Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 26 - Antara Retak dan Rentak

Awalkata: Penulisan ini dihadiahkan khas kepada masyarakat Malaysia di Kota London.

Apakah ada lagi sifat-sifat keikhlasan dan ketaqwaan dalam hati-perut seorang pemimpin ulung negara kalau dia sanggup membuka pekung di dada, di negara orang ? Apa pula perasaan rakyat yang mendengar segala fitnah itu ? Apa pula pendapat rakyat asing yang mendengar fitnah yang dihamburkannya ? Inilah trauma yang menghantui rakyat Malaysia di London selepas MAHAFIRAUN sanggup memburukkan bangsanya sendiri ketika berucap kepada mereka.

Memang malang sekali peristiwa itu. Sebenarnya rakyat di luar negara tidak berapa minat mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh MAHAFIRAUN. Mendengarnya dan mengakui segala fitnahnya itu bererti mereka mengakui kelemahan diri mereka sendiri. Bukannya mereka tidak mempunyai saudara mara di Malaysia yang mengirim surat dan menghantar berita akan apa yang sebenarnya berlaku di kampung halaman. Bukannya yang datang pada hari itu orang sembarangan. Kebanyakan mereka mengambil ijazah lanjutan di negara orang. Ramai pula yang kerap pulang untuk bersama keluarga di musim percutian.

Indoktrinasi berterusan

Malaysia Hall adalah satu tempat yang menjadi destinasi sebahagian besar rakyat Malaysia setiap kali mereka berada di London. Tempatnya yang sungguh strategik berdekatan Trafalgar Square membuatkan sebarang temu janji di antara insan-insan di perantauan menjadi mudah dan pastinya membawa kenangan indah. Sesiapa yang pernah menjejakkan kakinya ke ruang dalam Malaysia Hall tentunya akan memendam perasaan yang berupa satu nostalgia yang tidak dapat dikikis dari ingatan selagi hayat di kandung badan. Malaysia Hall, ah... begitu indah namamu kerana ia membawa satu ribu kenangan. Baik di meja makan, di bilik solat dan di ruang tamu. Tidak ada cacat celanya kenangan itu walaupun pada realitinya terdapat juga insiden yang menghampakan apabila temujanji tidak ditepati disebabkan cuaca buruk yang menyekat perjalanan. Itulah hakikat yang sanggup diterima oleh sesiapa sahaja yang membuat temu janji di Malaysia Hall itu. Namun, semua itu dapat dilupakan dan dimaafkan. Insan bersama insan yang boleh berjanji sehidup semati kerap kecundang juga kerana kuasa menentukan janji itu bukan hak mereka.

Demikianlah juga halnya apabila masyarakat Malaysia yang berkumpul di London untuk mendengar MAHAFIRAUN bercakap. Mereka menyangkakan beliau akan bercerita akan keadaan negara dan strategi memimpin negara ke alaf baru. Bukankah itu yang mahu didengar oleh para pelajar yang melanjutkan pelajaran mereka itu ? Bukankah itu yang selalu dilakukan oleh pemimpin negara lain ketika bertemu rakyatnya di negara orang?

- Menegakkan benang basah

MAHAFIRAUN fikir dia boleh buka silap mata lagi. Di kota London kali ini. Dia lupa bahawa pesta silap mata kadangkala boleh dilihat percuma setiap hujung minggu di pasar Wembley. Itu pun tidak ramai yang mahu melihatnya. Namun dia masih juga mahu mencubanya. Lantas didendangkanlah lagu lama betapa dia terpaksa menghumbankan seorang wira politik ke penjara semata-mata mahu menyelamatkan negara ini.

UMMI HAFILDA DI LONDON

Pertemuan MAHAFIRAUN dengan rakyat Malaysia di London telah diberikan satu liputan yang sungguh menarik oleh Lee Tse Yin. Inilah salah satu lapuran yang terbaik pernah kita rakamkan dan harus disebarkan untuk bacaan rakyat seluruh negara. Ummi Hafilda telah muncul di majlis itu dan berkata:

"Saya Ummi Hafilda bt. Ali yang terlibat secara langsung dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya bukan datang dengan Perdana Menteri, saya sudah sebulan tinggal di London kerana urusan perniagaan. Jadi, tidak ada unsur konspirasi dan sebagainya.

