Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 20 - Yang Lompong dan Melompong

Semakin ramai rakyat yang jengkel dengan cara kehidupan mereka dikemudikan oleh orang lain. Mereka sudah sedar kini betapa banyaknya ciri-ciri manipulasi yang dikenakan ke atas cara mereka hidup. Harga barang yang tinggi, cukai jalan, cukai makan, cukai sana dan cukai sini. Kesedaran ini semakin menular kerana rakyat sudah pun tahu siapakah yang punya angkara semua itu.

Ketika kita baru merdeka dulu, kehidupan orang Melayu di kampung banyak berjalan selari dengan keadaan hidup bersahaja. Tidak terdesak-desak dan teburu-buru. Orang kampung punya banyak masa untuk berkumpul di surau dan masjid mempelajari ilmu agama sambil berbincang bagaimana memperbaikki kehidupan di dunia. Laksana burung yang bebas, orang kampung mampu hidup bebas juga tanpa banyak dipengaruhi anasir dari luar. Walaupun orang kampung berpolitik ketika itu, politik tidaklah menjadi satu pegangan yang serupa kini. Ia hanya merupakan pegangan seharian dan tidak sampai begitu taksub sehinggakan ia menjadi pegangan sampai mati. Banyak lagi yang perlu dipentingkan ketika itu; persekolahan anak-anak, belanja mengerjakan haji ataupun umrah, belanja perkahwinan anak-anak ataupun cucu merupakan masalah penting bagi orang dulu-dulu. Masalah itu berubah sedikit demi sedikit mengikut peredaran zaman dan mengikut rentak hidup yang digayakan oleh pakar psikologi yang memakai baju berlambangkan parti.

Kini, pemikiran kampung secara menyeluruhnya banyak bergantung kepada pemikiran orang bandar. Mungkin ini menunjukkan kemajuan peralehan fikiran rakyat? Tidak, ini adalah disebabkan terlalu berkurangnya penghuni kampung. Yang menetap hanyalah golongan tua yang tidak mampu bekerja di bandar-bandar dan kumpulan yang terpaksa menetap sebagai 'jaga' yang tidak tentu gaji bulanannya. Memang terlalu ramai penghuni kampung yang asalnya satu masyarakat yang bersatu, berubah haluan disebabkan desakan hidup 'untuk menjadi golongan Melayu Baru yang setanding dengan penghuni negara-negara maju'. Maka tinggallah sawah bendang yang saujana mata memandang. Dilepaskanlah tali yang mencucuk hidung kerbau agar ia bebas berkeliaran keliling kampung. Tergantunglah jala dan tangguk di atas para kerana yang empunya mahu ke bandar mencuba nasib baru pula. Demikian berubahnya kehiduapan kampung yang dibawa arus yang bertopengkan semangat menegakkan ketuanan Melayu. Orang Melayu mudah menerima perubahan itu kerana terpukau dan terpaku dengan syarahan berapi-api pemimpin parti yang mahukan orang kampung lebih berani. "Kita harus berani tinggalkan kampung kita dan masuk ke bandar untuk mencuba nasib baru." Demikian seruan mereka.

Memang, orang kampung mudah terpukau ketika itu. Kemewahan yang dilihatnya adalah berdasarkan kereta yang dipakai oleh para pemimpin yang kerap datang ke kampung itu. Pakaiannya, barang kemas isterinya dan rumah kediamannya adalah lambang kemewahan yang diperagakan. Mana mungkin semua itu dapat diraih kalau orang Melayu masih terpaku di kampung sahaja. Memang betul cakap pemimpin itu. Itulah cakap pemimpin Melayu yang menaikkan semangat perjuangan bertopengkan ketuanan Melayu. Sedangkan, itu sahaja yang dia tahu untuk mengekalkan kedudukannya di antara masyarakat Melayu. Tidak lebih dari itu kerana dia bukannya pemimpin yang banyak-tahu. Tetapi, dia adalah seorang pemimpin yang banyak-mahu.

