Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Suasana Lebaran Pencetus Minda 5 - Antara Tukang Canang dan Tukang Karut

Dalam setiap majlis perdebatan yang tidak formal kita dapati watak 'tukang canang' dan 'tukang karut' sebagai watak-watak yang penting untuk memeriahkan sesuatu majlis. Perkara ini sudah menjadi satu tradisi orang Melayu sejak zaman kesultanan Melayu lagi. Tukang canang adalah satu watak yang mengungkit sesuatu perkara yang nampak remeh untuk dijadikan satu issu yang serius. Tukang karut pula adalah satu watak yang mengemukakan sesuatu issu yang kelihatan tidak logik hinggakan ia dibincangkan dan menjadi logik. Di zaman raja-raja Melayu dulu, ciri-ciri perwatakan dua peranan ini dimainkan oleh para juak dan khadam istana. Para juak itu selalunya merupakan orang kepercayaan Datuk Bendehara ataupun orang-orang besar di istana. Kadangkala peranan tukang canang ini dimainkan juga oleh gundek-gundek raja.

Budaya Warisan

Sama ada disedari ataupun tidak, peranan yang dimainkan oleh watak tukang canang dan tukang karut itu memang lama diamalkan oleh parti politik terbesar di negara ini sejak sebelum negara mencapai kemerdekaannya. Ia sudah mejadi satu budaya warisan yang tidak akan pudar dan dijangka satu hari nanti akan menular ke dalam parti lain yang dianggotai oleh orang Melayu. Mungkin setakat ini parti politik seperti PAS, PRM dan KeADILan belum menampakkan gejala-gejala ini. Namun, saya yakin ia akan menyerap masuk secara senyap-senyap dan hanya menunggukan masa yang sesuai sebelum ciri-ciri ini terserlah.

Walaupun nama kedua-dua pelaku watak ini amat jauh bezanya, peranan yang mereka mainkan adalah hampir-hampir sama sahaja. Mereka sebenarnya melakukan sesuatu itu dengan menggunakan elemen humor di dalamnya. Dengan perkataan mudah, mereka memainkan peranan tukang lawak yang membawakan ciri-ciri kelakar dalam kelakuan mereka. Peranan tukang lawak ini amat ketara dalam bangsawan Melayu lama. Malahan ia merupakan satu peranan penting dalam filem Melayu dan juga filem Hindustan.

- Ciri-ciri lawak dalam sarkas dan teater

Di barat, ciri-ciri lawak masih ketara dalam permainan sarkas. Ia merupakan lanjutan peranan demikian yang ditonjolkan dalam permainan teater. Tetapi, dalam dunia sarkas, seorang pelawak merupakan manusia yang paling berpengalaman dalam keseniannya. Kalau pelawak itu berada dalam permainan 'trapeze' peranannya itu merupakan satu peranan yang paling susah sekali yang tidak mudah dilakukan oleh pelakun yang lain. Begitu juga dalam dunia teater, peranan seorang lawak adalah penting untuk menghidupkan sesuatu suasana untuk menyelamatkan sesuatu keadaan yang muncul tanpa dijangka. Itu sebabnya seorang pelawak itu dikehendakki menghidupkan sesuatu majlis bangsawan ketika tirai pentas dilabuhkan untuk memberi masa penukaran latar-belakang (prop) babak yang akan dipertontonkan.

Kini, budaya lawak semacam ini sudah pun menjadi lebih canggih lagi dengan munculnya 'stand-up comedianne' di negara maju terutama sekali di Amerika. Mereka yang berjaya menjadi 'stand-up comedienne' ini merupakan golongan artis yang kaya raya dan terpaksa menggunakan khidmat pasukan khas untuk menjaga keselamatan di mana jua mereka berada.

Oleh kerana lumayannya pulangan usaha seorang pelawak seperti itu, akhirnya wataknya itu menjadi satu profession yang amat sukar kerana tandingan yang sengit. Justru, ada artis yang sanggup menjadi pelawak jenis 'ventriloquist' dengan menggunakan anak-patung sebagai bahan prop aksinya. Ventriloquisme adalah satu bidang lawak di mana seseorang itu boleh mengarahkan suaranya keluar seolah-olah suara itu datang daripada orang lain. Dengan menggunakan patung yang dikendalikan pergerakan mulut dan anggotanya, seorang pakar ventrilokis mampu menarik minat orang lain untuk menyaksikan aksinya yang kadangkala memang menakjubkan. Kecekapannya membentuk suara kepada dua perwatakan mampu menghidupkan lakonanya. Satu suara untuk dirinya dan satu suara untuk patung yang dimanipulasinya, menjadikan penonton terpaku dengan lakonannya itu.

