Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 19 - Yang Baku, Beku dan Kaku

Siapakah yang boleh menyangkakan bahawa apa yang dipraktikkan sejak 12 tahun yang lalu dengan satu perbelanjaan yang besar boleh diubah semata-mata dengan satu tindakan kabinet yang membuat keputusan konsensus lagi? Kali ini, kabinet mengambil pendirian agar Bahasa BAKU dimansuhkan dan rakyat digalakkan menggunakan bahasa standard yang mengikut bahasa Riau. Untuk melucukan lagi, keputusan kabinet itu telah dibuat oleh Rais Yatim dan bukannya oleh Menteri Pendidikan yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas hal ehwal 'bahasa'. Rais berkata bahasa baku tidak menggambarkan realiti berbahasa penduduk negara ini.

Bagaimanakah kabinet boleh mengambil keputusan itu setelah pelajar sekolah mengamalkannya dan dimestikan mengambil peperiksaan oral mereka sejak 1988 lagi, tentunya merupakan satu tandatanya yang besar. Kita telah diberitahu bahawa keputusan kabinet adalah bertujuan menonjolkan satu identiti nasional dan untuk mengelakkan kelam-kabut di kalangan masyarakat negara ini. Kerana itu negara akan mengamalkan bahasa yang digunakan oleh RTM selama ini. Anehnya, penukaran yang mendadak ini berlaku empat bulan selepas Kementerian Penerangan melantik Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai panel penasihat penyiaran bagi meningkat penggunaan bahasa baku di RTM.

Kira-kira tiga puluh lima tahun yang lalu, kerajaan telah melancarkan satu program mementingkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Malahan, anak-anak Melayu diberikan galakkan untuk belajar di Sekolah Kebangsaan kerana difikirkan mereka mempunyai peluang yang labih baik daripada belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantarnya. Maka berbondong-bondonglah anak-anak Melayu itu mematuhi panduan kerajaan. Bahasa Melayu pun digunakan di seluruh negara baik di sekolah menengah mahupun di universiti. Keberanian kerajaan ini sebenarnya berputik daripada satu usaha daripada beberapa ahli bahasa yang bernaung di bawah Asas 50. Inilah singkatan Angkatan Sasterawan Negara yang amat kuat semangatnya mahukan penggunaan bahasa Melayu sealiran dengan penggunaan Bahasa Indonesia. Maka ramailah anak-anak Melayu yang dihantar belajar di mana bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu dan bukannya Bahasa Inggeris. Mereka yang pintar dapat masuk ke Universiti Kebangsaan melalui sekolah berasrama seperti Sekolah Abdul Aziz Shah (SAAS), STAR, dan sebagainya. Tetapi, kepesatan kemajuan ilmu pengetahun memudaratkan usaha kerajaan ini disebabkan kekurangan bahan bacaan dalam Bahasa Melayu. Proses menterjemah bahasa asing ke dalam bahasa Melayu amat lembab kerana kekurangan kepakaran dan juga orang yang mahu melakukan kerja-kerja penterjemahan. Untuk mengetahui bahasa Melayu baru, rakyat terpaksa bergantung kepada istilah baru yang dikeluarkan oleh majallah Dewan Bahasa ketika itu. Di sini pun timbul pelbagai masalah kerana istilah yang dicipta itu terlalu rumit untuk dihafal oleh para pelajar.

Beberapa tahun kemudiannya, dasar penekanan kepada Bahasa Kebangsaan itu telah ditukarkan dan penekanan tertumpu pula kepada pengajaran Bahasa Inggeris. Ketika itu Menteri Pendidikan ialah seorang insan yang sekarang ini menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kesan putar-balik dasar pelajaran itu masih lagi dirasakan kerana masih ramai orang Melayu yang telah pun berusia kini, merasakan mereka telah menjadi mangsa dasar yang diubah di pertengahan jalan. Itulah sebabnya kalau kita lihat dalam perhimpunan UMNO ramai pemimpinnya yang suka bercakap Bahasa Inggeris dengan mencampur-aduknya dengan Bahasa Melayu. Mereka sebenarnya tidak berapa mahir dalam menggunakan Bahasa Inggeris secara fasih. Contohnya ada yang mungkin berkata: "That's right, kita akan keep this secret supaya orang tidak tahu kita yang membalun semuanya!". Pertuturan begini sudah boleh dikira baik. Pada satu ketika dulu, campur-aduk itu lebih menggerunkan. Contohnya " Bila you free, telefonlah I, we can go satu tempat where people don't see!". Kemudian orang yang mendengarnya akan menjawab: "I see !" Apa yang dia nampak ketika itu tidak siapa yang tahu.

