Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Suasana Lebaran Pencetus Minda 4 - YANG PEMBELOT DAN PEMBOLOT

YANG PEMBELOT DAN PEMBOLOT

Hari lebaran, baru masuk ambang ke empat. Jumlah persidangan parlimen rakyat seperti yang kita ceritakan dalam 'Bermulanya Parlimen Rakyat' pastinya sudah menjangkau seribu kali ganda. Keadaan tegang dilapurkan berlaku kerana kecanggihan teknologi maklumat dan sistem perhubungan masakini. Maklumlah, mengikut peraturan parlimen rakyat sesuatu issu yang mencurigakan boleh dirujukkan ke tempat lain untuk kesahihannya. Ada pula majils yang ditangguhkan pada siang hari dan disambung semula di tengah malam untuk membolehkan majlis mendapatkan nasihat undang-undang dari tempat lain. Yang lebih menarik lagi dalam issu ini, ada parlimen rakyat yang dianggotai hanya oleh kaum wanita dengan dipengerusikan ahli wanita veteran UMNO sebagai speakernya. Khabarnya topik hangat yang mereka sedang bincangkan ialah bagaimana menentukan Dr. Zaharah kekal sebagai ketua wanita dan menentukan Rafidah dan Nafsiah sama-sama diperamkan sahaja.

Rakyat Semakin Terdesak

Kita dapat rasakan betapa terdesaknya rakyat masakini. Tidak kira apa juga kaumnya dan agamanya. Bayangkanlah betapa setiap keluarga terpaksa memikirkan keperluan perbelanjaan di musim lebaran ini. Ia bermula dengan tahun baru di mana semua bentuk sewa dinaikkan kerana mengikut peredaran zaman. Kalau rumah itu disewa, harga sewanya dinaikkan lagi dan perjanjian sewa pula dibuat untuk setahun ke setahun sahaja.

-Belanja Anak Sekolah

Kemudian kita diserang kenaikan harga barang makan. Tidak ada satu barang makan yang tidak dinaikkan harganya. Ada barangan yang seolah-olah sama harganya sedangkan kuantitinya sudah pun dikurangkan tanpa disedari oleh para pengguna. Bungkusan barangan mungkin serupa tetapi isinya sudah berkurangan. Perkara ini menjejaskan persediaan untuk lebaran. Rakyat terpaksa berhati-hati memikirkan kemungkinan harga akan dinaikkan lagi. Tumpuan utama diberikan pada keperluan persekolahan. Harga buku-buku dan kelengkapan sudah naik lagi. Tambang bas pun begitu juga. Begitu juga dengan harga tusyen persendirian. Ibu bapa tidak punya pilihan. Mereka akan terus akur dengan perubahan harga itu semata-mata mahukan anak-anak terus belajar tanpa menganggu pemikiran mereka. Tetapi, apakah anak-anak boleh memahami itu semua? Sedarkah mereka bahawa keazaman ibubapa itu adalah satu pengorbanan yang besar? Kalau tusyen itu satu kemestian untuk menampung kelemahan pembelajaran di sekolah kerajaan, kenapakah perbelanjaan tusyen tidak dikecualikan daripada cukai pendapatan?

Disebabkan kenaikan harga barang makan dan perkhidmatan sosial, kos peruntukan wang-saku anak-anak pun naik juga. Ada ibubapa yang merengek dan mengurut dada kerana wang jajan terpaksa diberikan berlipat ganda. Tekanan ini amat dirasakan oleh ibubapa yang menguruskan anak-anak pergi ke kelas agama dan muzik ataupun taekwando, kongfu, silat dan judo; sebagai pelajaran tambahan. "Apa tidaknya," kata mereka. "Kalau di sekolah yang normal kita berikan jajan, di sekolah tambahan pun anak-anak perlukan jajan." Soalnya sekarang, apakah perkara ini diambil perhatian oleh Kementerian Pelajaran?

Untuk menambat hati anak-anak agar kuat belajar, kos pembelian mainan dan barang galakan pun meningkat juga. Bayangkan sekeping yo-yo sudah menjangkau lebih seratus ringgit untuk satu. Sedangkan kalau di zaman dulu sebuah gasing boleh dibuat secara percuma dengan kayu limau ataupun jambu batu. Betapa pula dengan program komputer yang sentiasa silih berganti baik dari segi perisiannya mahupun harganya? Anak-anak sekarang tidak lagi selesa dengan mainan guli ataupun kotak rokok lama. Semua itu tidak lagi canggih kepada mereka.

