Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 23 - Yang Menurun dan Meneran

Beberapa hari kebelakangan ini nampaknya rakyat disediakan bahan ketawa yang pelbagai rupa. Selalunya ia datang daripada tingkah laku rakyat yang cuba mengimbangi tekanan hidup yang semakin perit kini. Tetapi kali ini ia dicetuskan oleh Menteri Penerangan merangkap Setiausaha Kerhormat UMNO, pula. Kenyataannya itu mendapat ruang hadapan Utusan Meloya yang berbunyi: " Rakyat Berhak Tahu." Yang tidak menyedapkan dalam kenyataannya itu ialah apabila dia menuduh khabar-khabar yang disebarkan di internet. Katanya, berita internet itu adalah satu fitnah yang menyebabkan prestasi saham BSKL menurun.

Memang, begitulah kebiasannya menteri-menteri kabinet MAHAFIRAUN yang suka lepas cakap, mengikut suka hati mereka. Soalnya sekarang siapakah yang mahu ditipu oleh Khalil itu dan siapakah lagi yang sanggup ditipu oleh para pemimpin UMNO sepertinya?

Pasaran Saham Yang Menurun

Apabila seorang menteri kanan bercakap tentang pasaran saham, dia mestilah tahu selok belok pergerakan saham dan juga pergerakan pasaran BSKL itu. Jika tidak, dia sebenannya dianggap mensabotaj prestasi pasaran itu sendiri. Kita tahu Khalil Yaakob tidak belajar tentang ilmu pasaran saham ketika beliau di universiti kerana ketika itu pasaran saham BSKL belum pun wujud lagi. Kalau pun dia tahu serba sedikit mengenai saham tentulah berdasarkan pembabitannya di beberapa tahun yang kebelakangan ini. Kita tahu siapa Kalil Yaakob sebelum dia menjadi menteri dulu. Dia mungkin pakar dalam hal balak dan rimba, ikan dan buaya serta irama dan lagu. Dia mungkin tahu hal ehwal kuda polo dan meminati karaoke. Tetapi tidak mungkin mengenai pasaran saham.

Kalau kita tanya sesiapa yang pakar dalam pasaran saham BSKL dia akan kata bahawa harga saham sudah mencapai satu tahap yang tinggi yang memerlukan harga itu turun semula. Oleh kerana Indeks Komposit telah naik terlalu cepat sejak menerjah tahap 900 mata, sudah sampai masanya untuk ia turun ke bawah garis itu kembali. Semalam ia tutup pada 935.57 mata dan kemungkinan untuk jatuh ke bawah lagi hingga 933 mata. Jika ini berlaku, tidak ada sesiapa yang dapat menahan penurunannya ke garis 900 mata.

- Kenaikan yang dipaksa

Sejak dua minggu yang lalu kita sudah dapat melihat betapa indeks komposit itu diransang naik sedangkan pasaran global yang lain sedang beransur turun. Ini adalah bertepatan dengan konsep 'January Effect' yang menjadi trend pasaran di mana-mana. Apabila pasaran BSKL bertindak secara abnormal dengan trend ini kita sepatutnya memahami ada sebab tertentu kenapa berlakunya perangai yang ajaib ini. Di dalam sejarah BSKL, trend naik turunnya selalu amat berhubung-kait dengan pergerakan pasaran Singapore, Hongkong, Jepun dan Wall Street. Dia kurang sangat dipengaruhi oleh pasaran di barat kerana pasaran itu dibuka sebaik sahaja kita tutup. Lagipun trend pasaran di Eropah amat berhubung kait dengan trend di Wall Street.

Kadangkala kita boleh ketawa apabila pemimpin UMNO suka bercakap berkenaan pasaran saham BSKL. Mereka seolah-olah taksub dengan prestasi pasaran sebagai kayu pengukur kestabilan politik negara. Setiap kali mereka membuka mulut dan bercakap mengenai ekonomi negara mereka memberikan syarahan mengenai pasaran BSKL. Sedangkan BSKL bergerak mengikut sentimen manusia yang mengerumuni pasaran itu setiap masa.

