Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencentus Minda 30 - Mengapai Rentak Juang

(Khas Untuk Webmasters dan para refomis)

Seperti yang dijanjikan inilah siri terakhir dalam Suasana Lebaran Pencetus Minda. Alhamdullilah, siri ini muncul setiap hari di bulan Syawal, seperti yang dijanjikan. Tertunailah janji kepada seorang Webmaster yang tidak pun kukenal akan namanya, tetapi amat besar pengorbanannya. Terjalinlah silaturrahim dengan Webmasters yang lain secara bersalam melalui getaran IT. Melalui getaran itu saya faham betapa besar jasa mereka kerana risiko perjuangan yang tercetus olehnya.

Demikianlah hukum alam. Apa yang dijanjikan perlu ditunaikan walaupun janji itu merupakan sesuatu yang akan membendung diri dan menekan perasaan. Ia perlu ditunaikan walaupun kerap diganggu-gugat oleh syaitan. Kegagalan menepati kata-kata janji itu mudah sahaja dipesongkan. Sememangnya saya telah sengaja memaparkan e-mail Marhaintua@Hotmail.com di saat akhir siri ini kerana tujuan yang tersendiri. Saya tidak mahu diganggu ketika menyediakan penulisan semua itu. Kini, anda kalian memang digalakkan menulis kepada saya. Tulisan anda itu akan dijadikan bahan siri lain, mungkin untuk Hari Raya Haji pula. Itupun kalau ada Webmasters yang sudi mengendalikannya.

Setiap hukum ada hakamnya. Satu penulisan yang panjang dibuat setiap hari tentunya mempunyai banyak cacat-cela yang tidak disengajakan. Maklumlah, sebahagian besar bahan rujukan datangnya daripada ingatan yang semestinya beransur lemah mengikut gegaran usia. Namun, penulis sedia dikritik kalau terdapat kesilapan fakta, kerana itulah tujuan sebenarnya penulisan ini. Inilah paparan yang bertujuan mencetus minda, mencuit rasa dan menyorot sejarah bangsa. Terimakasih kepada semua. Terima kasih bangsaku. Yang baik di dalam penulisan saya itu adalah daripada Yang Maha Esa juga. Kecacatan dan kelemahan di mana saja, adalah daripada saya semata-mata. Itulah hadiahku kepada bangsaku. Itulah jihadku di bulan Syawal yang penuh syahdu.

* * * * *

Rentak Juang dalam Kenangan

Setiap yang bermula, ada garis penamatnya. Setiap yang terang ada kegelapannya dan setiap impian ada igauannya. Demikianlah perjalanan satu perjuangan yang dicetuskan ketika UMNO Baru diilhamkan oleh Dr. Mahathir Mohammad. Itulah ilham yang cuba menghidupkan satu semangat juang orang Melayu dengan janji menegakkan ketuanan Melayu itu. Itulah semangat yang berasaskan ilham pergerakan politik Melayu yang dimetrai oleh Dato Onn bin Jaafar.

Ilham Dato Onn Jaafar telah disambut dengan baik oleh orang Melayu kerana ketika itu mereka dijanjikan satu semangat baru dengan rentak yang baru. Orang Melayu ketika itu sudah lama kehilangan rentak juang mereka yang jatuh tersungkur setelah jatuhnya kesultanan Melayu Melaka. Walaupun sisa-sisa semangat juang itu beralih ke Muar dan kemudiannya ke Johor, rentak yang hilang tidak dapat dipulihkan lagi. Tergadailah Singapura kepada Inggeris dengan pertukaran hadiah beberapa tin biskut dan coklat. Terperangkaplah suku sakat Raja Husin di sebuah perkampungan Melayu di Siglap. Tidak seorang pun di antara mereka itu yang menikmati 'Toffee and chocolates' yang dibawa dari India dan berasalutkan lambang mahkota istana Westminster di kertas pembalutnya. Bayangkan betapa mudahnya orang istana menggadai sebuah pulau Melayu kepada orang mendatang tanpa memikirkan impaknya. Mungkinkah kerana mengidamkan cokelat yang dibikin dengan 'glycerine' yang datang daripada kaki khinzir, ketika itu?

