Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 28 - Bila Rentak Datang Bertingkah

(Ditujukan khas kepada saudara dan saudariku yang masih taksub dengan perjuangan UMNO sekarang ini. )

Satu bulan sudah pun berlalu dalam tahun yang dikatakan alaf baru ini. Inilah alafnya yang orang Melayu diajak untuk berani maju ke hadapan tanpa memikirkan kepintangan individu. Inilah tahunnya di mana orang Melayu diajar setiap hari bahawa pertandingan yang sihat tidak juga penting. Inilah bulannya orang Melayu digalakkan mempercayai satu falsafah penting "bahawa parti itu amat penting". Kalau beginilah caranya pemikiran Melayu itu dipusing-pusing, apakah tidak mungkin segala kerja-kerja putar-belit itu dilakukan oleh agen asing ?

Kalau kita teliti balik kata-kata pemimpin kita di malam menjelangnya alaf baru itu dulu, alangkah enak sekali keazaman yang mereka laungkan. Alangkah indahnya angkasa raya yang menyahut ucapan keazaman pemimpin negara itu ? Kata-kata yang memberansangkan yang disambut dengan dentum-dentam di sana-sini telah memberikan isyarat betapa kata-kata itu mengandungi makna keramat. Apabila bungkal api yang berpecah menjadi juraian berkilau-kilauan turun dari langit, ia memberi kayakinan betapa kata-kata keramat itu adalah sesuatu yang pasti meyakinkan. Itulah temasya rentak panglima yang menjadi pemacu langkah pertama sebagai pedoman untuk dilakonkan.

Konsensus Tertinggi yang kontoversi

Walaupun keputusan konsensus Majis Tertinggi UMNO sudah lama dikeluarkan, pergolakan boleh dirasakan bergema di cawangan dan bahagian untuk mempengaruhi fikiran akar umbi parti. Majoriti ahli tidak puas hati dengan keputusan konsensus itu kerana mereka merasa tercabar. "Kalau demokrasi dikatakan asas perjuangan parti, kenapakah kita diarahkan untuk mengikut apa sahaja yang ditentukan oleh pucuk pimpinan parti?" demikian seorang veteran parti melepaskan geramnya.

"Sepatutnya Mahathir sedar sentimaen rakyat yang sekian lama amat bersabar dengan tingkah-lakunya." Demikian pula kata seorang ahi UMNO yang sejak mudanya sudah menjadi ahli. Malah beliau merupakan seorang ahli yang totok, kerana tidak pernah mahu mendengar sebarang hujah parti lain. "Sekarang ini kita sudah masuk alaf baru," sambungnya lagi "tetapi, pucuk pimpinan di MT tidak pernah menunjukkan satu sikap yang baru yang meyakinkan kita terhadap ketelusan mereka memimpin."

Sebenarnya, kita boleh merasakan betapa sentimen akar umbi sudah berubah. Tidak seperti musim berkempen dulu di mana semangat ahli-ahli di cawangan amat kuat dan sungguh berazam untuk mempertahankan kuasa UMNO. Ada yang sanggup tidur bermalam di pusat berkempen semata-mata mahu menang. Tetapi, itulah yang berlaku di kampung-kampung dan di bandar kecil. Sentimen serupa itu tidak berlaku di bandar besar kerana kuasa wang yang menentukan segala-galanya. Namun, pada keseluruhannya semangat perjuangan ahli-ahli UMNO kini sudah banyak berubah dan amat memeranjatkan sekali. Perubahan itu terlalu cepat berlaku dan amat mudah untuk mengesannya kerana ia amat terserlah sejak empat minggu yang lalu.

Ketuanan Melayu yang hilang

Di dalam penulisan saya yang baru berlalu saya pernah berkata bahawa apa yang dikatakan sebagai ketuanan Melayu yang mesti dipertahankan oleh UMNO itu adalah satu retorik semata-mata. Saya berpendapat bahawa ketuanan Melayu sudah lama hilang. Ia lenyap kerana dilenyapkan. Ia sudah hilang dan lenyap secara senyap-senyap laksana satu mainan silap mata yang amat cekap. Inilah dia kerja-kerja para pemimpinn UMNO yang sungguh licik di alaf yang baru berlalu. Semua kerja kelentongan yang dilakukan oleh segelintir pemimpin yang curang telah berjaya melenyapkan ketuanan Melayu itu daripada muka bumi negara yang satu ketika dulu lebih terkenal sebagai Tanah Melayu.