- Penyerapan Pengaruh Bandar

Budaya bandar dan kampung amat jauh bezanya. Inilah pengajaran pertama manusia kampung yang pertama kali ke bandar. Di kampung dulu, bangunnya dikejutkan oleh kokok ayam di reban yang lagunya datang bersambung-sambung. Tidurnya diulit mimpi kerana adanya bayu yang kerap datang berlagu. Tetapi di bandar, dia perlu bangun lebih awal daripada burung dan unggas kerana mahu mengejar bas untuk pergi bekerja. Tidurnya sudah tidak bermimpi lagi kerana kerap didatangi igauan yang ngeri. Rupanya hidup di bandar bukannya mudah. Ia perlu ditangani dengan tabah dan diharungi dengan madah. Hidup di bandar itu penuh kepalsuan rupanya, tidak serupa dengan hidup di kampung di mana ketulinan dan keaslian sesuatu itu tetap terjamin. Semakin lama hidup itu dihraungi semakin galak keinginan melepaskannya untuk berpatah balik ke desa. Tetapi, apakan daya kerana perasaan malu mula memanjat rasa. Dayus kata orang tua, kalau perantauan patah sekerat jalan. Lantas, berterusanlah kehidupan di kota itu tanpa pedoman yang menentu. Sesiapa yang berkeyakinan diri dapat berjaya hidupnya, mampu memperbaikki taraf akdemiknya dan berpeluang menyimpan gaji bulanannya. Sesiapa yang lemah dan terus pasrah kepada keadaan, akhirnya terjebak kepada tarikan syaitan. Hidupnya nampak ceria tetapi sebenarnya ia ceria dalam kesengsaraan.

- Formula Berdikari Ala Bandar

Anak-anak muda dari kampung mula belajar budaya bandar daripada kawan-kawan sekilang dan sepejabat. Pelajaran pertama ialah berkenaan cara hidup untuk senang tanpa menyusahkan diri sendiri. Itu yang dikatakan formula berdikari. Apa yang mahu mesti cari sendiri. Kalau mahu pandai mesti pandai membaca dan mesti sanggup berusaha. Gaji bulanan mesti disimpan dan kelas malam mesti jangan diabaikan. Kalau mahu kaya, mesti tahu berusaha dan mesti sanggup kerja lebih masa. Kalau mahu cantik mesti pandai bersolek dan mesti pandai bergaya. Kalau mahu berharta, mesti pandai berjimat dan sanggup bercermat. Semuanya memerluakn pengorbanan diri dan ketahanan mencapai matlamat perjuangan. Akan tetapi, bukan semuanya yang berhijrah ke bandar itu boleh berjaya. Formula berdikari itu bukannya mudah untuk diamalkan. Apatah lagi kalau sesaorang itu mudah dipengaruhi oleh keseronokan dan kecantikan bandar yang mengalpakan.

- Munculnya Kelas Setinggan di Kotaraya

Kepantasan hidup kota menyebabkan ramai orang desa yang terjebak kepada tahap kehidupan mewah yang secara berpura-pura. Mereka cuba hidup sederhana, tidak tinggi dan tidak pula terhina. Mereka merasakan hidup begitu kerana ukuran yang digunakannya masih sama dengan kayu-pengukur yang dibuatnya ketika hidup di kampung dulu. Kalau mereka masih tidak dapat hidup laksana seorang wakil rakyat (YB) bererti mereka belum mencapai status kelas tinggi. Kalau mereka mampu hidup di kotaraya dalam sebuah rumah yang mempunyai 'air dalam bosi dan api dalam kaco' bererti mereka belum menjadi rakyat yang terhina. Mereka tidak kira kalau rumah yang terbina itu adalah rumah yang dipacak di tanah kerajaan. 'Rumah haram kata orang, rumah haramlah jadinya. Rumah Setinggan kata orang, rumah setingganlah jadinya.' Yang pentingnya, sebagai orang kampung satu ketika dulu, mereka sudah dapat menyerap tekanan cara hidup bandar dan mampu mendirikan sebuah rumah yang boleh menjamin kehidupan yang lebih menceriakan. Mereka amat yakin dengan semangat itu kerana mereka sudah menjadi ahli sebuah parti yang memperjuangkan ketuanan Melayu. Inilah parti yang telah memperjuangkan mereka dapat tapak rumah setinggan. Inilah parti yang menguruskan perkampungan mereka itu; disediakan air paip dan bekalan letrik. Memang kemudahan itu menjadi projek utama di Kuala Lumpur yang diberi nama Projek Sang Kancil, pada satu ketika dulu.

