Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Suasana Lebaran Pencetus Minda 6 - LOMANG PANEH, GHONDANG PODEH

Suasana lebaran yang rancak di kampung dan desa kini beralih tempat menjalar ke kota. Sejak semalam, jalanraya penuh sesak menampungi kenderaan yang berbondong-bondong meninggalkan kampung pendalaman yang semakin kosong. Tinggallah warga tua di kampung dan desa dengan seribu kenangan bilakah rumah di kampung itu hingar-bangar lagi dengan pengunjung dari kota. Sememangnya pengalaman 'balik kampung' adalah satu pengalaman yang indah yang tidak ada bandingannya. Ia tidak berubah dari satu tahun ke setahun walaupun sudah berlaku peredaran zaman.

Perjalanan yang selalunya memakan masa itu memberikan ruang kepada setiap famili berbincang dan bersembang-sembang. Akan tercetuslah pelbagai cerita yang mencerminkan suka-duka setiap ahli, dalam kereta. Akan terbongkarlah pelbagai rahsia yang diperam begitu lama ketika berada bersama sanak-saudara, di desa. Bagi anak-anak kecil, pengalaman bergelumang dengan sepupu di kampung, berkejar-kejaran sorok-menyorok ataupun berlumba mengejar ayam, itek, kambing dan mungkin juga kodok; pasti menjadi bahan cerita yang seronok. Semua binatang ini memang merupakan benda kemewahan di kotaraya, hanya kelihatan di kaca TV ataupun dalam sangkar di pasar tani. Kalau dapat pun dijamah di pasar itu, tentunya ayam yang tidak berbulu. Untuk menjamah kambing dan lembu yang masih bernyawa perlulah pergi ke zoo ataupun ke rumah sembelihannya.

Ingatan begitu tidak pula menjadi perhatian golongan remaja. Mereka lebih memikirkan apa yang perlu dirancangkan ketika sampai ke kota. Ada yang mungkin mengambil ingatan kesalahan pergaulan yang baru berlalu; agar tidak berulang di tahun mendatang. Mungkin ada yang teringatkan saudara mara yang semakin tua yang mungkin tidak mengulang tegur-sapa di hari muka. Mungkin juga ada hati muda yang sudah terpaut rasa kepada lamunan cinta yang memungkinkan dia melayari samudera berahi?

Sementara itu si ibu dan bapa tentunya mula mencongak secara diam-diam akan belanja yang sudah hangus ketika lebaran. Berapa bungkus pula paket cenderahati (angpau) yang telah didermakan, kepada sanak saudara yang memang setia menanti. Betapa pula wang saguhati yang diserahkan kepada golongan tua sebagai penambat hati kerana ditinggalkan. Bukankah itu pampasan tahunan agar yang tua sanggup terus menderita kesepian di kampung halaman ? Akan terbayanglah secara jelas jumlah wang yang telah terlunas. Akan terlukis kecerian di hati muda akan keupayaan untuk berbelanja merayakan lebaran dengan saudara mara.

"Oooops, nanti dulu!" demikian bunyinya suara halus di kalbu yang sekian lama diam membisu. Baru tersentak di dalam hati betapa jauhnya lagi perjalanan daripada kampung untuk ke kota. Baru teringat akan tanggungan yang perlu disediakan untuk memenuhi keperluan anak-anak yang akan bersekolah. Kos tambang bas, tusyen, wang jajan, wang buku, dan pelbagai bentuk keperluan yang lain yang perlu ditangani sebaik sahaja kunci rumah di kota mula dibuka. Ingatan halus dari lubuk kalbu akan memberikan satu kesedaran betapa seksanya hidup ini kerana perlu menyediakan pelbagai wang untuk terus hidup.

Perbelanjaan hangus, pengalaman bagus

Perbelanjaan besar yang dibawa daripada kota ke kampung sebenarnya merupakan satu cara menaikkan ekonomi desa. Hari lebaran adalah masanya kedai di kampung merasakan pembelian secara tunai dalam satu tempoh yang singkat. Kalau tidak, perniagaan berkisar kepada 'buku cap tiga lima (555)' yang tidak pernah disingkirkan. Inilah buku catitan hutang- piutang di antara pengunjung kedai dengan tuanpunya kedai itu. Inilah juga lambang kemewahan terpendam si penama yang tertulis di kulit buku.. Hanya tuan-punya kedai yang mengetahui akan nilai sebenarnya berdasarkan kepercayaannya memberikan hutang. Cuma di hujung bulan barulah hutang yang bertimbun itu dapat dilunaskan setelah baucer pencen bertukar harga dan kiriman wang ihsan anak-anak muncul daripada kota.