Akan tetapi, masih lagi ada kata-kata semangat yang berapi-api yang kerap kita dengar. Inilah kata-kata agar orang Melayu bangkit menyokong UMNO "agar ketuanan Melayu itu tetap terjamin dan kedaulatan raja-raja tetap terjaga." Kepada orang-orang seperti ini saya ingin bertanya 'Sampai bilakah saudara dan saudari mahu menipu bangsa sendiri? Apakah saudara dan saudari masih lagi bermimpi?' Paklah pernah memberi nasihat kepada beberapa pemimpin parti agar mencermin muka sebelum membuat keputusan untuk bertanding. Kenapakah sampai begitu saranannya?

- Hilangnya budaya hormat menghormati

Salah satu ciri ketuanan Melayu ialah sikap hormat menghormati di kalangan orang Melayu. Golongan muda diajar menghormati golongan yang tua. Di waktu yang sama golongan yang tua dingatkan untuk menyimpan hormat si muda. Hormat menghormati dalam budaya Melayu adalah satu amanah yang diajar dan diserahkan dari satu generasi kepada satu generasi yang lain. Ini bermula dengan majlis menyerahkan anak kepada seorang guru, ustaz dan ustazah. Si bapa akan membawa sepinggan pulut kuning dan sebilah rotan saga. Itulah tanda penyerahan seorang ayah kepada bakal guru anaknya itu. Itulah tanda amanah dan hormat yang amat tinggi harapannya. Bab pertama yang diajar oleh si guru ialah anak muridnya tunduk membongkok bila berjalan depan orang tua-tua dan kerap berjabat tangan utnuk bersalam ketika bersua. Tangan yang diunjukkan ditarik dengan hormat untuk di bawa ke dada ataupun dicium ke muka. Semua itu adalah simbol betapa pentingnya menghormati orang tua-tua. Itulah juga satu lambang kebesaran ketuanan Melayu.

Kerana itu di zaman dulu-dulu kalau seorang anak muda sedang naik basikal melihat seorang tua berjalan kaki di hadapannya, dia akan turun dari basikalnya itu dan mengunjukkan basikalnya agar dikayuh oleh si tua untuk pulang dulu ke rumahnya. Kalau si tua itu enggan, si muda akan berjalan sama dengan si tua sambil memegang dan mengheret basikalnya itu. Inilah sikap hormat yang diberikan oleh si muda kepada si tua. Walaupun ada kalanya si muda itu mahu bergegas pulang kerana janjinya, kelewatannya itu akan diterima apabila dia memberikan alasan yang ia turun berjalan menemani orang tua itu tadi. Inilah contoh lambang budaya hormat menghormati yang dipelihara di kampung-kampung hinga kini. Ia menjadi berubah apabila orang Melayu tidak lagi berbasikal kerana digantikan oleh motor dan kereta. Namun, semangat hormat menghormati itu masih ada lagi.

Di kampung-kampung, masyarakat memberikan satu penghormatan yang unik kepada golongan yang berilmu pengetahuan. Kerana itu seorang Imam dipanggil 'Tok Imam' ataupun 'Tuanguru'. Inilah penghormatan yang setaraf dengan 'Tok penghulu', 'Tok Siak', 'Chegu', 'Mak Bidan' dan sebagainya. Inilah golongan istimewa di kampung yang mendapat tempat di hadapan sekali di setiap majlis dan keramaian. Mereka menjadi satu golongan insan yang dihormati oleh setiap ahli kampung kerana pengetahun dan jasa mereka, ketabahan dan pengalaman mereka dan budi bahasa dan sikap rendah diri mereka. Sayangnya, tempat mereka kini telah diambil-alih oleh manusia yang bergelar dan diberikan pangkat YB, YAB dan sebagainaya.Yang amat menyedihkan, orang kampung diajar agar terhangguk-hangguk, tertunduk-tunduk dan tersenyum bodoh kepada golongan ini. Kemunculan golongan yang berhormat ini telah merobah suasana ketuanan setiap majlis kampung dan bandar secara tersendiri, tanpa banyak rintangan oleh rakyat marhain kerana kesedian golongan marhain itu menerima perubahan dalam hidupnya.