- Bajet anak-anak ke universiti

Kalau anak-anak sudah ke maktab ataupun universiti, lain pula bajet yang mesti disediakan. Bajetnya tidak berbunyi ratusan ringgit lagi. Semuanya sudah berbunyi ribu-ribuan. Bayangkan harga sepasang Jonson yang mencecah Seratus Enam Puluh, dan sepasang kasut berriadah berjenama 'Pawar' dikenakan harga yang serupa. Sedangkan di zaman dulu, Fungkiong hanya berharga tiga ringgit dan kalau jenis 'Bata' perlu ditambah sembilan puluh sembilan sen lagi. Bagaimana pula kos satu semester. Harganya sudah serupa dengan harga Volkswagen baru di Tahun Tujuh-puluh satu. Dengan lain perkataan, kos satu semester menghantar seorang anak gadis sunti ke universiti adalah sama dengan kos mengongkosi satu perkahwinan kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Begitulah tertekannya sepasang ibubapa kalau si anak tidak menyedari pengorbanan mereka itu. Mereka terhiris kalau si anak enggan ke universiti selagi tidak diberikan sebiji 'Saga' ataupun 'Wira'. Paling haprak mereka mahukan jenis 'hatchback' sebagai simbol keelitan familinya. Sedangkan pembelian 'keperluan' itu sebenarnya boleh mematahkan tulang belakang si bapa.

Apahkah salah ibu yang mengandung?

Kalau direnungkan pula, bagaimanakah si anak tidak meletakkan harga pada kemahuan mereka. Umpan kata-kata tidak lagi memadai sekarang ini. Mereka mahu membandingkan status mereka dengan anak-anak yang berada. Inilah anak-anak yang datang daripada keluarga para kroni, golongan YB dan para pucuk pemimpin sebuah parti yang satu ketika dulu ditubuhkan untuk kepentingan bangsa Melayu. Selera anak-anak muda yang semakin canggih ini sememangnya amat bertentangan dengan selera si ibubapa ketika mereka ke universiti dulu. Ketika itu kapcai adalah lambang keluksarian. Kalau ada sebiji kereta itu sudah menjadi lambang kemewahan yang menjelirkan biji-mata, walaupun kereta itu berjenis 'mini minor', 'Fiat 124' ataupun pilihan 'Waksegan'.

Bayangkanlah pakaian anak-anak bila ke menara gading sekarang ini. Kos pakaian mereka sahaja sudah mencecah ratusan ringgit yang mungkin sama dengan gaji bulanan seorang penghantar 'dispatch'. Bagaimana pula dengan 'walkman' di dalam dompet bertali dan sebiji telefon bimbit yang perlu ditayang ke sana ke sini? Ironisnya semua kemewahan ini tidak pula dipertontonkan oleh anak-anak muda dari kaum lain. Mereka berpakaian yang paling 'simple' dan tanpa sebarang make-up bagi golongan hawanya. Mereka lebih selesa dengan keadaan yang bersahaja kerana cita-cita mereka adalah menjadi fokus yang utama. Minat yang sungguh bernilai ini tidak pula diikuti oleh majoriti anak-anak Melayu. Bukannya mereka tidak tahu ataupun tidak menyedari hakikat itu. Ramai yang faham akan kepentingan prioriti itu tetapi, mereka kerap dimanjakan berlebih-lebihan oleh ibu dan bapa ataupun ahli keluarga yang lebih tua. Kemanjaan yang berlebihan inilah yang menyebabkan anak-anak muda kita lupa daratan. Mereka kurang arif membezakan yang mana kaca dan yang mana intan.

- Kos sara hidup yang tinggi

Demikianlah kos sara hidup sekarang ini. Ia semakin meningkat tanpa ada tanda akan turun. Setiap kali sesuatu kos itu naik rakyat terus termenung memikirkan bilakah harga itu akan dinaikkan lagi. Ini disebabkan kenaikan harga itu tidak lagi bagi tempoh panjang seperti dulu. Usaha menaikkan harga perkhidmatan ataupun barangan sudah semakin menjadi-jadi. Pihak yang berkuasa seolah-olah kehilangan hak yang mutlak untuk membendungnya. Rakyat menjadi bingung lagi apabila diberitahu bahawa sesuatu barang itu perlu dinaikkan harga mengikut taksiran pihak kerajaan. Kenapakah ini yang terjadi? Kenapakah pihak kerajaan yang membuat sesuatu pengumuman kenaikan harga dan bukan pihak yang perlu kenaikan harga itu? Bagaimanakah rakyat boleh memprotes kenaikan harga barangan kalau pengemumannya dibuat oleh pihak kerajaan?

