Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 22 - Yang Tersisa dan Terseksa

Kita mampu ketawa dengan ledakan emosi seorang Perdana Menteri yang tiba-tiba muncul di kaca TV di luar negeri dan memarahi rakyatnya yang dikatakan sanggup memfitnah sampai tahap yang dia sudah pun mati. Salah siapa semua itu kalau bukan salah sendiri? Kalau percutian itu menggunakan wang ringgit rakyat, rakyat berhak mengetahui setiap gerak- geri yang dilakukannya. Lagipun, belum pernah sebelum itu perdana menteri tidak menonjolkan imejnya di kaca TV ketika 'bertelekonferensi' dengan timbalannya di dalam negeri.

Sebenarnya toleransi rakyat harus dipuji. Kita telah diberitahu bahawa salah satu sebab utama PM berada di Argentina ialah menunggukan suksesnya penerjunan pasukan penerjun alaf 2000 ke Kutub Selatan. Malangnya Tuhan telah menetapkan mereka hanya layak terjun di Patriot Hill yang terletak kira-kira 1800 meter daripada sasaran. Tetapi, berita yang kita terima itu kita pengapkan sahaja, kerana kita fikir percutian seorang perdana menteri tidak perlu diganggu dengan desas-desus seperti itu. Kemudian timbul pula cerita PM jatuh dari kuda dan dikatakan mengalami kecederaan. Ada bermacam cerita lucu yang muncul selepas itu. Maklumlah rakyat yang merasa terhina dibuai kecurigaan tentunya mengambil jalan mudah untuk menghiburkan diri menjadikan berita kosong kepada satu isu. Salahkah mereka itu? Jawapanya tentu tidak.

Pada masa yang lalu, rakyat selalu terhibur melihatkan perdana menteri dalam sessi bersoal jawab dengan orang di tanah air, di kaca TV. Tetapi, kenapakah terdapat kelainan kali ini ? Kenapakah segala keresahan rakyat itu dijawab oleh Paklah dan Daim dalam satu nada yang tidak meyakinkan? Cuma, baru semalam, PM muncul di TV untuk meredakan keadaan. Itupun selepas rakyat membuat kesimpulan kenapakah beliau enggan muncul sebelum itu sedangakan beliau dikatakan bercuti di Caribbeans dan Argentina. Majoriti rakyat mengambil kesimpulan, beliau tidak mahu mendedahkan siapa lagi yang bersama beliau ketika bercuti itu. Benarkah cerita itu ataupun adakah ia berupa satu fitnah lagi? Ada rakyat yang berkata, tidak pernah beliau bercuti tanpa para kroninya. Kenapa pula dia mahu merahsiakan siapa yang bersamanya kali ini?

APABILA MAHAFIRAUN BERSIN

Setiap pemimpin ulung negara merupakan satu institusi yang tersendiri dan unik, yang mempunyai pengaruh besar terhadap perjalanan negaranya. Apa yang dilakukannya dan apa yang dikatakannya menjadi tatapan dan intipan sebahagian besar rakyatnya. Kalau boleh rakyat mahu tahu bagaimanakah seorang pemimpin yang sudah lanjut usianya dapat mengekalkan rambutnya berwarna hitam. Apakah ramuan penggilapnya dan apakah cara menggilapnya. Mungkin ada segelintir rakyat yang mempunyai bapa yang sebaya dengan PM itu. Mereka mahu juga mencuba setiap jenis ubat yang digunakannya untuk nampak sentiasa lawa dan ceria. Mungkin ada pula yang mahu tahu cara dia merancang sesuatu untuk mengekalkan kuasanya itu, sebagai bahan untuk menulis buku. Perkara itu pun belum kita tahu.

Mungkin tidak ramai yang tahu betapa ramai gadis muda di negara ini yang satu ketika dulu selalu mundar-mandir cuba mengikuti perjalanan Ummi Hafilda. Ramai pula yang cuba mencari butik yang menjahit pakaiannya dan salon yang mendandan rambutnya. Mereka berbuat begitu untuk cuba memuaskan nafsu yang terselindung begitu lama. Mereka cemburu bagaimanakah wanita sedebab itu mampu menarik minat dan perhatian seorang pemimpin unggul negara dan mampu melakar sejarah bangsa berasamanya ? Begitu juga dengan beberapa pemandu dan supir muda di negara ini. Ramai yang memendam impian yang berkubar mahu berjumpa PM kita mengikut cara yang dilakukan oleh Azizan Abu Bakar.

