Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 21 - Yang Sedih dan Pedih

Musim selsema yang menyerang negara barat nampaknya sudah menular ke rantau sini. Setakat ini hanya Hongkong yang ada mencatatkan kematian disebabkan kes selsema. Kita tidak menjangka perkara ini berlaku di Malaysia kerana cuaca kita yang lebih panas daripada di Hongkong. Namun, yang menjadi kerunsingan sebilangan besar warga kota ialah kos perubatan yang perlu ditanggung kerana kos perubatan klinik swasta yang semakin meningkat.

Kos Perubatan yang Semakin Tinggi

Selalunya penyakit selsema kalau sudah diketahui menyerang badan kita, boleh dihadapi dengan memakan ubat pencegah selsema. Selalunya doktor akan memberikan paracetamol sebagai ubat meredakan suhu badan yang kerap naik. Kemudian kalau kita ada batuk, dia akan memberikan ubat pencegah batuk pula. Ubat yang diberikan itu bukannya untuk menghindarkan kita darpada jangkitan selsema,. Para doktor kata kalau ktia sudah diserang selsema kita harus mengharungi serangan itu. Ubat yang diberikan hanya untuk mengurangkan penderitaan. Kita tidak mahu bercerita tentang penyakit dan ubatnya kerana itu bukannya bidang kita. Yang mahu kita ceritakan ialah penderitaan orang kita di musim penyakit datang menyerang.

Kalau sebuah keluarga diserang penyakit, selalunya semua ahli keluarga itu akan di bawa ke klinik swasta ataupun ke klinik kerajaan. Di klinik kerajaan kos perubatan adalah murah sekali, tetapi masa menunggu untuk mendapatkan rawatan itu memakan masa yang agak lama kerana kesibukan setiap hospital. Di hospital besar Kuala Lumpur, pusat rawatan pesakit luar memang sibuk sekali. Berpuluh orang sakit yang beratur untuk mendapatkan rawatan doktor. Keadaan yang sama juga berlaku di hospital daerah seperti Seremban, Kuala Pilah, Kuala Kelawang dan sebagainya. Cuma, di hospital Seremban tempoh menunggu tidak sebegitu lama kalau dibandingkan dengan keadaan di Hospital Kuala Lumpur. Dalam konteks yang sama, penantian di Hospital Daerah Kuala Pilah dan Kuala Kelawang tentunya tidak lama sangat kalau dibandingkan dengan penantian di Seremban. Penantian itu bergantung kepada kesibukan doktor yang bertugas.

Ketika negara baru merdeka dulu, semua rakyat banyak bergantung kepada hospital kerajaan untuk khidmat perubatan. Kalau penyakit tidak serius terpaksa beratur berjam-jam lamanya untuk mendapat rawatan doktor. Itu pun bukan semua yang mampu diperiktsa oleh doktor itu. Kebanyakan pesakit diperiksa oleh Pembantu Hospital (Hospital Assistant) yang banyak ditugaskan untuk memberikan rawatan penyakit yang ringan. Doktor yang ada hanya ditumpukan kepada penyakit berat. Bayangkan pada satu ketika dulu, seorang doktor yang berkelulusan 'general practitioner' ditugaskan sebagai doktor hospital daerah. Beliau diperlukan merawat penyakit yang serius termasuk belah-membelah. Oleh kerana hanya seorang doktor yang ditugaskan bagi setiap hospital, kita dapati doktor itu pun mengalami kehidupan yang sungguh mencengkam. Ketika itu ramai doktor kerajaan datangnya daripada bangsa Melayu dan India kerana mereka terpaksa berkhidmat untuk membalas jasa biasiswa yang mereka terima. Ada juga doktor berbangsa China yang bertugas untuk tempok singkat bagi memenuhi peraturan sebelum diberikan kelulusan membuka kliniknya sendiri.

