskan sebarang huru-hara, kenapakah Paklah tidak mahu mengizinkan seribu manusia berbuat serupa di masjid negara?"

Soalan yang serupa tentunya akan menghantui setiap warga kota di Kuala Lumpur.Mereka akan bertanya kenapakah tidak dibenarkan orang kota berkumpul secara aman? Bukankah perkara ini satu perangai manusia untuk menunjukkan perasaan emosinya? Bukankah elok dibiarkan penyerlahan emosi itu secara terbuka daripada membiarkan mereka memendam rasa?

Sesiapa yang berfikiran waras tentunya tidak dapat menerima kenapa Paklah sebagai ketua eksekutif negara dan juga Menteri Dalam Negeri tidak sanggup melihatkan rakyat berdemonstrasi. Malahan ada beberapa pemimpin UMNO yang bersuara lantang mengatakan betapa "kerajaan mesti bertindak terhadap golongan yang gian berdemonstrasi itu". Perkataan 'gian' itu mungkin nampak tidak berbisa, tetapi ia mempunyai satu makna yang amat dalam. Ia melambangkan betapa ceteknya pemimpin negara ini dalam menangani masalah emosi rakyat. Oleh kerana MAHAFIRAUN sebagai pemimpin ulung negara tidak suka dengan segala bentuk suara tentangan terhadap kerajaannya, sesiapa yang sanggup berdiri di tepi jalan dan melaungkan 'reformasi' sudah sanggup dianggapnya syaitan.

Sesiapa juga di Malaysia ini yang sanggup berkumpul dan berada dalam keadaan yang mencurigakan akan ditanya dan disuruh bersurai. Demikianlah ketatnya peraturan negara yang sudah merdeka sejak 1957 dulu. Demikianlah taksubnya MAHAFIRAUN dengan kelakuan rakyatnya yang difikirkannya sedang bersiap sedia untuk menggulingkannya. Inilah yang menjadi ikutan para pemimpin Barisan Nasional masakini, walaupun jauh di hati mereka, sudah ada kesedaran bahawa sebarang tunjuk perasaan aman harus dibenarkan.

Semua pemimpin parti komponen BN yang pernah belajar di luara negara sememangngya telah terdedah dengan segala bentuk tunjuk perasaan. Memang di negara luar terutama sekali di negara maju sesiapa sahaja boleh menunjukkan perasaannya di tepi-tepi jalan. Ada yang sanggup melakukannya sendirian dengan sepanduk yang diangkat tinggi ataupun tergantung di leher. Di sepanduk itu ada bertulis apa sahaja yang mahu dituliskannya untuk dibaca oleh sesiapa yang tahu dan mahu membacanya. Tidak ada sesiapa yang akan melarang perbuatannya itu selagi manusia begitu tidak mengganggu ketenteraman orang lain. Itu hak dia bersuara dan menunjuk perasaan. Begitu juga kalau tunjuk perasaan itu dilakukan secara kumpulan, tidak juga ada yang menahannya selagi perbuatan itu tidak mengganggu ketenteraman.

Ketika musim panas di negara maju, kita dapat melihat beberapa manusia berdiri di atas kotak kayu yang disebut sebagai 'soap-box' dan berpidato selama mana yang dia mahu dan dia tahu. Tidak ada sesiapa yang sanggup mlarangnya dan mencercanya. Cuma, orang yang mendengar akan menjerit sebagai sokongan ataupun sebagai simbol penentangan akan pendapatnya. Tidak pula orang yang berpidato itu diperlukan mendapatakn permit untuk bersuara begitu. Tidak juga orang yang berkerumun kepadanya diperlukan mendapatkan permit itu. Semua itu tidak perlu kerana semua itu adalah lambang kebebasan manusia bersuara. Itulah yang terjadi di Central Park di New York, di Hyde Park di London dan di banyak tempat lagi di seluruh negara maju. Rakyat yang mahu menunjuk perasaan mereka dibenarkan asalkan tunjuk perasaan itu tidak mengganggu ketenteraman orang lain.

