Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 29 - Rentak Juang Yang Hilang

(Ditujukan khas kepada pergerakan wanita dan pemuda UMNO)

Apakah yang ada lagi kepada UMNO di saat kehancurannya ? Ini adalah satu kenyataan yang tidak akan dapat diterima oleh ahli UMNO baik yang masih aktif mahupun yang sudah pencen. Tetapi, jauh di lubuk hati mereka memang ada setitik kemusykilan yang mengerikan. Ramai yang kerap menyoal kawan-kawan yang rapat apakah benar UMNO akan hancur dan hilang. Ramai lagi yang tertanya-tanya sendirian di malam hari akan soalan ini. Dengan lain perkataan, nasib masa depan UMNO sudah menjadi satu macam igauan yang datang dan pergi. Ia menjelma dan menggelonsor, dari pemikiran setiap ahli UMNO, tidak kira ketika mereka berjaga ataupun sedang tidur.

UMNO sudah kehilangan taringnya dan tidak lagi layak mengaku sebagai suara rakyat marhain yang mempertahankan hak ketuanan Melayu. UMNO sudah tidak mampu menonjolkan imejnya sebagai satu parti politik yang menghayati semangat juang Melayu. Apa yang hendak dijuangkan kalau rentak juang itu sudah lama hilang?

Janganlah sesiapa dalam UMNO yang sanggup membuang masa menidakkan kenyataan saya ini. Ini adalah satu kenyataan yang perlu ditelan walaupun pahit. UMNO sudah kehilangan kepercayaan orang Melayu. Lama dulu lagi. Cuma, kenyataan itu diperlambatkan oleh sekumpulan pemimpin UMNO yang sudah lama sedar akan fenomena ini. Mereka cuba sedaya upaya memperlambatkan pergerakan kehancuran ini dengan segala tipu daya yang terdaya. Inilah yang mereka lakukan sejak tiga tahun yang lalu.

Sokongan Yang Semakin Menurun

Simtom pertama yang menyerlahkan fenomena ini berlaku apabila setiap majlis parti memerlukan manusia dari luar untuk menunjukkan lautan manusia yang datang mendengar pemimpin ulung parti cakap berdegar-degar. Inilah tandanya yang patut diambil iktibar oleh MAHAFIRAUN dan membuat satu ikrar bila beliau melepaskan jawatannya. Tetapi, apabila beliau memberikan alasan berdasarkan kegawatan ekonomi negara, sudah nyata beliau tidak boleh dipercaya.

Mengupah orang luar untuk datang mendengar pemimpin bercakap mencetuskan satu impak yang tidak mudah diperbaikki. Ini sudah menghakiskan perjuangan parti. Bayangkan, untuk mendengar pemimpin ulung berjumpa dengan ahli parti, ahli parti itu perlu diberikan sabsidi ?

Keadaan negatif ini lebih menekan apabila orang yang datang berbondong di awal majlis akhirnya 'lari' bertempiaran sebaik sahaja pemimpin tamu itu berucap. Ini merupakan satu tamparan yang amat berat kepada sesaorang pemimpin yang diutamakan itu. Kalau dia masih tidak memahami fenomena ini, bererti dia sanggup bermusuh dengan ahli partinya.

Bila Sokong Membawa Rebah

Kita mampu bersimpati dengan pemimpin wanita dan juga bahagian pemuda UMNO. Mereka memang tidak mampu berbuat apa-apa untuk menaikkan martabat UMNO itu seperti sediakala. Lagipun apa lagi yang hendak dinaikkan kalau rentak juang itu sudah lama hilang?

Ramai orang berkata bahawa UMNO mula condong untuk rebah ketika tercetusnya pertandingan antara Mahathir dan Tengku Razaleigh. Disebabkan kemenangan yang tipis itu Mahathir enggan menerima kenyataan bahawa kemenangannya adalah satu kemenangan yang amat diragukan. Ia diharapkan mengambil iktibar daripada kemengan tipis itu dan memberi ruang yang wajar kepada pihak yang dikalahkannya. Kedegilan mengakui hakikat itu membuatkan beliau menggugurkan semua menteri yang menyebelahi Ku Li. Ini membuatkan Tengku Razaleigh mengambil tindakan untuk meninggalkan parti dan menubuhkan Semangat 46.