Setiap langkah keluar rumah memerlukan perbelanjaan yang besar. Bermula daripada kos senggara kenderaan hinggalah kepada harga tol yang semakin meningkat dan tidak kelihatan menurun harganya. Begitu juga dengan kos membaikki kereta. Harganya tidak pernah mahu turun disebabkan para pekerjanya semakin ramai datang daripada negara asing. Apakah itu satu alasan yang munasabah sedangakan anak-muda yang ditahan di penjara dan pusat serenti semakin bertambah? Apakah didikan yang diberikan pada mereka di tempat tahanan? Kenapakah kerajaan membazirkan wang rakyat menahan mereka semata-mata untuk membuat tahi mata?

- Konspirasi Sistem Penjara

Kita pernah menulis betapa perlunya kerajaan mengkaji sisem kehakiman negara. Terutama sekali cara menghukum pesalah yang membuat kesilapan kecilan. Kenapa masukkan mereka dalam penjara sedangkan mereka boleh dimestikan membuat kerja amal sebagi gantinya? Kenapa sumbat mereka dalam bilik besi kalau mereka boleh dimestikan mempelajari sesuatu yang boleh memperbaiki peribadi? Malahan, sistem tahanan dalam penjara secara panjang pun harus dipertikaikan. Itu semua adalah sistem warisan penjajah dulu.

- Sistem Menebus Dosa

Kerajaan sepatutnya mengkaji kemungkinan para banduan menebus dosa dengan cara menghadiahkan anggota badan mereka kepada masyarakat yang memerlukannya. Kalau seorang banduan sanggup menderma darahnya secara berjadual sepanjang tempoh tahanan tertentu, ia harus dikira sebagai sebahagian pampasan ke atas kesalahannya. Begitu juga kalau seseorang banduan itu mendermakan sebiji mata, sebiji buah pinggang ataupun sebahagian anggota badannya yang boleh dipindahkan kepada penerima yang amat memerlukannya. Semua itu harus diberi nilai untuk membolehkan banduan itu mempercepatkan tempoh tahanannya.

- Banduan sebagai hero rakyat

Sesaorang banduan yang sanggup menderma darah ataupun sebahagian anggota badannya ke arah kemajuan kesihatan negara harus dianggap sebagai seorang hero rakyat. Di negara maju kita telah melihat betapa ramai banduan yang menjadi hero rakyat tetap perkara ini tidak pernah berlaku di Malaysia. Kenapa? Apakah semua banduan kita terdiri daripada golongan sampah masyarakat?

Di Amerika ramai peninju terkenal berasal daripada banduan. Seorang pendakwah terunggul di Amerika adalah seorang bekas banduan yang bernama Malcolm X. Beberapa magnum opus yang ditulis oleh beberapa penulis barat dilakukan dalam penjara oleh banduan juga.

Ketika Captain Cook membuka Australia dia telah membawa bersamanya beratus banduan daripada England. Begitu juga dengan pelayar barat yang lainnya. Mereka melayari semudera yang luas dengan tajaan raja-raja dan ketua agama mereka dengan menggunakan para banduan. Apabila berjaya dengan pertemuan sesuatu tanah jajahan, para banduan itu dilepaskan dan dibiarkan untuk memulakan hidup baru di bawah panji-panji raja mereka.

Masalahnya pihak kerajaan pimpinan MAHAFIRAUN tidak memikirkan bahawa Nelson Mandela adalah bekas banduan juga.

Apabila pembolot menjadi para pemimpin kita

Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah disebabkan kekurangan daya usaha yang gigih serta serius daripada pihak kerajaan untuk menanganinya. Sejak MAHAFIRAUN memerintah negara ini stail pengurusannya mengenai masalah kehidupan rakyat marhain adalah mengikut stail 'crisis management'. Setiap tindakan hanya dibuat apabila tercetusnya sesuau masalah yang menekan rakyat. Masalah yang serupa akan sentiasa timbul mengikut putaran musimnya dan kaedah penyelesaian adalah serupa. Semua tindakan yang dicadangkan menerima pablisiti yang meluas tetapi kesan tindakannya jarang sekali dianalisa.

Kita kerap lihat betapa beberapa projek sengaja dibuat untuk menguntungkan beberapa pihak pilihan pucuk pimpinan parti. Pegawai tinggi kerajaan yang sepatutnya mempunyai autonomi membuat keputusan mutakhir hanya dapat berbuat demikian setelah mendapat pengesahan menteri yang beranggungjawab. Inilah realiti kehidupan kita sekarang ini. Kita sudah menjadi hamba abdi pihak yang menggelar diri mereka Yang Berhormat.