- Budaya Membaca Bukan Budaya Melayu

B. Pada waktu yang sama kira-kira empat puluh tahun yang lalu, oleh kerana kepesatan proses pembelajaran banyak sekolah yang dibina memerlukan tenaga pengajar. Ketika itu dibina juga beberapa maktab perguruan yang sanggup mengambil mereka yang hanya dapat pangkar 'C' dalam peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) yang bersamaan dengan Sijil Rendah Persekutuan. Pangkat 'C' adalah pangkat yang tidak membolehkan seseorang pelajar naik ke Tingkatan Empat. Mereka telah diterima dalam Kelas Day Taining Center (DTC) dan akhirnya dilantik menjadi guru-guru di sekolah rendah. Ada di antara mereka ini yang dapat bernafas kembali dan akhirnya menyudahkan pengajian mereka untuk lulus Sijil Pelajaran Malaysia ataupun Overseas School Certificate. Ada juga yang berjaya lulus peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia yang bersamaan dengan Higher School Certificate. Yang paling ramai sekali di kalangan graduan Maktab DTC ini telah menceburkan diri mereka dalam dunia politik dan ramai yang akhirnya menjadi wakil rakyat. Masih ramai lagi kelompok ini yang bergiat aktif dalam pucuk pimpinan UMNO negeri dan ada satu dua yang menjawat jawatan speaker dan juga exco negeri.

Kalau kita tidak kenal mereka ini tentulah kita tidak menyangkakan siapa mereka pada asal usulnya dari aspek kelulusan akademik mereka itu. Kalau mereka kekal sebagai seorang guru biasa sahaja tidak mungkin mereka mempunyai rumah laksana mahligai dan kereta besar yang menjalar di sana sini. Maklumlah bila sudah menjadi Yang Berhormat mereka terus menjadi orang yang serbatahu. Dari situ mereka menjadi ahli Kelab Yang Serbamahu. Namun, pertuturan mereka itu masih bercampur aduk juga. Kadangkala disebabkan terlalu kerap menengok filem Inggeris yang menggunakan 'subtitle' mereka pun terikut-ikut dengan terjamahan songsang yang memang kerap ditayangkan.

Disebabkan kepincangan inilah makanya kita lihat perjuangan UMNO itu diasaskan satu pemikiran yang berkecamuk. Hanya segelintir manusia yang berada di pucuk pimpinan parti itu pada tahap awalnya yang terpelajar kerana mereka pernah membaca buku tulisan Bahasa Inggeris. Pimpinan pertengahan yang dianggotai oleh manusia yang tidak mahir berbahasa Inggeris hanya terpaksa bersandar kepada akhbar media massa Bahasa Melayu. Media massa ketika itu tidak pun mempunyai isi yang memberi penekanan kepada ilmiah. Mereka lebih mementingkan cerita politik dan juga sukan. Banyak juga ruang untuk menunjukkan gambar perkahwinan.

Jurang pengetahun yang amat berbeza di antara pucuk tertinggi parti dengan pimpinan pertengahan telah cuba dirapatkan oleh segolongan terpelajar yang berpendidikan tinggi dalam pengajian Islam. Kunpulan ini tidak bertahan lama kerana mereka menjadi satu kumpulan yang tidak mudah difahami dan diterima oleh pemimpin yang setengah masak itu tadi. Kerakusan dan ketamakan mula menghantui golongan yang setengah masak itu menyebabkan terpinggir dan tersisihnya para ulamak yang terpelajar itu. Ini sebabnya mereka keluar beramai-ramai dan memasukki parti lain.