"Saya ingin mengambil kesempatan. Sebagai seorang Islam, saya tahu kesan bersumpah. Saya bersumpah dengan nama Allah- wallahi, wabillahi, watallahi - saya tidak pernah diperalatkan oleh Datuk Sri Dr. Mahathir ataupun mana-mana tokoh politik ketika membuat surat salah laku itu. Apa yang saya laporkan itu berdasarkan apa yang berlaku empat tahun yang lalu bersama bukti yang saya kumpulkan.

"Saya mempunyai pengalaman terlalu pahit kerana dua tahun yang lalu, Anwar menghantar polis menangkap saya. Saya didera sepanjang malam oleh sembilan anggota polis. Saya terpaksa menarik balik surat itu sehingga Perdana Menteri ditipu. Perdana Menteri telah membuat kenyataan hanya orang gila dan bodoh sahaja yang akan percaya tetapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

"Setahun kemudian semua bukti dikumpulkan dan sebab itu Datuk Seri mengambil satu tindakan yang begitu drastik demi menyelamatkan negara. Tidak ada unsur pakatan. Saya tidak dapat satu sen pun-ya, Datuk Seri? - daripada Daripada Datuk Seri. Apa yang berlaku adalah fakta yang dibentangkan.

"Jadi saya meminta maaf sekiranya majlis ini mengganggu dan sebagainya tetapi saya perlu jelaskan banyak informasi yang salah dalam internet. Terima kasih."

Ummi Hafilda telah bercakap begitu licik sekali. Begitulah juga yang telah dipertontonkannya kepada orang-orang di Lembah Keramat ketika berkempen untuk Fuad Hassan yang menentang abang kandung Ummi sendiri di pemilu ke-10 yang lalu. Lee Tse Yin telah menemubual Ummi Hafilda selepas majlis untuk mendapatkan laman web yang tertentu yang dimaksudkan oleh Ummi dalam kenyataannya itu. Ummi hanya mampu mengerutkan mukanya mungkin. Kerana dia tidak mampu menyebutkan sebarang nama laman web itu.

Kemunculan Ummi adalah laksana kemunculan pembantu wanita yang menawan di majlis silap mata. Pembantu seperti itu memang dipergunakan untuk membantu tukang silap mata yang mahu berehat atau memesongkan perhatian penonton daripada apa yang sedang dibuatnya. Kita boleh tafsirkan kemunculan Ummi Hafilda seperti peranan pembantu tukang silap mata juga. Bukankah itu juga yang dilakukannya ketika Fuad berkempen dulu.?

Fitnah becampur silap mata

Beberapa sedutan ucapan MAHAFIRAUN itu telah dimainkan di kaca TV pada hari yang sama beliau berucap. Kita tentu ingat apakah yang dikatakannya itu amat bersamaan dengan kata-kata yang ditulis di akhbar. Bayangkan betapa hinanya seorang pemimpin Melayu yang sanggup memfitnah bangsanya sendiri dengan berkata bagaimana "anak-anak kecil diajar memijak ke atas gambar orang tertentu dan meludah kepada gambar orang-orang tertentu agar mereka akan membenci orang tertentu itu apabila mereka besar. Inilah yang dilakukan kepada anak-anak kecil sehinggakan otak mereka dikondisyen untuk membenci sehinggalah mereka sudah masuk universiti."

Sungguh bersemangat beliau cuba berkelentong di London. Apa yang beliau maksudkan adalah serupa dengan Teori 'Otak Gajah yang dirantai kakinya' yang pernah kita tulis bulan yang lalu. Tetapi, apakah MAHAFIRAUN boleh berjaya dengan fitnahnya itu ? Kenapakah beliau tergamak memperbodohkan para pelajar kita di Lonodon ? Saya ingin merakamkan reaksi seorang pelajar yang membuat posting berkenaan peristiwa ini di Laman Forum Gerak Rerformasi:

..........."Kami pelajar-pelajar di luar negara telah didedahkan oleh cerita-cerita yang sebenar yang mana telah dipadamkan oleh mass media di Malaysia demi kepentingan politik Mahdey. Lagipun kami tidak punyai sebarang kepentingan (macam kamu) untuk menyokong Madey." .........

Soalnya sekarang adakah sesiapa di kalangan staf kedutaan Malaysia di London yang merakamkan juga reaksi ini. Bukankah ini satu tamparan hebat terhadap majlis itu ? Reaksi spontan ini menggambarkan betapa jijiknya rakyat terhadap pemimpin ulungnya. Yang penting lagi adakah sesiapa yang sanggup memberitahu MAHAFIRAUN akan reaksi seperti ini ?

Siapa Bersumpah Untuk Siapa ?