- Kesan 'YEWO Effect'

Di akhir minggu yang lalu pasaran BSKL ditutup dengan angka indeks sebanyak 953 mata. Tetapi, semalam ia ditutup pada tahap 935.57 mata. Ini bererti sudah ada kejatuhan sebanyak 18 mata selama 5 hari perdagangan. Secara purata turunan hariannya adalah 3.6 mata. Sebagai 'rule of thumb' ataupun petua pasaran, indeks komposit perlu naik kembali minggu depan mencecah 953 mata sebelum ia mampu memberi galakan untuk pelaburan yang baru. Inilah yang dikatan ransangan untuk pelabur membawa masuk pelaburan tambahannya. Kerana itu kita lihat setiap hari ketika berlakunya kejatuhan pasaran, waktu yang amat terakhir sekali menunjukkan ada ransangan ataupun kenaikan paksa yang dilakukan. Ini menunjukkan kenaikaan atau penurunan indeks itu cuba dikendalikan oleh satu kuasa tertentu yang amat tidak selari dengan sentimen pasaran.

- Meneran Indeks Komposit

Teknik meransang indeks adalah laksana seseorang menekan minyak motor ketika motor itu sedang berhenti. Kalau kita ukur bunyi yang diteran keatas 'accelerator handle' motor itu tentunya ia memberikan gambaran seolah-olah motor itu akan memecut laju. Apakah daya kalau motor itu sebuah kapcai buruk yang baru sahaja diperbaiki tali minyaknya dan juga kaboratornya. Bunyi deruman itu sahajalah yang boleh dibanggakan, sedangkan apabila dilepaskan berek dan ditekan minyaknya motor itu tidak mampu maju ke hadapan, kerana rantainya belum terpasang lagi. Demikianlah juga halnya dengan pasaran saham. Kita mudah terpesona dengan bacaan para pembaca berita ataupun penyiar radio yang membacakan analisis saham."Saham naik lima mata", ataupun "proses pengambilan untung membuatkan indeks jatuh 1 mata" dan sebagainya. Apa yang sebenarnya berlaku, indeks itu diransang naik di saat-saat akhir pasaran. Untuk meransangnya ialah dengan membeli saham 'blue chips' seperti Tenaga, Telekom, Genting, Sime Darby dan beberapa lagi saham yang berat-berat. Kerana itu, setiap kali tersiarnya penurunan indeks kita boleh lihat lapuran akhbar keesokan harinya betapa saham-saham yang popular telah menurun juga.

Trend yang serupa berlaku di pasaran asing juga. Mereka pun mengalami tingkah laku pelabur mengikut sentimen yang sama. Cuma, penurunan harga sesuatu saham itu tidak berlaku sbegitu mendadak seprti yang berlaku di Kuala Lumpur. Ini adalah disebabkan lebih ramainya pembeli institusi daripada peniaga runcit. Lagipun para pelabur di pasaran yang terkenal amat peka dengan beberapa 'rule of thumb' dalam pelaburan. Umpamanya mereka amat perihatin dengan kesan "YEWO Effect'. Kesan ini adalah berdasarkan carta historikal pasaran saham global. Setiap kali pasaran berada di tahun yang bekesudahan dengan angka '0' keadaan pasaran adalah sentiasa tidak menentu. Turun naik-nya amat sukar untuk diramalkan bagi satu masa yang panjang. Oleh kerana itu mulai pertengahan tahun sudah lagi, beberapa pengurus dana yang besar-besar seperti George Soros telah mengambil beberapa langkah berhati-hati dengan fenomena "Year Ending with Zero" itu.

- Mainan'Ying' dan 'Yang'

Kenapakah kerap sangat pemimpin Melayu kita yang bercakap hal pasaan saham seolah-olah mereka pernah dilahirkan dalam pasaran itu? Kita jarang mendengar pemimpin China yang bercerita pasal indeks yang akan naik ataupun indeks yang akan menurun? Ini menunjukkan gejala 'tong kosong"; lagi kosong tong itu, lagi mudah ia berdengung.

Orang Cina yang mempunyai tamaddun beribu tahun membuat pelbagai kajian untuk menelah turun naiknya pasaran saham. Keseluruhan hidup mereka telah dipengaruhi oleh proses tarikan 'ying'(yin) dan 'yang'. Inilah tenaga negatif (yin) dan positif (yang) yang menarik dan menolak kehidupan sesaorang itu. Keupayaan mengimbangi dua kuasa itu amat penting dalam kehidupan manusia. Simbol 'ying' dan 'yang' boleh dilihat pada bendera kerajan Korea yang berbentuk seakan-akan anak katak dalam satu bulatan.