- Budaya Kota Berbau Desa

Setelah lama berada di kota raya tentunya status diri berubah rupa. Dulu bujang kini berkeluarga. Dulu bermotor kini berkereta. Rumah setinggan tetap serupa cuma biliknya ditambah sahaja. Kepantasan kota terus diharungi tanpa menghiraukan pacakan besi di sana sini. Projek mega naik menggila tanpa disedari oleh warga kota yang terlalu sibuk kerana bekerja. Maklumlah, ansuran bayaran kereta, motorsikal, basikal anak-anak, TV, VCD Player dan banyak lagi perlu disediakan setiap bulan tanpa terlewat. Kalau tidak, pemungut hutang akan menunggu di depan pintu dan menagih hutang di depan tetamu tanpa segan dan silu.

Setiap bulan, begitulah yang perlu dilakukan. Setiap gajian ada sahaja hutang untuk dilunaskan. Baki gaji yang ada perlu disimpan juga untuk kegunaan bila perlu. Maklumlah, orang tua dikampung perlu diingatkan juga. Kalau ada kemusykilannya perlu dibawa anak keluarga menziarahinya. Mana cukup kalau ziarah itu dilakukan seorang diri dengan bermotor untuk menjimatkan belanja?

Oleh kerana tekanan hidup yang amat pesat itu ramai orang kota tidak sedar akan perkembangan pelbagai projek mega di sekelilingnya. Mereka tidak sedar akan semua itu kerana terpukau dengan masalah kewangan harian sendiri. Maklumlah harga barang makanan terus meninggi sedangkan harga tol tidak pernah mahu turun. Setiap penggal sekolah tambang bas dinaikkan dan belanja jajan anak-anak pun dinaikkan juga. Sedangkan kenaikan gaji hanya berlaku setahun sekali sahaja. Bagaimana pula dengan harga tusyen anak-anak? Mereka semakin membesr dan kalau tanpa tusyen apakah jaminan mereka menerima didikan yang secukupnya untuk tahun itu? Mampukah mereka lulus tanpa tusyen sedangkan ajaran guru di sekolah adalah berupa panduan untuk kumpulan. Masakan guru mampu mendidik satu kelas yang terlalu ramai muridnya?

Keupayaan ibubapa mengeluarkan belanja yang secukupnya kepada pelajaran anak-anak adalah laksana tabungan yang besar untuk masa depan keluarga. Kalau anak-anak menjadi pandai, bererti nasib keluarga itu pun akan berubah sama di hari muka. Kalau anak-anak terabai, bererti nasib keluaraga itu akan mendatar seterusnya. Itulah sebabnya bangsa yang bukan Melayu memberikan penekanan terhadap perbelanjaan anak-anak yang bersekolah. Mereka tidak mementingkan kenderaan yang baru dan peralatan rumah yang terbaru. Mereka menumpukan sepenuh masa kepada anak-anak. Bermula daripada makanannya di rumah sehinggalah keadaan persekolahan mereka. Inilah sahaja tumpuan mereka. Laksana satu jihad gamaknya. Hidup mereka itu dipusatkan terhadap membesarkan anak-anak menjadi orang dewasa yang berpelajaran tinggi dan berbudi pekerti. Kalau mereka menceburi parti politik, mereka akan tentukan bahawa pembabitan itu memberi keuntungan kepada persekolahan anak-anak mereka.

- Budaya politik Melayu di kota raya

Sejak tiga puluh tahun yang lalu, kehidupan orang Melayu di kota banyak dipengaruhi oleh dunia politik. Rata-rata, politik itu adalah bertunjangkan mempertahankan ketuanan Melayu. Aduh, sungguh sedap semangat juang itu. Tetapi, itulah sahaja bunyi semangatnya dan bukan bunyi perjuangannya.

Tiga puluh tahun yang lalu ketika lumba kuda berada di tapak projek mega KLCC kini, setiap hari kuda berlumba akan berderum-deram bunyi motorsikal para pengiring dan peronda polis. Mereka masuk mengiring warga istana dan kumpulan ningrat yang rata-rata beragama Islam dan berbangsa Melayu. Siapakah yang berani menyanggah mereka melainkan sanggup ditangkap kerana mencela dan mencerca di bawah akta yang pelbagai nama ?

