Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 25 - Bila Retak Menanti Belah

(Awalkata: Penulisan Siri 25 ini adalah satu tribut kepada bakal jemaah Haji. Semoga perjalanan anda sekelian diberkati Allah dengan satu pengalaman yang sungguh murni dan berwarna warni.)

Penulisan panjang dalam Siri Suasana Lebaran Pencetus Minda ini sudah pun hampir mendekati garisan penamatnya. Apa yang dimulakan sebagai satu cabaran oleh Webmaster Laman Reformasi Pendidikan Negara telah disambut dengan satu keazaman untuk mencungkil minda yang lama tidak diasah disebabkan keadaan suasana penerbitan dan percetakan negara yang amat menyedihkan. Bayangkan kalau filem Yusuf Haslam boleh dicetak- rompak dan lagu yang belum diterbitkan oleh Siti Norhaliza boleh dijual secara haram di kaki lima kotaraya, tentunya buku nukilan pengalaman lama amat mudah dicetak-rompak juga. Perkara ini sudah pun lama berlaku kepada beberapa penulis Melayu. Cuma, mereka sanggup diam membisu kerana takutkan tohmahan "bahawa rungutan sengaja diada-adakan untuk mencari publisiti murahan."

Cabaran WM Laman RPN mungkin tidak disambut secara serius kalau tidak kerana tekanan lembut yang dicetuskan kepada penulis, oleh Polong Cyber. Ini disusuli pula oleh Tok Ayah daripada Laman Web 'Tranung Kita' yang menyediakan satu kolum khas untuk 'Penulis Cyber'. Penulis ini menjadi terharu dengan semua sambutan itu, dan semakin terharu apabila menerima satu catitan yang amat memberansangkan.Webmaster 'Pemantau' pernah berkata "Tulislah sepanjang mana, kami para Webmasters akan berupaya mengendalikannya. Bukan ramai sangat orang kita yang mampu menjadi Webmasters."

Menyedari hakikat ini, tanpa membuang masa penulis telah mengorak satu agenda kecil sebagai rangka untuk menangani satu perjanjian yang tidak bertulis dan memenuhi satu impian yang belum terlukis. Agenda penulisan ditumpukan kepada soal-soal kehidupan yang menekan orang Melayu pada khusunya dan orang Malaysia pada 'amnya. Penekanan penilaian ditumpukan kepada kata-kata para pemimpin negara yang kerap dicetak pelbagai cara dan rupa; yang mengandungi pelbagai makna.

Penulisan mengenai alam maya yang berkisar kehidupan, perlu menggunakan kata-kata yang menghidupkan suasana dan menggerakkan perasaan jiwa. Kerana itu penulisan saya terpaksa menggunakan kata-kata yang mungkin dianggap keras dan pedas dan mungkin menusuk jiwa yang tersinggung dan merasa panas. Kata-kata yang keras itu tidak semestinya melambangkan kebuasan nurani penulisnya. Kata-kata itu perlu digunakan untuk menjolok perasaan dan mencetuskan minda yang terlalu lama kurang perasan kepada keadaan kehidupan yang sebenarnya.

Tercetusnya Gerak Reformasi

Setiap langkah ada geraknya. Demikianlah yang menjadi penyebab kenapa penulis tergerak menuliskan pengalamannya dalam satu ruang yang terhad dan tekanan masa yang sungguh ketat. Bayangkan tekanan yang dikenakan tanpa paksa dan tanpa ugutan-dera, untuk menyediakan satu penulisan sekitar sepuluh keping muka surat bersaiz A4 setiap hari. Ia perlu diolah begitu rupa setelah membaca semua akhbar media harian pelbagai bahasa. Baik bahan cetak tempatan ataupun daripada luar negara. Kemudian, bahan yang menarik perlu diamati untuk menentukkan setiap fakta yang akan ditulis itu ada kesahihannya. Penulisan dalam keadaaan tertekan memang tidak lari daripada banyak kesilapan. Biarlah kesilapan itu berbentuk ejaan dan tidak muncul daripada fakta yang mengelirukan. Falsafah penulisan begini menjadi etika penulisan ini yang terpaksa dipatuhi setiap hari untuk menentukan keasliannya dan kecerian isi kandungannya.

