Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 24 - Yang Gagah dan Gagap

(Embargo: Tilll 31.1.2000)

Berita manusia yang gagah-gagah dalam dunia bisnes di negara kita ini tersiar sudah. Berapa ramaikah yang berbangsa Melayu? Cuma Tan Sri Tajuddin Ramli yang tersenarai di samping anak-anak Allahyarham Yahaya Ahmad.. Yang paling kaya ialah Tan Sri Robert Kuok yang sudah berumur 77 tahun. Beliau dilahirkan di Johor Bahru dan menerima didikan tinggi di Raffles College, Singpore.

Kita tidak akan membicarakan hal ehwal Kuok secara panjang-panjang kerana kesuntukan masa dan ruang. Memadailah kalau dicatatkan di sini beberapa fakta yang mungkin menarik minat para pembaca. Tan Sri Robert Kuok pernah mewarnai kulit hadapan Asia Inc. keluaran December 1994. Sebagai mengingati kejayaan Robert Kuok ini eloklah kita bawa beberapa kisah ringkas yang mungkin membawa satu nostalgia kepada rakyat Malaysia. Mungkin ada yang pernah terlibat dengan beberapa industri di mana episod yang akan dituliskan ini berlaku.

Episod 1 : Bagaimana Kuok menjadi kaya raya

Pelajaran Robert Kuok telah diganggu oleh tentera Jepun yang menaklukki Singapura pada 1942. Ketika itu dia pun diterima untuk bekerja oleh sebuah syarikat Jepun yang bernama Mitsubishi Commercial Company. Di situlah beliau mendapat pendidikan cara orang Jepun berniaga sambil berkesempatan mempelajari Bahasa Jepun.

Pada 1952 seorang adik Robert Kuok yang telah bergiat dengan pertubuhan Parti Komunis Malaya telah dibunuh oleh askar British. Ini membuatkan Robert bertekad untuk bekerja di London. Di London beliau mempelajari selok belok perniagaan kommoditi dengan berkecimpung di London Commodities Exchange. Di situlah beliau menjadi kaya raya. Kuok berpindah ke Kuala Lumpur pada 1957 ketika negara mencapai kemerdekaan. Beliau telah menerima pelawaan Tunku dan Tun Abdul Razak yang telah menjadi rakan karibnya di London dulu. Pengalaman beliau berhubung-rapat dengan Syarikat ED & F Mann dan Tate & Lyle telah memudahkan beliau mengasaskan hubungan dagang dengan beberapa pengeluar gula di Thailand, Indonesia, India. China dan Cuba. Pengaruh yang kuat seperti ini membuatkan beliau terkenal sebagai Raja Gula hinggakan mampu memenopoli perniagaan gula di negara ini sejak dulu lagi. Kekuatan ini terserlah apabila Kuok dapat mematahkan satu gabungan peniaga gula daripada China yang cuba mensabotaj perniagaanya. Kuok berjaya mematahkan tandingan itu dengan mengimpot gula dengan harga yang lebih murah daripada India. Kejayaannya mengalahkan peniaga daripada China itu teleh mendorong kerajaan di Beijing menawarkan beberapa keluaran negara itu seperti petisejuk untuk diekspot.

Kini, Tan Sri Robert Kuok menjadi rakyat Malaysia terkaya di dunia dengan asset berjumlah AS$4 billion. Jumlah itu tentunya tidak mencerminkan harta yang sebenarnya. Yang menarik dalam kejayaannya itu ialah beliau tidak naik disebabkan hasil perniagaan kasino ataupun nombor ekor.

Episod 2 : Ladang Gula Pertama di Malaysia

Pada awal enam puluhan, satu ladang gula telah dibuka di Perak dan diberi nama Gula Perak Berhad. Ladang itu adalah kepunyaan Kerajaan Perak dan dikelolakan oleh satu jawatankuasa yang dianggotai oleh beberapa tenaga pengajar universiti. Ketika ia dibuka, ladang itu adalah ladang yang paling besar di seluruh dunia dari segi kelengkapan dan jentera yang dipunyainya. Ladang gula Perak itu mempunyai 14 multiple harvester, yakni mesen menuai batang tebu. Ladang kedua terbesar selepas ladang itu mempunyai hanya 11 multiple harvester.

