Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pencetus Minda 7 -ANTARA API DAN BARA

Ucapan panjang yang memakan masa tujuh jam tentunya merupakan satu ucapan yang amat penting. Tambahan pula apabila ucapan itu dilakukan oleh seorang pemimpin agung sebuah parti yang memerintah. Apakah sebenarnya isi ucapan yang panjang itu sehinggakan tidak ada akhbar perdana yang sanggup mencetak ucapan itu sepenuhnya? Kenapakah ucapan yang begitu panjang dan penting hanya layak didengar oleh sekitar 100 manusia sahaja? Kalau dilihat ucapan itu diberikan hanya sehari sebelum orang yang melafazkannya pergi untuk bercuti apakah sebenarnya rahsia yang terselindung di sebalik perbuatan itu. Mungkinkah itu satu tabiat menandakan sesuatu yang buruk akan berlaku?

Bila Kebingungan Datang Melanda

Ucapan yang panjang itu telah mengharu-birukan fikiran orang Melayu, tidak kira apakah idelogi politik mereka dan apakah pula fahaman mereka tentang masa depan negara ini. Pada mulanya ramai orang Melayu yang memandang sepi akan perbuatan Presiden UMNO membuat ucapan yang panjang. Mungkin ada yang terfikir dia cuba membuat satu rekod baru untuk catatan alaf baru. Ada pula yang berjenaka bahawa beliau cuba bercakap apa yang sepatutunya dalam masa setengah bulan yang dia berada di luar negara itu secara 'advance' agar semua jenis kerja dapat dilakukan oleh para petugas dalam pucuk kepimpinan parti. Kerana itu pelbagai pendapat telah timbul apabila dia berlepas dengan isteri kesayangannya untuk berlibur ke luar negara sebelum menuju ke Davos atas tugas-tugas resmi.

Namun, jangkaan itu meleset belaka. Rakyat menjadi terkejut dengan berita penangkapan yang dilakukan ke atas Karpal Singh, Marina Yusuf, Zulkifli Sulong dan Shea Lin Thye. Hajjah Marina dituduh bawah Akta Hasutn 1948,S4(1)(b). Zulkifli sebagai Pengarang HARAKAH telah dituduh bawah akta yang sama di bawah seksen S4(1)(c) kerana menerbitkan tulisan Professon Chandra Muzafar pada 2.8.1999. Shea ataupun Chia Lim Thye akan dituduh di bawah akta yang sama kerana sebagai tuanpunya permit syarikat percetakan Sharikat Prema telah mencetak akbar tersebut.

Rakyat geger dengan penangkapan itu kerana ia berlaku selepas peristiwa ucapan yang panjang. Malahan kalau dikira akan penerbangan perdana menteri ke luar negara, tidurnya dalam pesawat itu belum cukup lama lagi. Air basinya pun belum lagi menjadi, arahannya sudah pun dipatuhi.

Para pemberita akhbar tentunya meluru ke arah Timbalan Perdana Menteri untuk mencari penjelasan. Apakah jawapannya ?

...``Ini adalah perkara biasa yang tidak memerlukan arahan, yang tidak memerlukan keputusn dasar. Ini adalah tindakan di bawah penguatkuasaan undang-undang ekoran daripada laporan-laporan yang dierima oleh pihak polis." Aduh, cantik sekali jawapan itu. Satu jawapan yang hanya layak datang dari seorang badut politik. Bolehkah kita tanya dia soalan ini:

-- Kalau tangkapan itu berasaskan penguatkuasaan undang-undang kenapakah tidak ditangkap Rafidah Aziz, Eric Chia, Daim Zainuddin dan beberapa ramai nama lagi di mana bukti yang kukuh terhadap mereka ternyata sudah pun tersedia? Kenapakah tidak ditangkap dan didakwa Rahim Nor? Bukankah dia melebamkan mata seorang bekas Timbalan Perdana Menteri sambil tangannya digari ? Selepas itu dia buat pula satu pengumuman bahawa Timbalan Perdana Mentteri itu dalam keadaan yang selamat, sedangkan dia tahu bahwa itulah kenyaatan yang bermuslihat?