Kekurangan ilmu pengetahun di kalangan pemimpin pertengahan ini apabila dibandingkan dengan pucuk pimpinan tertinggi, telah dapat diimbangkan dengan memberi penekanan kepada semangat Perjuangan Aspirasi Melayu. Inilah semangat mempertahankan ketuanan orang Melayu dan semangat memajukan bangsa dan mempertahankan maruah negara. Yang sebenarnya semua itu adalah retorik semata-mata, untuk mengabui para pengikut di bawah sana. Pejuang bangsa yang sebenarnya ketika itu adalah para guru yang sanggup dihantar ke ceruk ulu di kampung yang tidak berlampu dan berair paip. Begitulah juga dengan para askar yang kerap dihantar menetap di hutan rimba untuk mempertahankan negara daripada menjadi sarang komunis durjana. Ada juga orang Melayu dalam pasukan polis hutan yang ditempatkan di sepanjang sempadan yang jauh-jauh untuk menentukan kawasan negara tidak diceroboh. Di waktu yang sama kita dapati segolongan peneroka Melayu yang sanggup berkumpul di kawasan tersorok dalam apa yang dikatakan 'rancangan tanah'. Inilah kelompok yang sebenarnya pejuang bangsa. Mereka memegang senjata untuk menggadai nyawa pada awalnya dan kemudian mereka memegang cangkul dan tajak untuk menaikkan ekonomi negara.

Tetapi, sayangnya, kalau kita baca sejarah perjuangan UMNO kita didedahkan kepada perjuangan para pemimpin parti yang 'sanggup berjuang untuk parti sehingga mati.' Jarang sangat kita terbacakan cerita bagaimana para 'pejuang' yang sudah lama pergi itu mengumpulkan harta begitu banyak untuk dipusakai oleh anak-anak dan cucu-cicitnya. Tidak ada halaman sejarah UMNO yang mahu menceritakan betapa para askar dan polis Melayu dan para peneroka Melayu yang berjuang mati-matian untuk menaikkan martabat bangsa Melayu. Kepada para pemikir UMNO mereka itu semuanya tidak penting kepada parti. Mereka hanya merupakan orang suruhan untuk menaikkan bendera parti bila perlu dan memangkah kertas undi calon parti ketika berlansungnya pemilu.

Proses putarbalik pemikiran Melayu berdasarkan fenomena 'Otak Gajah yang dirantai' telah membolehan kepimpinan UMNO itu terus diwarisi daripada seorang ahli satu kelurga kepada ahli yang lain dalam keluarga yang sama. Seolah-olah kepimpinan UMNO itu hanya layak dipusakai oleh beberapa dinasti pilihan di kalangan pemimpin parti. Kerana itu kita dapat lihatkan betapa Tajol Rosli kini menjadi Menteri Besar di sebuah negeri di mana ayahnya pernah memgang jawatan yang sama. Begitu juga pada ramai pemimpin muda yang lain. Mereka juga berada di persada pucuk kepimpinan parti seperti yang pernah dilakukan oleh ayah dan mungkin jua ninda mereka. Fenomena ini tidak berapa ditonjolkan dalam penulisan kerana tidak perlu. Lagipun, budaya membaca itu bukannya budaya orang Melayu.

Orang Melayu dan Perancangan Keluarga

C. Pada waktu yang sama tiga puluh lima tahun yang lalu, kementerian kesihatan telah menggalakkan skim perancangan keluarga. Skim ini memberi galakan kepada kaum wanita memakan pil pencegah hamil. Di tahap awalnnya, pil diberikan secara percuma dan kemudiannya ia dijual dengan harga yang mampu dibeli oleh setiap lapisan masyarakat. Tidak pula ada sesiapa ketika itu menyatakan bahawa ada pil yang memberikan kesan sampingan seperti yang berlaku di negara maju ketika itu. Salah satu sampingan yang amat ketara hingga ke hari ini ialah penyakit payudara. Ada juga yang akan mendapat berat badan berlebihan disebabkan pil itu. Apabila rancangan pencegahan kehamilan itu berjaya, maka ramailah wanita Melayu yang keluar untuk bekerja atas dasar membantu kaum suami menaikkan taraf hidup keluarga. Anak yang baru membesar diserahkan kepada orang tua di kampung ataupun kepada penjaga khas di bandar.