Ladang ini lingkup pada tahun 1974 dan cuba menukar tanamannya kepada penanaman nanas dengan cuba menarik minat Delmonte daripada Hawaai. Alasan projek itu lingkup ialah "keadaan tempat yang tidak menerima cukup air hujan." Sungguh cantik alasan itu dan semua malaon dalam dunia ini boleh percaya dengannya. Maklumlah alasan itu telah dibuat oleh seorang pemimpin parti yang memerintah. Tetapi, cerita kenapa ia lingkup adalah berbeza pula. Ketika tersibar cerita kerugian ladang itu, akhbar perdana tidak pernah berminat mendapatkan cerita sebenarnya daripada para pekerja ladang.

Kenapa Gula Perak Lingkup

Saya pernah menjejakkan kaki ke ladang itu ketika ia baru sahaja memulakan proses menuai tanamannya yang pertama. Ketika itu (akhir 1969/1970 kalau tidak silap), saya sudah menjangkakan ladang itu akan lingkup. Apabila sebuah ladang gula menggunakan mesin yang berat untuk kerja-kerja menuai, ladang itu perlu dibersihkan secara bersistem tanpa ada satu tunggul pun sebelum ianya ditanam dengan benih tebu. Ini yang dikatakan 'total uprooting system'. Jikalau syarat ini tidak dipatuhi dan kerja-kerja menyediakan tapak tanaman itu tidak bersih daripada segala tunggul, ia pasti menjejaskan prestasi mesin tuai ataupun 'multiple harvester' yang ada. Harga sebuah mesin itu adalah dalam ratusan ribu setiap satu. Maklumlah ia berkapasiti besar, mampu mengerat tebu dan membersihkannya untuk diangkut terus ke kilang untuk diproses.

Di beberapa negara lain, tebu ditanam dengan menggunakan traktor kecil yang dapat mengelakkan tunggul kayu. Apabila tebu itu matang, ladang tebu itu dicucuh api untuk membakar dedaun, pulur dan pelepahnya. Teknik tuaian seperti ini memerlukan tebu yang sudah terbakar itu dihantar terus ke kilang untuk diproses. Kelewatan untuk diproses akan mengeluarkan air tebu yang masam; hanya layak dibuat cuka ataupun 'rum'.

Mungkin untuk mengelakkan masalah tebu masam ataupun disebabkan keyakinan keupayaan mesin yang canggih itu makanya Gula Perak mengambil sistem 'full-mechanisation' dalam dasar penanaman mereka. Sayangnya, teknik penyediaan tanah telah diseleweng. Hanya kawasan yang berdekatan dengan jalan yang dibersihkan sepenuhnya daripada tunggul kayu. Bahagian yang sebelah dalam dibiarkan tanpa dibuang. Dengan lain perkataan kontrak untuk menggali tunggul kayu telah membiarkan bapak segala tunggul dan nenek-moyangnya tertanam terus di sebahagian besar kawasan ladang.