Penulisan yang ditumpukan kepada kehidupan harian sememangnya memerlukan banyak kiasan. Ia perlu dibuat begitu untuk menyedarkan kita bersama. Tidak pernah paparan peristiwa dan sindiran kata-kata dibuat dengan niat jahat. Semua itu dilaksanakan setelah dibuat pertimbangan yang agak lama jua. "Bolehkan aku dedahkan perkara ini?" merupakan satu soalan yang kerap menghantui fikiran penulis; ketika memandu kereta, ketika berjalan mundar-mandir laksana orang gila. Malahan ketika mengambil wuduk untuk menghambakan diri kepada Yang Esa.

- Antara Tulisan dan Bacaan

Memang tidak mudah menulis untuk mengkritik bangsa sendiri. Itu bukannya budaya Melayu. Kerana menulis dan membaca itu bukannya budaya Melayu juga. Kalau penulisan dan pembacaan adalah budaya warisan, tentu ada hasil tangan yang dibuat untuk menjadi sarung pena dan kalam. Pasti ada pelbagai bentuk kraftangan tua yang membalut buku usang dan tulisan pusaka bangsa. Yang ada cuma beberapa batu nesan lama dan batu bersurat tua yang dinukilkan oleh penulis pendatang mungkin. Mereka diupah pastinya oleh orang-orang kaya ataupun warga istana yang mungkin mempunyai sedikit kesedaran untuk meninggalkan pesan kepada zuriatnya.

Begitulah nasib Bangsa Melayu. Tidak ada banyak warisan bangsanya dalam dunia persuratan. Malahan juga dalam dunia kraftangan. Kita tidak seperti orang Tibet yang mempunyai pusaka penulisan yang sungguh tidak ternilai harganya yang berbentuk beribu keping kayu yang panjang-panjang; tergantung di candi lama di puncak pergunungan. Kita tidak mempunyai pusaka bangsa seperti orang Mesir yang menyimpan harta pusaka pelbagai rupa dan pelbagai makna. Piramid yang berukuran pelbagai yang masih kukuh dan teguh adalah lambang harta pusaka itu. Masih banyak lagi tugu-tugu buatan manusia itu yang masih tertanam di bawah pasir menunggukan masa untuk muncul ke permukaan, dan menyerlahkan rahsia yang menakjubkan. Kita tidak juga mempunyai pusaka seperti orang Cina yang mempunyai tamaddun begitu lama. Kita tidak punya Tembok Besar yang melambangkan tenaga berlebihan yang dikerahkan untuk menyusun batu yang besar-besar melindungi negara daripada serangan luar. Tidak juga himpunan ukiran batu 'jade' yang mempesonakan keindahannya ataupun simpanan ukiran di atas kulit telur, bijiran beras dan gandum yang sungguh cantik dan intriket kesseniannya.

Golongan pribumi Amerika Latin mungkin lebih berbangga dari kita kerana mempunyai pelbagai kesan warisan bangsa yang pelbagai bentuk bikinannya dan besar-besar lakarannya. Banyak kesan sejarah bangsa mereka masih memerlukan masa yang lebih panjang lagi untuk mentafsirkan maknanya. Sungguh menakjubkan semua itu kerana keindahan sebenarnya hanya dapat dilihat jauh dari atas; dari angkasa dan tidak dekat di bawah, di atas bumi. Inilah kesan sejarah yang membuatkan tamaddun moden masih menghormati pribumi Latin Amerika itu kerana orang yang mendatang masih lagi tercari-cari makna sebenar pembikinan candi dan tugu lama yang melambangkan penghambaan manusia terhadap mentari dan purnama.

Di manakah lambang sejarah bangsa kita?

Kita kerap di ajak berbangga dengan sejarah bangsa kita yang dikatakan amat berharga untuk generasi akan datang. Di manakah sejarah itu sebenarnya? Apakah kita mesti merasa senang dengan replika kota di Lembah Bujang, ataupun replika kapal Portugis di tepi kota lama ? Cukupkah kita kagum dengan bentuk sebilah keris panjang yang dipacak tidak jauh daripada sebuah ukiran batu burung helang? Apa lagi yang boleh kita banggakan selain batu bersurat di Terengganu dan sebuah perigi lama yang dikatakan kegunaan Tun Tuah ? Mestikah kita percaya dengan beberapa mariam besi di Bukit Malawati yang ditinggalkan oleh pedangang asing satu ketika dulu ? Mengapakah kita sanggup menipu diri dan mengaku mariam itu buatan sendiri ? Tidak terlintaskah pada fikiran kita, di zaman batu bersurat dibuat, orang Melayu masih belum pandai bertukang besi yang besar dan berat lagi? Bukankah itu masanya tukang kayu masih membikin rumah tanpa berpaku?