Tindakan Ku Li adalah satu tindakan yang berani kerana congaknya, memberi isyarat bahawa beliau dapat menumbangkan UMNO dari luar. Malangnya, Allah tidak menyebelahi Ku Li ketika itu. UMNO mempunyai seorng pendekar yang berjaya mempertahankan maruah parti sambil terus menegakkan kuasa MAHAFIRAUN. Seperti yang berlaku di mana cerita dongeng dan sejarah bangsa, seorang pendekar selalunya tumpas bukan di medan perjuangan tetapi di tangan kuasa yang pernah dipertahankannya. Dia boleh bermati-matian mempertahankan diri dan kumpulannya, tetapi dia tidak berjaya mengawal dirinya apabila ditumpaskan oleh orang yang telah diselamatkannya. Memang, adalah satu kebiasan kepada pendekar yang tumpas kerana pukulan curi. Ku Li gagal kerana beliau tidak membawa Anwar bersamanya keluar UMNO ketika itu. Yang dibawanaya adalah para panglima kecut yang hanya berani bercakap lipat-melipat, tetapi pengecut yang sedia melompat.

Politik adalah 'the art of the implssible'. Musuh hari ini berkemungkinan menjadi kawan esok hari. Begitu juga, kawan di hari ini mungkin menjadi seteru ketat di hari muka. Laksana roda yang berpusing, perjalanan politik berputar juga. Tetapi, roda politik bukannya laksana roda impian yang berputar secara mendatar. Roda politik adalah laksana roda tikam-tikam aiskrim. Setiap nombor itu dipagari paku-paku yang kelihatan sama sahaja saiznya. Tetapi, kalau diteliti paku yang memagari nombor bertuah selalunya pendek daripada yang lain. Begitulah nasib seorang pendekar. Semangat persahabatan yang ada di antaranya dengan pemimpin yang dilindungi itu tidak pernah dipagari paku yang panjang.

Masa yang panjang yang memisahkan Ku Li dan kumpulan Semangt 46, telah memberikan ruang untuk pihak yang pintar merencana rentak juangnya. Ku Li dan konco-konconya termasuk perangkap sekali lagi. Semangat 46 dibubarkan secara sukarela tanpa sesiapa tahu apakah imbohannya. Yang untung adalah beberapa orang panglima Ku Li yang mempunyai kepakaran tersendiri. Tentunya dalam kisah tutup dan buka yang paling bijak melompat mula berjaya. Selepas itu barulah si pakar jambatan. Samada dibinanya jambatan baru ataupun dibaikkinya jambatan lama tidak ada siapa yang tahu. Tidak penting semua itu. "Yang penting, kita bersatu", itulah motivasi mereka. Lupalah kini segala janji lama beberapa wira Semangat 46 dulu. Bukankah ada yang sanggup membakar jambatan dan sedia terkencing atas batu nesan ?.

Dengan masuknya kembali Ku Li serta pengikutnya, pengaruh kuasa yang kelihatan sudah rapoh menjadi kuat semula. Kulit dahan yang terkopek kelihatan segar semula. Ini memberikan kekuatan kepada si perencana untuk membuka rentak baru. Terpelantinglah si wira yang sekian lama amat setia padanya. Tanpa ramai yang menyedarinya sesiapa juga yang sanggup menyokong wira itu akan digugat dan bayangi untuk menentukan kesetiannya.

Inilah yang berlaku kepada UMNO selepas Ku Li rujuk kembali. Ia tidak menjadi kuat seperti yang dijanjikan. Ia hanya kuat untuk perancangnya dan tidak kepada akar umbi yang mengharapkan sesuatu dari pucuk pimpinan parti.

Penyelewengan yang direlakan

Penyelewengan dalam rentak pimpinan telah dapat terlaksana kerana kegagalan pergerakan wanita dan pemuda mengeluarkan sebarang suara tekanan yang dapat membendung penyelewengan itu. Ini berlaku kerana lemahnya semangat juang kedua-dua pergerakan itu.