- Yang Serbatahu dan Serbamahu

Ketuanan Melayu yang bertukar tangan daripada kepimpinan tradisional kepada kepimpinan yang berbaur politik telah merobah juga tatasusila kehidupan orang Melayu. Yang pertama sekali lenyap, ialah budaya bergotong-royong yang selalunya dirancangkan di rumah Tok Penghulu ataupun di masjid dan surau dan dipengerusikan oleh Tok Penghulu atau pun Tok Imam. Oleh kerana di zaman dulu seorang Tok Penghulu juga menjalankan peranan Imam Kampung, adalah amat mudah semangat gotong royong itu diolah dan dilaksanakan. Kerana itu, kerja-kerja berat seperti mengubah kedudukan rumah senang sahaja dibereskan. Apatah lagi kalau ada majlis kenduri dan perkahwinan.

Budaya di atas semakin pupus dengan munculnya masyarakat YB kerana mereka datang dengan azimat yang dinamakan 'semangat sabsidi.' Kuasa yang ada di tangan untuk membelanjakan peruntukan telah melahirkan satu golongan baru yang dikotak-katik oleh YB itu untuk kepentingannya. Hilanglah semangat gotong royong itu kerana setiap projek kampung boleh dilakukan oleh pemborong dengan tender yang mudah dirundingkan. Siapakah yang sanggup menyanggah konsep pembangunan kampung dan bandar seperti ini melainkan dia sanggup ditertawakan ataupun disisihkan oleh masyarakatnya sendiri? Inilah kuasa pembangunan dengan penggunaan sabsidi yang ada di tangan wakil rakyat. Sedangkan sabsidi itu adalah hak rakyat yang diambil oleh kerajaan dalam bentuk cukai pendapatan, cukai penjualan dan cukai jalan. Tetapi siapakah yang sanggup memberikan penerangn seperti itu ? Apakah tidak mungkin si YB akan mencatu sabsidi kepada kampung yang sanggup berdikari sendiri ?

Di zaman dulu, kalau anak buah tidak puas hati dengan pucuk pimpinan kampung dia diberi peluang untuk mempersoalkannya secara berhemah. Ini dilakukan dari satu heiraki pimpinan kampung itu hinggalah ke puncaknya. Tidak pernah sesaorang itu dikecualikan daripada manyelesaikan masalahnya. Inilah yang dikatakan suasana bermesyuarah di mana kata sepakat dirundingkan secara aman. Keadaan yang sama tidak timbul kini kerana masalah tidak boleh ditimbulkan. Ini dianggap satu perbuatan biadap dan kurang ajar. Lagipun majlis pemimpin bersama rakyat adalah satu majlis yang lebih indah pada pentasnya dan tidak pada tujuan majlis itu yang sebenarnya. Apa yang boleh rakyat lakukan kalau si YB datang untuk memberikan ucapannya untuk seminit dua dan meminta maaf untuk menghilangkan diri kerana kesibukan kerja dan kesuntukan masa? Apakah yang boleh rakyat ketengahkan kalau majlis dialog menjadi satu majlis monolog ?

- Ampu Mengampu

Budaya hubungan rapat di antara pemimpin rakyat terus lesap kerana sistem pemimpin dengan rakyat itu yang telah diubah-suai untuk tujuan publisiti semata-mata. Wakil rakyat yang memimpin menjadi satu golongan yang serba tahu belaka. Apabila rakyat tidak puas hati dengan cara majlis yang penuh elemen hipokrisi itu, ada wakil rakyat yang melabel rakyatnya sebagai golongan yang sentiasa serbamahu tetapi tidak serbatahu. Polemik ini mencetuskan satu suasana ampu mengampu di kalangan rakyat untuk mendapatkan masa dan perhatian YB mereka itu. Inilah sahaja caranya yang mudah untuk menentukan agar sabsidi kerajaan itu sentiasa mengalir ke kampung.