Tanaman tebu memakan masa lebih kurang 90 hari untuk matang. Penanaman awal telah didahului dengan upacara yang sungguh warna warni yang menaikkan nama menteri besar ketika itu (eloklah tidak disebutkan namanya waktu ini untuk menghormati zuriatnya). Ia juga dihadiri oleh Menteri Pertanian ketika itu (namanya pun tidak akan disebutkan di sini). Sebagaimana biasa pada hari menuai pertama, majlis itu dihadiri juga oleh semua YB dan YAB serta para exco kerajaan. Ketika majlis menuai dilakukan, tentunya projek itu nampak lancar kerana hanya kawasan yang bersih daripada segala tunggul yang telah dituai dulu. Semua orang suka dan menaruh harapan bahawa Perak akan menjadi peneraju dan pembekal gula yang terulung di negara ini. Harapan ini meleset disebabkan alasan yang kita catitkan di atas tadi. Yang menarik dalam episod ini segala kerja-kerja kontrak membersihkan ladang, banyak dibuat oleh para kroni yang menganggotai exco negeri. Inilah catatan saya akan sejarah kronisma pertama di negara ini. Patutlah Zahid Hamidi mengungkitkan 'kronisme' kerana datuk neneknya mungkin pernah menceritakan episod ini. Kesimpulannya ladang gula itu bukannya tidak sesuai untuk tanaman tebu seperti yang dicatatkan dalam sejarah. Ia lingkup disebabkan semua kerja-kerja pembekalan alat kelengkapan dan juga tender-menender dibuat oleh orang-orang politik yang mahu menjadi kaya raya secara segera.

Episod 3 :

Satu lagi projek menanam tebu secara besar-besaran telah dibuat di Ayer Hitam, Bahau. Negri Sembilan. Projek itu telah dibuat dengan usahasama kerajaan negeri dengan satu syarikat besar di India. Pada awalannya projek ini tidak dihiraukan sangat oleh orang Melayu kerana di Negeri Sembilan ketika itu bukannya ramai sangat orang Melayu. Mentelahan lagi di Bahau, yang terkenal sebagai sarang komunis pada satu ketika dulu. Kerana itu apa juga yang dibuat oleh pengurusan ekspatriat itu tidak dipertikaikan sangat. Mereka mengimpot hampir semua jenis tenaga pengurusan yang diperlukan sehinggakan 'fitter' dan mekanik. Namun, ada sesorang anak Melayu yang terchongok sebagai Pengurus Besar ketika itu. Beliau masih mentah lagi dalam bidang pengurusan dan tidak mampu menyanggah tindak-tanduk para professional yang datang.

Keadaan pengurusan yang menyeleweng itu akhirnya telah didedahkan oleh Haji Subky Latif yang ketika itu menjadi Ketua Pengarang akhbar 'WATAN". Beliau telah menarik perhatian rakyat negara ini kepada beberapa iklan yang disiarkan di majallah antarabangsa yang mahukan pekerja di kilang itu bagi jawatan 'fitter' dan 'mekanik'. Haji Subky telah mempersoalkan apakah yang dibuat oleh Persatuan Bekas Tentera hingga sanggup membiarkan tenaga kerja kelas rendah pun dibawa masuk daripada India. Barulah melenting para ahli politik dan juga persatuan bekas tentera di negara ini. Barulah mereka sedar betapa sudah ada satu lagi ladang gula yang akan mengikut jejak langkah Gula Perak Berhad.

Pendedahan yang dibuat oleh Subky amat menyengat dan berbisa. Oleh kerana Negeri Sembilan adalah laksana sekangkang kera kalau dibandingkan dengan kawasan Negeri Perak, cerita sebenar ladang itu pun mula timbul kerana sudah ramai orang Melayu yang sanggup membuka rahsianya. Menteri Besar ketika itu pun susah hendak duduk berdiam kerana dia merasakan dirinya telah ditikam dari belakang oleh orang-orang yang amat dipercayainya. Dia memikirkan projek tebu Negri Sembilan itu dapat menutup kelemahan yang terdapat di Perak. Dia fikir Negri Sembilan dapat menegakkan satu industri maju yang menggunakan tenaga pekerja yang dapat menampung sisa-sia tenaga daripada industri perlombongan bijih yang semakin pupus ketika itu. Sekali lagi seorang pemimpin UMNO dimainkan oleh beberapa pemimpin parti politik komponen Barisan Nasional ketika itu. Seperti juga yang berlaku di Perak, mainan pihak 'asing' ini telah meranapkan cita-cita suci pemimpin UMNO negeri.