- Kelemahan Pergerakan Wanita

Pergerakan wanita memang tidak pernah menunjukkan keupayaannya bersuara lantang dalam UMNO. Apa juga kemegahannya yang lalu adalah retorik semata-mata. WANITA tidak kuat kerana ketiadaan pemimpin yang betul-betul kuat selepas bersaranya Aishah Ghani. Sejak Rafidah memimpin WANITA pergerakan itu banyak merupakan tukang ampu presiden parti. Akar umbi tidak mampu bersuara besar kerana dibayangi tempelak ketua pergerakan yang memang celupar. Kerana itu kita lihat tidak ada satu projek yang memberikan kemegahan pada perjuangan pergerakan Wanita UMNO sejak ia dilancarkan.

Adalah amat sayang sekali perkara ini boleh terjadi. Lihat sahaja di ibukota. Berapa ramaikah wanita Melayu yang sentiasa kesempitan hidup kerana mencari rumah tumpangan? Berapa ramaikah gadis Melayu yang berumur lebih 35 tahun yang masih belum berumah tangga ? Berapa ramai pula ibu tunggal yang masih merempat tanpa tempat tinggal ? Berapa ramai lagi gadis-gadis Melayu yang dikepit jejaka asing kerana janji untuk dikahwini tetapi ditingalkan akhirnya ? Bagaimana pula kos perkahwinan yang tinggi yang menghalang kaum lelaki mengahwini gadis Melayu? Kalau semua ini adalah masalah yang masih tidak mampu ditangani oleh Wanita UMNo sejak 42 tahun yang lalu, apakah ertinya perjuangan wanita itu?

Impaknya kini, kita lihat betapa semakin ramai gadis Melayu yang masih bersekolah menjaja tubuh mereka di hujung minggu, untuk mendapatkan wang saku. Mereka menyewakan tubuh mereka untuk membeli pakaian berjenama dan alat solek yang digunakan artis glamour. Bilangan andartu semakin bertambah dan bilangan anak luar nikah pun bertambah juga. Yang menyedihkan sekali bilangan gadis Melayu yang menjalani pengguguran di klinik swasa semakin meningkat.

Kesan daripada cerita negatif ini dapat dilihat apabila bertambahnya kes gadis Melayu yang murtad. Mereka murtad kerana mahu mengahwini lelaki yang enggan menganut agama Islam. Ini adalah satu gejala yang menunjukkan betapa semakin ramai anak Melayu yang sudah terpesong akidah mereka sehinggakan sanggup menyisihkan keluarga semata-mata kerana bertukar agama. Kebanyakan cerita ini sengaja diperam oleh pihak kerajaan kerana mahu menutup malu betapa perkara itu adalah disebabkan kelemahan pihak yang bertanggung-jawab dalam perkara itu.

Di samping itu kita boleh lihat betapa ramai keluarga di kampung yang sudah putus harap dengan anak-anak gadis mereka yang berhijrah ke bandar. Golongan ini telah lupa daratan dan sanggup mengenepikan keluarga di kampung tanpa sebab yang menasabah. Apabila hubungan persaudaran dengan keluarga di mapung diputuskan, tidak ada siapa lagi yang memainkan peranan pengawas anak-anak gadis ini. Baik dari segi akhlak mereka mahupun dari segi pakaian mereka. Lihat sahaja beberapa majallah wanita terbitan Kumpulan Utusan. Kita mungkin terfikir bahawa gadis-gadis yang berpakaian menjolok mata itu bukannya anak gadis kita yang beragama Islam. Ia lebih mirip gadis-gadis Filippina yang bertugas di malam hari di Mabini Street.

Di kampung dan desa pula kita lihat nasib ibu tunggal dan keluarga miskin tidak mendapat perhatian wnita UMNO. Ada keluarga miskin yang duduk hampir dengan rumah pemimpin ataupun rumah pejabat UMNO. Mereka terbiar sedangkan UMNO mempunyai sumber wang dan dana yang banyak untuk membantu golongan seperti ini.