Disebabkan kurangnya kesan sejarah Melayu makanya ramai pemimpin kita yang berlumba-lumba membuat ukiran batu di sini-sana sebagai usaha mengisi kekosongan yang ada. Maka terukirlah pelbagai rupa tugu batu itu menggunakan pakar yang didatangkan daripada seberang. Bermula daripada tanjak dan tengkolok Melayu hinggalah kepada segala rupa makanan dan buah-buahan; semuanya dibuat menjadi batu yang besar. Tersergamlah ukiran batu di merata tempat, berwarna warni diselaputi cat. Tetapi, apakah maknanya semua itu? Apakah seninya barang-barang yang dibikin daripada simen itu ? Bukankah itu simen yang mengikut bentuk dan rupa yang diolah dengan dawai dan besi di dalamnya?

Mesir purba membikin piramid pelbagai rupa dan ukurannya sebagai makam menyimpan mayat para ningratnya. Di dalamnya tersimpan juga pelbagai cerita dan rahsia sesuatu dinasti dan sejarah perjalanan sesuatu bangsa di sesuatu era. Itulah pendapat manusia kini mengikut cerita lama yang diwarisi. Hanya setelah dibikin teropong laser dan penemuan cahaya x-ray, barulah seluruh dunia tahu akan cerita sebenarnya. Di dalam setiap piramid itu terdapat pelbagai lagi bikinan manusia yang penuh misteri yang masih perlu dikaji. Begitu juga dengan candi kaum Incas. Satu ketika dulu ramai yang menyangkakan bahawa bikinan tangga batu yang besar dan tinggi, adalah lambang tanda-hormat manusia kepada mentari. Kini, alat 'probe' yang terkini menunjukkan bahawa masih banyak lagi khazanah satu bangsa lama yang terperam di dalam setiap bangunan itu yang perlu diterokai dan ditafsirkan penemuannya.

Bagaimanakah dengan kesan sejarah bangsa kita? Apakah benar segala kesan sejarah itu masih lagi tersembunyi di perut bumi? Masih lagikah kita mahu mempercaya bahawa ada sebuah mahligai besar di dasar Tasik Cini?

Pentingkah kesan sejarah bangsa?

Kesan sejarah sesuatu bangsa sebenarnya adalah lambang kebesaran dan kekuatan bangsa itu di satu masa yang lalu. Di Afrika, orang Zulu merupakan satu bangsa yang besar dan kuat pada satu ketika dulu. Tetapi, tidak banyak kesan-kesan sejarah bangsanya kerana orang Zulu tidak kuat dari segi ilmu pengetahun. Mereka kuat kerana banyaknya bilangan mereka di setiap tempat perkampungan yang ada. Ini mempunyai hubungkait dengan adat resam orang Afrika yang diwarisi hingga ke hari ini. Salah satu adat mereka ialah mengenai rumah si orang tua. Rumah itu tidak boleh didudukki oleh anak dan cucu selagi yang empunya masih bernyawa lagi. Ini bermakna, kalau seorang lelaki itu mempunyai dua puluh isteri, anak-anaknya akan membina dua puluh buah rumah untuknya dan setiap isterinya itu. Demikianlah membiaknya dinasti sesuatu keluarga itu.

Kemudian, terdapat pula di beberapa tempat di Afrika di mana rajanya mempunyai adat yang amat ketat. Setiap gadis yang dikahwinkan harus tidur dengan raja mereka di malam pertama sebelum si suami dapat menjamahnya. Adat ini menjaminkan bahawa kalau sesuatu hal yang kurang baik berlaku kepada si suami, si wanita yang sudah menjadi janda boleh pulang ke istana raja untuk menjadi gundeknya. Dengan hal yang demikian, semua anak-anak si janda itu menjadi anak angkat kepada rajanya.