Tetapi, setakat ini kita belum merakamkan sebarang cerita dari sesiapa yang mahu mencontohi Augustine Paul dan Ariffin Jaka yang menjadi kaya raya hanya sebagai hakim negara. Mungkin mereka sudah pun tahu cerita dan caranya tanpa memerlukan pandangan orang lain.

Kalau rakyat mahu ambil-pusing tentang nama-nama popular yang dikaitkan dengan MAHAFIRAUN itu, apakah mereka tidak mahu ambil-pusing kalau beliau pernah bersin ataupun selsema ?

Kita memang tidak mahu ambil-pusing akan cerita-cerita itu. Tetapi, kita mahu tahu apa yang PM mahu lakukan selepas bercuti nanti. Selalunya kita membuat andaian akan apakah langkah-langkah yang akan diambilnya terhadap beberapa isu yang berbangkit sepeninggalannya. Kerana itu kita mengikuti perjalanannya itu laksana mengikut perjalanan bulan gerhana yang mempunyai ciri-ciri sensasi dan banyak tekatekinya.

Apabila tekateki serupa ini tidak berjawab, rakyat jadi geger dan jengkel. Rakyat selalunya merasakan berhak mahu tahu apa yang dilakukan oleh seorang pemimpin agung negaranya setiap waktu dia berada di luar sana. Inilah risikonya menjadi seorang pemimpin yang popular kerana tafsiran popular itu membawa dua makna. Ada pemimpin popular kerana dihormati dan ada pemimpin yang menjadi popular kerana dibenci. Terpulanglah kepada Perdana Menteri kita memikirkan di manakah dia berada di antara dua kategori ini.

- Pemilihan MT Umno

Ketika beliau di luar negara, terlalu banyak cerita tentang kaedah pemilihan ahli majlis tertinggi itu. Yang paling menarik sekali ialah kenyataan Pak Ghafar yang mahukan dua jawatan teratas dalam parti dibuka untuk dipertandingkan. Cadangan ini merupakan satu kenyataan yang berani. Ia disokong pula oleh Tengku Razali dan beberapa pemimpin parti yang lain. Di waktu yang sama ada pula beberapa pemimpin yang mahukan jawatan penting yang lain seperti Ketua Wanita dan Ketua Pemuda tidak dipertandingkan. Kelantangan ramai pemimpin dan ahli UMNO itu amat terserlah ketika presidennya tidak ada dalam negara. Kini, sudah nampak riak-riak akan adanya satu gelombang yang mahukan pertandingan terbuka kepada semua jawatan dalam parti itu. Apakah reaksi MAHAFIRAUN selepas ini? Apakah beliau merasa tercabar dengan pendapat yang terbuka itu?

Soalnya sekarang apakah MAHAFIRAUN dapat menerima pendapat yang terbuka itu tanpa mencetusakan sesuatu suasana yang boleh dianggap sebagai membalas dendam? Kita tahu MAHAFIRAUN tidak bersifat pendendam tetapi kita takut kalau-kalau dia melatah kali ini semata-mata untuk mempertahankan kuasanya. Kita takut dengan apa yang dirasakan oleh ramai pemimpin parti UMNO yang sudah nampak adanya gejala mengugut kali ini. Contoh yang paling jelas ialah kenyataan pengerusi MARA betapa hutang lapuk MARA akan dituntut.

Ugut- mengugut dan Dendam-mendendam

Sememangnya, salah satu strategi untuk menekan sesiapa yang mahu menentang ialah dengan mengeluarkan ugutan secara bersiri. Perakara ini dilakukan dengan menggugat kedudukan sesaorang yang difikirkan mahu menyaingi kita. Dalam keadaan ekonomi sekarang ini tentunya ugutan terhadap undang-undang mahkamah tentunya merupakan bahan yang paling berkesan. Siapakah yang berani masuk mahkamah untuk dimufliskan, setelah sekian lama hidup bergaya ?

Kita tahu sejarah kepimpinan UMNO telah banyak diwarnai dengan kemewahan yang ditunjangi sokongan pucuk pimpinan parti. Di tahap awal lagi pada satu masa dulu, sebelum pasaran saham Kuala Lumpur diwujudkan, MARA merupakan satu institusi yang dianggap sebagai lembu penusu yang mengeluarkan susu segar dan secara segera. Bila-bila masa disentuh sahaja puntingnya susu segar mengalir dengan segera. Siapakah yang paling banyak menerima sokongan kewangan MARA sejak dulu lagi kalau bukan para pemimpin parti?