Wartawan 'MALAYSIAKINI' yang membuat laporan majlis itu harus diberikan tahniah. Laporan beliau itu memang menghidupkan, dan patut mendapat liputan yang sewajarnya. Sekarang timbul beberapa soalan apakah sebenarnya agenda terpendam di majlis itu. Kenapakah Ummi mengambil kesempatan mencuri 'limelight' daripada seorang pemimpin ulung negara untuk bersumpah ? Kalau betul beliau sudah berada di London selama satu bulan, apakah tempoh yang lama itu digunakannya untuk membuat 'rehearsal' yang baik sebagai persiapan melakukan satu 'grand entrance' di tengah-tengah majlis yang dikhaskan kepada seorang VVIP yang paling berkuasa di Malaysia? Inilah yang memeningkan kepala kalau kita mahu menganalisanya secara serius.

Ummi Hafilda bukannya muka sembarangan. Sudah tentu setiap pegawai risik dan keselamatan Malaysia yang bertugas di Malaysia Hall amat kenal dengan beliau. Ummi boleh pakai apa pakaian pun dan bersolek bagaimana canggih pun, sudah tentu seseorang pegawai keselamatan yang sungguh terlatih dapat mengenal beliau dari jauh. MAHAFIRAUN sendiri pernah bercerita dan berbincang panjang dengan beliau sebelum episod penangkapan Saudara Anwar Ibrahim, dilaksanakan. Dengan hal yang demikian, apakah kemunculan Ummi dan kerelaannya bersumpah itu satu kebetulan? Bolehkah kita percaya dengan kenyataan Ummi itu. Kalau kenyataannya itu sesuatu yang spontan kenapakah Ummi perlu memperkenalkan dirinya dulu dan kemudiannya berkata: "...tidak ada unsur konspirasi dan sebagainya ..." Malahan, apa pentingnya beliau berkata: "..sebab itu Datok Seri mengambil tindakan yang begitu drastik demi menyelamatkan negara. Tidak ada unsur pakatan. Saya tidak dapat satu sen pun - ya Datuk Seri? Daripada Datuk Seri...." Alangkah lucunya kenyataan beliau itu? Kenapakah Ummi sangup bersumpah dengan satu kerelaan hati. Apakah tujuan sebenar beliau bersumpah itu ? Ataupun sumpah itu satu sumpah proksi yang dilakukannya untuk seseorang yang amat diminatinya selepas minat yang serupa terhadap seorang jejaka tidak kesampaian?

Soalnya sekarang siapakah yang sebenarnya merancang semua itu ? Apakah kemunculan Ummi itu digerakkan oleh sesuatu dari langit sehingga merelakan MAHAFIRAUN menerima suara Ummi dengan tenang? Tentu kita sendiri terkejut dengan kemunculan Ummi yang mengaku betapa beliau sudah pun berada di London sejak satu bulan yang lalu. Apakah Ummi menampakkan imej seorang 'gadis yang masih dara' yang terpaksa dimufliskan ?

Kalau kita tidak silap seseorang yang di dalam keadaan muflis yang telah disahkan oleh mahkamah, tidak diberikan keistimewaan untuk menggunakan pasport antarabangsanya. Bagaimanakah Ummi boleh terbang ke luar negara? Apakah beliau mendapat satu kelulusan khas untuk menggunakan pasportnya itu dan atas dasar apakah kelulusn itu diberikan? Siapa pula yang meluluskannya? Ariffin Jaka, Augustine Paul ataupun Mokhtar Abdullah sendiri ? Ataupun Daim Zainuddin ataupun Aziz Shamsuddin ? Ataupun MAHAFIRAUN semdiri ?

Ummi Hafilda bukannya muka sembarangan. Kalau dia berlepas ke London dengan penerbangan biasa tentulah sudah terbocor rahsia itu. Tetapi, tidak pula halnya. Bagaimanakah beliau dapat keluar tanpa dikesan oleh media massa yang diketahui sentiasa berada di KLIA ? Lainlah kalau beliau keluar melalui pintu rahsia yang terbuka dengan jampi serapah Ali Baba P. Ramlee dulu. Kalau dia berlepas untuk satu bulan tentulah ada beberapa orang pengawal pengiring yang menemaninya. Bukankah Ummi itu seorang personaliti yang lebih penting daripada segala 'celebriti' hiburan kita ? Saya masih teringat cakap seorang teman; "Ummi itu bukannya dara sebarang dara. Dia itu seorang makdara kepada semua yang masih berdara. Aduhhh!" Demikianlah katanya.