Dari sejarah kepercayaan hidup orang Zulu ini kita dapat buat rumusan bahawa orang berkulit gelap di Afrika tidak dapat menunjukkan kesan kebesaran bangsa mereka kerana dikongkong oleh kepercayaan dan kefahaman hidup yang berpusatkan kebesaran seorang ketua ataupun raja. Keadaan ini lebeh menekan hidup apabila mereka terpaksa berpindah randah selalu, mengikut keadaan musim mencari air dan makanan. Oleh kerana hutan belentara telah lama musnah tanpa ada sesiapa yang mahu menanam semula, kehidupan mereka banyak bergantung kepada daging binatang yang hidup liar secara berkumpulan. Kemudahan membunuh binatang itu membuatkan mereka tidak berminat untuk menangkap yang hidup dan memeliharanya. Lagipun usaha ini amat membebankan kerana ketiadaan sungai dan hujan. Kerana itu kita lihat, bangsa di Afrika yang mempunyai banyak kesan sejarahnya adalah bangsa yang mempunyai bekalan air yang mudah dan hidup menetap tanpa berpindah-randah.

Keupayaan sesuatu bangsa hidup kekal di satu tempat membolehkan otak mereka berkembang mengikuti suasana disekelilingnya. Mereka mampu menyimpan tenaga yang ada untuk menjana fikiran yang tinggi nilainya. Itu sebabnya orang 'Red Indian' di Amerika tidak mempunyai banyak warisan bangsanya yang berbentuk mega kerana terlalu bebas dan terlalu luas ruang hidupnya itu. Setiap kali musim bertukar mereka perlu berpindah juga untuk bersama dengan arus haiwan yang berpindah sama. Ciri-ciri yang sama dapat dilihat di negara ini kalau kita teliti akan sejarah tamaddun kaum asli. Mereka berpindah-randah bukan disebabkan pertukaran musim. tetapi disebabkan adanya kematian di perkampungan mereka. Ironisnya inilah juga amalan kaum Red Indian di Amerika dulu. Mereka akan meninggalkan perkampungan mereka selepas meletakkan mayat di atas para, untuk dibakar oleh mentari. Fahaman yang sama berlaku juga di India di satu masa dahulu kepada satu kaum yang meletakkan mayat ahli keluarganya di atas batu ataupun pokok kayu, untuk menjadi makanan unggas dan mungkin juga hantu.

Teori Pindah-Randah

Pada satu ketika dulu, ramai yang percaya bahawa teori pindah-randah adalah satu teori yang ada hubungkaitnya dengan orang Melayu. Sesuatu bangsa yang kerap berpindah-randah akan hanya mementingkan dirinya untuk hidup senang di satu tempat pada satu ketika. Ia tidak mahu berusaha untuk membikin sebarang monumen kerana tahu akan meninggalkan tempatnya itu. Demikianlah bunyinya teori ini. Apakah benar dengan teori ini dan apakah sangkut-pautnya dengan tamaddun bangsa Melayu? Kalau kita lihat sejarah bangsa Melayu, kita dapati memang tidak ada banyak kesan sejarah yang boleh kita banggakan. Tidak ada satu artifak yang menunjukkan orang Melayu itu pintar dalam bertukang besi ataupun seramik. Apatah lagi dalam segala cabang ilmu lain seperti persuratan, astronomi, senibina, dan ilmu yang lebih saintifik lagi. Kerana itu kita tahu kedatangan pendatang asing ke negara ini satu ketika dulu semata-mata untuk mendapatkan perlindungan daripada perubahan angin. Kalau ada pun hasil negara ini yang penting bagi mereka ialah berbentuk gaharu dan cendana. Itulah hasil yang dapat diusahakan oleh orang Melayu daripada hutan rimba yang ada.

Disebabkan fenomena pertukaran angin, para pedagang yang datang terpaksa singgah untuk mendapatkan bekalan air dan bertukar dagang. Penantian yang lama mendorong mereka memunggah barang untuk disimpan di darat. Ini membolehkan kerja-kerja menyelia dan membaikki kapal dan segala kelengkapannya. Inilah yang terjadi kepada kerajaan Melayu Melaka. Kehidupan yang statik tidak memberikan orang Melayu berfikir panjang untuk mendalami ilmu kehidupan mereka. Mereka menjadi satu masyarakat yang puas dengan kemakmuran yang dibawa oleh pendatang asing. Golongan raja-raja mudah selesa dengan segala cukai dan buah tangan yang dibawa oleh pedagang yang kaya raya. Tidak ada seorang raja Melayu ketika itu yang diketahui tahu membaca apatah lagi yang tinggi ilmu pengetahuannya. Mereka khayal dengan madat dan candu, betina dan lagu. Mereka dikhayalkan oleh cerita dongeng dan ampu tanpa memikirkan masa depan bangsa Melayu.