Kalaulah P Ramlee masih bernyawa

Kalaulah Arwah Tan Sri P Ramlee masih lagi bernyawa dia tentu mampu ketawa membaca penulisan ini kerana dia mempunyai banyak kenangan pahit mengenai MARA dan para pemimpin UMNO. Ketika Studio Jalan Ampas ditutup oleh Shaw Brothers, para artis perfileman Melayu berada di satu tahap yang terumbang-ambing kerana ketiadaan tempat pekerjaan. Oleh kerana sebahagian besar mereka itu adalah rakyat Malaysia, mereka pun balik ke negara asal dan menetap di Kuala Lumpur. P.Ramlee telah mengusahakan pembukaan sebuah pawagam yang bernama 'Rumpun Melayu' di ibukota. Bangunan pawagam itu sebenarnya adalah sebuah panggung lama yang sebelum itu menunjukkan filem Hindustan.

P.Ramlee terpaksa mencuba nasibnya itu setelah gagal mendapatkan sokongan para pemimpin UMNO dan juga MARA untuk mengongkosi niatnya membuka sebuah syarikat perfileman Melayu di negaranya sendiri. Niat P. Ramlee itu telah disabotaj oleh beberapa pemimpin tertentu yang mahukan syarikat itu dikuasai oleh orang politik. Tambahan pula ketika itu ada beberapa orang seniman yang dilahirkan di Malaysia juga yang memikirkan mereka lebik bijak daripada P. Ramlee. Kumpulan ini dengan berbekalkan seniwati sambilan yang masih gebu dadanya dan berseri-seri mukanya telah merencana agar pembikinan syarikat filem kerajaan itu tidak mengambil P Ramlee sebagai peneraju utamanya.

P.Ramlee amat faham akan sepak terajang yang sedang berlaku ketika itu. Beliau mengambil sikap 'wait-and-see' sambil menumpukan masanya kepada pencipataan lagu, dulu. Sebagai orang yang mempunyai visi yang jauh dia lebih rela memencilkan dirinya daripada terbabit dalam politik pembikinan syarikat yang membikin wayang. Di waktu lapangnya dia lebih berminat mencampuri para petugas di kelab lumba kuda dan bermain lumba kotak-mancis di longkang yang terletak di kelab kuda itu. P. Ramlee tidak mahu dibabitkan dengan kerja-kerja jijik yang sedang dilakukan oleh orang-orang tertentu ketika itu. Malangnya, Allah lebih mengasehi beliau dan menarik nafasnya pada usinya yang masih muda. Tidak lama selepas itu muncullah sebuah syarikat perfileman Melayu yang bernama PERFIMA yang ditaja oleh UDA.

Kalau kita ambil sorotan sejarah, kita akan menyoal mengapakah MARA tidak mengambil peranan besar untuk membuat studio filem Melayu ketika itu? Bukankah P Ramlee merupakan peneroka filem dan artis Melayu terulung ketika itu? Jawapannya mudah sahaja. Terlalu ramai orang politik ketika itu yang mahukan P.Ramlee memilih mereka sebagai rakan usahasama agar mereka dapat menguruskan pinjaman MARA bagi projek itu. P.Ramlee merasa serba salah kerana semua mereka itu adalah kawannya. Lagipun beliau tidak mahu terlalu terikat dengan orang politik. Dia tahu orang politk mahu menggunakan namanya untuk tujuan populariti mereka. Di waktu yang sama, MARA ketika itu sedang berada dalam satu keadaan yang tertekan. MARA terpaksa bersaing bukan sahaja dengan UDA dalam membiayai projek usahawan. Ketika itu ada sebuah bank yang dinamakan Bank Rakyat yang amat agressif dalam memberikan pinjaman. Oleh kerana sistem pemberian pinjaman Bank Rakyat sungguh liberal, MARA kerap berada dalam keadaan serbasalah kerana terlalu ketat dengan syarat pinjamannya. Setelah diungkit perkara ini dalam parlimen dan atas dasar kekerapan disanggah oleh orang politik, MARA terpaksa memperbanyakkan pinjamannya kepada orang yang mempunyai kaitan kuat dengan politik juga.

- MARA dan projek basinya

Di waktu yang sama, MARA telah menjalankan beberapa projek meganya sendiri. Ada kilang ubi MARA yang pada asalnya dibina di Kuantan. Kilang ubi ini cukup besar tetapi ia berlandaskan kilang memproses ubi kentang di negara barat. Ubikayu diterima daripada para petani dengan kadar harga yang tetap, tetapi kepincangan projek ini ialah mesinnya yang sebenarnya tidak sesuai untk projek ubi kayu. Kemudian timbulnya masalah harga ubi yang dikatakan terlalu rendah hingga membuatkan para petani mogok dan enggan menjual kepada MARA. Akhirnya kilang ini terpaksa ditutup dan dialihkan ke Sitiawan pula. Di sana pun kilang itu akhirnya menemui ajalnya.