Suatu bulatan (atupun sebiji telur) adalah lambang bermulanya satu kehidupan. Yang melambangkan 'hari' ataupun kelahiran. Yin adalah lambang 'malam' ataupun kematian. Disebabkan kekuatan "T'ai Chi" mengimbangi kedua-dua kuasa yang menekan itu, ketahanannya melambangkan prinsip kemuncak setiap benda. Di dalam peradaban oriental, termasuk peubatannya dan filosofinya, setiap sesuatu itu adalah dilihat di bawah kedua-dua fenomena ini. Untuk mengekalkan harmoni dan kesesuaian dengan alam, ia memerlukan daya tahan untuk mengimbangi kedua-dua tekanan. Kekacauan dan keadaan kelam-kabut akan muncul setiap kali berlakunya pertembungan kepada keadaan yang telah diimbangi. Untuk memahami falsafah 'ying' dan 'yang' secara menyeluruh kita perlu memahami ilmu horoskop peradaban China yang amat unik dan menarik sekali. Cukuplah kalau kita katakan, pasaran saham banyak dipengaruhi oleh pengaruh tekanan kefahaman itu.

-Bayangan naga yang semakin menjelma

Kita tahu enam puluh peratus 'pemain saham' di BSKAL adalah pelabur runcit. Berapakah agaknya di antara mereka itu orang Melayu? Tidak mungkin ia melebehi 5% daripada jumlah itu. Jadi, setiap kali Pak Menteri dan Mak Menteri kita bercakap hal turun naik saham dalam Bahasa Melayu, siapakah yang mereka tujukan percakapan itu? Kalau percakapan itu ditujukan kepada orang Melayu, apakah kesan yang ada pada pasaran?

Dari sini kita dapat katakan, setiap kali menteri-menteri memberi amaran berkenaan pasaran saham mereka sebenarnya tidak faham akan keadaan pasaran saham itu. Mereka cuma menggunakan isu turun naik saham untuk memenuhi masa mereka bercakap. Takkan mereka mahu menunjuk-nunjuk kepandaian mereka tentang saham? Kita boleh nampak daripada mereka membincangkan masalah orang Melayu secara khususnya eloklah mereka berbincang tentang saham. Sudah tentu, orang Melayu yang ada di keliling mereka ketika itu tidak mahu persoalkan pendapat mereka itu kerana bukan ramai orang Melayu yang bermain saham. Terutama sekali di luar bandar.

Inilah kerja para pemimpin kita yang suka sangat bercakap hal ketuanan Melayu. Sekali sekala mereka bercerita pula tentang pasaran saham seolah-olah pasaran saham itu adalah gelanggang yang menonjolkan ketuanan Melayu. Apabila akhbar Melayu cuba memberikan ruang muka hadapan bagi cakap-cakap serupa itu nampak sangat betapa mereka juga sama mahu mengabui pemikiran orang Melayu. Itulah hakikatnya. Tetapi, percakapan berkenaan turun naik saham itu mempunyai makna yang amat besar kerana orang Melyu sudah dapat mengira bahawa kalau harga saham selalu turun dividen KWSP dan tabung dana amanah saham akan turun. Begitu juga dengan dividen pelaburan di Tabung Haji. Di sinilah terletaknya kepintaran beberapa pemimpin Melayu itu. Mereka merancang berkempen tentang merudumnnya pasaran saham disebabkan 'fitnah' Tujuan sebenarnya mereka mahu memepertahankan sebarang kenyataaan yang dibuat mengenai dividen yang dijangka lebih rendah pada tahun yang lalu. Mereka akan ulang-ulang prestasi pasaran saham disebabkan tuduhan fitnah itu setiap kali mereka berpeluang bercakap. Mereka akan bergeler-geler berucap mengenai prestasi itu supaya propaganda itu melekat pada "batu jemala" rakyat jelata.

Taktik mengulang-ulang prestasi pasaran saham sudah dimulakan oleh MAHAFIRAUN sejak awal tahun ini. Malahan beliau pernah meramalkan betapa indeks komposit akan naik mencecah 900 mata sebelum akhir tahun. Ketika Zainuddin Maidin menemubual Paklah dia telah memberikan penekanan kepada prestasi pasaran saham juga. Dia telah menekankan betapa MAHAFIRAUN sudah menunjukkan kepintarannya menelah lonjakan indeks komposit itu.

Beginilah liciknya mainan propaganda yang diasaskan stail propaganda Nazi di zaman Hitler dulu. "Suatu perkara yang tidak betul apabila diulang-ulang dan dicanang setiap waktu akan kelihatan seolah-olah betul dan diterima oleh rakyat." Inilah falsafah Goebbels yang direstui oleh Hitler satu ketika dulu. Inilah juga falsafah MAHAFIRAUN yang disokong padu oleh para menteri kabinetnya. Ingat kata mereka; "Pasaran merudum kerana berita fitnah yang disebarkan di internet." Masuk akalkah saranan itu?