Semakin ramai anak yang dipelihara oleh pengasuh dan penjaga, semakin ramai anak kecil yang disusukan dengan susu tepung dan tidak susu badan. Ini membuatkan immuniti anak-anak terhadap penyakit meluntur. Akibatnya kini, anak-anak yang sudah membesar dan dewasa itu merupakan satu generasi yang kerap berpenyakit dan mudah semput di musim tertentu. Inilah akibatnya anak yang dikorbankan untuk menolak susu ibu dan membesar dengan susu lembu.

Anak yang membesar tanpa pengawasan rapi ibu dan bapa menunjukkan satu perangai yang tidak berapa gemar mengikut perintah orang tua-tua. Inilah punca sebab yang besar kenapa kerapnya anak remaja kota yang menjadi bohsia dan bohjan.

Kemudian, ada pula satu rancangan menggalakkan lelaki (terutama sekali yang bekerja di ladang) untuk menjalani operasi mengikat 'saluran mani' sebagai satu bentuk perancangan keluarga juga. Tidak pula ada sesiapa memberitahu ketika itu, urat yang dikerat untuk mengikat saluran itu tidak mudah disambungkan semula. Akibatnya tidak boleh dibayangkan kerana ada lelaki yang kecewa dengan pembohongan fakta itu yang merana di hari tua.

KESIMPULAN

- Yang Baku dan Beku

Contoh yang berbeza di atas harus menjadi iktibar kepada para pemimpin UMNO yang menanggotai kabinet yang akan bersidang esok. Kita amat mengharapkan masalah Bahasa Baku dapat ditangani dengan bijak kerana tidak ada sebab kenapa kita mesti gostan ke belakang dalam mengejar kemajuan. Kita sudah mengamalkan Bahasa Baku sejak 12 tahun yang lalu. Tentunya pembatalannya menonjolkan pelbagai persoalan di fikiran rakyat.

1. Kenapakah secara tiba-tiba kerajaan mahu menghapuskan Bahasa Baku itu? Apakah benar tindakan itu didorong oleh usaha untuk melupakan setiap kesan jasa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperkenalkannya. Alangkah ironisnya ketika Anwar memperkenalkan sistem Bahasa Baku itu, Rais Yatim adalah menteri penerangannya.

2. Kenapakah masalah Bahasa diumumkan oleh Rais Yatim, seorang menteri tanpa fortfolio sekarang ini. Bukankah tugas itu merupakan peranan menteri pendidikan?

3. Cara Menteri Pendidikan bertindak untuk menghentikan penggunaan Bahasa Baku di sekolah seluruh negara menunjukkan kurang matangnya beliau berpolitik. Ia seolah-olah menjadi menteri yang mudah dibuli oleh Rais Yatim. Kenapakah dia tidak merujukkan perkara itu dulu dengan para pegawai tinggi kementeriannya sebelum membuat pengumuman yang mungkin terpaksa ditarik balik? Sekarang, semakin terserlah tekateki rakyat bahawa Menteri Pendidikan sebenarnya adalah Aziz Shamsuddin dan bukannya beliau.

4. Kini, Paklah sudah membuat pengemuman betapa kabinet akan mengkaji balik keputusannya mengenai Bahasa Baku. Bukankah ini menunjukkan betapa kabinet telah tidak berfikir panjang dalam memutuskan sesuatu ? Kalau ini boleh berlaku kepada satu dasar pelajaran dalam negara bagaimanakah pula yang boleh berlaku kepada isu yang lain? Bayangkan kalau sesuatu yang serius berlaku kepada MAHAFIRAUN yang memungkinkan jawatannya itu disandang oleh Paklah?