Kedatangan Islam di Tanah Melayu

Ini menunjukkan teori pindah-randah tidak membawa sebarang makna kepada tamaddun Melayu yang hidup menetap di satu perkampungan sambil menjadi pengawal istana rajanya. Tetapi, kalau dikaji pula sejarah Melayu selepas kedatangan Islam kita akan dapati betapa teori ini menampakkan relevannya. Sebaik sahaja orang Melayu menganut agama Islam mereka telah didedahkan kepada ilmu pengetahuan yang dibawa oleh ajaran itu hinggakan otak Melayu tidak lagi menjadi kematu. Barulah Melayu bangkit dan sedar betapa sewaan tanah mengikut kulit kering yang dijanjikan oleh raja dengan pedagang Belanda telah menjerat bangsa mereka. Rupanya kulit kering itu dihiris-hiris menjadi tali yang digunakan untuk mengukur keluasan tanah yang dibayar sewanya. Begitu juga dengan hubungan dagang antara Portugis dengan raja. Tipu muslihat pihak Portugis menonjolkan beberapa orang keling sebagai penasihat raja telah membawa musibah kepada istana, akhirnya.

Akhirnya, kesultanan Melayu Melaka hancur kerana kekurangan ilmu pengetahuan. Apabila British datang untuk menyelamatkannya, tamaddun bangsa sudah pun jatuh terhina. Pihak British yang datang menawarkan khidmat nasihat sebenarnya membawa tipu muslihat untuk terus menjajah. Satu masyarakat Melayu yang tidak berpindah-randah dapat dijajah dengan mudah. Kedegilan Melayu untuk tidak berpindah jauh dari kawasan istana, telah memudahkan British untuk menjajah. Walaupun secara fisikalnya orang Melayu itu menetap di satu tempat, fikiran mereka itu yang terus diserang agar mudah bercelaru. Dengan cara itu semua orang Melayu amat sukar untuk bersatu kerana otak yang semakin membeku dan hampir menjadi kaku.

Kini, orang Melayu sudah lama merdeka. Orang Melayu tidak berpindah-randah lagi. Tetapi, otak orang Melayu itu masih lagi berpindah-randah. Inilah muslihat penjajah British dulu yang diwarisi oleh penjajah baru yang terdiri daripada orang yang memanggil diri mereka pejuang ketuanan Melayu.

Pada satu ketika dulu, ketika orang kulit hitam Afrika berpindah randah tidak ada yang dapat mereka lakukan untuk memperkayakan diri dan menonjolkan kuasa bangsa mereka. Kedatangan Islam yang meredah persisiran pantai Mesir dan Sudan telah merebak begitu pantas menyusuri pantai yang menghadapi Lautan Hindi dan membawa kesedaran besar kepada penduduk pribumi. Mereka telah menganut agama itu dan telah disedarkan akan kebesaran Ilahi. Perkara yang sama berlaku di negara yang menghadapi Lautan Pasifik di benua yang besar itu. Perjalanan para kafilah daripada Lautan Merah telah menembusi Timbuktu dan menjadikannya satu pusat pengajian Islam di zaman Sultan Sokoto. Semua ini membawa kesedaran yang besar betapa sejarah sesuatu bangsa itu sebenarnya terletak kepada keupayaannya menguasai ilmu pengetahuan yang dapat mentafsirkan kebesaran Tuhan. Inilah kesedaran yang membawa pengaruh Islam menjelajahi beberapa negara barat sehinggakan terbinanya empayar Andalusia.

Sayang, kekuasan dan pengaruh Islam itu tidak dapat terus tersibar kerana kepincangan pucuk pimpinan kerajaan Islam itu sendiri. Kesibukan mengembangkan kuasa telah memerangkap mereka kepada benda-benda yang melambangkan keangkuhan. Inilah yang menjerumuskan bangsa itu ke kancah kealpaan dan kehinaan. Kekuasaan yang nampak tegap dan gagah telah pecah berkecai disebabkan kealpaan. Apabila kealpaaan itu tidak diperbetulkan ia bertukar rupa kepada kepupusan jua.

