Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 28 - Bila Rentak Membuaikan Impian

(Penulisan ini ditujukan khas kepada para veteran UMNO. Samada yang masih menjadi ahli parti ataupun mereka yang sudah pun mengnyahkan parti itu daripada membayangi mereka).

Satu ketika dulu sesiapa yang berani mengatakan ketuanan Melayu itu sudah pupus, harus bersedia diserang orang. Apatah lagi kalau kita katakan bahawa ketuanan Melayu itu pupus kerana keghairahan orang UMNO sendiri. Tentu sekali ramai orang yang sanggup bertegang urat dan berkering tekak, berhujah menidakkan kenyataan itu. Kalau sikap mereka itu ditonjolkan di perhimpunan UMNO, sudah pasti si pemidato itu akan mendapat perhatian pucuk pimpinan sebagai seorang yang dianggap berkaliber dan layak diberi tempat untuk naik lebih tinggi lagi.

Ketika perhimpunan UMNO yang berlalu ada seorang pemimpin pemudanya yang telah menunjukkan satu lukisan seorang sumo Jepun yang berpakaian perlawanannya. Pemimpin ini telah mengingatkan para perwakilan betapa pentingnya memberikan sokongan padu kepada perjuangan parti agar orang Melayu tidak merempat seperti pemain sumo itu. Sikap pemimpin yang digelar badot utara itu memangnya melucukan. Tetapi, cara penyampaiannya itu amat menjijikkan. Dia tidak faham di Jepun seorang pemain sumo diberi tahap kehormatan lebih tinggi daripada orang politik. Ketidak-upayaannya memahami kenyataan ini melambangkan betapa cetek pengetahunnya tentang hal ehwal dunia. Memang kita tidak mengharapkan setiap pemimpin politik menjadi orang yang serbatahu. Tetapi, kalau kita mahu menonjol ke depan dan sanggup menjadi agen perubahan fikiran Melayu, kita harus mampu menjadi seorang yang serbatahu. Apa gunanya kita memperbodohkan bangsa sendiri dalam satu majlis yang berwarna-warni sedangkan perbuatan itu memperbodohkan diri sendiri ?

Ajaran Songsang

Sikap memperbodohkan rakyat, terutama sekali orang Melayu di kampung-kampung memang menjadi satu agenda tetap para pemimpin UMNO. Oleh kerana perkara ini diamalkan begitu lama ia menjadi satu tabiat semula jadi majoriti pemimpin UMNO. Sehinggakan tidak ada sesiapa yang berani memperbetulkannya. Soalnya apakah yang perlu diperbetulkan sedangkan kesilapan itu sengaja diada-adakan? Inilah yang dikatakan kesilapan memperbodohkan akar umbi parti. Tujuan sebenarnya agar akar umbi sentiasa taat setia kepada kepimpinan. Cukuplah dengan pelbagai sabsidi yang diberikan setiap tahun cara bergilir-gilir sehingga munculnya musim berkempen sekali lagi.

Kita harus sedar sesaorang wakil rakyat Melayu tidak dapat menunjukkan lagaknya di kampung-kampung kalau ia tidak diberikan kebebasan berbuat demikian. Kebebasan ini telah diberikan oleh orang kampung juga. Tentunya ia merupakan satu rancangan yang amat licik sekali dari ibupejabat parti agar penghormatan dan layanan yang serupa dilakukan oleh setiap akar umbi.

- Peralihan Ketuanan Melayu Kepada UMNO

Langkah utama yang dilakukan ialah menentukan setiap YB itu diberikan tempat yang unggul di setiap majlis dan diberikan masa sepenuhnya untuk beliau bercakap. Bayangkanlah di zaman teknologi canggih ini. Satu majlis menyerahkan beberapa ekor lembu dan kerbau boleh memakan masa berjam-jam. Apalah salahnya kerbau-kerbau itu diserahkan sahaja kepada Tok Penghulu untuk diagihakannya. Begitulah halnya tahun yang lalu ketika beberapa penduduk Kampung Baharu Kuala Lumpur yang mengalami ancaman banjir. Mereka kerugian beribu ringgit setiap keluarga. Tetapi, apabila dipanggil oleh wakil rakyatnya mereka diberikan hadiah pinggan plastik yang tidak pun sampai lima puluh ringgit harganya. Bayangkanlah apa rasa hati para penerima 'hadiah itu'. Bukankah itu satu tamparan hebat kepada keintelektualan mereka?