Begitulah bebasnya manusia bersuara lantang di negara maju sehinggakan ada ketikanya terdapat dua kumpulan yang bertentangan ideologinya bertembung dengan cara tunjuk perasaan. Mereka mengadakan tunjuk perasaan di satu tempat yang sama dan beratur sopan di tepi jalan yang bertentangan. Perkara begini pun dibenarkan kerana ini adalah satu proses tunjuk perasaan secara pertembungan yang difikirkan dapat menyelesaikan sesuatu masalah besar. Kalau tidak dibenarkan, masalah yang terpendam itu mungkin meletup menjadi besar dan semakin sukar untuk dihindar.

Kenapa Rakyat Berdemonstrasi Esok Hari.

Demonstrasi secara aman akan berlaku esok hari, 25 Januari. Ia tidak dapat dibendung lagi. Walaupun permit tidak dikeluarkan. Kita menjangkakan ramai warga kota yang akan berbondong-bondong untuk berdemonstrasi. Kerajaan yang memerintah terutama sekali Paklah harus bertanggungjawab ke atas setiap keburukan yang mungkin berbangkit esok. Kita tahu kalau mengikut trend yang lalu para reformis yang akan berdemonstrasi esok akan datang dengan aman dan mahu berdemonstrasi dengan aman juga.

Paklah seharusnya sedar domonstrasi manusia esok sebenarnya dicetuskan oleh kerajaan pimpinan MAHAFIRAUN yang sejak seminggu yang lalu telah diproksikan kuasa eksekutifnya kepada Paklah. Sebilangan besar rakyat yang berddmonstrasi sceara aman esok akan berbuat demikian kerana membantah tindak-tanduk kerajaan yang tidak adil. Cuba lihat faktor ini:

a) Esok, rakyat mahu berkumpul melaungkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seorang wira negara yang akan menghadiri satu perbicaraan yang lama sudah tertunda. Perbicaraan itu tertunda disebabkan hakim yang dikatakan jatuh sakit dengan tidak semena-mena. Di waktu yang sama ia membolehkan seorang pemimpin negara mengelat daripada menghadirkan dirinya selepas disapina oleh mahkamah yang sama.

B) Wira yang bernama Anwar Ibrahim dan lebih terkenal dengan abjad DSAI, telah dipenjarakan berasaskan tuduhan yang diketahui umum sebagai palsu dan menjijikkan. Di waktu yang sama rakyat tahu, ramai lagi para menteri dan ahli korporat yang banyak dosanya terhadap rakyat dan negara yang sepatutnya dihadapkan ke mahkamah tetapi telah diberikan perlindungan oleh kerajaan.

C) Rakyat mahu berdemonstrasi secara aman. Ini adalah hak mereka. Mereka boleh melakukannya di mana jua tanpa mengganggu gugat ketenteraman awam. Tetapi, rakyat tahu, seperti yang pernah berlaku di masa lalu, tunjuk perasaan mereka itu akan tercemar kerana disabotaj oleh kerajaan juga. Kali ini, rakyat mahu menyaksikan apakah peristiwa yang sama akan berulang kembali.

D) Pihak kerajaan sebenarnya sudah lama menjangkakan rakyat akan menunjuk perasaan secara aman esok hari. Kerana itu kerajaan telah melakukan beberapa penangkapan ke atas beberapa ketua pemimpin generasi muda yang memimpin tunjuk perasaan secara aman itu. Untuk melumpuhkan semangat rakyat ini kerajaan telah menangkap mereka di bawah tuduhan yang tidak bermakna apa-apa dan menghendakki mereka dibicarakan pada tarikh yang sama di tempat yang jauh daripada mahkamah ibukota. Dengan cara ini kerajaan berpendapat rakyat tidak akan bangkit lagi menunjuk perasaan.