-- Kenapakah tangkapan ke atas personaliti Barisan Alternatif itu dibuat sebaik sahaja pemimpin negara nombor satu sudah pergi bercuti? Bukankah itu mempunyai persamaan dengan peristiwa lama yang meragut nyawa Ibrahim Libya dan saudara-maranya?

-- Hanya dua minggu yang lalu MAHAFIRAUN ada meminta rakyat terutama sekali orang Melayu agar berfikiran waras dan belajar cara orang barat berpolitik. Dia mahukan orang Melayu melupakan segala cakap politik semasa berkempen dulu dan menumpukan perhatian kepada kemajuan negara. Kalau kata-kata yang dilafazkan oleh Marina dan juga Karpal adalah sebahagian daripada proses berkempen, kenapakah pula mereka yang terbabit itu ditangkap ?

-- Kalau kita sebut hasutan, terlalu ramai manusia Melayu yang suka menghasut. Orang pertama yang patut ditangkap ialah MAHAFIRAUN sendiri. Bukankah beliau pernah pergi ke New York meraih simpati masyarakat Yahudi di sana sehinggakan sanggup membuat fitnah terhadap orang Melayu? Bukankah MAHAFIRAUN yang pernah berkata bahawa di negaranya "masih ada manusia beragama Islam yang sanggup membuang telivisyen dan radio ke sungai". Oleh kerana tohmahannya itu dirakamkan secara terus menerus dan ditayangkan oleh saluran global, bukankah perbuatan itu berupa hasutan yang paling berbahaya?

Tercemarnya Suasana Aidilfitri

Soalan yang di atas ini adalah contoh beberapa soalan yang lebih serius lagi yang sedang menghantui setiap sanubari rakyat Malaysia yang cintakan negaranya. Semua orang Melayu yang boleh berfikir dan berbicara politik amat perihatin dengan cara penangkapan itu dilakukan. Bukankah ini bulan Syawal di mana semua umat Islam sedang merayakan Aidilfitri. Masih ramai orang Islam yang belum pun bermula Puasa Enam mereka, kini mereka disogokkan dengan berita penangkapan yang berasaskan Akta Hasutan. Di manakah letaknya maruah Bangsa Melayu itu kalau masih ada kuasa ketuanan Melayu yang sanggup menggugat kesucian bulan itu? Di negara Islam yang lainnya, inilah bulannya di mana ramai para banduan yang dibebaskan setelah hukuman penjara mereka direngankan. Malahan di negara Israel pun amalan yang serupa dilaksankan kerana kerajaan Yahudi sanggup menghormati ketibaan Shawal.

Inikah dia nilai-nilai Islam yang sentiasa diwarwarkan oleh paa pemimpn UMNO ? Inikah nilai Islam yang dipelajari oleh Paklah di Universiti dulu ? Apakah teruknya perilaku hasutan penama yang ditangkap itu kalau dibandingkan dengan apa yang diisytiharkan oleh MAHAFIRAUN di Amerika dulu?

Orang Melayu bertambah jengkel dengan perbuatan yang terkutuk ini kerana ia dilaksanakan oleh Paklah ketika MAHAFIRAUN baru sahaja berlepas untuk bercuti. Peristiwa ini mencuit kenangan betapa perkara yang sama dilakukan oleh beberapa Timbalan Perdana Menteri yang lalu setiap kali MAHAFIRAUN pergi bercuti. Apakala dia pulang dan ditanya akan implikasai tindakan yang diambil, jawapannya amat rengkas sekali: "Saya kurang arif dengan keadaan itu kerana saya tidak ada di situ."

Sindrom Memanjat Pokok Kelapa

Tipu helah seorang pakar silap mata politik Melayu berulang lagi. Ia berulang berkali-kali sebelum ini dan amat disedari oleh setiap pemimpin politik parti. Malahan tindak-tanduk serupa ini amat difahami oleh semua ahli parti dari pucuk pimpinannya hinggalah ke akar umbi. Tetapi setiap kali dia mengarahkan pengulangan peristiwa yang serupa tidak ada sesiapa pun yang sanggup menyanggahnya.