Mungkin tidak ramai yang sedar kini, bahawa ketika Datok Onn sibuk mencanang semangat juang Melayu di tahun empat puluh lapan dulu, orang Melayu yang paling banyak berderma wang ringgit kepadanya adalah orang Melayu Singapura. Merekalah masyarakat Melayu yang ramai sekali bermakan gaji ketika itu. Walaupun rata-rata mereka bekerja sebagai pengayuh beca roda tiga, pemandu teksi dan lori ataupun tekong kapal tunda (tug-boat) yang membawa muatan daripada kapal di tengah lautan ke jeti dan pelabuhan. Ramai juga yang bekerja sebagai kelasi kapal, yang berada di darat hanya untuk bercuti sedangkan hayat yang panjang lebih lama berada di lautan yang bergelora. Inilah juga golongan yang banyak menyumbangkan wang ringgit kepada perjuangan Dato Onn bin Jaafar. Pengembaraan mereka di negara orang ketika itu membawa kesedaran betapa pentingnya mengembalikan ketuanan Melayu yang hilang itu.

Walaupun pegisytiharan UMNO itu dilakukan di istana Johor, sokongan wang ringgit tidak banyak datang daripada warga instana, tidak juga daripada warga Melayu yang makan gaji di pejabat kerajaan. Selain orang Melayu Singapura, orang kampunglah yang lebih rela berkorban harta benda kerana ketika itu harga getah sedang naik mendadak dan pendapat sehari menoreh getah adalah lebih banyak daripada gaji bulanan seorang guru. Apatah lagi gaji seorang kerani. Askar Melayu, Home Guard dan Special Constable serta polis hutan yang berlambangkan 'Kepala Rusa' adalah penyokong terkuat UMNO di Tanah Melayu. Mereka berasal daripada kampung dan berdarahkan perwira Melayu kesultanan dulu, makanya mereka lebih faham akan apa ertinya ketuanan Melayu. Terdapat juga sekunpulan Melayu yang bertugas di pondok-pondok jauh di perkampungan, di surau-surau dan masjid yang ditaja oleh wang rakyat ketika itu yang sanggup berkorban besar menyokong perjuangan Dato Onn bin Jaafar. Inilah kumpulan yang amat dekat dengan ajaran Allah dan terus bregiat menyedarkan orang Melayu akan apa ertinya perjuangan menegakkan ketuanan Melayu. Tanpa mereka, perjuangan itu mudah dipatahkan oleh penjajah Inggeris sepertimana mereka melemahkan semangat orang Melayu di pejabat kerajaan. Itu sebabnya, perjuangan UMNO di tahap awalnya lagi telah didokong oleh para guru, ustaz dan imam, askar, polis hutan dan kelasi kapal. Inilah semangat juang yang diperbesar dan dilaungkan oleh kaum ibu di kampung-kampung dan para petani di kebun getah dan sawah padi ketika siang; dan di surau dan masjid ketika malam hari. Bukan oleh peniaga kedai ataupun peniaga yang membuka gerai runcit di pekan Rabu.