Pertemuan orang kota di kedai-kedai kampung tentunya membawa seribu macam pertukaran maklumat. Bukan sahaja bagi golongn yang tua-tua malahan juga bagi anak-anak yang semakin dewasa. Ia akan menjadi bahan hilai ketawa apabila anak-anak bertanyakan sesuatu kepada orang kampung. Bayangkan bagaimanakah orang yang terpelajar di kampung mahu menjawab soalan yang pelik-pelik dari anak-anak kota? Bagaimanakah untuk menjawab pebezaan bunyi sesuatu perkataan dengan ejaannya?

Kalau 'Podeh' dieja PEDAS, 'lomang' dieja LEMANG, 'Tolang' dieja 'TALANG', 'Muo' dieja 'MUAR 'Teranung' dieja 'Terengganu' dan 'Perleh' dieja 'PERLIS'; tentunya merupakan satu proses pengalaman bagi anak-anak. Di waktu yang sama ia memberikan satu usikan nostalgia kepada golongan tua ketika menceritakan asal usul sesuatu nama yang mungkin janggal pada bunyinya tetapi mempunyai makna yang tersendiri sebagai warisan bangsa. Proses interaksi di antara anak kecil yang berpangkat cucu ataupun cicit dengan orangtua yang dipanggil atuk, buyut ataupun onyang adalah satu proses pertukaran pengalaman yang tidak ternilai harganya dan tidak ada penentuan yang ianya akan berulang lagi.

Proses interaksi juga yang mematangkan anak-anak kota kepada cara mengisi dan menganyam ketupat, dan membakar lemang. Inilah pelajaran turun-temurun yang tidak ada tandingannya di universiti. Segala peraturan kerja diajar secara lisan lengkap dengan langkah mula dan bacaan sucinya. Ajaran demikianlah yang menentukan berterusannya semangat berkampung yang dipusakai sepanjang zaman.

Pentas Pertukaran Maklumat

Untuk satu tempoh yang panjang, kepulangan manusia ke kampung halaman telah digambarkan laksana sirih pulang ke gagang. Suasana kampung tidak tergugat dan kepulangan anak watan memangnya dianggap sebagai sebahagian adat. Untuk sekian lama pula, arus pemikiran kampung itu tidak pernah dipersoalkan oleh golongan anak-anak muda. Bagi mereka fahaman kampung adalah satu fahaman yang tidak harus diganggu-gugat kerana khuatirkan satu perubahan yang kurang sihat. Kerana itu apa sahaja bentuk ideologi politik yang pekat dibiarkan begitu tanpa ada sesiapa yang mahu menukarnya secara berdebat. Anak-anak kota hanya bersedia tersenyum sinis apabila mengesan kehidupan kampung yang tidak manis. Lantas terjagalah keharmonian desa begitu lama berdasarkan suka sama suka. Yang kaya dan berusaha terus menjadi kaya, sedangkan yang miskin dan papa terus digam di takuk lama.

Keadaan berubah apabila kampung diserang semangat islah. Anak-anak muda daripada kota mula mengorak langkah. Mereka besatu membawa fahaman reformasi baru untuk melepaskan fikiran orangtua yang sekian lama terbelenggu. Mereka tidak mahu ibu dan bapa terlalu taksub kepada golongan manusia yang sekian lama dianggap istimewa. Inilah manusianya yang sudah naik melompat menjadi kaya raya bersandarkan perjuangan politik tipu daya. Memang tidak mudah menanamkan semangat reformasi pada ibu dan bapa yang selama ini sudah serasi dengan budaya sabsidi.

Fahaman Baru 'Ketuanan Melayu'

Tentunya mereka membangkang dan merasa berang. Orang tua mana yang sanggup diputar-balikkan otaknya dalam satu sessi petang? Namun, kebenaran tetap berjaya menukarkan fahaman lama golongan tua. Arus reformasi sudah pasti membawa fahaman keadilan dan kebenaran untuk menegakkan satu fahaman baru tentang ketuanan orang Melayu.

Beginilah proses pembaharuan fikiran yang akhirnya mencetuskan parlimen rakyat di seluruh kampung dan desa. Inilah proses yang mencetuskan satu kesedaran di mana orang desa sanggup sehaluan dengan orang kota. Kerana itu anak-anak kota semakin sedar betapa pentingnya suasana hidup orang desa.

Perpindahan manusia daripada kampung ke kota bererti berpindah juga sebilangan besar majlis parlimen rakyat. Tinggallah golongan tua dengan kenangan manis yang mencetuskan senyuman sinis. Terimbas kembali kata-kata lucu yang mungkin menguis hati disebabkan fikiran yang masih mentah ataupun kematangan yang terlajak sudah. Timbullah sebak di dada bila difikirkan apakah parlimen rakyat seperti itu akan berulang kembali? Mungkinkah persidangan yang mendatang dipenuhi oleh kuorum yang sama? Jika tidak, siapakah pula yang akan datang untuk mengganti?