Kini, warga istana sudah kurang berperangai demikian kerana tempat bermain sudah beralih ke negara lain. Kegianan mereka berkurang juga kerana ramai yang sudah tua bangka. Untuk berdiri pun sudah tidak terdaya bagiamana pula untuk bersuka ria. Lagipun mereka sudah ada pengganti yang lebih hebat dan lebih berani. Inilah kumpulan ningrat dalam parti dan para korporat yang diasuh oleh parti. Inilah golongan yang nafsunya lebih meninggi dan nafsinya terus menggila tanpa basi. Pasaran saham sudah menjadi gelanggang yang menggantikan padang lumba kuda. Lebih seronok tempatnya kerana perlumbaan dilakukan setiap hari, tanpa menunggu ketibaan hujung minggu lagi.

- Pasaran Saham Menjadi Kasino

Orang putih kata pasaran saham adalah 'a place for investment'. Tetapi, orang Melayu kata itulah tempat bermain saham. Kalau itu satu permainan tentu adanya satu undang-undang di mana permainan itu boleh menyeronokkan. Tentu ada yang jatuh dan bangun dan tentu ada hilai ketawa yang sampai menggila. Begitulah jadinya dengan pasaran saham kita bila ramai pelabur adalah para pemainnya. Tetapi, kalau pasaran saham itu dijadikan kasino siapakah yang kaya raya datang bermain dengan wang yang besar? Siapakah dalam negara ini mempunyai modal besar yang berani dihanguskan? Tentunya semua institusi yang mempunyai dana rakyat menjadi tabung dana yang besar. Inilah tabung yang dapat dikotak-katikkan untuk menaikkan kaunter saham ataupun menjunamkannya. Hanya dengan penggunaan tabung dana-dana itulah makanya sesorang 'Taiko' saham dapat "mengaut untung untuk kegunaan pasarannya setiap hari". Lagi ligat pasaran meninggi lagi hebat keuntungannya. Kalau pasaran merudum kerugian itu akan ditanggung oleh dana itu bukannya si 'taiko' tadi.

Apabila orang sebut hal saham orang kota pun ikut serta. Bukan setakat mendengar dan bercerita untuk mempelajarinya dulu, tetapi terus melabur sama. Pelaburan seorang pelabur runcit manakan sama dengan permainan judi orang yang banyak duit? Kalau pelaburan itu duit simpanan, tentunya si pelabur runcit menjadi mangsa pusingan, mainan orang besar sahaja. Pasaran saham yang sudah dikemudi laksana kasino tentunya dikendalikan oleh para pakar judi yang terlatih dan cekap menonjolkan imej bersih pasaran itu. Di sinilah letaknya kesilapan besar para pelabur runcit yang tidak tahu akan putaran mainan saham orang besar-besar. Ke kiri kena makan, ke kanan pun kena makan. Laksana mainan jungkang-jungkti, keupayaan si kenit berada di atas amat bergantung kepada ihsan pemain yang berbadan besar untuk turun ke bawah. Tetapi apabila dia jungkitkan pegangannya naik ke atas, si kenit terhentak ke bawah tanpa mampu naik ke atas lagi. Namaun, kalau pasaran kita merudum, penganalis kata 'proses pengambilan untung, "mengikut pasaran Wall Stree". Hari ini Wall Street naik mencanak, KLSE jatuh dihenyak. Itu pun dikatakan pengambilan untung juga. Teori jungkang-jungkit tidak pernah mereka ungkti.

Nasib Ketuanan Melayu Tugas Siapa ?