Ketaksuban orang Melayu kepada ketuanan bangsanya, mahukan parti politik mereka itu dipimpin oleh orang yang rapat dengan istana juga. Kerana itu apabila Dato Onn melepaskan jawatannya, UMNO mampu terus bangkit dengan Tunku Abdul Rahman di pucuk pimpinannya. Beliau telah disokong oleh saorang ningrat daripada istana Pahang, Tun Abdul Razak begitulah namanya. Walaupun ketua ulung UMNO pada pertengahan lima puluhan dulu datangnya daripada Kedah dan Pahang, penyokong kuatnya muncul daripada Johor, Melaka, Perak dan Selangor. Muncullah Saadon Zubir seorang anak Jawa yang amat pekat dan totok semangatnya. Beliaulah yang menggerakkan semua orang Jawa dan masyarakat Indonesia di negara ini agar menyokong UMNO. Anak-anak Jawa yang meminati Soekarno telah menyahut panggilan Saadon itu sehinggkan UMNO kini banyak bergantung kepada semangat mereka untuk terus bernafas dalam debu kehinaaannya. Semangat juang Saadon Zubir itu tumbang dengan berakhirnya pengaruh Musa Hitam dan Tok Mat Bulat dalam arus perjuangan UMNO. Kalau ada pun sisa dan saki-baki perjuangan Saadon itu, ia lebih pekat di rancangan tanah dan di sekolah-sekolah. Kaum professonal berdarah Jawa tidak lagi menghayati perjuangan itu kerana mereka sudah sedar kenapa sebabnya. Anak-anak Sumatra yang amat kagum dengan kepintaran Almarhum Mohamad Hatta telah ikut serta semangat yang ditunjukkan oleh oang Jawa. Mereka sanggup berjuang dalam UMNO kerana mengimpikan satu wadah perjuangan untuk mencapai kemerdekaan. Inilah golongan yang berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat menjual barangan keperluan harian di pasar minggu di siang hari dan di surau dan masjid di sebelah malamnya. Mereka inilah golongannya yang membawa khabar berita daripada bandar kepada kampung dan desa.

Termasuk dalam golongan ini adalah orang Kelantan dan Terengganu yang berbasikal berbatu-batu ataupun berjalan kaki setiap hari, menggalas bungkusan besar di atas bahu dan berkain lilit di dahi. Mereka inilah penjaja kain batik dan kain songket yang menjual secara runcit. Kain diagihkan dulu dan wang dikutip setiap bulan sambil kain baru dihulurkan lagi. Inilah kumpulan pejuang kemerdekaan yang berlandaskan ajaran Islam. Mereka berjuang menegakkan asas niaga mereka berjual kain dan budu. Kadangkala mereka terserempak dengang orang Cina dan India di bawah pokok yang besar untuk berlindung dari panahan mentari. Si 'Ah Lee" datang ke kampung menjual kicap dan tauchu sedangkan si 'Manickam' datang menjaja kacang putih, serbuk kari dan kurma. Ada juga peniaga luar yang datang menjual gula-gula tarik dan aiskrim.

Setail kepimpinan Tunku dan Tun Abdul Razak adalah berasaskan stail kehidupan di London. Ini disebabkan terlalu lamanya Tunku di negara orang putih itu untuk lulus ijazah undang-undangnya. Bukannya beliau itu 'tidak pandai'. Beliau sengaja melambatkan peperiksaannya sehinggakan British memanggilnya pada satu hari; "Kamu cuma perlu memberitahu kami bila kamu bersedia mengambil peperiksaan untuk lulus." Ada orang menulis sejarah mengatakan 'Tunku seorang anak raja yang tolol'. Tetapi, dia tidak faham bahawa Tunku merupakan seorang Melayu tulin yang sudah mula-mula dulu memperbodohkan orang putih. Rupanya Tunku sengaja melengahkan kepulangannya ke tanah air kerana mahu merencana satu kumpulan yang akan pulang menegakkan satu semangat meraih kemerdekaan daripada British. Hanya Tunku yang layak meniupkan semangat itu kerana dia amat pakar menindih orang putih. Itulah kepakaran paling ulung yang ada padanya dan yang tidak ada pada Dato Onn. Memang Tunku amat pakar menindih orang putih. Tidak semestinya zaman muda yang begitu lama di negara orang putih itu membuatkan beliau hanya pakar menindih fikiran orang putih.

Kalaulah kita tahu siapakah zuriatnya dengan beberapa wanita Inggeris yang pernah ditidurinya. Apakah tidak mungkin, Britiain pada satu hari nanti dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang mempunyai kacukan darah Melayu dan layak bergelar Tunku?