- Peranan Lawak dalam Politik

Ciri-ciri lawak kini sudah menjadi bahan yang ditonjolkan orang politk untuk menarik perhatian ramai. Orang yang menggunakan ciri-ciri ini diberikan gelaran mengikut cara pelawak di sarkas. 'Badut' adalah gelaran yang amat bersesuaian bagi pelawak jenis ini. Keupayaannya memainkan peranan badut itu selalu membuatkan orang tertarik kepada ucapannya walaupun intipati ucapannya itu tidak pun menyerlahkan satu kepimpinan diri yang meyakinkan orang yang lebih arif dalam dunia politik. Kerana populariti yang tercetus dari perawatakan badut yang dibawanya itu, ia dapat digunakan oleh pucuk pimpinan parti untuk satu tugas tertentu yang menguntungkan matlamat parti itu akhirnya. Namun, seorang badut politik selalunya amat mudah dimanipulasi oleh golongan tertentu dalam pucuk pimpinan parti untuk memenuhi nafsu individu tertentu sahaja. Laksana pelawak 'one-man show' yang mempunyai harga yang tinggi dalam profesionnya, seorang badut politik pun mempunyai nilai yang tinggi juga bagi tugas-tugas manipulasi dan konspirasi politik.

Rumusan Awal:

Dengan hal yang demikian, maka jelaslah dalam arena politk Melayu kini adanya beberapa watak yang memainkan peranan tukang canang dan tukang karut yang dapat mengabui pemikiran orang Melayu. Watak badut ini semakin jelas sekarang ketika UMNO sedang rancak mengorak langkah untuk menentukan siapa yang akan memegang jawatan penting dalam pucuk pimpinan parti.

Keputusan Konsensus Majlis Tertinggi UMNO

Tercetusnya berita pencapaian konsensus oleh MT UMNO tentang dua jawatan tertinggi parti yang tidak boleh dipertandingkan, memberi ruang yang luas untuk watak badut muncul secara menyerlah dalam masa yang terdekat ini. Perwatakan badut ini akan memainkan peranan berasingan sebagai tukang canang dan juga sebagai tukang karut. Hanya seorang yang betul-betul pintar dalam kesenian 'lawak bodoh' sahaja yang mampu membawakan dua watak yang berbeza itu dalam satu peranan. Untuk menilai pentingnya peranan badut itu kita perlu menilai apakah kriteria yang perlu dipenuhi untuk mencetuskan satu suasana yang provokatif dalam issu pencapaian konsensus itu.

A) Bantahan Majoriti

Kita boleh menjangkakan munculnya satu pergerakan yang akan membantah keputusan konsensus MT itu daripada akar umbi parti. Pada satu ketika dulu MT pernah membuat pelbagai keputusan yang memeranjatkan dan mengarahkan akar umbi menerima keputusan konsensus tersebut. Keangkohan ini adalah berdasarkan konsep 'ingatan seratus hari' yang mengikut UMNO merupakan satu konsep ataupun budaya orang UMNO yang akan melupakan sesuatu issu yang provokatif dalam jangkamasa 100 hari. Kerana percayakan budaya ini makanya kita lihat, MT telah meledakkan bom provokatif itu lebih awal lagi. Ada orang tertentu dalam pucuk pimpinan yang menjangkakan orang Melayu akan berlembut ketika UMNO bersidang mulai 11 Mei nanti. Secara kebetulan pula tarikh 'sebelas' itu menepati ketaksuban seseorang yang berpengaruh dengan angka dua sebagai tarikh keramat untuk menentukan kejayaan sesuatu kerja.