Disebabkan rakyat difikirkan sanggup menerima penghinaan seperti itu makanya kita perhatikan pelbagai cara untuk melunturkan ketuanan Melayu itu. Usaha itu dilakukan secara senyap-senyap tanpa disedari oleh orang Melayu, sehinggakan berlaku peralihan ketuanan Melayu itu kepada ketuanan UMNO. Kejayaan jentera UMNO melakukan tukar kuasa ini telah dipermudahkan oleh beberapa faktor:

a) Kealpaaan Warga Istana.

Warga istana Melayu adalah satu masyarakat bertuah yang tidak memahami kesistimewaan dan tuah yang ada pada mereka. Ini adalah satu fenomena yang amat menyedihkan. Kerana itu kita lihat, rakyat tidak berapa faham dengan kewujudan mereka disebabkan peranan mereka sebagai simbol puncak ketuanan Melayu itu telah dihakiskan oleh MAHAFIRAUN. Mereka tidak menunjukkan ciri-ciri berupaya bergabung menjadi satu institusi yang kuat yang dapat menjolok pemerintah untuk kebaikan dinasti mereka. Mereka leka dengan impian masing-masing dan sudah merasa selesa dengan bahagian dan habuan yang mereka terima. Mereka sudah ada istana besar, kereta besar, taman bunga besar, selera makan besar dan kandangkala nafsu yang besar juga.

Di zaman Tunku dulu, warga istana merupakan warga istimewa kerana Tunku menentukan mereka mendapat keistimewaan yang berlebih-lebihan. Kita boleh lihat akan keadaan setiap istana negeri itu mengikut saiz jajahannya dan hasil bumi yang ada. Sepatutnya semua sultan dan raja yang ada sudah mampu mempunyai satu institusi berbentuk satu Yayasan Di Raja yang menyerupai Yayasan Diraja Thailand. Di Thailand, Raja Bumiphol mempunyai beberapa projek untuk kemajuan rakyatnya dengan dana yang dikeluarkan daripada Yayasan baginda. Kalaulah yayasan serupa ini sudah diwujudkan alangkah mudah bagi semua anak-anak raja ataupun anak-anak yang berdarah raja menaburkan bakti mereka secara paling terhormat?

Sebaliknya kita kerap mendengar cerita bagaimana seorang baginda kalah teruk di meja judi dan memerlukan kerajaannya mengirim wang tebusan. Ada pula raja yang mangkat di atas meja makan restaurant China kerana tersalah makan ataupun sebaliknya? Pernah kita dengar cerita seorang raja melempang rakyat dan anakandanya pula memukul seorang penjaga gol yang menahan pukulannya. Semua ini mengaibkan orang Melayu kerana orang terbabit adalah raja-raja dan sultan Melayu. Apabila raja yang sedang bertakhta melakukan kerja sumbang begini bagaimana pula dengan ahli istana yang muda-muda?

Kita pernah mendengar cerita bagaimana seorang Tengku Mahkota yang gemar turun ke Coffee House untuk mengintai perempuan muda yang cantik-cantik. Kalau perempuan itu sudah bersuami dan baginda berkenan padanya, baginda sanggup memanggil si suami dan menyatakan hasratnya. Ada pula kumpulan anak-anak raja yang berkumpul setiap malam untuk bermain poker dan 'gin- rummy'. Mereka kata permainan itu tidak haram kerana itulah yang mereka selalu main ketika bersekolah di London dulu. Malahan ada juga anak-anak raja yang sanggup menunggu lama-lama di bar untuk melihat orang berdansa. Kalau anak-anak raja tidak ditegur kerana perbuatannya itu siapakah yang satu hari nanti sanggup menegur mereka apabila mereka melakukan pekerjaan yang lebih jijik daripada itu? Perbuatan yang bertentangan dengan budaya Melayu itu melambangkan betapa terpesongnya anak-anak raja di istana sekarang ini. Mereka telah berperangai demikian kerana kerajaan yang memerintah yang sepatutnya memberikan nasihat yang baik-baik sengaja membiarkan perbuatan ini.