Dengan kuasa Allah, rencana Dato Onn menuntut kemerdekaan telah semakin terpesong daripada matlamatnya, hasil jarum sulit orang putih. Semangat yang ditiupkannya pada tahun empat puluh lapan sudah semakin pudar kerana fikirannya sendiri yang semakin kabur dan pengamatan wawasannya yang semakin samar. Detik demi detik perjuangan Dato Onn telah diperbesarkannya untuk mewujudkan sebuah parti yang dianggotai ahli pelbagai bangsa. Sekaligus, semangat ketuanan Melayu tumpas, ditiup bayu yang bergerak laju kerana dikipas. Orang putih telah menggunakan pengaruh Sultan Johor untuk melembutkan wawasan Dato Onn. Golongan istana berjaya melembutkan Dato Onn agar semangat ketuanan Melayu itu diubah kepada semangat kemerdekaan orang Malaysia. Tetapi siapakah Sultan Johor yang bercerita tentang ketuanan Melayu sedangkan darahnya itu hanya tinggal sesudu dua sahaja darah Melayunya ? Bukankah kesultanan yang berdarah Temenggung itu pada satu ketika dulu mahu berdegil dengan gelaran Maharajah? Inilah muslihat yang tidak ketara pada Dato Onn. Inilah muslihat British sebenarnya. Mereka melihat penubuhan UMNO itu sebagai satu alat untuk melemahkan semangat juang perwira Melayu yang tulin dan yang berlandaskan ajaran Islam. Inilah muslihat yang tidak dapat dibaca oleh raja-raja Melayu yang memikirkan mereka setaraf dengan raja dan ratu England. Itulah fahaman mereka ketika itu kerana mereka berguru kepada orang putih juga.

- Dari Turki hingga ke Siam

Beralihlah kepimpinan UMNO yang satu ketika dulu dipimpin oleh orang Melayu berdarah Turki kepada seorang putra Melayu yang berdarah kacokan Siam. Tetapi, itulah gelaran yang diberikan oleh orang yang tidak faham akan sejarah. Bukankah Pattani Siam itu satu ketika dulu sebahagian tanah Melayu? Bukankah Pattani Siam itu merupakan wilayah yang mempertahankan ketuanan Melayu dan maruah bangsa Melayu hingga ke hari ini ? Bukankah Pattani Siam itu merupakan wilayah Melayu yang menganuti agama Islam dan menjaga keluhuran ajaran Allah ? Bukankah Patttani Siam itu dianggotai oleh orang Melayu yang sanggup menongkah arus menandingi pengaruh agama lain yang memerintah mereka daripada Bangkok? Gelaran Tunku berdarah Siam itu sebenarnya tidak pernah dicetusakan oleh Melayu marhain. Ia mula bermain di bibir Melayu apabila diungkit oleh seorang yang dilabel ultrar-Melayu; seolah-olah darahnya itu darah Melayu sejati.

Demikianlah jadinya kepada bangsa Melayu. Perjalanan Bangsa Melayu itu tidak pernah mahu dibuka oleh lipatan sejarah. Kepimpinan parti Melayu bernama UMNO itu yang mudah dibincangkan, bukannya perjuangan orang Melayu yang masih terkapai-kapai di bumi yang dipanggil Tanah Melayu. Kerana itulah muslihat pemimpin UMNO sepeninggalan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Husin Onn. Tunku telah bergadai golok untuk membiayai perjuangan Melayu menuntut kemerdekaan. Tun Abdul Razak yang merupakan sahabat Tunku di London telah menyambung keikhlasan Tunku itu dengan satu perjuangan yang amat menarik sekali. Dibukanya hutan belantara untuk menempatkan Melayu yang tidak berharta.

