Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Merempat Di Negara Sendiri

TAG005

Merempat Di Negara Sendiri
(Strangers In Our Own Land)
Oleh: Dini Djalal/NORTH SULAWESI and WEST KALIMANTAN
Issue cover-dated January 18, 2001.

Di sebuah kem perlindungan yang sesak di Bitung, Sulawesi Timur terdapat sekitar 3,000 orang kanak-kanak yang bermain skipping dengan tali, melontar bola mainan ataupun bermain sesama mereka permainan tembak-tembak. Anak-anak perempuan berlagak seperti jururawat, sibuk meladeni askar yang luka keparahan, sambil yang lelakinya sibuk memegang senapang mainan di tangan untuk melakukan peperangan olok-olok.

“Mereka memang gemar bermain tembak-tembak,” kata Lengkana, seorang pembantu bidang psikologi yang bekerja dengan golongan muda yang lari daripada medan perang di Maluku Utara. “Apabila saya Tanya anak-anak ini, mereka mahu jadi apa-apaan bila dewasa anti, mereka menjawab: ‘Kami mahu menjadi tentera, supaya boleh bunuh semua orang yang beragama Islam.”

Itulah jawapan yang tidak anda jangkakan daripada kanak-kanak yang masih belum baligh lagi. Namun inilah hakikatnya di kem yang sungguh hancing baunya itu memang tidak ada sesuatu yang menyelerakan. Kehampaan begitu memang jelas dapat dilihat di setiap kem yang serupa itu di merata negara di mana ramai penduduk Indonesia menghuninya sebagai manusia yang merempat di negaranya sendiri.

Mengikut perangkaan kerajaan, terdapat lebih satu juta penduduk Indonesia yang ditakrifkan sebagai “penduduk setinggan” terpisah daripada kampung halaman kerana kekejaman etnik dan perkauman ataupun kemelesetan ekonomi yang menekan. Masa depan mereka memang amat samar rupanya. Penyakit dan kelakuan yang berpunca daripada mabukan terlalu lumrah di setiap kem itu. Ribuan manusia telah mati kerana diserang ‘diarrhoea’ (cirit-birit) dan penyakit kesesakan nafas (respiratori).

Mereka yang terlalu tertekan hidupnya terpaksa mengemis, melacurkan diri ataupun melakukan jenayah sahaja.

Tetapi, bukan sahaja manusia sebagai individu yang akan merana. Peralihan manusia sebesar begini mempunyai implikasi yang sungguh lama kesannya dalam proses membangunkan negara." kami merempat di negara sendiri,” kata Hassa,18, seorang pelarian kaum Madura. Pakar sosiologi Imam Prasodjo daripada Universiti Indonesia telah memberi amaran betapa sentimen seperti itu mudah membiak. “Semangat perpaduan kami sebagai sebuah negara akan hilang. Impian dan harapan kami sebagai sebuah negara Indonesia mungkin telah lama tumbang.”

Prasodjo menyalahkan kerajaan kerana melakukan tindakan yang setengah masak terhadap menyelesaikan krisis yang mengasak. Kerja membiayai pelarian memerlukan kos yang tinggi biayanya. Mengikut para pegawai kerajaan, lebih satu ribu juta rupiah (sekitar US $107,000) dibelanjakan setiap hari untuk menyediakan bekalan beras dan 1,500 rupiah sebagai ongkos harian setiap penghuni yang berada di kem pelarian itu. Bantuan itu selalunya lewat sampai, mengikut Prasodjo. Sebahagiannya hilang di tengah jalan kerana korupsi. Malahan, di beberapa kem yang lain, aliran dana itu telah dihentikan dan jadual bekalan beras yang disalurkan pun tidak menentu ketibaannya.

Pengagihan bantuan telah lama tersangkut-sangkut kerana berlakunya beberapa perubahan dalam dasar pengagihan kerajaan. Tanggungjawab menangani masalah pelarian itu telah berubah-ubah di kalangan empat kementerian yang berbeza sehinggalah akhir tahun yang lalu. Di waktu itu semua kem pelarian itu menjadi tanggungan Kementerian kesihatan dan Kebajikan Sosial serta Lembaga Pergerakan Manusia dan Penduduk Negara - yang merupakan satu lembaga kerajaan yang terbaru. Para petugas kebajikan berkata semua rombakan itu telah mencetuskan banyak kekeliruan. Namun, Emil Agusino, ketua pusat Krisis di Kementerian kesihatan dan Kebajikan Sosial bertegas bahawa perubahan hanya berlaku di pihak atasan yang tidak menggugat susunan operasi di tahap bawahan.