5. Ramai di kalangan pemimpin UMNO yang berpendapat bahawa tindakan kerajaan itu adalah memenuhi rencana yang dilakarkan oleh Aziz Shamsudddin. Beliau amat bencikan Anwar Ibrahim. Beliau mahu mengikis setiap jasa Anwar dalam kerajaan. Sepatutnya kerajaan sudah peka dengan tidak-tanduk Aziz Shamsuddin ini. Ada pihak dalam pucuk pimpinan parti yang memikirkan Rais sengaja ditonjolkan untuk mengumumkan perubahan dasar kerajaan itu. Ini adalah dibuat untuk menguji ketahanan Rais sendiri. Ada juga yang mengatakan tindakan itu dibuat untuk menghenyak Rais juga kerana citta-citanya untuk menjadi salah seorang naib presiden parti. Tetapi, kalau difikirkan perkara itu lama-lama, aapakah tidak mungkin rencana untuk melunturkan populariti Rais itu diilhamkan oleh MAHAFIRAUN ? Dengan mengaibkan Rais cara ini, akan memudahkan perancangan untuk merobohkan apa juga kota yang ada yang menyokong dan mengampu pengaruh Tengku Razaleigh

6. Adalah amat aneh bahawa satu dasar kerajaan yang telah dijana begitu lama dan membabitkan berjuta ringgit, diubah begitu mudah sahaja melalui satu kenyataan seorang menteri yang dikenali oleh rakyat sebagai 'pakar membakar jambatan'. Kerana itu rakyat terus bertindak dan memberontak. Mereka memang benci akan Rais Yatim. Apabila kenyataannya itu dibuat ketika MAHAFIRAUN sudah pergi luar negara, lantas rakyat memikirkan ada satu konspirasi dalam rencana ini. Samada Rais menyedari apa yang difikirkan oleh rakyat itu adalah sesuatu yang kita mahu tahu.

7. Orang Melayu adalah serupa juga dengan orang China dan orang India dalam menilai keperwiraan yang ada dalam sanubari seseorang pejuang. Kerana itu apabila Rais Yatim dilantik ke dalam kabinet terbaru MAHAFIRAUN, ramai orang Melayu yang sudah bersedia dengan tingkah laku Rais yang cuba memporak-perandakan pemikiran orang Melayu. Rakyat Malaysia pada keseluruhannya tahu Rais dilantik untuk menggantikan kerja dan tugas Ibrahim Ali dulu. Ketika itu Ibrahim lebih dikenali sebagai badut celupar dalam kabinet seorang diktaor tua. Kini, Rais Yatim seolah-olah akan mewarisi gelaran yang ditinggalkan oleh Ibrahim Ali. Apabila Rais menawarkan diri untuk menandingi jawatan naib presiden, rakyat seluruh negara bersedia mentertawakannya.

Majoriti orang Melayu tahu bahawa Rais Yatim pernah rapat dengan MAHAFIRAUN. Malahan pada satu ketika ramai yang berpendapat bahawa Rais merupakan seorang penasihat undang-undang yang kerap dirujuk oleh MAHAFIRAUN. Teapi, Rais juga merupakan seorang ahli politik yang sudah berikrar membakar jembatannya. Kalau kita fahami dan selidikki taktik politik MAHAFIRAUN adalah tidak mungkin dia menerima Rais dengan senang hati seperti mana Rais menerima tawaran beliau. Tentu ada sesuatu mengikut strategi 'Arthasastra' yang ditiru oleh MAHFIRUAN untuk mengenakan Rais kembali. Cuma untuk sementara waktu dia menggunakan kepakaran Rais dalam ilmu undang-undang untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ibrahim yang sudah lama ditendangnya itu.