Adalah amat malang, kita di Malaysia tidak mempunyai satu institusi media massa yang berkebolehan menghantar seorang 'investigative reporter' untuk membuat laporan tentang kehadiran Ummi di London itu. Apakah beliau di London sebagai satu rancangan untuk meneyelinap masuk di kalangan masyarakat pelajar di London dan mempengaruhi minda mereka pula? Akan bermulakah pula satu proses 'mind-conditioning' di mana pelajar muda disogokkan gambar orang tertentu dan diajar mencium gambar itu?

Sikap Rakyat Malaysia yang Toleran

Apa juga yang dilakukan oleh MAHAFIRAUN di dalam negaranya dan juga di luar negara, memang ditertawakan oleh rakyatanya. Itu sahaja yang termampu dilakukan oleh rakyat marhain. Tidak lebih dari itu. Orang yang berjiwa reformasi boleh berdiri menabik dada bila-bila masa mahukan perubahan, islah, reformasi dan apa juga kata semangat untuk meyakinkan betapa pentingnya MAHAFIRAUN berundur. Tetapi, MAHAFIRAUN akan terus berada di singgahsana yang sudah lama dibinanya. MAHAFIRAUN amat faham dengan keadaan ini dan semua pemimpin pembangkang amat faham dengan sentimen yang serupa.

Inilah kenyataan keadaan politik di antara pihak kerajaan yang memerintah dengan pihak pembangkang. Inilah suasana politik yang sudah mencetuskan satu macam 'impasse' di negara ini. Inilah imej kepintaran MAHAFIRAUN memecah dan memerintah. Dia amat bangga dengan taktik ini. Tetapi, sepandai-pandai tupai melompat, terkangkang jua di ranting mati. MAHAFIRAUN akan pulang dengan seribu kenangan indah dari percutiannya itu. Ia amat memerlukan segala keindahan itu kerana ia akan mula dihantui seribu macam masalah dalam parti yang sudah setia menanti kepulangnnya. Dia akan menghadapi pelbagai tekanan dalam parti sendiri yang akan membuatkannya terus pening kepala.

Sementara itu rakyat marhain dijangka akan menanti dan terus menanti. Mereka akan meneliti keadaan politik dalaman UMNO. Apakah sudah cukup pasukan kuda yang akan digempur oleh para anti MAHAFIRAUN di dalam parti itu? Apakah benar ramai golongan veteran yang akan bersatu meminta MAHAFIRAUN menarik diri dan melepaskan jawatannya dalam masa yang terdekat?

Inilah keadaan yang telah dicongak oleh pemimpan pro reformasi dan juga parti pembangkang. Mereka tahu tarikh luput MAHAFIRAUN sudah lama berlalu. Mereka tahu kemunculan Ummi Hafilda di London adalah satu kebetulan yang tidak disengajakan oleh orang kerajaan, tetapi disengajakan oleh bapak konspirasi yang mahukan MAHAFIRAUN terus berkuasa.

Sedikit demi sedikit rakyat Marhain di negara ini akan menyaksikan kebijaksanaan para pemimpin pembangkang yang mengemudikan penentangan terhadap kerajaan MAHAFIRAUN. Inilah muslihat politik yang amat tinggi nilainya sehinggakan MAHAFIRAUN dan para kabinetnya kerap terlalak-terlolong mengatakan bahawa inilah anasir agen asing yang menghancurkan negara ini. Inilah kebijaksanaan yang merupakan mercu tanda toleransi rakyat Malaysia yang diolah mengikut acuan sendiri. Bukan acuan yang ditempa oleh orang-orang UMNO. Inilah acuan yang diilhamkan oleh Allah dan direstui oleh Allah juga akan penglaksanaannya.

Kemunculan Ummi Hafilda menampakkan betapa terdesaknya MAHAFIRAUN dalam usaha memenangi hati rakyat. Sayang, beliau tidak mendalami ilmu psikologi manusia. Jika tidak, tentunya beliau faham akan kenyataan yang berbunyi; apabila tercetusnya sifat benci dan muak dalam hati nurani, ia tidak mudah bertukar kepada kasih dan sayang, lagi. Inilah kesilapan MAHAFIRAUN yang diulangnya berkali-kali kerana keangkuhan yang amat sebati dengan darahnya. Fuad Hasssan yang merupakan seorang wakil rakyat yang berwibawa boleh tumbang disebabkan kehadiran Ummi Hafilda di saat-saat beliau amat hampir di ambang kemenangan. Apakah MAHAFIRAUN tidak faham akan fenomena itu? Wakil UMNO yang hebat-hebat di Kelantan, tumbang laksana kerbau-korban kerana menggunakan khidmat Ummi Hafilda di pemilu ke-10 dulu. Apakah MAHAFIRAUN tidak juga faham akan fenomena itu? Kalau beliau tidak faham atau mudah terlupa tentu sekali para strategis beliau faham akan perkara itu. Apakah mereka lupakan panggilan yang digunakan terhadap Ummi Hafilda yang terlalu jijik dan menghiriskan hati sesiapa yang mendengarnya ? Bukankah panggilan menjijikkan itu sudah layak untuk sesiapa juga menolak kehadiran Ummi sebagai pemanis dalam majlis seorang pakar silap mata?