Selanjutnya, rakyat Indonesia yang melarat itu terpaksa mengharapkan bantuan daripada organisasi asing. Masalah yang timbul ialah hanya orang Timur barat sahaja yang dianggap sebagai pelarian kerana mereka telah lari daripada kampung halaman mereka. Ini bererti PBB tidak mampu membantu secara menyeluruh. Kerana itu tanggungjawab membantu itu terus diserahkan kepada badan bebas yang lain seperti Medicines Sans Frontier (Doktor Tanpa Sempadan) dan Pasukan Palang Merah.

Prasodojo meminta kerajaan memperbaiki keadaan dengan menubuhkan satu suruhanjaya untuk mengkaji masalah setinggan yang merempat itu. Rayuannya itu tidak diambil kisah oleh kerajaan. Malahan, dasar kerajaan mengenai para pelarian itu boleh dipendekkan dengan dua perkataan sahaja. “Pulanglah kalian.”

“Semua khemah pelarian ini tidak boleh diteruskan, selamanya” kata Agustino. “ Kami lebih suka kalau proses pemulihan diutamakan dan bukannya proses penempatan semula.” Namun, ramai pegawai kerajaan yang mengaku bahawa sejak Jun tahun sudah, tidak lebih daripada 30,000 pelarian di seluruh negara yang berjaya ditempakkan semula ataupun memilih pulang semula ke kampung halaman mereka.

Kedatangan pelarian selalunya disambut oleh orang tempatan dengan reaksi yang membara kerana tidak selesa dengan kedatangan mereka. Keadaan seperti itu menyebabkan tercetusnya rusuhan. Kerana itu juga pegawai kerajaan di wilayah-wilayah mengambil sikap dingin terhadap ketibaan para pelarian itu.

Di Utara Sulawesi, pegawai kerajaan tempatan mengambil sikap berkeras dengan pendatang yang berjumlah sekitar 30,000 orang ramainya. Kebanyakan pelarian itu berasal daripada Maluku (Moloccus). Menyedari sentimen orang tempatan yang tidak serasi dengan limpahan kemasukan pelarian itu, ketua wilayah badan yang membantu kemasukan pelarian itu, Lona Lengkong, telah membawa pesan yang mudah kepada setiap pendatang: “Usah cetuskan masalah.”

Para pelarian tidak boleh mengharapkan hidup selesa setara dengan keadaan yang bersifat senang-lenang. Selalunya satu keluarga yang selesa mampu berkongsi kawasan lantai yang kotor seluas tiga meter persegi sahaja. Bekalan beras memang lumayan, tetapi itulah sahaja. Bekalan barang lain hampir tiada. Mutleben Tumada, 31, telah melarikan dirinya daripada Pulau Halmahera di Maluku Utara dan kini tinggal berlindung di Kem Manado, di ibukota Sulawesi Utara. Dia cuba mendapatkan bantuan hospital tempatan untuk mengubati lengannya yang telah dikerat dalam satu serangan ke atas perkampungnnya. Doktor pakar di situ meminta dia membayar tiga juta rupiah. Jiran Tumada, Herkanus Dadasa, 43, yang pernah melihat ibu dan dua anak perempuannya mati sebagai mangsa ledakan bom merungut terhadap layanan kerajaan kepada penderitaan mereka. “Kenapakah mereka tidak ambil peduli keadaan rakyat sendiri? Kami menjadi mangsa di negara kami sendiri.”

Ketegangan semacam ini yang menyemarakkan bara rusuhan dalam kem pelarian itu. “Memang banyak pergaduhan sekarang ini,” kata None Ayuwaila, 51, seorang pelarian di Kem Mega Belia di Bitung, Utara Sulawesi. Ketua kem, Thadeus Leftungun, berusia sekitar 60-an pernah menjadi seorang ketua polis sebelum lari meninggalkan kampung halamannya di Ternate, Utara Maluku. Dia berpendapat kemah-kemah itu sepatutnya di bubarkan sahaja.