Demikianlah jalan cerita secebis kisah kehidupan orang Melayu golongan marhain di kota raya. Ia mungkin berlaku di Kuala Lumpur, di Johor Bahru, di Pulau Pinang, di Ipoh, Kelang, dan di mana sahaja. Jalan ceritanya adalah sama sahaja. Tekanan hidup yang terus menggila memerlukan satu tenaga yang berpanjangan untuk mengharungi cabaran hidup itu. Ekonomi negara yang sedang gawat walaupun sudah menampakkan warna-warna perubahannya masih belum menjaminkan sesuatu yang manis untuk diharapkan. Bayangkanlah kalau tambang haji pun tidak mahu turn bagaimanakah rakyat marhain mampu memenuhi harapannya untuk mengerjakan umrah? Walaupun disimpan secara tetap daripada gaji bulanan utnuk dijadikan ongkos pergi ke Makkah, harga tambang yang semakin menggila naiknya tidak memungkin permergian yang suci itu. Kini kos pergi naik haji sudah mencecah sepuluh ribu seorang (termasuk keperluan wang saku). Sedangkan tiga puluh tahun yang lalu harganya tidak melebehi tiga ribu, bererti kosnya sekarang sudah naik lebih tiga kali ganda. Sepatutnya kos naik haji tidak boleh lebih daripada empat ribu seorang kerana Tabung Haji sepatutnya mampu membuat pelaburan yang menjanjikan kos sebanyak itu kepada para pelaburnya. Ini adalah berdasarkan hukum-hukum pelaburan masa panjang kerana bukannya seorang pelabur itu manyimpan wangnya hari ini dan pergi ke Mekah bulan esok. Ada yang manabung selama lebih dua puluh tahun baharulah mereka mengeluarkan wangnya. Kalau diikut undang-undang 'actuarial science' banyak yang tidak kena dengan perjalanan tabung haji. Tentu sekali para pelabur mahukan cerita yang sebenarnya. Buat langkah yang pertama, Tabung Haji harus menjadi satu lembaga yang bebas daripada kelolaan kerajaan. Ia harus dikendalikan dengan pengawasan beberapa syarikat perakaunan dan anggota lembanya harus terdiri daripada insan-insan perofessional yang direstui oleh para pelaburnya. Sebagai satu iktibar, kita diberitahu betapa banyaknya penyelewengan yang berlaku ketika Terengganu ditadbir oleh BN. Itu adalah sebuah negeri yang kaya raya yang sepatutnya menerima royalti minyak dan gas yang lumayan. Begitu juga dengan Tabung Haji. Kiriman potongan gaji yang dibuat setiap bulan adalah berjuta banyaknya. Bagaimanakah pelaburan itu dibuat sehinggakan Tabung Haji tidak mampu memberikan tambang yang berbentuk imbohan kepada para pencarumnya?

- Kepincangan Tabung Haji adalah kepincangan ketuanan Melayu

Kalau perjalanan Tabung Haji pincang sedangkan kemasukan caruman bulanan dibuat oleh orang yang beragama Islam sepenuhnya apakah yang boleh diharapkan kepada institusi yang lain? Kalau kerja-kerja tabung haji itu adalah kerja-kerja suci ke jalan Allah boleh memberikan kerunsingan dan kepalsuan kepada sebuah harapan, apakah lagi yang dapat diimpikan oleh orang Melayu? Apakah mungkin orang Melayu satu hari nanti mengeluh sendirian memikirkan akan masa depan anak-anak dan cucu-cicitnya setelah melihatkan betapa pincangnya kepimpinan Melayu masakini?

- Bahana Taksub Dibuai Mimpi

Apa yang diharungi oleh sebilangan besar orang Melayu adalah satu kenyataan hidup yang amat menyedihkan. Orang Melayu telah berada jauh di belakang bangsa lain di negara ini (secara keseluruhannya) dalam semua bidang kehidupan itu. Cuba bandingkan seorang anak Melayu dengan seorang anak China dan India. Anak-anak bukan Melayu itu fasih dalam bahasa ibunda mereka, fasih dalam Bahasa Inggeris dan fasih dalam Bahasa Melayu. Ada pula yang sudah pandai membaca tulisan jawi dan ramai lagi yang pandai dan mengerti ajaran Al Quran. Dari segi bahasa pula secara purata seorang anak bukan Melayu pandai bertutur sekurang-kurangnya dalam tiga bahasa. Seorang anak China yang dari keturunan Hokkien sudah mampu memabca Bahasa Mandarin, bertutur dalam Hokien, Kantonis dan mungkin juga Hainan. Bererti dia sudah tahu empat loghat Bahasa China. Anak Melayu bagaimana pula? Dia faham Bahasa Inggeris secara bahasa pasar dan Bahasa Melayu (Rumi). Itu sahaja. Apabila dia besar dan lulus peperiksaan akhirnya, kekurangan khazanah bahasa sahaja sudah membuatkan dia berada di tempat corot dalam pencalonannya untuk pasaran tenaga kerja. Inilah kesilapan ketuanan Melayu sebenarnya. Kita pernah bercerita panjang mengenai hal ini sebelum ini.