Budaya ampu-mengampu memang merupakan budaya lama Melayu. Kerana itu kita lihat ada pantun lama yang memberikan gambaran mengampu itu. Malahan penghantaran hadiah sebagai ufti ataupun cenderahati adalah satu lambang bahawa budaya ampu-mengampu itu sudah lama wujudnya. Tetapi, budaya ampu mengampu dalam era politik Melayu sudah sampi satu tahap yan menjijikkan. Cuba lihat betapa seorang insan yang mahu kelulusan projeknya perlu membayar dua juta kepada seorang Menteri Besar dan konconya semata-mata untuk mendapatkan kelulusan projek itu. Apakah ini sebanya Paklah mahukan pemimpinnya melihat cermin dulu sebelum berkempen?

Budaya ampu-mengampu kini sudah mencapai satu tahap yang amat canggih. Sebuah syarikat yang mahu maju dengan usaha yang kecil hanya memerlukan satu taktik memberikan saham percuma kepada anak seorang pemimpin. Kemudian berikan pula sebuah kereta besar untuk kegunaannya. Berikan pula satu kontrak kepadanya sabagai perunding pengurusan di mana bayaran setiap bulan adalah dalam lingkungan Tiga Puluh Ribu RM. Syarikat itu sudah mampu menerima beberapa projek berjuta ringgit setiap bulan tanpa banyak masalah.Soalnya sekarang, teknik mengampu seperti ini adalah bertentangan dengan ajaran ugama Islam. Tidak mungkin tuanpunya syarikat yang melakukan teknik ini, kalau dia benar-benar beragama Islam dan beriman. Impaknya, banyak projek rakyat yang merupakan perojek membazir, semata-mata mahu menyesuaikan kehendak syarikat seperti ini. Sedangkan kos projek yang membazir itu lebih baik disalurkan untuk menaikkan taraf rakyat yang miskin ataupun yang memerlukan bantuan persekolahan anak-anaknya.

- Pangkat dan gelaran

Di zaman dulu, pangkat dan gelaran adalah amat terhad. Pemberian bintang daripada sultan kepada rakyatnya tidak pun ada dalam rekod bangsa Melayu lama . Kalau sultan mahu memberikan penghargaan kepada rakyatnya dia hanya memberikan sepasang pakaian ataupun hadiah "kain persalinan". Ada juga ketikanya sultan dan raja menghadiahkan seorang gundek untuk dikahwini oleh seorang wira negara yang berjasa.

Kini, gelaran dan bintang adalah satu hadiah yang amat lumrah. Adakalanya rakyat tertanya-tanya kenapakah gelaran bintang di Melaka diberikan kepada seorang politik yang giat dan celupar di Kelantan ? Apakah maknanya gelaran itu dan apakah jasanya si ahli poltiik itu kepada orang Melaka? Yang lebih melucukan apakah gunanya bintang gelaran itu diberikan bertalu-talu seolah-olah jasa si penerima itu adalah sesuatu yang berterusan sehinggakan tidak ada orang lain yang patut menyambung kerjanya?

Oleh kerana gelaran dan bintang itu menjadi satu kayu pengukur status sesaorang dalam tatasusila kehidupan kita dapati ada golongan manusia yang sanggup keluar duit berjuta untuk mendapatkan gelaran itu. Bayaran ini dibuat dalam bentuk saham di pasaran yang diberikan kepada orang tertentu yang rapat dengan istana dan pucuk pimpinan parti negeri. Samada pemberian saham itu sampai ke tangan orang yang menyematkan bintang di dada si penerima adalah satu tekateki yang elok kita peram bersama. Akhirnya kekerapan memberikan gelaran bintang dan kebesaran kepada sesiapa sahaja yang difikirkan serbamahu menjadikan gelaran itu satu anugerah yang diragukan. Maka tercetuslah satu masyarakat bergelar yang serbataktahu tetapi sebamahu. Impaknya terpalit juga kepada warga istana, apabila rakyat sudah mula bosan dan meluat dengan tingkah laku warga istana yang selama ini amat disanjung oleh rakyatnya.