Pada awal enam puluhan, kerajaan telah membawa masuk ramai doktor daripada negara luar seperti Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh dan juga daripada Korea. Mereka juga diletakkan di hospital daerah. Ketika itu kelulusan sebagai 'general practisioner'sudah membolehkan sesaorang doktor itu menangani sebarang kes penyakit yang muncul. Kalau penyakit itu lebih serius daripada kemampuannya si pesakit dihantar ke hospital besar di setiap negeri. Selain daripada itu, khidmat perubatan juga disediakan oleh syarikat perladangan yang besar-besar yang mempunyai hospital mereka sendiri. Ladang-ladang ini menempatkan seorang pembantu Hospital (H.A) di setiap estet dan setiap H.A ini diawasi oleh doktor yang diimpot daripada luara negara. Namun, bagi kes yang serius yang memerlukan pembedahan, pesakit dihantarkan oleh ambulans estate ke hospital besar kerajaan juga.

Kini, kemajuan negara telah membolehkan kerajaan menempatkan lebih daripad dua doktor di setiap hospital daerah. Malahan kepakaran perubatan yang khusus disediakan di setiap hospital besar. Kelengkapan yang canggih pun memang tersedia di setiap pusat perubatan itu.

- Klinik Swasta Tarik Harga

Kebanyakan klinik swasta masakini, mengenakan cas yang tinggi kepada pelanggannya. Bagi mengubati penyakit selsema, jarang sekali klinik swasta mahu mengenakan cas yang lebih murah daripada dua puluh ringit. Soalnya sekarang kalau si peskit itu terpaksa membayar kos itu dari sakunya tentulah kos perubatan itu tinggi. Bayangkanlah kalau dalam satu keluarga itu ada enam orang yang sakit.

Masalah yang dihadapi oleh kebanyak warga kota ialah kos perubatan terpaksa ditanggung sendiri. Kebanyakan firma swasta hanya memberikan kemudahan perubatan kepada si pekerja sahaja. Ini merupakan satu masalah hidup di kota ini yang sepatutnya mendapat perhatian pihak yang berkenaan. Kemudahan perubatan menyeluruh diberikan hanya kepada pegawai kerajaan, pegawai badan berkanun dan oleh syarikat yang besar sahaja.

Oleh sebab kesuntukan masa, apabila sesaorang itu sakit ia terus pergi ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan yang segera. Kalau dia tidak mempunyai hak bantuan perubatan terpaksalah dia mengeluarkan wang belanja perubatan itu.

Kesibukan di Hospital Besar Kuala Lumpur

Sesiapa yang kerap berkunjung ke Hospital Besar Kuala Lumpur tentu akan terpegun juga dengan keadaan ramainya manusia di situ setiap masa. Kesibukan itu adalah disebabkan terlalu banyak manusia yang memerlukan rawatan dan khidmat perubatan yang tidak mudah didapati di tempat lain. Khidmat yang diberikan memang boleh diberikan pujian kalau dibandingkan dengan perkhidmatan hospital itu dua puluh tahun yang lalu. Memang banyak perubahannya. Tetapi, kalau dibadingkan dengan khidmat yang terdapat di negara maju, kita boleh terpegun memikirkan kenapa perkhidmatan di Malaysia masih di peringkat itu.

- Suasana Bisnes di Bilik Mayat

Kalau kita pergi ke hospital besar Kuala Lumpur di sebelah malam kita akan nampak beberapa kereta mewah diletakkan berdekatan rumah mayat. Inilah kereta kepunyaan taukeh yang mengenadalikan perkhidmatan menguruskan mayat orang yang bukan Islam. Memang banyak agen-agen taukeh itu yang mampu membuat bancian di setiap wad, berapa ramaikah manusia yang sakit yang sudah bernyawa-nyawa ikan. Dari situ mereka sudah mampu mencongak berapa banyak keranda yang diperluakan dan apakah jenis pengkebumian yang diperlukan. Suasana itu tentunya memberikan satu kepedihan bagai keluarga pesakit yang sedang nazak. Belum pun pesakit itu mati, sudah ramai agen-agen perkhidmatan mayat ini yang berkeliaran laksana langau menghurung ikan masin. Mereka datang menghulurkan kad dan brocur khidmat mereka. Yang lebih menyedihkan lagi ada agen yang mempunyai album lengkap dengan gambar jenis-jenis keranda ataupun 'casket' yang ditawarkan.