Disebabkan keengganan kerajaan UMNO memberikan nasihat yang baik, makanya kita lihat ada seorang raja yang mengahwini orang luar sehinggakan ramai rakyatnya yang membencinya. Malahan ada seorang putra raja yang sekarang ini bergelar Tengku Mahkota yang beristerikan orang putih yang amat tidak disukai oleh rakyatnya. Ini menunjukkan golongan istana tidak lagi diasuh untuk memahami aspirasi rakyat dan bangsanya. Ironisnya masih ada istana yang menggaji para dukun dan pawang seperti di zaman dulu. Bukankah semua itu bertentangan dengan ajaran Islam? Kenapakah UMNO di bawah MAHAFIRAUN tidak melakukan satu proses 'overhaul' terhadap raja-raja seperti yang dilakukan ke atas rakyatnya?

- Perkongsian Pintar UMNO dan Istana

Amalan toleransi di antara UMNO dan institusi raja-raja membolehkan golongan istana hidup mewah tanpa perlu memikirkan masalah rakyat yang terus menderita; sambil memberi ruang secukupnya bagi pucuk kepimpinan UMNO menunggang kuda mistik 'kedaulatan raja-raja' itu. Inilah satu prograam perkongsian pintar yang pertama yang telah direka dan dilancarkan oleh MAHAFIRAUN dengan jayanya. Apa yang raja mahu, disediakan tanpa banyak soal. Pada waktu yang sama apa yang kerajaan UMNO mahu dipatuhi juga oleh pihak istana tanpa banyak soal juga. Dalam perkongsian in ada satu 'common denominator' yang sama-sama digunakan. Kedua-dua pihak menggunakan kuasa penganugerahan bintang dan gelaran sebagai satu alat untuk memperkuatkan kedudukan masing-masing. Raja menyetujui pengagihan bintang dan gelaran yang direncanakan oleh UMNO sambil mendapat sedikit peruntukan untuk menganugerahkan gelaran yang serupa kepada segelintir penerima pilihan diraja. Dengan hal demikian, tidak ada sebuah negara lain di dunia ini di mana institusi rajanya memberikan ratusan gelaran dan anugerah bintang kepada rakyatnya setiap tahun. Kerana itu gelaran tersebut menjadi satu lulucon. Kalau ada sekumpulan manusia berkumpul di padang golf kita boleh baling batu ke arah mereka. Besar kemungkinnnya batu itu akan jatuh ke atas seroang yang bergelar Datuk, Datin, dan apa juga pangkat di raja yang amat gah itu.

Perakara lulucon ini semakin serius sekarang ini apabila timbul cerita bagaimana si anu bin si anu mndapat gelaran "XXXX" dengan membayar sejumlah saham yang bernilai sekian juta harga pasarannya. Apabila kita lihat harga pasaran ketika itu memang nyata kaunter tersebut sedang naik kerana diransang. Ada kalanya saham berharga sepuluh ringgit boleh diransang naik menjadi dua kali ganda. Cerita beginilah yang mengaibkan penganugerahan bintang dan gelaran itu. Namun, MAHAFIRAUN tidak pernah mahu membuat kajian akan segala desas-desus itu.

B) Kebebasan Al Arqam pada satu ketika

Kuasa mistik raja-raja menjadi tergugat apabila pegerakan Al Arqam semakin bertenaga. Apa yang dimulakan sebagai satu pertubuhan berdakwah yang memberi penekanan kepada usaha niaga kecil-kecilan telah tumbuh membesar dengan keizinan tanpa tulis kerajaan UMNO Itulah kejayaan Al Arqam. Walaupun Al Qrqam dikatakan telah 'tersungkur di pintu surga', adalah satu pergerakan perniagaan Melayu yang akan menjadi satu bahan sejarah yang paling penting dalam tamaddun orang Melayu. Tanpa menyentuh aspek keagamaan yang cuba diterapkan oleh Ustaz Azahari (ataupun isteri keduanya ?) Al Arqam telah memainkan satu peranan yang amat penting sekali bagi mengisi kekosongan yang sepatutnya dilaksanakan oleh beberapa institusi niaga kerajaaan UMNO. Institusi itu adalah MARA, PERNAS, Pernas Edar, Mastulin, KOBENA, PKEN (State Economic Development Corporations), FELDA, MAJUTERNAK, MAJUIKAN, MADA dan banyak nama lagi yang canggih dan cantik. Hampir semua institusi kerajaan ini telah ditubuhkan untuk menaikkan taraf ekonomi orang Melayu. Hampir semuanya telah gagal walaupun diterajui oleh anak-anak Melayu yang berkelulusan tinggi dan diawasi oleh ahli lembaga yang rata-rata adalah pilihan kuasa politik juga.