- Lenyapnya Ketuanan Melayu

Proses yang sungguh malang seperti yang digambarkan di atas telah melunturkan semangat dan daulat ketuanan Melayu itu. Kini, ketuanan Melayu itu telah digantikan oleh ketuanan UMNO. Apa juga ura-ura dan cakap besar yang memperkatakan ketuanan Melayu sebenarnya bermotifkan ura-ura untuk menegakkan ketuanan UMNO. Tidak lebih dari itu kerana itulah kenyataannya dan hakikatnya.

Hampir semua ahli veteran parti amat faham akan apa yang berlaku. Mereka sudah lama sedar akan taktik pucuk pimpinan parti yang bertungkus lumus mahu pertahankan martabat UMNO. Tetapi, sebagai orang Islam yang sudah hampir di ambang berpergian, sudah timbul satu kesedaran di lubuk hati mereka. Mereka kini mahukan semua ahli parti faham akan taktik jijik yang sedang dipergiatkan.

Satu ketika dulu, veteran parti itu memang sanggup dengan taktik melunturkan ketuanan Melayu untuk menegakkan ketuanan UMNO. Kini, mereka enggan terus bersubahat. Mereka sendiri telah jelak dengan penderaan ke atas bangsa sendiri. Mereka cuba menyekatnya kerana mereka yakin itulah sahaja bakti terakhir yang mampu mereka lakukan untuk membetulkan yang salah di mana mereka sama-sama terlibat.

Pertandingan Yang Tidak Penting

Semua rakyat tahu kenapa Mahathir tidak mahu adanya pertandingan bagi dua jawatan teratas dalam parti. Beliau sebenarnya amat takut dengan pertandingan. Oleh kerana beliau tidak menampakkan minat dalam upacara bersokan, kita tahu pengalaman beliau bertanding seperti orang bersokan sememangnya tidak ada di lubuk hatinya. Kerana itu beliau terus berdegil secara berhemah betapa pertandingan akan membawa perpecahan dalam parti. Kerana itu dia memberi penekanan bahawa keputuan konsensus adalah mengelakkan parti daripada perpecahan.

Soalnya sekarang, bukankah parti sudah berpecah sebelum konsensus itu diumumkan? Kita boleh menjangkakan Mahathir akan mencuba seberapa daya untuk menentukan jawatannya itu tidak ditandingkan. Dia tahu itulah sahaja caranya untuk beliau berkuasa. Di waktu yang sama rakyat tahu bahawa perpecahan sudah pun lama berlaku disebabkan peranan Mahathir yang amat jijik sebagai penyebabnya.

UMNO ke arah Kehancuran

Saya ada menerima beberapa e-mail tentang ramalan betapa UMNO akan hancur sebelum berakhirnya 31 Jun, 2000. Mereka bertanya bagaiamnakah saya membuat ramalan itu. Seperti yang saya katakan, ramalan itu adalah berdasarkan pergerakan purnama, kerana banyak peristiwa yang membabitkan nasib orang Melayu banyak sekali berhubungkait dengan kajian astronomi. Namun, saya telah menyatakan bahawa ramalan dibuat berdasarkan ilmiah. Kita tidak boleh mempercayainya kerana itu satu kerja yang shirik.

Secara hakikatnya, perpecahan UMNO itu telah lama berlaku. Tetapi ia dapat ditenangkan kerana adanya satu daya usaha untuk mengenepikan kepanasan sentimen oleh orang tertentu yang memang mahukan Melayu itu bersatu. Lagipun ketika itu ramai anak-anak para pemimpin tertinggi UMNO yang masih kecil, malahan ramai yang masih memegang botol susu. Sebarang simptom keretakan tidak dibenarkan menjadi elemen belah membelah perjuangan parti kerana perjuangan parti sebenarnya ialah menegakkan ketuanan UMNO. Untuk menegakkan ketuanan UMNO bererti menyediakan satu kumpulan insan dalam sesuatu dinasti yang berupaya menerima segala kekayaan yang sedia ada. Ketika perpecahan mula berlaku dalam UMNO dinasti yang dimaksudkan itu masih belum kuat asasnya. Ramai penegak dinasti itu baru sahaja bertukar gigi susunya. Kerana itu perancang dinasti-dinasti ini sanggup akur dengan keadaan dan pura-pura akur kepada sebarang desakan golongan majoriti.