- Apa yang Mahathir boleh lakukan di Paris

Pada 29.1.2000 ini, Mahathir dijangka melawat Paris dan berbincang dengan Presiden Peranchis Mr. Jacque Chirac. Saya ingin mencadangkan agar beliau berbincang dengan Presiden itu akan cara memperbaikki perkhidmatan kepada si mati di negara ini. Di negara Peranchis ada sebuah syarikat yang besar yang menguruskan orang mati de seluruh negara itu. Syarikat ini adalah kepunyaaan Jacque Chiraq yang dipusakainya daripada keluarganya. Setiap rakyat Peranchis mencarum sedikit wang setiap bulan melalui potongan gaji ataupun menerusi bank. Apabila dia mati, keluarganya hanya perlu menghubungi syarikat berkenaan untuk menguruskan perkebumian si mati. Oleh kerana perkhidmatan ini dibuat secara seluruh negara, kos perkhidmatannya berpatutan dan mampu dibayar oleh setiap rakyat Peranchis. Dengan cara ini syarikat itu mampu memberikan prkhidmatan menguruskan mayat secara menyeluruh hinggalah ke tahap menanam abu (mayat yang sudah dibakara) aupun menaburkan abu itu mengikut kemahuan keluargan si mati.

Sudah sampai masanya perkhimatan serupa ini dikendalikan secara professional. Sekarang ini kita merasa jengkel dengan cara agen-agen pengurusan mayat ini bergerak di hospital besar itu. Perkara serupa terdapat juga di hospital bandar dan daerah yang lain.

- Berita si mati disalurkan kepada agen dulu

Keluarga para pesakit kerap merasa jengkel dengan beberapa kakitangan hospital. Apabila ada pesakit yang mati dan seandainya saudara-mara pesakit itu tidak ada di sisi katil si mati, kita dapat lihat betapa kakitangan hospital akan sibuk menghubungi agen yang menguruskan mayat dulu. Sepatutnya priroti berita kematian itu diberitahu kepada keluarga si mati dulu. Barulah selepas itu dihubungi agen yang menguruskan mayat. Mungkin kelakuan begitu tidak dapat dikesan oleh keluarga si mati yang tertentu. Tetapi dalam setiap wad di mana ada pesakit yang nazak, memang ramai terdapat keluarga terdekatnya yang berada di situ. Bayangkan apakah perasaan mereka melihatkan keadaan itu yang dibuat kepada orang lain ?

- Pesakit AIDS yang semakin bertambah

Di Hospital Besar Kuala Lumpur kos menguruskan mayat ataupun jenazah yang paling tinggi sekali selalunya berhubung-kait dengan si mati yang pernah menghidap penyakit AIDS. Ini adalah disebabkan kelewatan mendapatkan kelulusan daripada pihak yang berkuasa di Bandaraya Kuala Lumpur. Ini merupakan satu perkara yang normal. Tetapi, yang ingin dirakamkan di sini ialah kenyataaan agen-agen yang menguruskan mayat yang mungkin memeranjatkan kita. Ada agen yang berani berkata "Tidak lama lagi setiap keluarga di Kuala Lumpur akan menghadapi kemungkinan salah seorang ahli keluarganya mati disebabkan AIDS". Kenyataan ini memang memeranjatkan. Tetapi, tidakkan semua agen di situ berbohong dalam perkara itu.

"Untuk mengetahui keadaan bertapa seriusnya penyakit AIDS, pergilah ke sekitar Chow Kit. Daripada pasar Chow Kit hinggalah ke Jalan Raja Laut. Semua jenis pesakit AIDS ada berelerak di situ." Demikian kenyataan seorang anggota polis yang kerap bertugas di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur.

Saya amat terperanjat dengan kenyataan itu dan mengambil langkah untuk melihat sendiri keadaan seperti yang digambarkan. Aduh.....memang tepat sekali gambaran yang diberikan. Memang ramai sekali penghidap AIDS itu. Mereka berkeliaran di sana-sini dengan pakaian compang-camping. Mungkin ada juga yang belum menghidap penyakit itu. Tetapi cara mereka mencucuk diri mereka dengan jarum yang bertukar tangan, sudah pasti mendorong mereka ke arah penyakit itu.