Kalau kita lihat akan batang kelapa di kampung-kampung kita akan dapati beberapa takuk yang dibuat di batang pokok itu laksana tangga. Takut ataupun takik yang agak dalam itu dibuat untuk membolehkan seseorang pemanjat naik ke atas untuk memetik buah ataupun mengerat pucuk kelapa. Para pemimpin UMNO kerap membawa nasihat dengan menggunakan pokok kelapa sebagai kiasan. Untuk naik ke atas, perlulah sesaorang itu menaikki takuk yang disediakan. Malahan orang Melayu sudah naik martabatnya kerana takuk-takuk yang disediakan oleh UMNO. Inilah tangga sabsidi yang memberi kemewahan kepada Bangsa Melayu. Demikianlah cantiknya kiasan yang dibawakan oleh para pemimpin UMNO ketika bersyarah di kampung-kampung.

Pemimpin yang semacam ini harus diajak pergi ke ladang kelapa di mana pokok kelapa itu diusahakan untuk mengeluarkan nira ataupun untuk pengeluaran todi. Jarang sekali pokok itu mempunyai kesan takik di batangnya. Pemanjat kelapa tidak pun memerlukan takuk itu kerana ia menggunakan tali untuk mengekang pergerakannya ke atas. Kalau pokok kelapa itu dibiarkan berbuah, mereka tidak perlu memanjatnya lagi kalau mereka boleh menggunakan galah. Malahan mereka mampu melatih beberapa ekor beruk untuk kerja-kerja memetik buah itu.

Bila kita kaitkan perilaku perusahaan naik ke pucuk kelapa dengan perilaku sesaorang ahli UMNO naik ke atas, konsep menaikki anak tangga di batang kelapa sudah merupakan satu konsep yang usang. Di dalam tulisan berjodol 'Meniti Tangga Mengejar Pelangi' ada kita selitkan Teori Tangga Kehidupan yang boleh diseragamkan dengan keadaan tangga di pokok kelapa. Kini kemajuan sains telah membolehkan manusia mengenepikan penggunaan takuk, tangga, tali ataupun beruk. Tanam sahaja benih kelapa sontot; kematangannya sengkat, pokoknya pendek dan buahnya mudah dipetik.

Menyedari hakikat ini, majoriti orang Melayu kini menjadi bingung betapa kepimpinan UMNO sanggup mencetuskan suasana kebingungan di saat orang Melayu sedang merayakan hari lebaran. Kenapakah terdesaknya pihak kerajaan mengadakan tangkapan ketika ini. Lantas rakyat mula mengaitkan suasana ini dengan ucapan panjang MAHAFIRAUN. Apabila kita kaitkan muslihat sebenar tangkapan itu dengan ucapan yang panjang kita akan sedar satu konspirasi telah dianyam begitu indah sekali untuk membolehkan MAHAFIRAUN mengekalkan dinasti keluarganya menerajui kepimpinan UMNO.

Jangan Bermain Api

MAHAFIRAUN mahukan ahli UMNO balik ke asal perjuangan parti tanpa mementingkan diri dan mana-mana individu. Katanya, dedikasi anggota UMNO terhadap perjuangan parti untuk bangsa, agama dan tanah air kini menjadi perkara kedua berbanding perjuangan untuk mendapatkan tempat bagi diri dan para kroni. Dia mahu ahli-ahli kembali kepada asas perjuangan UMNO di mana kesetiaaan adalah kepada parti dan bukannya terhadap individu.

Sebenarnya ucapan serupa ini adalah mainan rekod lama yang pernah dimainkan juga ketika berkempen. Tidak ada sesuatu yang baru dalam ucapan itu melainkan masanya yang begitu lama. Kalau kita teliti pun perutusannya pada hari pertama alaf baru dan juga hari menyambut Aidilfitri ceritanya serupa juga.

Kita pernah berbincang panjang tentang ucapan MAHAFIRAUN yang semakin hapak, hari demi hari. Dia sanggup mendera orang tunggu lama-lama semata-mata mendengarkan ulangan cerita lama. Dia selalu kata agar ahli UMNO pentingkan parti dan bukannya pemimpin parti. Kita mahu ahli-ahli UMNO fikirkan soalan ini:

a) Kalaulah dia benar-benar ikhlas kenapakah MAHAFIRAUN tidak sanggup memberikan kuasa kepada Paklah menjadi Pemangku Perdana menteri ketika dia berada di luar negeri ?