- Kata keramat yang dinantikan

Sesaorang yang akan menjadi dalang membantah keputusan konsensus itu dijangka menggunakan seorang badut politik ataupun beberapa orang lain untuk memainkan peranan tukang canang dan tukang karut. Pada tahap awalan, si dalang ini tidak akan menonjolkan dirinya secara jelas menyokong pergerakan membantah keputusan itu. Tetapi, apabila pergerakan majoriti yang menentang itu berjaya mengaut momentum, ia pasti akan menonjolkan dirinya dan berkata: "Saya bersedia akur dengan kehendak majoriti untuk bertanding jawatan presiden parti".

Pengakuan dalam bentuk kata-kata seperti di atas akan menjadi satu pertanda di kalangan semua perwakilan parti betapa konsensus MT itu akan disagat dan digugat.

Kita boleh menjangkakan apabila muncul sahaja satu suara 'keramat' yang sanggup bertanding jawatan peresiden parti, maka akan terbuka luaslah nanti pencalonan bagi jawatan timbalan presiden pula. Di sinilah nanti bermulanya satu sinario yang paling menarik dalam sejarah politik Melayu moden.

B) Siapakah yang berani bersuara keramat?

Kini sudah tersiar berita betapa Paklah sanggup bertanding jawatan timbalan presiden parti itu. Dengan lain perkataan, beliau telah melanggari apa yang dikatakan satu pencapaian konsensus. Apakah muslihatnya yang sebenar? Kita boleh mengkaji perkara ini melalui dua sudut:

(a) Paklah sedar bahawa dia harus memikirkan sentimen majoriti ahli UMNO yang merasa terhina dengan keputusan konsensus itu;

(b) Paklah mungkin memainkan satu lakonan mengikut skrip yang disediakan. Keputusannya untuk disaingi oleh calon lain adalah satu taktik menarik perhatian ramai agar mencabarnya secara terbuka sambil melupakan cabaran sesiapa terhadap jawatan presiden parti.

Kalau dua sudut ini boleh diambil-kira maka kita boleh menjangkakan munculnya beberapa ramai badut politik di beberapa bahagian UMNO di seluruh negara. Peranan mereka akan dipermudahkan lagi oleh tukang canang yang memang ramai di kalangan penulis cerita politik dan juga yang bertugas di media elektronik di negara ini. Perkara ini akan lebih menarik lagi apabila munculnya beberapa buku politik yang ditulis oleh apa yang dikatakan sebagai 'pakar analisa politik Melayu'.

Dalam apa juga keadaan pun, seandainya kedua-dua sudut di atas itu diterima pakai, bererti Paklah akan menyerlahkan kebolehannya menjadi seorang badut politk juga. Perkara ini sebenarnya tidak ketara sangat selama ini kerana jawatan Paklah di dalam parti tidak memberi ruang untuknya menonjolkan bakat seorang badut itu. Tetapi kini, dengan pemergian presiden parti ke luar negara untuk bercuti dan bertugas di luar, bakat yang ada kepada Paklah akan semakin menonjol hinggakan Paklah akan terkenal mempunyai kebolehan sebagai pelawak ventrolokis juga.

Sinario politik Melayu akan menjadi gamat sepeninggalan MAHAFIRAUN ke luar negara. Paklah akan menjadi tertekan dalam menjalankan tugasnya sebagai timbalan perdana menteri yang akan kerap disagat oleh ketuanya melalui 'tele-conference' tentang situasi dalam negara. Kelembutan peribadi Paklah yang terkenal itu akan menjadi satu penghalang untuk menampakkan imej 'kental' dalam menangani masalah negara yang memerlukan ketegasan. Perkara ini lebih menekan apabila MAHAFIRAUN akan terus mempengaruhi keputusan yang akan dibuatnya itu. Lantas Paklah akan melatah dan tanpa disedarinya beliau akan menyerlahkan ciri-ciri perwatakan badut politik yang dinantik-nantikan oleh bakal calon yang akan menandinginya.

- Permainan Wayang Kulit

Kita boleh menjangkakan bermulanya satu permainan politik sebaik sahaja MAHAFIRAUN terbang ke luar negara. Memang menjadi pengetahuan umum MAHAFIRAUN tidak pernah membenarkan sesiapa yang memangku jawatannya itu berupaya menonjolkan diri ketika beliau tidak berada di dalam negeri. Malahan, MAHAFIRAUN amat terkenal dengan kepintarannya mentadbirkan negara secara kawalan 'remote' laksana seorang dalang dalam permainan wayang kulit juga.