Ladang Tebu Negeri Sembilan akhirnya terpaksa menerima nasib yang sama seperti ladang di Perak. Alasan kali ini ialah "kekurangan hujan yang tidak memungkinkan hasil tuai yang berbaloi dengan pelaburan". Rupanya kajian hujan yang dibuat sebelum itu tidak tepat. Kononnya, ketika kajian itu dibuat Negeri Sembilan masih lagi kaya dengan hutan tropikanya. Apabila ladang yang besar telah dibuka di sana sini oleh FELDA, RISDA dan FELCRA, hujan yang dijangkakan tidak boleh diharapkan lagi. Sekali lagi sebuah projek yang berjuta-juta dollar terpaksa kantul disebabkan alasan saintifik juga. Sekali lagi alsan itu diterima kerana tidak ada sesiapa yang sanggup menyangkalnya.

Namun, bangkai gajah boleh ditutup dengan tanah, bangkai rasuah tetap akan bernanah. Demikianlah halnya dengan Ladang Tebu Negri Sembilan itu. Kini, kita boleh lihat betapa suburnya penanaman tebu di seluruh kawasan Ayer Hitam, Kuala Pilah, Serting, Keangai dan hinggalah ke Kuala Kelawang. Kebun-kebun tebu telah diusahakan secara persendirian oleh orang tempatan. Malahan, tebu yang digunakan di Kuala Lumpur dan Singapura datangnya dari Negri Sembilan juga. Soalnya sekarang, bagaimanakah hujan boleh turun secukupnya untuk tanaman ladang kecil tebu itu sekarang? Apakah sudah ramai orang negori yang pandai menjadi bomoh hujan? Akhirnya Ladang Tebu Ayer Hitam itu diubahsuaikan menjadi satu pusat latihan pasukan polis hutan. Projek itu pun tutup juga akhirnya kerana komunis sudah tidak selesa hidup di hutan rimba. Mungkin mereka lebih senang hidup berdekatan Putrajaya.

Episod 4 :

Ketika ladang gula Perak dan Negeri Sembilan masih lagi beroperasi ada satu lagi ladang gula di bahagian utara negara ini. Ia dikenal dengan nama Ladang Gula Perlis yang terletak bersempadan dengan Thailand. Ladang ini menanam tebu dengan menggunakan banyak tenaga daripada sempadan. Hasil tuaian pada awalnya dibuat gula merah yang perlu diproses lagi menjadi gula pasir.

Episod 5 :

Tidak lama selepas penubuhan Ladang Gula Perlis (Perlis Plantantions) itu, FELDA telah membuat usahasama dengan Robert Kuok untuk membuka satu kawasan seluar 2,600 hectare bagi penanaman tebu. Ladang ini terus menunjukkan kejayaannya kerana adanya satu tenaga professional yang didatangkan oleh Robert Kuok.

Episod 6 :

Tentu ada sebab kenapa Tun Razak mahukan Robert Kuok mencampuri usaha penanaman tebu dengan FELDA. Mungkin beliau sudah terlalu 'fed-up' dengan para pemimpin UMNO di bahagian negeri yang telah diberikan kelulusan membuat projek itu sebelumnya. Namun, Tun Razak tidak pernah mahu mempertikaikan alasan saintifik kegagalan semua ladang-ladang tebu itu. Sebenarnya, pada 1958 Robert Kuok telah menubuhkan Malaysia Sugar Manufacturing Comapany. Dia menubuhkan syarikat itu sebelum ada satu lot tanah yang ditanam dengan tebu secara kommersial di negara ini.. Begitu pintarnya beliau membuat percaturan niaganya. Robert Kuok berjaya memonopoli perniagaan gula di negara ini setelah beliau membina sebuah kilang memproses gula pada tahun 1964. Sehingga hari ini monopoli gula itu masih lagi berada di tangannya. Yang anihnya tidak ada seorang pemimpin UMNO yang telah terbeliak mata untuk mengatur rancangan agar perdagangan itu diambil-alih oleh orang Melayu ataupun oleh persatuan yang mungkin berkelayakan seperti Persatauan Bekas Tentera ataupun sebagainya. Soalnya sekarang bagaimanakah perkara ini boleh berlaku begitu lama. Apakah disebabkan Haji Subky Latif tidak lagi mahu mengungkit perkara itu di akhbar sepaerti dulu?