Betapa Malangnya Paklah

Adalah amat malang sekali, sikap penakut yang ditunjukkan oleh MAHAFIRAUN menjadi bahan untuk beliau menaikkan Paklah sebagai proksinya untuk memporak-perandakan negara. Paklah tidak menyedari betapa tindakannya menangkap beberapa pemimpin muda negara adalah satu katalis untuk membuatkan rakyat terasa terhina. Mereka terhina dengan kelakuan MAHAFIRAUN yang memperbodohkan generasi muda negara ini. Mereka merasa dibodohkan dan dipermainkan oleh MAHAFIRAUN sejak hak mereka mengundi di pemilu ke-10 dulu telah disabotaj dan diperlekehkan. Kini MAHAFIRAUN datang lagi dengan taktik yang amat jijik itu. Dia gunakan Paklah sebagai pemerintah proksi untuk mengganggu-gugat fikiran waras generasi muda itu sekali lagi. Sayang sekali, Paklah tidak memahami taktik paling kotor ini.

Perangai Manusia Yang Paling Hina

Sudah amat jelas kini, betapa hinanya perangai MAHAFIRAUN selama ini. Dia mahukan kuasa dan terus berkuasa. Dia mahukan kuasa tanpa sesiapa dapat menentangnya, walaupun tentangan itu berupa suara kecil untuk memperbetulkan akidahnya. Walaupun suara kecil itu berniat suci untuk menentukan negara terus aman dan terus kaya raya.

Kerakusan yang dipertontonkan oleh MAHAFIRAUN adalah disebabkan kejayaannya memukau hampir semua para pemimpin pucuk pimpinan parti komponen Barisan Nasional terutama sekali UMNO. MAHAFIRAUN berjaya bertakhta begitu lama di atas satu singgahsana yang tidak direstui oleh rakyatnya. Inilah singgahsana yang dirangkulnya secara tidak disedari oleh institusi raja dan istana di negara ini. Ia berjaya dengan muslihat ini setelah memperdayakan hampir semua ahli kabinetnya dan juga para pemimpin pucuk pimpinan parati. Kejayaan MAHAFIRAUN itu adalah bersandarkan kerja-kerja songlapan yang dilakukan secara besar-besaran dan terang-terangan oleh hampir semua pemimpin Barisn Nasional, terutama sekali pemimpin UMNO yang mempunyai kuasa politik.

Inilah kuasa politik yang pada asasnya diamanahkan oleh rakyat melalui peti undi. Inilah proses undi bebas yang telah diputar-belitkan dengan penggunaaan undi hantu dan undi tipu. Inilah keputusan undi yang menjijikkan kerana inilah proses kediktatoran yang MAHAFIRAUN mahukan. Inilah muslihat MAHAFIRAUN untuk terus menjadi diktator seumur hidupnya selagi dia mahu dan selagi dia belum mati.

Apa Yang Rakyat Sudah Tahu ?

Selama ini melalui proses pukau-memukau, ugut-mengugut, tipu muslihat dan ampu-mengampu MAHAFIRAUN telah berjaya mengekalkan kuasanya. Disebalik pelbagai cogankata yang mempersonakan beliau telah membalun harta rakyat untuk membina projek mega yang tidak ada gunanya kalau dibandingkan dengan kesengsaraan rakyat masakini. Kini, rakyat sudah sedar akan apakah ertinya bangunan kembar tertinggi di dunia kalau anak-anak ke sekolah sebelum burung mula berkicau dan pulang selepas burung pulang ke sangkarnya? Apakah ertinya satu litar lumba tercanggih di dunia kalau masih ada berjuta rakyat yang tidak pun mampu membeli sebuah rumah untuk menjadi pesaka zuriatnya ? Apakah maknanya sebuah mahligai kayangan kalau anak-anak ke universiti bergantung kepada ihsan bank memberikan hutang untuk mengongkosinya? Apakah ertinya sebuah bandar-cyber yang indah kalau rakyat masih terpaksa menampung hujan untuk mandi dan mencuci pakaiannya?