Pimpinan Pemuda yang Leka

Kalau kita lihat perjuangan pergerakan pemuda, tentu sekali kita dapat bayangkan permainan dan tarian kuda kepang. Penunggang kuda kepang itu akan beratur dan menari mengikut rentak yang dipacu oleh ketua pegerakannya. Mereka akan menari mengikut rentak gendang yang dipalu berputar-putar dari satu hala ke satu hala yang lain. Jarang sekali mereka bergerak jauh dari posisi yang mereka ambil sejak tarian itu bermula. Gendang yang terus berpalu, bertalu-talu dan sambut-menyambut, mengerakkan rentak yang perlu diikut oleh setiap pemain itu sehinggakan mereka menjadi taksub dan terikut-ikut akan rentak itu secara robot. Ketaksuban yang memuncak disebabkan rentak yang berdengung tanpa henti boleh menerjah perasaan sehingga mengasyikkan. Di kala inilah si penari itu mampu dirasuk satu semangat yang membolehkannya melompat tinggi laksana seekor kuda sedangkan pergerakan itu adalah di luar kuasa insaninya.

Kunpulan penari yang melompat tinggi laksana kuda itu akan terhenti geraknya apabila rentak lagu yang mempersonakan itu dihentikan. Ketika itu barulah si penari kembali sedar dan mula bertenjet-tenjet laksana seekor kuda yang keletihan.

Alangkah sayangnya apabila kita lihatkan peranan pergerakan pemuda UMNO itu kini. Sejak kepimpinan pergerakan itu ditinggalkan oleh Dato Harun Idris, semangat juang yang ada pada pergerakan itu telah pergi bersama Dato Harun Idris juga. Ini menunjukkan Pemuda UMNO memerlukan masa yang panjang selepas fiasko perlawanan tinju Joe Bugner -Mohamad Ali yang gagal menaikkan mertabat Pemuda UMNO itu. Kita tidak mahu menulis panjang berkenaan perlawanan tinju itu yang akhirnya membuat Dato Harun merengkok dalam penjara. Memadailah kita katakan di sini episod Mohamad Ali adalah satu episod betapa seorang pemimpin Pemuda UMNO yang berkaliber ditakuti akan membayangi seorang perdana meneri. Keana itu dia harus didera dan diseksa di balik kamar berjejari besi.

Pemuda UMNO gagal dalam menaja perlawanan Mohamad Ali kerana tiket telah diboikot oleh masyarakat China yang diterajui oleh MCA. Tidak berapa lama selepas episod itu kita dapati ramai penanam durian yang kerugian besar kerana orang China telah memboikot buah itu. Kdeua-dua episod ini dilakukan oleh masyarakat China di atas galakan MCA dan persatuan niaga China yang lain juga. Ia berupa satu deraaan yang dilakukan dengan sokongan parti Socsialis dan DAP juga kerana orang China marah apabila mereka terlepas peluang untuk menubuhkan sebuah kerajaan di Selangor. Ini menunjukkan kekalahan tipis pada pemilu yang berlaku pada Mei 1969 itu telah mencetuskan satu tunjuk perasaan di kalangan masyarakat Cina di negara ini. Dato Harun menjadi mangsanya sedangkan orang yang merencana keadaan kelamkabut itu sebenarnya adalah seorang calon UMNO yang kalah di Alor Star. Disebabkan kekalahannya itu dia telah menuduh Tunku Abdul Rahman Putra sebagai seorang pemimpin UMNO yang memberi terlalu banyak muka kepada orang Cina. Tunku akhirnya undur untuk membolehkan Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri.

Hilangnya Rentak Juang Pemuda UMNO

Sebaik sahaja Tun Abdul Razak memegang tampuk kerajaan, ekonomi negara terumbang ambing jadinya kerana masyarakat Cina menjadi gusar akan arah hala ekonomi negara. Mereka telah memeram wang mereka di seberang dan tidak mahu membantu Tun Razak untuk memulihkan ekonomi negara. Kerana itu Dato Harun telah diberikan tugas mencari wang untuk memacu ekonomi negara sekali lagi. Dato Harun telah mendapatkan bantuan seorang Major bersara pasukan tentera mariam negara ini yang membuat kerja sulit menghubungi pengurus Mohamad Ali. Dari situ direncanakan satu perlawanan tinju di antara Ali dan Joe Bugner.