Salah satu kawalan 'remote' itu bertujuan untuk mengesan dan menganalisa sambutan ahli UMNO terhadap konsensus MT. MAHAFIRAUN mahukan jawatan presiden tidak dipertandingkan. Kerana itu dia tidak akan peduli sangat samada jawatan timbalan presiden itu mengikut keputusan yang sama ataupun tidak. Kelantangan Paklah yang sanggup disaingi dalam pertandingan terbuka, memberi satu ruang untuk menilai apakah sebenarnya bahaya yang akan dihadapi bagi saingan jawatan presiden parti? Kerana itu MAHAFIRAUN sudah merancang untuk berada di seberang laut. Dia mahukan perkara ini diselesaikan secara menonjolkan sekumpulan badut. Sebagai seorang pakar silap mata politik Melayu, MAHAFIRAUN tahu akar umbi parti tidak akan membiarkan jawatan presiden itu dibiarkan tanpa tandingan untuk kali ini. Lapuran awal daripada pasukan risik telah menunjukkan bahawa akar umbi akan bertegas kali ini. Mereka akan membuat pelbagai rencana untuk menamakan beberapa calon untuk melawan MAHAFIRAUN.

- Peranan badut untuk menyelamatkan MAHAFIRAUN

Adalah dijangkakan beberapa orang tukang canang dan tukang karut akan menonjolkan diri mereka untuk menentukan aar jawatan presiden parti tidak dipertandingkan. Di waktu yang sama majoriti akar umbi akan menentang sikap badut-badut itu dan mula mencadangkan beberapa nama calon mereka. Kalau calon ditonjolkan secara berlebihan, ia akan memudahkan MAHAFIRAUN untuk menang. Lagi ramai calon yang ditonjolkan menentangnya lagi mudah beliau memenangi pertandingan itu kelak. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku akan muncul satu jentera dalam parti yang cuba menyelaraskan pertandingan itu agar MAHAFIRAUN ditentang oleh hanya seorang calon sahaja. Buat masa ini nama yang disebut-sebut untuk menandingi MAHAFIRAUN ialah Tengku Razali yang malangnya telah diberi pelbagai nama lain seperti Ku Li, Kuca dan ada beberapa nama lagi yang eloklah tidak disebutkan di sini.

- Keupayaan Menentang MAHAFIRAUN bagi jawatan Presiden parti

Kalau ditaksir keadaan sentimen akar umbi UMNO, peluang seseorang calon mengalahkan MAHAFIRAUN bagi jawatan presiden parti adalah amat cerah sekali. Syarat yang utama ialah orang itu haruslah berwibawa dan mempunyai rekod prestasi yang bersih. Dengan lain perkataan, dia mestilah merupakan seorang pemimpin yang tidak ada kaitan dengan sebarang kes rasuah yang sudah pun menghantui beberapa pemimpin UMNO yang ada. Jika perkara ini dijadikan kriteria penting, kita dapati ramai pemimpin politik yang sedia ada mampu menggugat kedudukan MAHAFIRAUN.

Mungkin untuk sekian lama MAHAFIRAUN menyangkakan tentangan yang hebat ialah daripada Ku Li yang mungkin mahu menebus malu, dan mungkin sudah menyediakan satu jentera yang lebih berkesan. Lagipun mana mungkin Ku Li melawan Pak Lah yang pada satu ketika dulu orang bawahannya?

Di sebaliknya pula Ku Li mungkin tidak lagi berminat mencabar MAHAFIRAUN dalam keadaan sekarang. Beliau mungkin mahu mengambil satu sikap baru seperti yang dilakukan oleh pemimpin veteran Jepun. Ku Li mungkin mencadangkan satau nama untuk melawan MAHAFIRAUN dalam peperangan politik secara proksi. Menggunakan seorang proksi dalam pengendalian sebuah parti adalah mainan politik yang normal. Di Singapura, kita dapati Lee Kuan Yew melepaskan jawatannya dengan mencalonkan orang pilihannya sebagai pengganti. Di waktu yang sama beliau anak lelakinya diberikan jawatan penting dalam kabinet baru sebagai pemimpin pelapis repablik itu. Perkara yang sama pernah dilakukan oleh Soharto ketika melantik J.B. Habibie sebagai orang pilihannya. Begitu juga yang telah dilakukan oleh Puan Aquino apabila menyokong Jeneral Ramos sebagai pengganti beliau menjadi presiden Filippina.