KESIMPULAN

Rakyat marhain merintih kini kerana dibebankan dengan pelbagai cukai dan potongan gaji untuk terus hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati. MAHAFIRAUN tahu akan kedaifan rakyat itu tetapi sengaja pura-pura tidak tahu. Sememangnya rakyat berhak berkumpul dan bersuara lantang esok hari dan kalau boleh setiap hari selepas itu. Inilah hak rakyat menunjuk perasaan secara aman mengikut hak asasi manusia yang ada dalam perlembagaan negara. MAHAFIRAUN amat arif tentang itu dan Paklah pun memang arif akan hak itu. Cumakan, Paklah tidak berani untuk menentang ketuanya secara berhemah dan berkata bahawa rakyat pun mempunyai kuasa untuk bersuara.

Rakyat akan bangkit esok dan akan terus bangkit keesokan harinya mengikut bentuk kekuatan yang terdaya. Paklah harus faham akan fenomena ini. Inilah yang dikatakan jihad rakyat yang sepatutnya Paklah lenturkan tanpa merujuk kepada kekerasan panduan ketuanya yang sudah sewel dan mungkin tidak berupaya berfikiran waras lagi.

Kalau tunjuk perasaan secara aman esok tercemar disebabkan disabotaj, Paklah bolehlah ucapkan selamat tinggal kepada orang Melayu. Itulah tugas terbesarnya yang terakhir sebelum dia harus undur daripada dunia politik negara ini. Ini juga bermakna akan terpalitnya juga dosa-dosa keatas setiap pemimpin UMNO yang sekarang ini memegang amanah untuk menegakkan ketuanan Melayu. Ini termasuklah pemimpin veteran seperti Pak Ghafar, Tengku Razali dan sesiapa sahaja yang mahukan peranan besar untuk memimpin negara di alaf baru ini.

Kira-kira empat puluh tahun yang lalu, satu pertembungan berlaku di antara rakyat yang menunjuk perasaan dengan pemerintah British di Singapura. Kumpulan yang tunjuk perasaan itu semuanya orang Melayu dan pihak polis yang menentang mereka aalah juga orang Melayu. Cuma pegawai polis yang memerintah, orang putih. Orang Melayu ketika itu memberontak kerana menentang penculikan seorang gadis bernama Natrah ataupun nama Kristiannya Maria Zertog. Apabila pegawai British itu memberikan aarahan agar serangan dilakukan ke atas pihak yang merusuh, tidak ada seorang anggota polis pun yang sanggup mematuhi arahan itu. Akan berulangkah peristiwa itu esok hari disebabkan anggota FRU yang sudah sedarkan diri?

Tunjuk perasaaan secara aman yang akan diadakan esok bukannya sebarang tunjuk perasaan. Ia mungkin menjadi satu ucapan selamat tinggal kepada seorang diktator yang rakus yang pernah dikenali oleh anak bangsanya yang satu ketika dulu amat mengkaguminya. Paklah harus memahami kemungkinan ini.

Kita amat mengharapkan perjuangan yang suci dengan nawaitu yang bersih akan diredahi Allah. Para reformis akan melakukan satu perjuangan yang akan dicatatkan dalam lembaran sejarah negara ini sepanjang zaman. Tindakan berani mereka itu adalah satu lambang pembaharuan betapa tunjuk perasaan yang berterusan sahaja yang akan menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipimpin oleh orang diktator tua yang lupa daratan. Apa juga yang berlaku esok samada dengan berita baik ataupun sebaliknya akan tercatat sebagai lambang penentangan rakyat terhadap MAHAFIRAUN. Inilah rakyat yang sedar bahawa cahaya bulan purnama adalah sebenarnya pantulan cahaya daripada mentari. Inilah rakyat yang akan pergi ke medan perang untuk menegakkan sebuah negara yang makmur dan saksama untuk satu masa yang panjang. Semoga Allah akan memberkati mereka dengan semangat juang yang terus menyala dan yang akan terus membara.

Laksana api yang dipancarkan oleh mentari ia akan terus bersinar tidak kira siang ataupun malam. Itulah dia semangat Islah! Reformasi ! Kebebasan! Keadilan! Itulah dia semangat jihad yang akan terus membara selagi ada mentari, bumi dan purnama.

-MT-
24.1.2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com