- Syurga Penagih dan Pondan

Di sebelah malam mulai jam tujuh, kita boleh melihat kenderaan mula merapati kawasan Lorong Haji Taib dan mundar-mandir di hadapan Wisma Cycle Carri. Di sinilah tempatnya sarang pelacur, penagih dadah dan pondan. Apabila mentari sudah tenggelam kita hanya perlu memandu kereta di bahagian belakang Wisma Maran dan menuju ke hala belakang kedai yang menjual Mercedes. Di sepanjang jalan itu ramai terdapat 'perempuan' yang berpakaian menjolok mata, menanti mangsanya. Kalau dilihat akan pakaian mereka, memanglah dari jauh mereka menyerupai perempuan. Rambut yang panjang yang sekali sekala di ubahkan letak hujungnya, dada yang montok yang menampakkan pangkal buahnya. Aduh..... lelaki mana yang tidak tergiur air-liurnya ? Kalau kurang iman di dada, sememangnya mudah nafsu muda diragut oleh pondan-pondan di situ. Apabila kita perhatikan perangai mereka cuba memikat lelaki yang datang berkereta, kita tidak salahkan beberapa pemandu kereta itu. Ramai yang tersilap langkah dan ramai juga yang kehilangan arah. Baru hendak masuk gear depan, sudah termasuk gear gostan.

Soalnya sekarang bagaimanakah parasit masyarakat itu boleh berkeliaran di sepanjang malam di situ? Kehadiran mereka itu seolah-olah diberi lesen yang luas oleh pihak bandaraya. Suatu ketika dulu, kehadiran mereka hanya terhad pada kawasan di belakang panggung Coliseum dan sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke Sogo. Tetapi kini, mereka sudah semakin berani hinggakan mengawasi kawasan lorong di belakang Wisma Maran higgalah ke belakang Wisma Cycle-Carri.

Di bahagian pagi selepas jam tiga kita boleh pergi ke bahagian depan Wisma Cycle Carri dan menyaksikan pertandingan percuma gelek ponggong. Kelakuan ini dilakukan tanpa disedari oleh para betina Kelab Malam dan Karaoke yang telah diberi makan sejenis dadah yang membuatkan dia menggiurkan ponggongnya. Saya diberitahu, pil yang diberikan itu bolih membawa kesan kepada yang mengambilnya selama lebih kurang lima jam.

Semua gambaran kelakuan manusia seperti ini bukannya gambaran yang disampaikan oleh orang lain. Sebagai penulis, kita terpaksa melihatnya sendiri dengan biji mata kita untuk mampu merakamkannya. Dari situ barulah kita dapat memberikan gambaran yang tepat. Apa gunanya kita menulis untuk generasi kita dengan cara menyampaikan berita?

Saya amat sedih menlihatkan keadaan tempat yang saya sebutkan ini. Kerana di sinilah terletaknya beberapa amaktab dan IPT yang dimonopoli oleh anak bangsa kita. Institut Tun Razak, Maktab Goon, Maktab Wilayah, dan beberapa lagi yang namanya tidak pun dicatitkan. Di tempat yang kerap dimonopoli oleh penagih dadah dan pondan inilah yang dilalui oleh anak-anak muda kita untuk bersekolah. Bayangkan apakah risikonya yang mereka hadapi.

- Penagaih Dadah Sebagai Jaga Kereta

Semalam Unit Khas Bandaraya telah menangkap dalam masa satu jam 26 orang penagih dadah yang berkeliaran mengganggu pemandu kereta yang mahu menggunakan petak kereta di sekitar Wisma Cycle-Carri. Daripada jumlah itu terdapat dua puluh tiga penagih dadah yang berbangsa Melayu. Saya telah menyaksikan penangkapan itu dan bertanya kepada salah seorang pegawai yang bertugas di situ. Katanya, inilah yang selalu dihadapinya. Lebih sembilan puluh peratus yang ditangkap dan dibawa masuk lokap Dang Wangi adalah anak Melayu. Apabila mendengarkan kenyataan itu saya bertanya sendiri secara senyap "Apakah yang sudah jadi kepada bangsaku?".