- Bagaimana Al Arqam boleh berjaya ?

Hampir semua perniagaan tajaan awal pertubuhan itu mencapai kejayaannya disebabkan kewujudan usaha niaga itu diasaskan dengan berbanyak 'common-sense'. Inilah yang orang putih kata, "common sense is never common". Projek yang dimulakan berupa kecil-kecilan sehinggakan orang sebelah rumah pun sanggup tersenyum sinis menyaksikannya. Tetapi, itulah projek yang tidak menggunakan pinjaman Bank ataupun MARA ataupun CGC. Secara senyap-senyap semua projek itu merebak dan meluas sehinggakan para ushawan itu mampu bergabung dan bersatu. Semua itu dibiarkan oleh pemerintah kerana lapuran yang diterima oraganisasi itu "hanya menggunakan agama untuk meluaskan perniagaan mereka." Kerana itu orang yang berpakaian jubah hijau dianggap orang yang kuat beragama dan bersembahyang dan tidak perlu dihirau.

Pergerakan Al Arqam akhirnya menjadi satu pergerakan yang membawa satu arus pemikiran yang mencetuskan banyak tandatanya di kalangan pemerintah. Semangat usahasama mereka tidak lagi menggugat kerajaan malahan juga bisnes yang dibuat oleh orang bukan Islam. Maka jarum hasutan pun mula masuk agar kerajaan mengambil langkah untuk mengharamkan Al Arqam. Tindakan itu bukannya bermotifkan ajaran Azahari yang dikatakan sesat tetapi disebabkan pelbagai golongan yhang berniaga telah merasa tertekan dengan kekuatan perniagaan ahli Al Arqam.

Dipuncak kegemilangannya Al Arqam mampu menggugat setiap institusi perniagaan tajaan kerajaan. Inilah satu kejayaan Al Arqam yang paling bermakna bagi orang Melayu. Mereka memulakan perniagaan itu tanpa pinjaman MARA ataupun apa juga dana pinjaman yang telah direncanakan oleh kerajaan UMNO. Ustaz Azhari yang tidak pernah menjejakkan kakinya ke menara gading telah mampu menggerakkan satu organisasi Melayu yang bertaqwa kepada Allah dan berjaya dalam usaha niaga mereka. Tanpa mengaitkan pembabitannya yang memesongkan akidah pengikutnya, saya tetap tabik hormat kepada Ustaz Azahari ini selagi hayat dikandung badan. Inilah satu kejayaan yang tidak ada tandingnya di mana-mana jua. Saya pernah melihat pelbagai cara perniagaan yang sama rencananya dengan Al Arqam, tetapi kecepatan pencapaian matlamat niaga mereka itu adalah sesuatu yang menakjubkan.

Di sini saya ingitn menarik minat para pemimpin UMNO kepada muka surat 71, buku bertajuk "Apakah Yang Ketua Cawangan Wajib Buat?". Saya ingin petik satu perenggan dalam buku itu: .."Apakah bukan dari saranan Islam kini Baitulmal Wilayah Persekutuan saja berupaya memungut zakat dari pembayar-pembayar Islam sebanyak RM50.6 juta sepanjang tahun 1997 yang lalu?. Sudah ramai orang Islam yang mempunyai kekayaaan dan patut pula mengeluarkan zakat. ..."