b) Kalau parti itu lebih penting daripada individu, kenapakah dia tidak lantik pemimpin baru dari kalangan mereka yang dipilih oleh majoriti ahli parti? Contohnya; Rafidah sudah lama dinyahkan oleh majoriti ahli, kenapakh dia masih dikekalkan dalam kabinet? Kenapakah rombakan exco wanita yang dilakukan oleh Siti Zaharah diveto oleh MAHAFIRAUN ?

c) Kalau individu dalam parti tidak penting, kenapakah ahli-ahli tidak dibenarkan mencalonkan saingan kepada jawatan presiden dan timbalan presiden parti?

d) Kalau perjuangan asal itu amat penting dan mesti ditumpukan oleh 2.7 juta (he,he!) ahli parti, kenapakah pandangan mereka tidak dirujukkan ketika MAHAFIRAUN mengaibkan saudara Datuk Seri Anwar Ibrahim? Tidakkah dia terfikir bahawa pendedahan dan tuduhan melulu terhadap seorang pemimpin parti sebenarnya melunturkan parti itu akhirnya?

e) Sedarkah wahai ahli parti UMNO sekelian, bahawa semua saranan MAHAFIRAUN itu adalah tanda-tanda bahawa beliau sudah semakin sewel? Dia sudah menunjukkan perilaku ingat-ingat lupa yang merupakan hanya satu ataupun dua anak tangga sebelum otaknya menjadi mangu dan fikirannya menjadi kematu.

Bara-bara api yang bekerlipan

Kita boleh rasakan betapa kemarahan orang Melayu yang semakin membara. Di zaman teknologi ini tanda-tanda perasaan marah itu sudah semakin ketara kerana kita tidak perlu mengambil iktibar daripada kaum Red Indian di Amerika. Di satu masa dulu orang Red Indian menghantar isyarat dengan menggunakan bara api. Dengan merenjis air kepada bara api itu kepulan asap dilentur agar membawa makna untuk dimengertikan.

Melalui ucapannya dan tindak-tanduknya kebelakangan ini kita dapat rasakan bahawa MAHAFIRAUN sudah beredia bermain api dengan bangsa Melayu. Dia sudah sanggup menghina maruah bangsa Melayu. Dia sudah sanggup menjatuhkan maruah agama yang dianuti oleh orang Melayu. Dia sudah pun memperlekehkan simbol ketuanan Melayu. Kini, dia cuba membendung pemikiran orang Melayu agar terus bingong.

- Kelemahan orang Melayu

Mahafiraun telah berjaya memanipulasi setiap suasana kehidupan orang Melayu dengan putar belitnya yang bukannya tidak disedari oleh orang Melayu. Cuma, orang Melayu itu sebagai kumpulan majoriti amat 'complacent', malas, toleran yang teramat, terlalu mudah menyerahkan kepada takdir dan tamak dengan keegoaan. Ini bukannya satu fitnah sembarangan. Tetapi, cuba kita bayangkan perkara ini:

a) Sifat Melatah: Apabila mahligai Putrajaya dibahaskan ramai pemimpin politik pembangkang yang melatah dengan berkata; "mahligai itu akan dilelongkan". Kenapakah tidak dikatakan mahligai itu patut diserahkan untuk dihuni oleh Yang Dipertuan Agong? Ataupun "Kita akan jadikan sebuah universiti?"

b) Terlalu Toleran: Apabila MAHAFIRAUN memperlekehkan janggut nabi ketika berucap di PWTC, ada beribu ahli UMNO berkampung di situ. Kenapakah pemimpin PAS tidak mahu melancarkan tunjuk perasaan secara aman di depan PWTC dengan menulis kenyataan untuk memperbetulkan ucapan MAHAFIRAUN? Aksi yang diadakan begitu sudah pasti menarik perhatian dunia terutama sekali negara Islam yang lain. Kenapakah perkara ini tidak dilakukan?

c) Ketika rakyat berkumpul di Masjid Negara dan membiarkan Ezam pergi ke Istana Negara untuk menghantar memo kepada YDPA, kenapakah tidak ada pemimpin Melayu yang menganggotai parlimen ataupun DUN yang sanggup ke depan bersama Ezam? Bukankah mereka merupakan pemimpin legitimate negara?