Setiap reformis yang cintakan negaranya harus sedar inilah taktik yang akan digunakan oleh para pemimpin BA dalam menangani masalah MAHAFIRAUN. Mereka masih menanti dengan sabar bila segala yang retak menjadi terbelah. Untuk sekian lama MAHAFIRAUN telah melancarkan dengan jayanya taktik pecah dan perintah dan taktik ini berjaya memporak-perandakan segala wadah harapan setiap kaum di negara ini untuk hidup aman damai dan merasa nikmat yang dianugerahkan Allah. Tidak ada sebuah negara lain di dunia ini yang begitu kaya dengan hasil mahsulnya, yang kaya dengan budaya penduduknya dan tenteram daripada asakan taufan, gempa bumi dan banjir. Tidak ada negara lain seperti negara ini!!! Inilah yang meyakinkan generasi lama untuk terus pasrah dengan kerenah politik pimpinan UMNO.

Tetapi, kini harapan itu berkecai sudah. Amanah yang diberikan tecemar oleh sifat bongkak, tamak, dan tipu muslihat yang amat menjijikkan. Namun, generasi yang telah bertungkus lumus menentukan kestabilan negara ini daripada pelbagai ancaman anasir komunis, penjajah dan amalan rasuah, masih sanggup bersabar. Mereka tahu bahawa sepandai-pandai manusia merancang pandai lagi satu kuasa dari atas yang akan menentukan kebenarannya.

KESIMPULAN

Keretakan yang kelihatan amat nyata dalam pucuk pimpinan UMNO kini sudah menular ke akar umbi. Retak memang mencari belah. Tetapi, retak pun memerlukan rentak yang sesuai untuk membelah. MAHAFIRAUN tahu akan falsafah ini kerana ini adalah salah satu ajaran dalam Arthasastra. Para pemimpin Barisan Alternatif pun amat faham dengan falsafah ini kerana itu mereka pura-pura kelihatan lemah.

Kita percaya, masa-masa yang terdekat sebaik MAHAFIRAUN pulang akan dihabisi untuk merancang sesuatu yang baru untuk menjamin kemenangan. Semua orang tahu, sebelum MAHAFIRAUN keluar beristirehat, beliau telah menyediakan satu agenda untuk dipraktikkan oleh Paklah dan para juak dalam UMNO. Semua pemimpin yang rapat sudah diarahkan menjalankan peranan mereka. Cuma tanpa hasilnya. Walaupun kumpulan itu sudah menggunakan khidmat seorang pakar membakar jambatan, mereka tidak juga berjaya.

Di London, disebabkan kesibukan para menteri terhadap masalah parti, MAHAFIRAUN telah membenarkan khidmat seorang pakar menyimpan dara untuk membantunya. Sekali lagi beliau gagal.

Kini, lambaian sapina yang dikeluarkan untuk hadir ke mahkamah tentunya akan menghantui MAHAFIRAUN lagi. Cuma menunggu tarikh barunya untuk beliau muncul di mahkamah itu. Kali ini MAHAFIRAUN mungkin tidak mampu menggunakan khidmat seorang pakar simpan-menyimpan untuk membantunya. Apatah lagi khidmat pembakar jambatan ?

Satu perkara yang amat menarik kita ialah kenyataannya sebaik tiba, kenapa lawatan ke Davos terpaksa dibatalkan. Rupanya taraf beliau untuk membuat ucap-tama (keynote address) telah di 'downgrade' kepada hanya penyertaan sebagai salah seorang ahli panel sahaja.

Kalau di tahap antarabangsa beliau sudah pun di 'downgrade' begitu rupa, apakah yang boleh diharapkan lagi daripada rakyat yang telah lama dimusuhinya?

-MT-
2.2.2000.





Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com