Tetapi siapakah yang sanggup ditempatkan di hutan belantara itu kalau bukan mereka yang mempunyai darah pejuang ? Di tempat jin bertendang itulah dihantar para askar pencen yang sanggup menyambung sisa-sia hidup mereka untuk berbuat kerja yang lain. Mereka diminta berjuang untuk negara sekali lagi, menjadi petani. Daripada pengalaman memikul senjata mereka bertukar kepada memikul cangkul dan tajak pula. Tetapi siapakah yang berpengalaman dalam pembukaan hutan ketika itu untuk menjadi pedoman kepada petani Melayu? Tun Razak telah mendapatkan khidmat Socfin Sendirian Berhad yang berpusat di Damansara untuk memberikan panduan kepada FELDA yang dipengerusikan oleh Arwah Tan Seri Taib Andak dan dibantu oleh Raja Alias. Sebagai pampasan, kerajaan melalui Menteri Perumahan Khaw Khai Boh, bersetuju membeli Damansara Estate kepunyaan Socfin itu untuk dijadikan perumahan elit negara. Kawasaan yang besar yang bermula daripada Bukit Persekutuan hinggalah ke Damansara Kim telah dibuka dan semua pokok getahnya ditumbangkan dan tanahnya diratakan juga. Tan Sri V.M Hutson yang ketika itu menjadi Pengurus Besar Jabatan Perhubungan Raya syarikat itu telah diberikan satu tugas lagi. Beliau telah diminta membuka Zoo Negara untuk menempatkan segala binatang yang ditangkap di Damansara Estate itu. Sekaligus, pembukaan ladang Damansara kepada penempatan manusia elit telah mendorong kerajaan membuka hutan di Ulu Kelang untuk menempatkan binatang yang tersisih oleh penempatan manusia itu. Di tengah-tengah kemunculan dua kawasan yang dimajukan itu muncul pula kawasan setinggan hingga ke hari ini.

Pemergian Tun Razak memberi ruang kepada Husin Onn menyambung perjuangan birasnya. Inilah Husin Onn yang menyambung perjuangan ayahnya yang mencipta UMNO dulu dan meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara. Tun Husin Onn telah memimpin UMNO dengan segala keazaman untuk menegakkan ketuanan Melayu mengikut cara yang ia tahu dan mengikut segala ciri-ciri yang dimahukan oleh orang Melayu. Bukankah kerana itu yang beliau keluar daripada UMNO dulu?

Berapa Melayukah Orang Melayu ?

Apabila orang UMNO berbincang akan ketuanan Melayu mereka kerap lupa siapakah orang Melayu itu sebenarnya. Peredaran zaamn telah menetapkan tidak ada satu bangsa di dunia ini yang mempunyai tabung darah di badan yang sama asalnya. Itu sebabnya pengutipan darah yang didermakan orang tidak dikelas-kelas mengikut bangsa. Ia dikelas mengikut jenis darah itu sahaja. Tidak juga kepada warnanya kerana darah hanya berwarna merah. Tidak kira darah raja ataupun darah mamak bendahara. Tidak kira darah orang Turki ataupun "darah keturunan Keling" dan Siam. Kini, dalam setiap keluarga Melayu itu sudah ada ahlinya yang berkahwin dengan bangsa lain. Kalau tidak masih hidup tentu ada ayng sudah lama ditelan zaman. Bukankah orang Baba dan Nyonya berasal daripada campuran lelaki China dan wanita Melayu. Bukankah keturunan Portugis berasal daripada campuran Portugis dan Melayu? Begitu juga denan orang perkampungan Cheti di Melaka di mana orang India datang meminang orang Melayu. Begitu juga orang yang menggunakan nama Van Houzen ataupun Van Hauten. Mereka adalah anak Melayu kacukan Belanda. Bagaimana pula Melayu yang bersekedudukan dengan penjajah British di Port Weld dan Pangkor di Perak ? Bagaimana pula Melayu di Sarawak ketika zaman Maharaja Brooke ? Apa pula kisah Melayu yang bersekedudukan dengan Sepanyol dan Amerika di kepulauan Melayu di Sabah dan Moro?

Orang Melayu itu adalah satu bangsa yang besar. Ia menjadi besar disebabkan percampuran darah yang mengalir dalam tubuh orang Melayu itu. Hakikat ini telah diselindung oleh lipatan sejarah kerana tidak ramai pengkaji sejarah yang rajin menyelidik dan menulis akan perubahan zaman kehidupan Melayu. Mereka lebih berminat menceritakan ketuanan Melayu kerana itulah yang dimahukan oleh saki baki raja-raja Melayu yang ada di negara ini. Inilah masayarakat istana yang satu ketika dulu diberi amanah menegakakan syiar Islam di kalangan orang-orang Melayu. Inilah muslihat British sekali lagi. Mereka menggalakkan raja-raja berfikiran sempit agar tidak disedarkan betapa besarnya bangsa Melayu itu. British takut, kalau orang Melayu sedar akan kebesaran asal usul mereka, lambat laun Melayu mampu menjadi satu bangsa besar di mata dunia. Apatah lagi dengan adanya hasil bumi yang cukup tinggi nilai kommersialnya dan keadaan negara yang jauh daripada simpangan gegaran gempa bumi dan lorong ribut taufan.