Sebenarnya banyak lagi yang boleh dipertikaikan dalam hal ini. Cukuplah kita katakan, pemimpin pembangkang pun banyak yang komplasen kerana mereka masih terbawa-bawa semangat keegoaan yang sememangnya lama tergam pada peribadi pucuk pimpinan UMNO.

- Sukarnya tugas Memimpin

Kita akui betapa sukarnya tugas seorang pemimpin. Tetapi, kepimpinan mempunyai pelbagai bentuk. Ada orang yang pintar memimpin sebagai guru di bilik darjah dan kuliah ataupun makmal. Ada yang direstui Allah dengan kepintaran memimpin secara berkhutbah, bersyarahan malahan melalui penulisan. Yang pentingnya kalau kita sudah bergelar pemimpin dan kalau kerelaan kita untuk memimpin itu adalah ke jalan Allah adalah satu tugas yang penting untuk kita memperbetulkan barisan rakyat majoriti yang mencari keredhaan Allah juga.

Dalam Islam seperti juga dalam sisem kehidupan berdemokrasi, kritikan membina mengikut saluran tertentu adalah diizinkan dan digalakkan. Jangan kita was-was dalam perkara ini. Hak seorang pemimpin adalah sama dengan hak seorang pengikut kepada pemimpin yang adil. Kalau kepimpinan itu bersikap curang, adalah hak pengikut untuk mengenepikan kepimpinan itu mengikut jalan yang benar dan jelas. Bersekongkol dengan pemimpin yang curang adalah haram. Perkara ini juga amat jelas, bukan sahaja dalam ajaran Islam malahan dalam ajaran duniawi.

Antara Api dan Angin

Sejak kebelakangan ini orang Melayu amat marah dengan MAHAFIRAUN. Walaupun dia berusaha untuk memperkuatkan kedudukannya dalam UMNO, kedudukannya sebagai pemimpin terunggul orang Melayu sebenarnya sudah pupus. Semua orang Melayu sedar akan hal ini termasuk juga para pemimpin UMNO sendiri. Cuma, kebanyakan mereka terlalu takut untuk memperakuinya secara terus terang. Inilah peluang untuk kebenaran dipahatkan di kalbu mereka. Inilah maknanya kalau rendang itu pedas hanya lemang yang panas menjadi lawannya. Rendang yang pedas tidak sesuai dimakan dengan lemang yang sejuk. Akan terasa amat pedasnya.

Orang Melayu yang kebingungan mengambil sikap berdiam diri. Sikap ini disalah-anggap sebagai sikap orang yang sanggup terus menghambakan diri. Inilah sikap 'subservient' yang disalah-mengertikan oleh penjajah British dulu. Mereka hanya mengerti akan makna sebenarnya apabila Maharajalela merodok J.W. Birch. Barulah mereka sedar bahawa keperwiraan Melayu tidak terserlah melainkan sesudah disanggah. Di zaman moden ini perwira Melayu bukan sahaja duduk di kampung. Majoriti mereka berada di kem tentera dengan cukup terlatih dengan taktik keperwiraan. Perkara ini harus difikirkan oleh setiap pucuk pimpinan UMNO.

Kepada para pemimpin UMNO saya dengan rendah diri ingin memberi pesan. Buatlah kajian sejarah yang mendalam. Suruhlah pakar sejarah mengkaji kejatuhan negara yang kaya disebabkan salahlaku pemerintahnya. Cuba selidik kejatuhan Liberia dan Uganda dan kajilah kenapa negara itu runtuh dan hancur sekarang ini. Jalan cerita negara itu adalah sama dengan jalan cerita Malaysia. Buatlah sesuatu sebelum terlambat.

Kini, orang Melayu sudah naik angin. Kemarahan mereka sudah semakin membara. Bara boleh berapi apabila ditiup angin. Tetapi, kemarahan orang Melayu membara selepas mereka naik angin. Ia tidak boleh dilupuskan dengan semburan air lagi. Bara api boleh membesar dengan mudah apabila ada bayu yang meniupnya. Tetapi bayu yang kencang tidak lagi memainkan peranan laksana angin yang sepoi bahasa. Apabila angin kencang mula tiba, bara yang kecil menjadi api yang menggila. Inilah yang amat ditakutkan. Inilah yang mesti dihindarkan sebelum angin Melayu naik menggila.

-MT-
14.1.2000.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com