Oleh kerana orang China di negara ini adalah tulang belakang pasaran saham dari sudut pelaburan runcit, kita boleh menjangkakan pasaran itu akan terus merudum secar berdikit sehinggalah ia ditutup untuk cuti Tahun Baru China. Perkara ini ada hubungkait dengan keprcayaan orang China yang akan menyambut tahun baru yang dipengaruhi "Tahun Baru Naga". Kalau saya tidak silap, kali ini mereka akan menyambut Tahun Baru Naga Emas. Inilah kali keempat sejak kemerdekaan Malaysia, orang Cina menyambut tahun baru naga. Catatan almanak mereka menunjukkan sambutan tahun baru naga (kayu) pada Februari 1, 1965. Pada Februari 17, 1977 tahun naga (api) dan pada Februari 5 1989 tahun baru naga (tanah).

Dengan kemunculan tahun baru naga bererti zaman yang dipengaruhi oleh tahun arnab akan berakhir. Kalau kita lihat kepercayaan orang China kepada pengaruh tahun baru arnab ini jelas kepada kita betapa ciri-ciri kelakuan arnab telah menghambat kehidupan manusia di dunia ini sejak satu tahun yang lalu. Arnab suka lari ke sana dan ke sini dan membuat kacau di batas-batas sayur seolah-olah batas itu laksana padang permainan. Dia akan gali sana dan gali sini, menyuruk di sana dan menyuruk di sini sambil orang yang kerugian terkapai-kapai untuk memperbaiki keadaan mereka. Bukankah itu yang berlaku kepada kita sejak satu tahun yang lalu?

Dari kacamata Islam, mengaitkan sesuatu nasib itu kepada kepercayaan yang ditonjolkan oleh ciri-ciri haiwan ataupun apa juga benda lain, adalah amat bersalahan. Kerana itu kita tidak bertujuan menulis panjang lebar akan perilaku arnab yang menjadi lambang perangai sesaorang itu. Namun, secara ilmiah pula kita tidak boleh tolak tepi sahaja sesuatu pengajaran hidup itu kalau pengajaran yang terdapt darinya boleh membaiki keadaan hidup kita itu. Dengan hal yang demikian, tanpa menelek harapan yang digambarkan oleh tahun baru naga, kita boleh renungkan apa yang telah dipaparkan oleh tahun arnab. Mungkin daripada sini kita dapat menyorot kenapa kita berperangai anih sejak satu tahun yang lalu.

Tahun yang dipengaruhi oleh kelakuan arnab menunjukkan seorang pemimpin yang tamak haloba, yang mementingkan dirinya sendiri dan tidak pedulikan orang lain yang tidak secocok dengan rencananya. Tahun China yang akan berlalu telah dipengaruhi oleh arnab busut (tanah). Ciri-ciri yang mengenai haiwan ini menunjukkan sesaorang yang lebih mementingkan kehendak dirinya dan yang tidak sukakan tandingan kepada apa yang dikehendakkinya. Gambaran ini seolah-olah mengingatkan kita kepada sesaorang yang amat berkuasa dalam menentukan masa depan bangsa kita bukan?

Impak emosi manusia di akhir tahun arnab

Kita menjangkakan pasaran saham akan meniru perangai arnab yang akan pulang ke sarangnya menantikan ketibaan musim tuai yang baru. Laksana arnab di kawasan empat musim, arnab akan mengumpulkan makanannya untuk kegunannya untuk satu ketika sehingga muncul musim untuk keluar mencari makanannya lagi.

Pasaran saham akan dibuka hanya untuk satu minggu lagi sebelum ditutup. Proses memungut untung akan bermula Isnin ini kerana para pelabur runcit mahu menyediakan wang secukupnya menghadapi hari lebaran mereka. Wang untuk persiapan lebaran sudah pun tersedia. Cuma mereka mahukan wang untuk memulakan perniagaan baru setibanya tahun baru naga. Proses pengeluaran wang daripada akaun pasaran yang mengambil masa satu minggu adalah amat cocok jika penjualan dibuat sebelum penutupan pasaran itu. Apapun yang akan dilakukan untuk meneran dan meransang pasaran Indeks Komposit itu, besar kemungkinnnya usaha itu akan gagal. Pelabur Cina sudah tidak lagi berminat melabur di pasaran saham. Ramai yang sudah mula menutup perniagaan mereka untuk pulang lebih awal ke kampung halaman sebagai persiapan. Kalau kita lihat industri perumahan, banyak projek sudah dihentikan kerana para pekerja tidak mahu mengalami kecederaan yang tidak disangka-sangka menjelang hari lebaan mereka. Apabila pelabur runcit tidak berminat dengan pasaran apakah yang mungkin terjadi kepada indeks komposit itu? Tentulah ia akan merudum setiap hari. Inilah yang ditakuti oleh para menteri kita. Mentelahan lagi MAHAFIRAUN akan pulang ke tanahair selepas bercuti. Dia tidak mahu pasaran saham turun. Dia mahu pasaran terus naik seperti naiknya pasaran itu ketika dia pergi bercuti dulu.