Ini bukan tohmahan sembarangan. Cuba lihat keadaan di ibukota Kuala Lumpur. Setiap hari lebaran didahului dengan pelbagai kotak iklan yang berwarna warni terpasang di tiang lampu di bandaraya itu. Cuba bayangkan logika pemasangan iklan itu dan bandingkan berapakah komputer peribadi yang boleh disediakan di merata bandaraya untuk anak-anak keluarga miskin dan yang tidak berupaya membelinya? Apakah faedahnya meletakkan kotak iklan yang berlampu yang berharga ribuan semata-mata untuk mengalu-alukan pelancung luar? Bukankah elok wang sebanyak itu disalurkan untuk bahan pelajaran anak-anak warga kota secara percuma? Tidak cukupkah sambutan kita itu dilakukan secara memasang lampu kerlipan di bangunan tinggi, di tiang api dan di celah dedaun yang berjuntaian? Bukankah sudah tercatat kata-kata aluan dalam pelbagai bahasa di stesen bas, teksi, keretaapi dan LRT? Bagaimana pula dengan jejala api yang dipasang dipangkal pokok-pokok? Dimanakah ilmu logika para pemikir bandaraya itu sehinggakan sanggup membuat segala keindahan semata-mata untuk memuaskan nafsu? Siapa pula yang mendapat tender memasang lampu-lampu dungu itu?

Bila Pembolot terus membelot

Demikianlah secebis kisah betapa negara ini ditadbir oleh orang politikk yang sekian lama gemar membolot. Apa juga yang mendatangkan faedah dan kepintingan diri dan para kroni akan dimulakan dengan bertopengkan kemajuan ataupun keceriaan. Sedangkan kebanyakan projek itu tidak ada nilai sosial lansung kepada penduduk setempat. Ia hanya memberi nilai kekayaan kepada para kroni yang bersekongkol untuk berkolusi. Bayangkan apabila sekumpulan pekerja bandaraya datang ke rumah anda untuk memotong sebatang pokok yang hampir tumbang dengan menaikki sebuah Pajero ataupun kenderaan yang mahal harganya. Sedangkan di negara maju, kenderaan semahal itu digunakan oleh para menteri dan ketua jabatan kerajaan.

Fikirkan apabila seorang pegawai agama menggunakan kenderaan kerajaan yang beratus ribu harganya sedangkan kenderaan itu tidak setimpal dengan jawatannya. Cuba hitung berapa ramaikah bilangan pegawai penguatkuasa yang mundar-mandir di kotaraya Kuala Lumpur semata-mata untuk menentukan jalanraya bersih dan tiada kenderaan yang diletakkan sembarangan. Di waktu yang sama kita boleh lihat berpuluh penagih dadah terlantar di sepanjang lorong yang berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman. Bagaimana pula dengan ratusan pelacur dan pondan yang duduk terkangkangg di siang hari di tangga-tanga bangunan kedai di Lorong Haji Taib dan di kawasan berdekatan dengannya? Keadaan yang serupa dapat dilihat juga dipersekitaran Bukit Bintang dan di persekitaran Jalan Petaling dan Pudu. Perhatikan pula bilangan pengemis yang datang dari luar negara yang menjejeri banyak anak-tangga dan jejantas di ibukota.

Kenapakah ratusan pegawai penguatkuasa itu tidak digembelingkan untuk membasmi segala sampah masyarakat itu? Kenapakah semua masalah yang menghimpit kehidupan rakyat tidak pernah diketengahkan kepada MAHAFIRAUN?

Kenapakah masalah masyarakat seperti ini tidak pernah dilapurkan kepada MAHAFIRAUN oleh ahli Kelab Ampusana dan Kelap Ampusini untuk kebaikan kita bersama? Apakah ahli kelab itu tidak sedar bahawa di antara seluruh manusia yang terjebak dalam maksiat yang ditakrif sebagai sampah masyarakat itu, ada kemungkinannya seorang dua datangnya daripada keluarga mereka juga?

Apakah MAHAFIRAUN sendiri tidak pernah mendengar bagaimana tempat penghalang sampah di sungai kerap menjerat mayat-mayat sampah masyarakat jenis itu? Apakah MAHAFIRAUN masih taksub dan tertipu bahawa orang yang dijumpai mati di tempat penahan sampah itu sebenarnya "lemas kerana keletihan mengangkut radio, peti ais dan peti TV yang dicampakkan oleh orang Melayu yang beragama Islam di negara ini?"

MAHAFIRAUN akan terus taksub dengan berita bohong itu selagi dia tidak mulakan membaca majallah seperti WASILAH dan DETIK dan akhbar 'picisan' seperti HARAKAH. Selagi dia tidak mengubah selera membacanya dia akan terus tertipu oleh para pembelot yang terus mahukannya membolot khazanah negara.

Tetapi, apakah betul MAHAFIRAUN suka membaca?

-MT-
11.1 .2k




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com