8. Ada beberapa veteran UMNO yang berpendapat bahawa MAHAFIRAUN tidak pernah ikhlas dalam penawarannya terhadap Rais Yatim. Ini adalah disebabkan kecurigaannya bahawa jawatannya itu mungkin ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Kerana itu dia menyingkirakn Ibrahim Ali dan menggantikannya dengan Rais Yatim. Dengan hal yang demikian dia boleh megawal Rais tanpa mengunakan pengawal jarak-jauh (remote controller). Pemimpin veteran UMNO itu berpendapat, kalau MAHFIRAUN benar-benar ikhlas dengan Rais beliau telah menawarkan jawatan Menteri Pendidikan itu kepada beliau dan bukannya kepada Tan Sri Musa. Lagipun bukannya Rais tidak pernah menjadi menteri kabinetnya. Bukankah Rais mampu menjadi Menteri Pendidikan kalau diambil kira pengalamannya dalam kabinet dulu?

- Yang Beku dan Kaku

Nampak sangat betapa pintarnya MAHAFIRAUN dalam permainan politiknya. Di setiap tahap pucuk kepimpinan parti dia telah merencana beberapa masalah yang melibatkan tumpuan fikiran rakyat untuk menyelesainya. (A) Untuk menarik minat seluruh ahli parti dia mencetuskan isu keputusan konsensus agar dua jawatan tertinggi dalam parti diberahminkan. Sudah tentu ini menyibukkan rakyat jelata yang mahu bersuara menentangnya. Dari situ dia tahu siapakah di kalangan ahli veteran yang akan cuba menentangnya. (B) Dia galakkan pembasmian Bahasa Baku untuk membuatkan Rais sibuk sakan dengan isu yang memang diagaknya akan mengkelam-kabutkan suasana yang membuat seluruh masyarakat guru turut sibuk juga. (C) Dia galakkan penangkapan beberapa pemimpin muda parti pembangkang dan menentukan agar mereka didakwa pada hari yang sama DSAI dibicarakan semula. Ini adalah bertujuan untuk melemahkan sebarang tindakan rakyat berkumpul untuk tunjuk perasaan. (D) Diarahkannya pengharaman HARAKAH, Detik dan Al Wasilah, agar pihak pembangkang dalam PAS akan geger dan menggelabah. Ini sudah pasti membuatkan orang Pas sibuk dengan strategi baru untuk memperbetulkan organisasi mereka.

Semua rancangan MAHAFIRAUN itu telah dirancangkan begitu rapi sekali. Ia telah menganyam tikar mengkuang kekeliruan begitu indah sekali sehinggakan orang terpesona dengan bentuk anyaman itu. Tetapi, dia tersilap langkah juga. Dia tidak terfikirkan bahawa apabila rakyat sudah nekat untuk bersatu, sebarang strategi yang digunakan untuk menindas rakyat akan terbalik juga. Semua rencana untuk membekukan fikiran rakyat yang ditindasnya itu adalah bertujuan untuk membeku fakulti pemikiran rakyat untuk menentangnya. Kalau direnungkan baik-baik dan semasaknya segala tipu helah MAHAFIRAUN itu dia sudah mampu mencapai tahap kepakaran di mana dia fikirkan rakyat adalah laksana burung dalam sangkar yang telah dijinakkannya.

Memang, burung yang jinak dan terlatih mudah berkicau ketika hari siang atau terang benderang. Tetapi, kicauan burung itu akan terhenti kalau sangkarnya itu disungkupnya dengan kain yang tebal. Burung itu akan jadi membisu walaupun hari masih siang lagi. Inilah taktik MAHAFIRAUN terhadap para menteri kabinetnya. Dia membiarkan mereka bebas di sebuah sangkar besar yang indah. Tetapi, kain sungkupan setiap sangkar itu sentiasa berada di tangannya, kerana turun naik kain itu sudah dibikin dengan mesin pengawal jarak jauh juga.

Setiap kali kain sungkupan itu diturunkannya, para menterinya akan menjadi bisu dan beku. Tidak lama lagi, kekerapan menggunakan taktik itu akan membuat ramai burung-burung peliharaannya itu yang akan menjadi kaku. Hanya Allah yang lebih berkuasa siapakah yang dulu akan merasakan fenomena itu. Si burung itukah ataupun tuan yang memelihara mereka itukah?

-MT-
25.1.2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com