MARA juga ada mempunyai beberapa projek lain seperti pasaraya besar yang terletak di tingkat atas Ampang Park. Orang lain buat pasaraya di tingkat bawah ataupun sedikit bawah lagi. Tetapi, MARA membuatnya di tingkat yang paling atas sekali di bangunan itu. Akhirnya projek itu terpaksa turun ke paling bawah sekali untuk terus tutup, tentunya dengan kerugian yang besar juga.

MARA ada juga satu projek seperti yang dilakukan oleh MAKRO sekarang ini. Ini projek yang bagus kerana tandingannya ketika itu hanya datang daripada G-Mart yang dikelolakan oleh Pernas. Syarikat yang menguruskan G-Mart itu dinamakannya Pernas Edar. Projek MARA itu diletakkan di sebelah bengkel bas MARA di Kampung Keramat. P:rojek itu kantul juga kerana terbakar di malam hari. Tentunya segala buku akaunnya pun turut terbakar sama.

Arwah P. Ramlee masih hidup lagi ketika kelumpuhan projek MARA itu berlaku. Sayangnya dia tidak dapat merakamkan fenomena itu dalam bentuk wayang gambar. Jika tidak sudah pasti dia menonjolkannya seperti yang dilakukannya kepada filem komedinya yang ternama.

Soalnya sekarang kalau MARA boleh lingkup dengan projek kendaliannya sendiri, bagaimanakah pula dengan projek yang ditajanya dan dibuat oleh orang Melayu? Kalau kebanyakan orang Melayu itu adalah pemimpin parti yang memerintah kini, bagaimanakah MARA mahu mengaut kerugian itu? Kita tahu salah satu kerugain besar para peminjam MARA dulu adalah mereka yang mengendalikan perkhidmatan bas dan juga lori pengangkutan. Ada juga yang lingkup kerana meminjam daripada MARA untuk projek teksi jarak jauh. Mungkin kini, kebanyakan pamandu teksi itu pun ramai yan sudah mati ataupun sudah pun pencen, sedangkan hutang mereka di MARA masih belum dipencenkan lagi.

Pinjaman MARA dan Pinjaman Banak Bumiputra

Soalnya sekarang pinjaman di MARA itu bukanlah sebanyak mana kalau dibandingkan dengan pinjaman para usahawan Melayu daripada Bank Bumiputra. Kita tahu banyak pemimpin UMNO yang mempunyai hutang yang besar dengan Bank Bumiputra dulu dan tidak pun membayarnya. Itu sebabnya bank itu terpaksa disokong sebelum tiga kali rebahnya. Kini, Bank Bumiputra sudah tinggal sejarah, hutang lapuk pun sudah tidak perlu diungkit lagi. Kenapakah pula perkara yang serupa yang berlaku di MARA tidak menerima layanan sejarah yang sama? Apakah yang ada lagi kepada para penghutang berbasi di MARA itu? Umur mereka pun tinggal sisa-sisa hidup sahaja dan keupayaan mereka untuk membayar hutang itu tentulah merupakan satu pekerjaan yang sia-sia.

- Ada cendawan di sebalik kayu?

Kalau kita ambil episod kerugian usahawan Melayu yang berhutang kepada MARA dulu, apakah yang ada pada mereka itu kini? Berapa besarkah sangat projek yang mereka kendalikan dulu seandainya kita bandingkan dengan beberapa projek yang dikendalikan oleh anak-anak MAHAFIRAUN yang akhirnya memerlukan bantuan hampir dua billion duit rakyat negara ini? Kalau anak-anak perdana menteri yang berpelajaran tinggi dengan biasiswa kerajaan dan tajaan MARA pada satu ketika dulu boleh gagal menerajui perniagaan mereka dan diselamatkan oleh duit rakyat, kenapakh MARA tidak melupuskan sahaja hutang basi usahawan Melayu itu dulu? Bukankah ramai di antara mereka itu sebelum itu merupakan bekas tentera dan polis yang berjasa kepada keselamatan negara?