Episod 7 :

Pengalaman di Malaysia dalam penanaman tebu dan pengisaran gula pasir telah memberikan Robert Kuok tapak yang baik untuk menanam tebu secara besar-besaran di Indonesia pada tahun 1970. Di waktu yang sama Robert telah memperkokohkan perniagaan perkapalannya yang dibawah naungan Pacific Carriers Ltd (PCL).

Sebelum itu Robert Kuok pernah diberikan tugas utnuk mewujudkan Malaysian Airlines System (MAS). Dia kurang berjaya di bidang itu dan terpaksa menyerahkan kuasanya kepada orang lain selepas mencubanya selama tiga tahun. Tidak lama selepas itu Robert Kuok telah diminta untuk melancarkan Malaysian Shpping Line Corporation. Dia berjaya dalam bidang ini sehingga terbabit dalam penubuhan Malaysian Shipyard Engineering. Akhirnya beliau melepaskan tugas beratnya dalam kedua-dua industri tersebut.

Kesimpulan

Nama Robert Kuok adalah satu nama yang harum. Sahabatnya adalah pemipin negara yang mempunyai pengaruh yang besar. Dia amat dipercayai oleh Fidel Castro dan juga Presiden Jiang Zemin. Di Hongkong, dia amat rapat dengan Run Run Shaw. Di Indonesia rakan niaganya ialah Liem Sioe Liong. Di Singapura tenttulah dia rapat dengan Lee Kuan Yew. Kini, sudah mencecah 77 tahun usianya. Tidak lama lagi semua perniagaannya di negara ini akan diserahkan kepada suku sakatnya sebagai proksi. Kalau kita pergi ke negeri Belanda kita boleh lihat sebuah bangunan yang tersergam indah dengan namanya dipuncak bangunan itu. Begitulah juga di beberapa kotaraya yang lain. Nama Robert Kuok adalah sinonim dengan karier seorang usahawan yang pintar menggunakan hubungan baiknya dengan pemimpin negara dan meluaskan empayar perniagaannya.

Setinggi-tinggi Terbangnya Bangau

Robert Kuok tentunya tidak akan bertahan lama kerana dia bukannya lahir dengan darah seorang dewata. Usianya yang hampir mencecah 80 tahun tentu akan membuatnya merasa jelak dengan dunia perniagaan. Walaupun dia dikatakan pintar menguruskan badan dengan penggunaan awet muda, tanpa menunggang kuda, Robert Kuok tidak akan aktif lebih lama. Dia adalah manusia biasa yang mempunyai otak yang pintar. Kekayaannya yang dibuatnya di negara ini sejak Malaysia mencapai kemerdekaan mungkin tidah habis di akhir millineum ini. Sembilan puluh sembilan peratus rakyat Malaysia tentu tidak sedar bahawa gula yang mereka gunakan selama ini adalah dikawal oleh seorang insan bernama Robert Kuok. Kalau kuasa memonopoli satu barangan yang penting boleh dianggap sebagai ciri-ciri yang melambangkan ketuanan, bagaimanakah kisah seterusnya dengan monopoli gula itu?

Kita tidak mahu mengungkit kisah bawang yang dimonopoli oleh satu keluarga adik beradik sejak negara ini merdeka. Begitu juga dengan monopoli pengimpotan cili kering dan sotong kering. Sekarang ini kita mahu mencetuskan minda orang Melayu kepada monopoli gula yang memaniskan darah mereka sekian lama. Sampai bilakah gula itu akan menjadi hak total Robert Kuok di negara ini?