Cuba kita buat congak kasar sahaja. Kalau pada tahun 1997 sudah ada 50 juta, hingga tahun 1999 pasti sudah ada sekurang-kurangnya 150 juta. Di manakah wang itu dan bagaimanakah wang itu dibelanjakan? Kalau Al Arqam mampu menarik minat orang Melayu beragama Islam berniaga secara ajaran Islam kenapakah Baitulmal tidak merencana satu projek menaikkan taraf kehiduapn orang Islam. Kenapa tidak ditaja beberapa projek yang memberikan keuntungan kepada mereka.

-Kejayaan Perniagaan tajaan Gereja yang amat berjaya

Sebagai bandingan kita boleh lihat beberapa jenis perniagaan yang ditaja oleh gereja, rumah berhala dan institusi agama bangsa lain di negara ini. Cuba kita tanya seorang pengusaha kedai gambar (instant photography) akan namanya. Dia menggunakan nama Kristian di pangkalnya. Begitu juga pengusaha kedai bunga, salon rambut, motor-workshop, pasara borong buah-buahan dan ikan, dan beberapa jenis perniagaan yang menerima bayaran tunai setiap hari dalam perniagaan mereka. Semua itu ditaja oleh gereja dan rumah berhala untuk diuruskan oleh penganut agamanya yang setia.

Adakah kita pernah mendengar Baitulmal memulakan projek seprti itu? Sebaliknya kita lihat program kursus pendekatan pada ajaran Islam yagn mereka jalankan. Apabila kita dekati mereka, kita boleh lihat kenderaan yang digunakan. Ada di antara kita yang merasa malu kalau kita lihat kenderaan ataupun pejabat pegawai Baitulmal itu. Maklumlah zakat yang melimpah ruah yang perlu digunakan juga untuk kos perkhidmatan.

- Bgaimana Yayasan Islam mengawal Ekonomi Afrika

Sebagai perbandingan juga saya ingin menarik perhatian saudara sekelian kepada kegiatan Yayasan Aga Khan di Afrika. Kalau di Malaysia ekonomi negara berada di tangan orang China, di Afrika terutama sekali Afrika Hitam (Black Africa) ekonomi adalah di tangan orang berketurunan India, Pakistan dan Bangladesh. Mereka ini merupakan zuriat pendatang yang dibawa oleh British untuk membina landasan kereta api dan jalanraya. Yang paling menonjol sekali ialah perniagaan yang diasaskan oleh Yayasan Aga Khan dan pengendalian perniagaan itu dilakukan oleh kumpulan Ismaili. Mereka menjalankan perniagaan dalam beberapa bidang tertentu: Makanan Segera (Halal Fish & Chips ), Syarikat pelancongan dan Tiket Penerbangan, Klinik Perubatan termasuk kedai Cermin Mata, Perniagaan pakaian lebihan kilang (factory rejects), Mini markets, super markets, Penurup Wang (Money changers), Kedai Bebas Cukai ( Duty Free Shops), Pusat Pakar Perubatan dan sebagainya.

Oleh kerana perusahaan itu dikendalikan secara bersistem, wang modal yang dikeluarkan oleh Yayasan Aga Khan dapat dibayar balik mengikut jadual dengan faedah (berupa kos pekhidmatan yang paling minimal) Dari satu bentuk niaga sesuatu pusat niaga itu berkembang biak mengikut keupayaannya menyediakan tenaga kerja yang terlatih dan amanah. .

Yang menarik dalam projek ini, Yayasan Aga Khan telah menerajui perniagaan ini di luar Pakistan sedangkan pengendali perniagaan itu adalah rakyat Pakistan yang diberikan taraf bermustautin. Soalnya sekarang kenapakah Baitulmal tidak mampu meneroka perniagaan seperti ini dan memperbaiki keadaan penduduk Melayu Islam yang daif itu? Bukankah MAHAFIRAUN kerap ke Afrika setiap tahun. Malahan lebih kerap dan lama kalau dibandingkan lawatannya ke Kubang Pasu?