- Kepincangan politik Melayu

Kehidupan orang Melayu sejak lebih empat puluh tahun yang lalu banyak berkisar kepada persoalan ketahanan ketuanan Melayu. Pada asalnya orang Melayu telah mmberikan amanah yang amat besar kepada UMNO untuk menjaga martabat ketuanan itu. Itulah yang dinamakan martabat Ketuanan Melayu yang sejati. Sebagaimana yang lazimnya, orang Melayu amat menaruh harapan yang tinggi kepada sesiapa yang dianggapnya sebagai ketua. Perkara ini sudah menjadi budaya Melayu sejak ratusan tahun lagi. Kerana hormat dan memuliakan itu makanya orang Melayu sanggup tunduk dan menyembah kepada ketuanya. Sanggup tunduk dan akur kepada yang tua-tua. Tetapi, apa yang terjadi seterusnya?

Oleh kerana kepercayaan yang terlalu tinggi, orang Melayu yang berada di bandar telah membiarkan kehidupan orang kampung dikemudi oleh pemimpin politik parti yang memerintah. Ini merupakan penyerahan amanah kerana terpaksa. Maka membangunlah setiap kampung itu dengan wang sabsidi kerajaan yang diagihkan mengikut rentak nafsu wakil rakyatnya. Kalau masyarakat kampung itu menyokongnya, maka banyaklah sabsidi yang dihamburkan. Kalau tidak, "tunggulah tahun hadapan." Amanah secara "carte blance" akhirnya ternyata diselewengkan kerana peruntukan untuk pembangunan kampung dan desa dilencongkan kepada pembangunan kroni dan ahli keluarga yang lebih menguntungkan. Begitulah juga halnya di bandar dan diibukota. Khazanah negara dihambur untuk projek yang mempersonakan sehinggakan orang Melayu terpukau dan terpaku untuk tempoh yang lama sekali tanpa menyedari bahawa ketuanan Melayu yang dijanjikan itu hanyalah khayalan semata-mata.

Kini, orang Melayu bangkit kerana tersedar dari impian yang penuh kepalsuan. Di kampung-kampung kemajuan yang diamanahkan menjadi satu kemajuan yang lompong kerana ketiadaan semangat perjuangan Melayu yang jati di dalamnya. Begitu juga di kotaraya. Semua kemajuan yang digambarkan oleh cambahan projek mega adalah struktur kepalsuan yang dibina bertopengkan maruah dan semangat ketuanan Melayu. Barulah orang Melayu sedar dari mimpi mereka. Mereka mula sedar betapa hidup mereka itu tidak banyak bezanya daripada hidup unggas dan burung yang berkeliaran di kotaraya.

Di kampung dulu, penduduknya bangun selepas mendengar kokok ayam yang berderai-derai dan kicauan burung yang berjurai. Di sebelah petang mereka sudah sedia di serambi menunggukan azan untuk menghambakan diri menghadap Tuhan. Kini, di kotaraya yang serba indah, orang kota perlu bangun membuang tahi mata ketika burung dan unggas masih tidur lena. Di waktu maghrib mereka baru pulang membawa badan yang letih dan sengsara, sedangkn burung sudah lama berada di sarangnya. Bayangkanlah apabila kesengsaraan yang sama diharungi oleh anak-anak yang masih bersekolah. Bayangkan juga betapa letih badan yang muda itu memikul buku di belakangnya yang lebih berat daripada ilmu yang ditimbanya?

Demikianlah hidup orang Melayu masakini. Terumbang-ambing tanpa keruan. Mereka telah mencari kepimpinan yang jitu untuk mempertahankan ketuanan Melayu. Apakah yang sudah terjadi apabila semuanya itu diamanahkan kepada sebuah parti yang menyeleweng? Apakah yang terjadi kepada satu bangsa yang sekian lama sanggup melompongkan minda untuk dipengaruhi satu gelombang politik yang pakar dalam ilmu tipu daya? Di manakah segala impian yang dijanjikan; penuh ceria dan penuh syahdu?

Tercecahkah pintu menara gading bagi anak-anak yang selalu keletihan dalam perjalanan? Tertunaikah cita-cita untuk menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi dan Masjid-il-haram sebelum usia meragut daya ? Apakah serba mungkin orang Melayu akan menjadi satu bangsa yang melopong mulutnya disebabkan kerelaan dan ketulusan melompongkan mindanya, pada satu ketika dulu? Di manakah semangat mempertahankan ketuanan Melayu itu, sebenarnya? Siapakah yang akan menghidupkan kembali semangat itu?

-MT-
26.1.2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com