Saya yakin tidak ramai pemimpin yang berotak luas di pucuk pimpinan parti yang berani mengungkit cerita monopoli gula ini. Mereka akan menjadi gagap kalau disuruh berbincang perkara ini. Mereka berani gagah kalau bercerita tentang saham yang merudum di pasaran BSKL. Tetapi, kegagahan mereka itu akan terus bertukar menjadi gagap kalu kita jolok mereka perkara seperti monopoli ini.

Keupayaan seorang yang nampak gagah menjadi gagap memanglah bukan satu perkara baru di Malaysia. Di mesyuarat kabinet pun perkara seperti ini selalu berlaku. Di mesyuarat MT UMNO pun perkara ini kerap berlaku juga. Perkara demikian boleh senang berlaku kalau sesaorang itu disoal oleh MAHAFIRAUN. Kalau ketika dia tidak ada, orang pun mudah menjadi gagap kalau disoal oleh orang-orang beliau yang diketahui mempunyai kuasa proksi. Tidak kiralah orang itu seorang Menteri Kewangan, Menteri Perindustrian ataupun seorang yang baharu sahaja menjadi timbalan menteri. Perangai gagap spontan itu adalah satu fenomena yang lumrah di negara ini. Tambahan pula ketika UMNO akan bersidang menentukan siapa yang akan menjadi ahli MT yang terbaru di alaf baru.

Kenapa Monopoli Pengedaran Gula difaraidkan sejak merdeka?

Tetapi apa yang kita mahu soal pemimpin kita itu; sampai bilakah monopoli perdagangan gula itu difaraidkan kepada Robert Kuok dan zuriatnya ? Apakah itu ada satu para tidak tertulis dalam perlembagaan negara ini? Kenapakah tidak difikirkan cara yang baik agar monopoli itu dipecahkan ketika Robert Kuok masih lagi bernyawa dan belum sewel lagi? Bukankah elok kalau dia dipujuk untuk membenarkan beberapa institusi piihan mengambil alih monopoli itu? Kenapakah tidak monopoli itu diserahkan kepada satu ataupun dua universiti di negara ini agar terbentuk satu badan khas yang dapat mengambil alih fungsi penjualan gula itu ke seluruh negara? Dari situ boleh ditentukan agar penjualan gula itu diagihkan pula kepada beberapa wakil penjual di setiap daerah. Kalau projek seperti itu dapat direncana, apakah tidak mungkin tebu yang ditanam secara kecilan oleh setiap petani dan orang kampung, diperbesarkan usahanya untuk dikomersialkan? Kalau ini dapat dilakukan bererti sudah ada satu reformasi dalam pengendalian dasar pertanian negara. Kita jangan lupa hampas tebu yang diperah airnya (bagasse) adalah bahan terbaik untuk makanan lembu dan pembiakan cendawan serta projek madu lebah.

Pada satu ketika dulu rakyat mudah ditipu dengan alasan kegagalan projek tebu. Kekurangan hujan boleh digunakan sebagai alasan ulung ketika itu. Kini, alasan seperti itu sudah basi. Ia tidak boleh digunakan sebagai bahan saman pemikiran rakyat marhain lagi. Kepada para pemimpin yang selama ini berlagak gagah, ambillah cabaran penulisan ini. Janganlah terus gagap dengan cabaran yang mudah ini. Pokoknya, monopoli penjualan gula itu harus dihentikan sistem faraidnya agar bertukar tangan kepada orang kita dan kepada generasi negara ini. Tiga naga sudah pergi dan satu naga emas akan muncul, kini. Tidak bolehkah monopoli gula itu ditukarkan hak miliknya?

Janganlah ada sesiapa dalam pucuk pimpinan UMNO yang sanggup berbicara hal Hak Ketuanan Melayu selagi soal monopoli gula ini tidak diselesaikan dan dipecahkan sistem faraidnya. Inilah masanya sesiapa yang berlagak gagah selama ini menunjukkan ketelusan hatinya untuk menentukan pecahnya monopoli gula yang mencerminkan kelemahan ketuanan Melayu. Sepatutnya monopoli barang makan seperti ini sudah lama terkubur di alaf lalu.

-MT-
31.1.2000.





Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com