Kalau kita ambil kira jumlah penagih dadah yang semakin bertambah di ibukota dan juga kepada jumlah yang ditahan di Pusat Serenti, kita boleh mengambil iktibar dan membuat satu kesimpulan. Kita boleh sependapat mengatakan bahawa skim pemulihan penagih dadah adalah satu skim yang kosong dan tidak berkesan sama sekali. Apakah benar seperti yang diberitahu oleh pelarian Pusat Serenti itu; bahawa mereka dihantar disitu hanya untuk dikurung sahaja dan bukannya untuk dipulihkan?

Saya pernah menulis tentang bahana penagih dadah kepada masyarakat sekelilingnya. Ingin dicadangkan di sini agar Datuk BandarKuala Lumpur membuat kajian yang dilakukan oleh Belanda dan Switzerland dalam cara membasmi masalah ini. Adalah lebih baik kalau Datuk Bandar dapat menyewa salah sebuah pulau yng tidak berpenghuni daripada kerajaan Salngor dan Perak dan hantar semua penagih dadah ke sana. Proses pemulian boleh dilakukan di pulau itu, jauh daripada anasir pengedar dadah. Di Belanda, polisi mengurangkan penagihan dadah telah memberikan kesan. Begitu juga di Switzerland. Apabila dadah dibiarkan secara terkawal, pengedar dadah pun tidak boleh berniaga dan harga dadah menjadi murah. Masyarakat pun tidak berminat dengan dadah lagi, setelah melihat keadaan sebenarnya. Masalah besar di negara ini ialah terlalu ramainya pengedar dadah yang mengedar dadah yang dicampur dengan benda-benda lain yang amat berbahaya. Mereka lakukan ini untuk mengaut keuntungan tinggi dalam masa yang terdekat.

Disebabkan berleluasanya pengedar dadah makanya kita lihat dadah diedarkan di kalangan pelajar IPT, di kem tentera dan juga di kawasan rancangan tanah. Adalah amat malang sekali apabila kita dapati di kalangan penagih dadah itu ada yang pernah menjadi pegawai tentera, jurutera, guru, kapten kapal, dan pelbagai jenis profession lagi yang memerlukan otak yang tajam untk mencapai kelulusan itu. Mereka merempat sekarang ini kerana skim pemulihan kerajaan kepada mereka tidak berjaya dan tidak ada sesiapa yang mahu mencari sebab mesababnya. Yang amat malang sekali, lebih sembilan puluh perataus di antara mereka itu adalah berbangsa Melayu.

Kesimpulan

Demikianlah secebis kisah keadaan hidup warga kota dari perspektif kesihatan dan perubatannya. Tentunya ia merupakan sesuatu yagn merunsingkan. Apabila kita lihat cara kerajaan memberikan khidmat perubatan yang tidak setara dengan ura-ura mahukan negara ini maju seperti negara yang lebih ke depan. Kit atntu tertanya-tanya apakah rencana kerajaan itu sebenarnya? Kenapakah rakyat masih tertindas dalam mendapatkan khidmat perubatan yang memuaskan? Kalau pengurusan mayat sahaja masih menjadi satu persoalan yang tidak menyenangkan, apakah yang boleh diharapkan daripada kerajaan seterusnya?

Pada hari Isnin yang baru lalu, di satu petang di Hospital Besar Kuala Lumpur, berlaku satu kerosakan kepada satu lif di satu wad. Lif itu diperbaikki oeh seorang teknisian yang bertugas ketika itu. Tentunya dia mematikan lif itu dulu sebelum pergi membaikkinya. Sedang dia membaikki lif itu orang lain telah menghidupkan lif itu tanpa pengetahuannya. Akibatnya teknisian itu telah dimasukan ke wad ICU. Perkara aini tidak pun dilapurkan oleh akhbar, kerana pihak hospital mungkin mahu merahsiakannya. Apakah lagi yang dirahsiakan oleh pihak hospital daripada pengetahuan oraang ramai?

Inilah tekateki untuk warga kota renungkan. Dalam kita kesedihan, memang lumrah kesedihan itu membawakan kepedihan juga.

-MT-
27.1.2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com