Inilah isu yang menjadi bahan perbincangan di antara golongan tua di desa selepas perginya anak cucu kesayangan mereka. Tentu ramai yang melinangkan airmata bila memikirkannya. Namun, walaupun warga tua sudah semakin berusia, masih ada jiwa muda di kalangan mereka yang optimis dengan peredaran masa. Akan tertanam satu keyakinan bahawa parlimen rakyat akan berulang lagi di ceruk desa di kesempatan yang terdekat. Laksana satu persidangan manusia yang besar yang mempunyai peserta yang sungguh setia ia akan bersidang bertepatan dengan jadualnya, tanpa ramai yang enggan menyertainya. Yang gagal datang mungkin disebabkan panggilan Tuhan ataupun aral melintang yang tidak dapat dielakkan. Yang baru datang tidak perlu mengambil sebarang ikrar dalam persidangan itu kerana penyertaan adalah mengikut kerelaan hati. Bukan ditentukan oleh undi tipu ataupun undi hantu.

Perjalanan berliku ke Kotaraya

Jalanraya semakin sesak. Had kelajuan kereta perlu dipatuhi kalau tidak padah akibatnya. Tetapi, siapakah empunya angkara meletakan had laju begitu rendah untuk perjalanan kereta di lebuhraya? Bayangkan penderaan ke atas enjin yang mempunyai kuasa lari 260 kilometere sejam sedangkan had laju yang dikenakan adalah lebih rendah dari perenggan yang tengah? Apakah gunanya membeli kereta mahal dan berkuasa tinggi kalau kelajuan dibenarkan hanya kecil sekali? Tidak adakah sesiapa yang sedar bahawa enjin yang dipengap kemampuan sebenarnya akan memberontak dan memerlukan belanja besar untuk memperbaikkinya? Kenapakah disekat kelajuan kereta yang berupaya berlari laju seperti yang dilakukan oleh para YB dan raja-raja Melayu ? Kalau mereka dibenarkan memecut kereta seolah-olah esok sudah tiada, kenapakah rakyat marhain disekat pula?

Tidak adakah para analis yang membuat kajian bahawa panduan kereta yang perlahan di jalan terus boleh mengakibatkan kemalangan serius? Apakah gunanya meletakkan pegawai polis dengan alat kamera yang canggih semata-mata mengesan pemandu yang tidak leceh? Betulkah semua itu satu muslihat untuk membolehkan pembelian alat-alat yang lebih sofistikat? Untuk apakah pembelian ini kalau bukan mementingkan para kroni? Apakah ertinya membayar tol yang tinggi kalau kelajuan perlu dibelenggu? Kenapakah kelajuan tidak disekat di lebuh raya lain di negara maju? Apakah ertinya demokasi kalau cara memandu pun mahu diawasi?

Demikian bermulanya rentetan masalah untuk warga kota yang semakin jauh dari kampung halamannya. Semakin hilang bunyi deraian kokok ayam di pagi hari semakin berat bebanan sosial yang perlu ditangani. Bebanan itu menjadi lebih berat apabila dirujukkan kepada muka-muka yang sedang berdengkur di dalam kereta. Inilah muka-muka yang akan mencetuskan masalah itu samada secara sedar ataupun tidak. Namun, inilah muka-muka yang akan mengubatkan keresahan di hati apabila terukir senyuman di wajah mereka. Oh.. biarlah beban datang mengunjung, akan terurai juga jalan penyelesaiannya. Yang lebih penting seisi keluarga terus ada bersama, mengikut kehendak orang tua di kampung. Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Laksana rendang yang pedas perlu dimakan dengan lemang yang panas dan tidak ada kecualiannya. Itulah lumrah alam dalam suratan.

Perjalanan yang panjang sampai ke penghujungnya. Kereta yang dipandu cermat sudah pun sampi ke ambang untuk kutipan bayaran cukai. Terbeliak biji mata bila melihatkan wang untuk membayar tol yang dimestikan. Sampai bilakah harga terus meninggi tanpa kemungkinan untuk turun lagi? Di manakah dia para YB yang menunggu di pintu tol dulu? Yang menghulurkan kad ucapan dan stiker khas mengalu-alukan warga kota ketika berlepas ke desa? Apakah ini sebenaranya rahsia harga tol yang tinggi? Untuk mengongkosi projek mengalukan pemergian pulang kampung sekali lagi?

Inilah dia kehidupan di kota besar. Inilah asas perjuangan para reformis di kotaraya yang sedang dialihkan semangatnya ke kampung dan desa. Ia perlu ditangani dengan pemikiran yang tenang seperti yang dilalui oleh orang berpengalaman di kampung-kampung. Mereka tahu rendang itu pedas. "Hanyo lomang yang paneh ajo yang jadi lawannyo!"

-MT-
12.1 .2k




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com