- Semangat Ketuanan Melayu Yang Dilembutkan

Proses menipu Melayu akan kegagahan bangsanya terus berjalan walaupun kemerdekaan sudah tercapai. Sejarah penipuan Raja Mudaliar dan pembabitan Si Kitur dalam sejarah Melayu Melaka berulang kembali. Semangat juang Melayu yang diwarisi oleh rakyat marhain di kampung dan desa dibiarkan luntur secara beransur. Selepas Tun Husin meninggalkan kuasa UMNO, negara dipacu bagai nak gila. Rakyat ditipu dengan seribu janji yang menggunung tingginya. Hanya membawa bulan ke riba yang tidak dapat dijanjikan.

- Pemikiran Melayu Diasak Untuk Berkorban.

Oang Melayu diasak setiap hari agar bersedia mengorbankan diri. Mereka diberitahu bahawa sudah sampai masanya Melayu menjadi satu bangsa yang maju. Untuk maju dalam dunia ini orang Melayu mesti mengiklankan dirinya dan menonjolkan negaranya. Kuasa besar perlu dicabar. Langit yang tinggi perlu dicakar. Lapangan terbang mesti dibuat besar. Litar lumba kereta mesti dibina walaupun yang berlumba bukannya orang kita. Semua perojek mega itu memerlukan belanja yang besar-besar dan pembuat projek itu mesti pergi kepada orang yang bergelar dan bernafsu besar juga. Orang Melayu diajar setiap hari, kalau mahu maju dan mejadi satu bangsa yang di hadapan, kita mesti sanggup berkorban.

Siapa Berkorban Untuk Siapa ?

Bertopengkan rentak menegakkan semangat ketuanan Melayu, semua orang Melayu tidak kira yang beragama Islam ataupun tidak, sudah ditipu hidup-hidup. Pengorbanan yang dimaksudkan ialah kesanggupan untuk mengorbankan minda agar senang diputar-belit. Setiap hari rentak itu digendangkan bertalu-talu, sambung-bersambug. Orang Melayu mesti berkorban. Individu Melayu tidak penting. Yang penting ialah parti.

Kalau parti lebih penting, apakah pentingnya maruah Melayu itu lagi ? Ini menunjukkan orang Mealyu mesti sanggup berkorban untuk UMNO kerana ketuanan Melayu itu sudah tiada lagi. Ia tinggal ketuanan UMNO sahaja. Inilah pengorbanan Melayu di alaf baru. Tetapi kalau ketuanan UMNO itu penting sangat kenapakah dua jawatan teratas dalam UMNO itu mesti diberahminkan ? Kenapakah dua jawatan teratas itu tidak boleh ditandingi oleh sesiapa yang mahu mencuba rasa menjadi presiden parti yang baru pula ? Sekali lagi orang Melayu diminta berkorban. Malahan dimestikan berkorban sekali lagi. Inilah nasib orang Melayu yang sanggup akur kepada pemerintah. Bukankah orang Melayu sudah diajar bahawa di mana bumi dipijak di sana langit dijunjung ? Putar belit pemikiran Melayu selepas Husin Onn melepaskan jawatannya, sudah dikisar laksana pasir dalam pembancuh simen. Ia berputar dan berputar menunggukan kemasukan simen dan kapur untuk dibancuh dengan air sehingga hancur pasir itu. Bila keluar ia menjadi bancuhan simen dan bukan bancuhan pasir sedangkan komposisi yang paling banyak ialah pasir dan bukannya simen ataupun kapur. Itulah yang dilakukan kepada pemikiran orang Melayu sambil meminta mereka untuk terus berkorban dan mesti terus berkorban. Laksana pasir tadi, ketuanan orang Melayu juga yang terkorban.

Sampai Bila Mesti Berkorban ?