Kesimpulan

Seperti yang pernah berlaku, ketibaan MAHAFIRAUN di tanah air selepas satu perjalanan yang panjang selalunya disambut oleh kenaikan indeks komposit dan pasaran saham yang tinggi. Kenaikan itu adalah lambang ketibaan seorang pemimpin ulung yang perasaan bahawa beliaulah segala-galanya yang menentukan kemajuan dan kekayaan negara ini. Akan tetapi, perkara sebegitu dijangkakan tidak akan berlaku. Mungkin secara kebetulan penurunan saham adalah disebabkan pelabur runcit yang bersiap sedia untuk bercuti.

Namun, para menteri kabinet yang celupar akan membuat tafsiran bahawa merudumnya pasaran adalah disebabkan khabar dan berita berbentuk fitnah. Mereka akan terus bredongeng bahawa fitnah itu datangnya daripada internet dan 'Harakah'. Tetapi, rakyat bukannya sebodoh yang mereka fikirkan selama ini. Orang Melayu sudah semakin celek bahawa setiap kali para menteri kabinet mengulang sesuatu isu ia adalah satu propaganda yang mahu memesongkan fikiran rakyat lagi. Kini, kita mempunya pelbagai daya usaha untuk menelah setiap propaganda yang dikeluarkan oleh jabatan 'Dirty Tricks Department' kelolaan UMNO itu. Apa juga ransangan dan proses teran-meneran yang mereka lakukan, akan dianalisa secara professional oleh orang Melayu juga. Soalnya sekarang, setakat manakah usaha untuk memukau fikiran rakyat itu dan selama manakah ia akan dilaksanakan.

Mungkin tidak ramai di kalangan pemimpin pucuk pimpinan UMNO yang sedar, kecanggihan IT memudahkan rakyat yang perihatin berhubung cepat di antara satu dengan lain secara global. Kepantasan kommunikasi elektronik memudahkan segala usaha rakyat marhain bersatu padu dalam satu semangat yang murni untuk memperbetulkan keadaan yang sudah lama pincang.

Yang paling menarik sekali adanya satu kesedaran di kalangan cerdik pandai Melayu bahawa satu kekuatan perlu dikumpulkan untuk menentukan agar ketuanan Melayu itu tidak tinggal pada kata-kata sahaja. Inilah yang telah dilaksanakan oleh UMNO dan pucuk pimpinan parti yang ada. Mereka telah menggunakan isu ketuanan Melayu sebagai satu batu loncatan untuk menegakkan dinasti beberapa kerat orang Melayu yang berada di persada pucuk pimpinan parti. Usaha yang diperketatkan oleh MAHAFIRAUN sebelum beliau pergi bercuti nampak akan berjaya. Tetapi, dia belum mengetahui akan rintangan yang akan menjelma.

Tanpa menyedari kewujudan rintangan yang besar, semua konco-konco MAHFAIRAUN telah membuat penekanan agar pasaran saham akan terus naik setibanya MAHAFIRAUN daripada lawatannya itu. Mereka akan mempastikan ciri-ciri kenaikan dan lonjakan indeks komposit akan terus diteran dan diransang secara paksa. Besar kemungkinannya mereka akan digagalkan oleh keadaan sentimen pasaran tempatan yang tidak serasi dengan sentimen kerakusan politik mereka itu.

Hari-hari mendatang sebelum tibanya MAHAFIRAUN akan merupakan hari-hari yang mencabar kepada para panglimanya. Inilah hari-hari yang akan menentukan masa depan mereka sebenarnnya. Kalau hidup mereka itu kini laksana burung dalam sangkar yang sungkupannya dikawal secara 'remote' oleh MAHAFIRAUN, kita boleh membayangkan ditahap mana sungkupan itu kini berada. Malahan kita cuma mahu memikirkan apakah keadaan mereka sebenarnya. Apakah mereka masih turun naik kawasan sangkar itu sambil meneran-neran kekuatan untuk mencari peluang melepaskan diri?

-MT-
30.1.2000.





Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com