Keengganan pihak pengurusan tertinggi MARA menyedari khakikat ini memberikan kita satu bahan berfikir bahawa tindakan MARA itu bukannya sebarang tindakan. Ia merupakan satu tindakan yang bermotifkan politik juga. Besar kemungkinnanya tindakan itu diilhamkan oleh arahan dari atas, tentunya tidak dari langit. Kita lebih percaya tentu ada beberapa orang tertentu dalam pucuk pimpinan parti yang mempunayi hutang bertapuk yang besar jumlahnya yang tidak dilangsaikan. Hutang lapuk itulah yang merupakan cendawan di batanga kayu yang mahu dipertikaikan. Inilah masalah yang penuh misteri laksana adanya udang di sebalik batu. Misteri itu dapat diselesaikan kalau batu itu dialihkan untuk mendedahkan udangnya. Kalau misteri itu berupa cendawan yang tumbuh di balik kayu, kayu itu perlu dialihkan untuk membolehkan cendawan yang tumbuh di batanngnya itu dikutip pula.

Memandangkan betapa tegangnya suasana politk kali ini, kita semakin yakin bahawa issu kutipan hutang bertapuk di MARA itu adalah langkah pertama yang memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang mahu pertikaikan keputusan Majlis Tertinggi agar dua jawatan tertinggi parti itu terus diberahminkan. Siapakah yang sanggup melanggar peraturan ini, melainkan mereka yang tidak mempunyai hutang di MARA sahaja?

Kesimpulan

Misteri kehilangan MAHAFIRAUN ketika bercuti terjawab sudah. Walupun dia membabitkan Soros dalam menunjukkan marahnya terhadap rakyat yang memikirkan benda kurang baik terhadap kesihatannya, rakyat faham maksud sebenarnya. Kini, rakyat menunggukan kepulangannya untuk menyelesaikan pelbagai kekusutan yang sudah lama terserlah. Rakyat mahu tahu apa agendanya selepas belanjawan baru dibentangkan nanti. Apakah reaksinya dengan keadaan tukaran matawang negara yang semakin dihenyak oleh pasaran matawang luar negara? Walaupun di dalam negeri kadar tukaran adalah berasaskan 3.80 pada satu dollar, kadar di luar sudah mencecah 6.00 ringgit. Ini mencetuskan fenomena pasaran gelap dalam matawang yang akan membuatkan ekonomi merudum semula.

MAHAFIRAUN harus menyelesaikan pelbagai masalah dalam parti. Bukan sahaja tentang tandingan terbuka bagi jawatan yang disandangnya. Dia akan diasak dari segenap penjuru oleh para perwakilan yang diberikan katadua oleh ahli parti. Inilah satu tentangan yang belum pernah dihadapinya.Pucuk pimpinan parti sekarang ini berada dalam atu dilemma. Mereka sudah merasakan gegaran rintihan akar umbi yang mempertikaikan masa depan parti. Ada yang merasakan perlunya tandingan terbuka diadakan agar demokrasi tulen dapat diwujudkan semula. Mereka sudah bosan dengan slogan demokrasi terpimpin yang mementingkan para kroni sahaja. Mereka semakin menyoal apakah erti sebenar 'Individu tidak penting, tetapi parti penting?'

Di waktu yang sama kita sudah merasakan betapa beberapa pemimpin pelapis sudah resah lebih daripada biasa. Mereka curiga dengan tindakan MAHAFIRAUN seterusnya. Apakah benar dia akan merombak kabinet sekembalinya nanti dan selepas belanjawan itu dibentangkan semula? Apakah pula tindakannya terhadap parti pembangkang yang semakin lantang? Apakah pula strateginya yang terbaru untuk mengelakkan sapina mahkamah ?

Sebagai seorang ahli politik yang amat takutkan tentangan terbuka, MAHAFIRAUN tentunya memerlukan satu ilmu pukau yang baru pula. Apakah dia sudah memperolehi tangkal itu daripada orang-orang Creole di Caribbeans dan orang-orang Pampas di Aregentina adalah sesuatu yang kita mahu tahu juga. Yang pasti beliau akan menentukan strategi agar sisa kuasa yang ada tidak akan disia-siakannya. Dia akan menghenyak sesiapa sahaja yang termampu dihenyaknya. Dia pasti akan mengasak sesiapa sahaja yang telah berani menyesakkan nafasnya. Dia tahu bahawa masa tidak banyak di tangannya. Suatu masa dulu dia tidak perlu banyak masa itu kerana semua kerja-kerja pukau-memukau tidak perlu dilakukannya sendirian. Kini, orang kepercayaan yang boleh melakukan kerja pukau-memukau itu sudah berkurangan. Sisa-sisa yang masih ada lagi itu pun perlu dicurigai kerana takut-takut mereka merupakan senjata yang memakan tuan. Inilah strategi yang amat menyeksakan. MAHAFIRAUN harus curiga kalau-kalau ilmu pukau yang diajarnya itu akan digunakan terhadapnya pula.

-MT-
29.1.2000.





Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com