Kini, setiap pemimpin yang ternyata durjana sudah pun mempunyai zuriatnya yang sudah besar bugar dan dewasa. Kalau zuriat secara terus tidak berapa berupaya, pasangan hidup mereka pun boleh menjadi proksinya. Mereka sudah meraih segala sabsidi untuk melanjutkan pelajaran dan pulang dengan degree berjela. Inilah generasi muda yang sudah bersedia mengambil alih segala khazanah negara untuk menegakkan dinasti kodi masing-masing. Proses pengalihan kuasa berbentuk wang ringgit, lesen niaga yang tiada tandinganya dan kelulusan eksklusif yang memang terhad keluarannya merupakan pemberian teristimewa yang menjamin keutuhan setiap dinasti itu. Semua ini dilakukan dengan satu muslihat betapa ia perlu untuk menjamin ketuanan Melayu.

Demikianlah rancangan jijik itu. Pelbagai bentuk kelentongan dan songlapan dilakukan secara bertubi-tubi tanpa segan dan silu. Semuanya dirancang dengan bermotifkan "kepentingan generasi akan datang yang dapat menjamin ketuanan Melayu". Tetapi, manusia boleh merancang, kuasa veto bukan di tangannya. Kerana itu kita lihat pendedahan jijik menjadi satu isu yang sensasi apabila yang memegang 'proksi' Melayu itu bercerai-berai dan rumah tangganya jatuh berkecai. Terdedahlah cerita penyimpanan saham-saham mewah yang dikira saham amanah bangsa. Allah lebih pintar merencana apabila sedikit kejutan dihentak ke atas ekonomi negara. Terbukalah segala bangkai penipuan yang dirancang begitu bijak sekali. Terjebaklah para konspirator bangsa Melayu yang sebelum itu amat disanjung dan dimuliakan oleh bangsanya.

Kesimpulan

Kepulangan MAHAFIRAUN telah mendedahkan betapa UMNO sedang tenat. Apa juga usaha untuk memperbaikki keadaan adalah satu usaha yang sukar sekali. Laksana memberikan tugas kepada sesaorang yang difikirkan sihat dan bertenaga sedangkan otaknya sudahpun bergegar dan fikirannya sudah idak tentu hala. . Inilah balasan dari Allah kerana menipu bangsa sendiri. Kalau dulu UMNO boleh mendabik dada dengan kata-kata semangat untuk mempertahankan ketuanan Melayu, kini kata semangat itu sudah tidak mujarab lagi. Sudah hilang sengatnya dan kuasanya.

Pada awal tahun ini, UMNO cuba memperbaikki keadaan dan cuba mengenepikan perkara ketuanan Melayu itu. "Yang lebih dipentingkan ialah UMNO itu sendiri dan individu dalam parti sudah menjadi tidak penting." Ironisnya orang yang melaung-laungkan kata semangat baru ini amat takut kehilangan jawatannya. Sekali gus, laungan 'individu tidak penting' itu semestinya tidak membabitkan kerusinya. Demikianlah tafsiran hampir semua veteran parti yang tidak setuju dengan saranan MT itu. Malangnya, satu purnama sudah berlalu. Orang Melayu masih di tahap begitu, semakin bingung dan semakin mencelaru. Rupanya, rentak panglima yang dipalu dulu, tidak boleh diikut terburu-buru, kerana tingkah yang tidak menentu. Apabila rentak selalu bertingkah, kata sepakat sukar dipapah. Tinggallah insan tanpa arah, apa yang dibuat mendatangkan musibah.

UMNO di bawah pimpinan seorang yang gila kuasa akan hancur sehancur-hancurnya kalau akar umbi tidak bertindak cepat. Tidak ada lagi yang boleh dibanggakan sekarang ini. Rentak UMNO sudah bertingkah kerana ketamakan dan keangkohan seorang pemimpin tua. UMNO akan terus mengikut meomentumnya menuju kehancuran apabila keangkohan itu dibiarkan berterusan mendera orang Melayu itu sendiri. Rentak yang datang bertingkah tidak membawa irama yang merdu dan bermakna. Ia hanya merupakan semboyan yang menandakan satu kehancuran jua. -MT-
3.2.2000
Marhaintua@Hotmail.com





Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com