Kesimpulan

Inilah yang kita takutkan yang mungkin berlaku kepada Bangsa Melayu. Kekayaaan yang datang melimpah-ruah tidak digunakan untuk memperkayakan Bangsa Melayu itu dengan ilmu pengetahuan. Segala usaha untuk menegakkan nama Melayu dengan membina projek mega yang besar-besar bukannya dapat menjamin bangsa Melayu itu menjadi satu bangsa yang besar. Tercapaikah ilmu yang pelik-pelik dengan cara membebankan murid sekolah dengan buku yang berat-berat? Terserapkah ilmu yang pelik-pelik dengan tekanan hidup yang semakin getir ?

Kesungguhan pihak tertentu memesongkan fikiran orang Melayu dalam proses pecah dan perintah akan menjadikan orang Melayu itu satu bangsa yang akan mengharungi alaf baru dengan fikiran yang mencelaru. Di antara proses pecah dan belah itu munculnya satu kuasa pemerintah yang mahu terus menjajah. Ironisnya, kuasa itu datangnya dari satu rumpun bangsa yang sama. Cuma kesamaan itu ada perbezaannya disebabkan kacukan darahnya. Bagaimankah ini boleh berlaku? Ia boleh berlaku kerana kepintaran menggunakan isu mudah yang boleh memukau daya fikir orang Melayu. Isu mudah itu boleh berbentuk isu temberang. Tetapi sesuatu isu yang songsang kalau diulang-ulang akan memukau fikiran hinggakan meyakinkan orang sebagai satu isu yang tidak palsu. Bayangkan apa jadinya kepada generasi muda yang diberitahu bahawa "Nabi Muhammad tidak mencukur janggutnya dulu kerana di zamannya tidak ada pisau cukur."

Kini, muncul satu isu songsang lagi. Utusan Melayu dalam muka depan bertarikh Isnin Januari 31, 2000 ada melaporkan: "Dr. Mahathir berkata orang Islam tidak makan babi kerana dididik dari kecil bahawa babi itu jijik dan begitu juga mereka dididik dari kecil supaya tidak dapat menerima agama lain." Bayangkanlah betapa rosaknya seorang pemimpin Melayu dalam fahamannya akan ajaran Islam. Bukankah tegahan memakan babi itu datangnya dari Allah dan diturunkan kepada Nabi junjungan kita? Bukankah itu juga yang tersurat dalam semua kitab suci di dunia ini? Alangkah aibnya kenyataan ini. Bangsa lain yang bukan Islam pun tahu akan kepalsuan kenyataan begini.

Saya teringat cerita beberapa orang mekanik Melayu yang mengatakan kalaulah tidak kerana kepakaran mereka, sudah tentu mereka tidak akan tahu apa yang ada di rumah beberapa pemimpin Melayu. Kata mereka: "Ramai pemimpin kita tidak mahu mengambil orang Melayu bekerja di rumah. Dari tukang masak sehinggalah pengawal keselamatan." Saya terkejut dan bertanya kenapa? Mereka pun menjawab; "Kebanyakan mereka itu tidak mahu kita tahu betapa mereka hanya "Melayu" pada namanya. Pegangan hidup sudah berbeza. Semakin ramai yang hidup mengikut ajaran agama lain.." Saya terpinga-pinga dengan kenyataan itu. "Malahan," kata mereka lagi "Ada seorang pemimpin Melayu yang anaknya berkahwin dengan warga asing yang beragama lain dan mengamalkan agama itu. Bayangkan agama apakah yang diajar kepada cucu-cucunya?"

* * * * *

Semoga saudaraku yang akan berangkat ke tanah suci dalam seminggu dua lagi dapat memanjatkan doa kepada Ilahi meminta agar bangsa Melayu dilindungi Allah daripada serangan anasir sesat yang menyerang fikiran Melayu secara bertubi-tubi. Inilah manusia berhati syaitan yang sedang menyerang maruah bangsa Melayu hingga mencetuskan keretakan di fikiran orang Melayu. Inilah retaknya yang menunggu belah, bila-bila masa sahaja. Inilah dilemma kita di alaf baru, sebenarnya.

-MT-
1.2.2000.





Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com