Sikap ketiga-tiga pemimpin negara jiran kita itu adalah bersangkutan pengganti jawatan ketua negara dan bukannya bagi jawatan terulung parti yang memerintah negara. Inilah perbezaan yang ketara. Kalau Ku Li mahu melantik seorang proksi menentang MAHAFIRAUN ia merupakan satu tenaga baru untuk menerajui negara seandainya calon proksi itu berjaya.

Di samping itu kita harus sedar betapa rakyat dan akar umbi parti amat bencikan MAHAFIRAUN atas beberapa sebab yang termasuk issu DSAI. Tetapi, rakyat pada keseluruhannya tidak mempunyai kuasa memangkah kertas undi yang menentukan siapa yang akan menjadi presiden parti. Di sinilah pentingnya tukang canang dan tukang karut yang akan ditonjolkan oleh jentera pucuk kepimpinan UMNO.

Inilah masalah besar yang perlu dihadapi oleh sesiapa yang berminat menentang MAHAFIRAUN. Ku Li dan orang-orangnya tentu sudah mencongak apakah implikasinya kalau Ku Li bertanding melawan MAHAFIRAUN. Kita menjangkakan MAHAFIRAUN akan ditentang habis-habisan oleh beberapa individu yang bertekad berlawan dalam satu pertandingan kalah-mati, kerana kekalahannya bererti menghumbankan diri sendiri ke jurang kesepian yang tidak ketahuan dalamnya. Dengan hal demikian, Ku Li akan merasa dirinya tercabar. Dia tidak boleh benarkan muuculnya situasi demikian kalau dia berhasrat untuk menjadi pemimpin parti satu hari nanti. Ku Li terpaksa mengambil tindakan berani sebelum terlambat.

KESIMPULAN

MAHAFIRAUN sedang berada di satu kedudukan yang rapoh. Beliau sedang tertekan dan kebingungan tentang cara paling cocok untuk menentukan satu kemenangan mutlak. Beliau kelihatan yakin kerana sokongan padu para juaknya yang mahukan beliau terus berkuasa kerana mereka takut kehilangan pengaruh kalau beliau disingkirkan. Kini, sudah muncul satu kumpulan di dalam pucuk pimpinan parti yang mahukan MAHAFIRAUN pergi samaada secara terhormat ataupun secara keji.

Jelas, MAHAFIRAUN menghadapi rintangan besar yang memaksa beliau menambah bilangan badutnya untuk menjalankan peranan sebagai tukang canang dan tukang karut. Memang dia sudah lama mengagak akan berlakunya situasi ini. Kerana itu dia pernah melantik seorang lepasan diploma media massa menjadi timbalan menteri. Kini, si badut itu terpaksa melompat jauh bila ditendang para pengundi. Kemudian ada seorang badut lagi yang ditendang pengundinya juga. Tetapi, nasibnya baik kerana diberikan dahan baru untuk bergayut dan terus beraksi. Tinggal beberapa kerat badut lagi yang dijangka lebih agresif memainkan lawak bodoh dan lawak sombong mereka. Kejayaan rencana ini memerlukan belanja besar sekali lagi. Dalam politik, para badut memerlukan belanja besar untuk menyumbat tembolok pihak yang mahu dipengaruhi. Ini memerlukan pembantu-pembantu yang licin gerak gerinya dan mungkin ramai lagi yang muda, menggiur dan licin dahinya. Pembantu kumpulan yang terakhir itulah yang penting sekarang ini kerana mereka dijangka dapat menarik minat pihak yang mudah pecah air-liur apabila didekati. Apatah lagi kalau diraba dan dirapati?

Mampukah badut-badut ini memainkan peranan mempertahankan jawatan presiden untuk tuanguru mereka? Apakah peranan tukang canang dan tukang karut itu dapat mereka lakonkan dengan jayanya? Mungkinkah nanti mereka bertukar peranan dan memainkan aksi tukang hamput dan tukang carut pula?

-MT-
11.1 .2k




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com