Mohamad Ali baru sahaja dilepaskan daripada sekatan untuk bertinju kerana tentangannya terhadap kerahan tenaga ke Vietnam. Dunia tinju memikirkan tandingan Ali ketika itu adalah tidak sekuat yang diharapkan. Kerana itu mereka tidak berapa minat untuk menaja tinju itu untuk memberikan keuntungan yang selesa kepada Pemuda UMNO melalui siaran TV. Kalaulah perlawanan tinju sesuatu yang diminati oleh dunia tinju ketika itu, Pemuda UMNO sudah pasti menjadi kaya raya daripada hasil projek itu. Namun, Allah menentukan segala-galanya. Saya pernah berbual dengan Ali mengenai episod Kuala Lumpur itu dan masih ingat antara kata-katanya tentang Dato Harun;" It is a great pity that he had to suffer for such a great effort. To me, he is a great man !"

Dengan pengunduran Dato Harun itu kita dapati Pemuda UMNO merupakan satu kumpulan pemimpin pelapis yang peranannya adalah laksana burung kakak tua yang dilatih oleh tuannya. Tidak ada seorang pemimpin pemuda UMNO yang dapat mendekati karisma Dato Harun. Memang beliau banyak menaburkan bakti kepada bangsanya. Lihat sahaja apa jadi kepada pasukan Bola Selangor ketika zaman Dato Harun. Mungkin elok kita rakamkan di sini bahawa Wisma Yakin adalah satu usaha Dato Harun untuk menempatkan orang Melayu dan Islam di tengah kotaraya ini.

Tetapi, apa yang jadi kepada pemimpin Pemuda UMNO yang lainnya selepas Harun ? Pelbagai skandal dan cerita yang timbul sehinggakan kepimpinan pemuda UMNO itu boleh dijadikan satu sumber untuk membikin filem Hollywood. Nasib baik Shahruk Khan belum tahu lubang ini, kalau dia tahu kita boleh bersedia menantikan satu dua filem Bollywood yang mencerminkan perjalanan Pemuda itu. Kalau kepimpinan pemuda itu selalu pincang, apa yang diharapkan boleh dijadikan pedoman untuk menaikkan taraf pemuda Melayu ?

- Kenapa Pemuda UMNO pincang

Pergerakan pemuda UMNO sebenarnya merupakan satu sambungan kepimpinan yang mahukan kuasa. Sepatutnya kepimpinan pemuda itu tidak patut dipegang oleh mereka yang berumur lebih daripada 35 tahun. Dalam ilmu demography sesuatu generasi itu dikira antara 30 hingga 35 tahun. Kenapakah pula keahlian pemuda UMNO dibuka sehingga 50 tahun dan tidak kurang daripada itu ? Falsafah pergerakan pemuda ialah menyediakan satu barisan pemimpin pelapis. Tetapi pelapis apakah yang mahu disediakan kalau seorang Ketua Menteri Melaka menjadi pemimpin pemuda dan seorang menteri kabinet menjadi ketua pemuda ? Selagi konsep umur ini tidak diuabah, pergerakan pemuda itu akan merupakan sarang di mana komplot direncana. Di situlah segala strategi untuk menguasai parti dilakar dan satu pergerakan persis pergerakan 'bawah tanah' diatur untuk memberikan sokongan padu kepad si anu dan untuk menumbangkan si anu pula.

Keupayaan seseorang memegang tampuk kuasa dalam pergerakan pemuda bererti dia berupaya mengumpulkan tenaga dan sokongan padu daripada beberapa kumpulan dalam pergerakan itu untuk menaikkan dirinya ataupun para kroni. Malahan, seorang pemimpin pemuda mampu menjadi seorang 'power broker' politik yang berkesan, berdasarkan pengaruhnya dalam pergerakan pemuda. Dalam hal ini kita dapat lihat, sesiapa sahaja yang mempunyai banyak wang dan menjadi ketua pemuda UMNO berjaya menjadi seorang 'power broker' yang berkesan. Dengan lain perkataan, politik wang amat hangat berkisar dalam pergerakan pemuda, malahan lebih hangat kalau dibandingkan di antara tiga cabang pergerakan parti itu. Beberapa episod yang sudah berlaku ketika Rahim Tamby Chik menjadi ketua pemuda hinggalah ketika Zaid Hamidi menggantikannya memperkuatkan teori ini.