Bila Pucuk Kepimpinan Menyeleweng

Allah memberikan banyak peluang kepada pemimpin UMNO baik yang masih berkuasa mahupun yang sudah pencen. Tetapi, sayangnya amanah yagn diberikan oleh orang Melayu itu telah disalahgunakan. Dengan kata kesat, para pemimpin UMNO, banyak menyeleweng. Mereka mempunyai kuasa dalam serba serbi untuk menaikkan taraf Melayu menjadi satu bangsa yang tinggi maruahnya. Sayangnya, orang Melayu yang mahu berjaya mempunyai dua pilihan sahaja. Satu, masuk ke dalam UMNO dan naik mengikut landasan tangga yang disediakan dengan pemandangan sepak terajang politik yang menjijikkan. Kedua, berusaha dengan kegigihan sendiri dan sanggup mengharungi ranjau kesiksaan dan deraan yang dipasang siap oleh pemimpin Melayu yang korup dan tidak berhati perut.

Disebabkan penyelewengan yang berleluasa di pucuk pimpinan tertinggi parti UMNO itu sendiri makanya orang Melayu kelas menengah terkapai-kapai untuk memelihara maruah bangsa. Kalau Melayu kelas menengah tidak melakukan perkara ini secara sukarela apa yang boleh diharapkan kepada majoriti Melayu kelas bawahan? Golongan manusia yang sentiasa tersepit hidupnya tidak akan ambil pusing akan maruah bangsa kalau perut anak-anaknya sentiasa lapar dan badan mereka memerluakan perubatan. Inilah golongan masyarakat yang terpaksa berupaya menyesuaikan dirinya dengan keadaan. Kalau duduk di rumah setinggan, undang-undang masyarakat setinggan itulah yang menjadi pedoman hidup mereka dan bukannya undang-undang UMNO yang hanya menjenguk mereka lima tahun sekali.

Kesimpulan

Adalah amat malang sekali, UMNO di saat-saat yang amat hampir di ambang kehancuran terpaksa disedarkan akan segala kerja-kerja jijik yang telah dilakukannya. Peluang pucuk pimpinan UMNO menjadikan Melayu itu satu bangsa yang besar telah berkecai kini kerana nawaitu majoriti para pemimpin itu yang tidak suci dan ikhlas.

Semangat perjuangan UMNO yang dicanangkan, kini adalah satu kepalsuan untuk menutup satu kepalsuan yang lebih besar dari itu. Ketuanan Melayu yang sepatutnya diteguhkan oleh kekuatan yang ada pada UMNO dan para pemimpin Melayu pada satu ketika dulu telah terabai. Maruah Melayu telah digadaikan semata-mata untuk menegakkan ketuanan UMNO.

Amanah yang diberi oleh rakyat kepada pemimpinnya adalah satu ikrar suci yang sepatutnya tidak dinodai. Kesediaan pucuk pimpinan UMNO menyeleweng untuk menegakkan beberapa dinasti di kalangan pemimpin pilihan yang rapat dengan MAHAFIRAUN adalah satu titik pahit yang tidak akan dapat dimaniskan oleh sejarah Melayu moden. Kuasa yang berlebihan yang diberikan kepada MAHAFIRAUN telah membolehkan semua cara yang jijik menjadi halal. Segala tipu helah telah direncana untuk membalon khazanah negara, dengan tujuan menegakkan dinasti kodi. Sayangnya kelakuan MAHAFIRAU itu telah disaksikan dengan sedar oleh semua pemimpin UMNO yang masih lagi bernyawa. Tentunya mereka kaya raya dalam proses pemerhatian itu dan kaya raya itu tidak semestinya dapat menjamin kesenangan hidup di hari tua.

MAHAFIRAUN masih lagi dengan tipu helahnya sedangkan sebahagian besar panglimanya sudah pun dipencenkannya. Apakah mereka sanggup membisu seperti dulu membiarkan beliau terus menipu? Apakah tidak ada sekelumit keinsafan di hati mereka untuk bersatu dan bersuara lantang menentang si diktator itu? Apakah mereka sudah terlalu lemah untuk berfikir bahawa MAHAFIRAUN harus ditentang agar maruah bangsa Melayu itu tidak terbuang di dalam longkang? Apakah tidak mungkin golongan veteran ini bangkit untuk menghayunkan rentak yang baru agar lagu syahdu dapat dibawa angin yang berlalu; menjanjikan satu impian yang baru kepada seluruh Bangsa Melayu?

-MT-
4.2.2000
Marhaintua@Hotmail.com





Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com