Orang Melayu sudah lama berkorban. Sejak Dato Harun dipenjarakan orang Melayu berkorban agar semangat kepahlawanan tidak meletup dalam diri mereka. Mereka berkorban agar terus toleran dengan kepimpinan UMNO yang menjanjikan ketuanan Melayu yang sudah pun hilang. Mereka sanggup memendam rasa melihatkan seorang pejuang Melayu bernama Harun bin Idris dipenjarakan. Atas dasar menegakkan ketuanan Melayu mereka bersabar lagi. Kemudian mereka diajak berkorban lagi untuk menegakkan dinasti Melayu agar menjadi satu bangsa yang besar. Simpanan mereka di KWSP dipergunakan, tabungan mereka di Tabung Haji disalah-gunakan sehinggakan untuk pergi ke Mekah pun mereka sudah dimestikan berkorban lagi.

Namun, di sana-sini mereka menengadah ke atas mereka ternampak bangunan tinggi yang mencakar langit.Terdapat juga awan mendung yang tersenyum sinis kepada kebodohan mereka kerana pengorbanan itu. "Lihat dulu," kata awan. "Apakah sebenarnya yang dikorbankan itu?" Baru mereka sedar di manakah ketuanan Melayu itu. Kemudian baru mereka tahu ketuanan Melayu itu sudah lama pergi digantikan dengan ketuanan UMNO.

Tetapi, tunggu sekejap!!! Apabila Anwar Ibrahim dipenjarakan, timbul satu soalan baru. Apakah pengorbanan untuk UMNO itu akan diteruskan ? Untuk apa dan untuk siapa? Rupanya, pengorbanan yang berselindung di balik 'Parti itu penting dan Individu tidak penting' sebenarnya bertujuan menggantikan ketuanan UMNO pula. Sekali lagi orang Melayu ditipu dan terus tertipu. Ketuanan UMNO kini akan digantikan dengan ketuanan dinasti kodi dan orang Melayu akan dipukau menjadi kuli.

Tetapi, di sebalik setiap awan mendung ada kilat dan petirnya. Di situlah nanti akan muncul satu semangat baru orang Melayu. Akan timbul pula satu rentak juang yang baru.

Rentak juang tidak dapat digapai tanpa semangat juangnya. Kalau semangat juang itu tidak boleh digenggam dalam tangan masakan boleh digapai akan rentaknya. Semangat juang sesuatu bangsa hanya akan muncul setelah bangsa itu tertindas begitu lama. Ia memerlukan satu proses peram- memeram, tekan-menekan, tindas-menindas. Inilah impaknya proses tipu-menipu, curi-mencuri dan samun-menyamun. Semangat juang adalah laksana pancaran petir dari angkasa yang diikuti gegaran yang berdentum- dentam. Kalau setiap kilat ada kilaunya, setiap dentum ada dentamnya, tentunya setiap pengorbanan itu ada imbohannya.

Pengorbanan orang Melayu untuk menegakkan ketuanan Melayu selama ini sudah tergelincir dari sasarannya. Orang Melayu semakin tersisih, melencong jauh dari pegangan hidupnya. Kini, mereka disuruh mencari satu semangat baru lagi. Sedangkan orang Melayu itu sudah mempunyai satu semangat yang sudah lama terperam dan tertekan oleh ketaqwaan. Ia hanya menunggu masa untuk menyerlahkannya.

Semangat yang lama terperam adalah laksana haba yang tertanam lama di perut bumi. Kalau tidak ditangani dengan baik, ia akan meledak, sekuat-kuatnya dan menggegarkan. Hasilnya nanti turunlah lahar yang akan membakar dan terus menghanguskan apa jua yang dilandanya. Apabila sejuk, lahar itu menjadi sejenis baja asli kepada sesiapa yang bercucuk tanam di bumi yang meledak itu, akhirnya.

Apakah orang Melayu mahu bercucuk tanam di zaman IT ini? Ataupun sekadar tanam-menanam sahaja ? Apakah dan siapakah yang patut ditanam itu?

-MT-
Marhaintua@Hotmail.com
5.2.2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com