Akan tetapi, kalau had umur diletak pada 35 tahun, pergerakan pemuda itu akan merupakan satu pergerakan yang berhemah kerana pemimpinnya mempunyai masa untuk naik. Tahap umur mereka memberikan kesedaran betapa mereka masih punya banyak masa untuk menjadi pemimpin yang berkesan. Sudah tentu mereka berani memperjuangkan kebenaran.

Kesimpulan

Saya perhatikan pergerakan wanita dan pemuda UMNO menjadi dua cabang pergerakan yang tidak berkesan di sepanjang pemerintahan MAHAFIRAUN. Kedua-dua pergerakan itu menjadi kucar-kacir dibuatnya. Nampak sangat kedua-dua pergerakan itu diperalatkan. Lihat, ketika Zahid menjadi ketua pemuda, dia tidak pun diberi jawatan dalam kabinet, sedangkan timbalannya diberikan jawatan itu. Layanan meleset seperti itu pun pernah dikenakan kepada Siti Zaharah, ketika dia mula menjadi ketua wanita.

Kepintaran MAHAFIRAUN mengkotak-katikkan pergerakan wanita dan pemuda UMNO membolehkannya melakukan apa sahaja yang disukainya dalam parti dan seterusnya dalam kabinet. Tidak ada sesiapa yang berani memperbetulkannya ataupun menegurnya. Kegagalan pihak wanita dan pemuda melakukan tugas ini adalah disebabkan 'takut' kehilangan peluang menjadi ahli kabinet kerajaan yang memerintah. Apabila sesaorang pemimpin itu sanggup akur kepada ketua yang menyeleweng ia sebenarnya sudah menyelewengkan amanah yang diterimanya daripada golongan yang memilihnya.

Kelemahan pemuda dan wanita UMNO amat terserlah apabila DS Anwar Ibrahim ditangkap dan dipenjarakan. Beliau telah dinyahkan dari parti dan membawa bersamanya rentak juang parti itu.Pergerakan wanita dan pemuda tidak mampu bangkit daripada kejutan yang dilakukan oleh pemimpin ulung mereka. Mereka menjadi lebih takut dan kecut perut. Kalaulah mereka bangkit MAHAFIRAUN yang sebenarnya tersepit sudah lama lemah diheret.

Maka berulanglah sejarah dalam UMNO. Ketika UMNO lama dulu, semangat juang dalam parti telah hilang melayang apabila Dato Harun dipenjarakan. Dalam perjuangan UMNO baru pimpinan MAHAFIRAUN, semangat juang pergerakan wanita dan pergerakan pemudanya hilang melayang juga di bawa Anwar Ibrahim.

Sebuah parti politik yang menyeleweng jauh daripada matlamat asalnya tidak akan bertahan lama . Ia berlaku di Jepun, India, England dan di mana saja. Begitulah halnya dengan UMNO. Kalaulah penyelewengan itu dapat dihapuskan dulu, sudah pasti semangat perjuangan menegakkan ketuanan Melayu menjadi satu semangat yang berkeramat. Tetapi sayang, semangat itu tinggal pada namanya. Pemergian Anwar Ibrahim melengkapkan proses penggelonsoran semangat itu. Laksana air terjun, semangat juang yang jatuh dari atas akan terus jatuh secara terhentak dan mengalir kuat ke paras bawah. Ia tertahan seketika untuk memberikan kepuasan kepada sesiapa untuk mandi dan bersuka dalam airnya. Kemudian ia akan terus jatuh lagi dan mengalir jauh hingga ke lautan. Di sana ia akan menunggu satu masa yang amat panjang sebelum disedut mentari untuk naik membasahi awan, untuk jatuh kembali membasahi bumi. Inilah tangisan satu sejarah pahit orang Melayu di mana ketuanan yang diamanahkan, diseleweng secara terang-terangan oleh pemimpin curang yang bertopengkan lambang UMNO. Proses itu akan berulang lagi selagi ada bumi dan ada mentari.Tetapi semangat juang itu tidak akan kembali lagi kerana rentaknya yang sudah jauh dibawa pergi.

5.2.2000
Marhaintua@Hotmail.com



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com