Tetapi, Thadeus amat runsing mengenai masa depan keluarganya di luar kem itu. Dia amat curiga apakah mereka mampu hidup selesa di perkampungan orang. Apakah orang tempatan dapat menerima mereka, seperti yang pernah dialaminya. “Setiap kali berlaku perselisihan faham orang tempatan tidak pernah lupa mengingatkan siapa kami semua,” katanya. Pegawai tempatan Bonny Sompie menambah pendapatnya: “Orang pelarian ini dituduh kerana setiap masalah yang muncul, daripada kesesakan lalu lintas kepada kadar jenayah yang meninggi, malahan kepada kenaikan hartanah di sini.”

Di Pontianak, ibu negara Kalimantan Barat, tuduh-menuduh seperti itu boleh membawa kesan yang meragut nyawa. Pada Oktober, enam orang mati dalam pergaduhan di antara masyarakat Melayu dengan masyarakat Madura. Orang Melayu yang bersenjata telah meronda bandar, menjejaki kaum Madura, sambil membaling batu dan bom Molotov di kem pelarian di mana yang diburu sedang bersembunyi penuh ketakutan.

Apa juga yang mesti ditanganinya, para pelarian terpaksa menerima hakikat bahawa kem itu adalah segala-galanya. Masiah, seorang daripada kaum Madura telah dua kali dihalau keluar daripada kampungnya di Sambas, Kalimantan Utara dalam satu pergaduhan kaum yang sungguh menggila. Akhirnya dia mengikuti rombongan seramai 20,000 penduduk kaum Madura menaiki sebuah kapal menuju Pulau Madura, kampung halaman asal mereka di mana ramai yang sudah tidak lagi mempunyai tanah ataupun saudara mara. Walaupun mereka telah diberikan tanah untuk dikerjakan, hampir setengah jumlah yang menerimanya itu melepaskan tanah mereka untuk tinggal di Pontianak, yang memang jauh letaknya daripada Sambas.

Di Pontianak, mereka berusaha selagi terdaya. Mereka gunakan wang yang masih ada hasil kerja buruhan untuk membina rumah teratak di halaman perkhemahan itu yang dulunya merupakan satu stadium sukan yang mempunyai kemudahan awam. Kini, stadium itu merupakan satu pekan yang dhaif sahaja. Kini, Masiah sudah bertawakkal untuk terus menetap di situ. Namun dia sedar, sebagai orang pendatang mereka memang terpinggir dan mudah terdedah untuk dieksplotasi. Suaminya bekerja harian untuk mendapatkan upah bernilai satu dollar setiap hari di tapak binaan. “Tanpa tenaga yang sungguh murah daripada kami,” katanya, Pontianak tidak mampu membesar seperti kini.”

Walaupun demikian, para pegawai kerajaan di Kalimantan Barat masih mencuba agar para pelarian pulang semula ke kampung halaman mereka. Bantuan kerajaan sengaja dikurangkan agar para pelarian berbuat demikian. Tidak ramai yang sanggup mengambil risiko itu. “Segelintir yang pernah mencuba untuk pulang semula kini sudah tiada,” kata ketua masyarakat Madura di situ, Haji Sulaiman namanya. Setiap kali berlakunya kekurangan dalam bantuan kerajaan, dia usahakan sumbangan pihak swasta menampungnya.

Di Sulawesi Utara, pegawai bantuan Lengkong amat curiga kalau-kalau tindakan menarik-balik bantuan kerajaan itu secara tergesa-gesa akan mencetuskan bahana pula. Kesannya boleh mengena penduduk tempatan. Kalau proses penempatan semula itu tidak berjaya juga, dia akan membiarkan kem perlindungan terbuka begitu sahaja. Setidak-tidaknya di dalam kem perlindungan itu kemarahan para pelarian dapat ditenangkan dan tidak berlanjutan di jalan raya.

Suaranya memang bergetar disebabkan kerisauan bahawa Sulawesi Utara mungkin meledak pula menjadi medan perbalahan suku kaum, katanya:

“Adalah lebih baik kalau kita memberi daripada menerima supaya kita tidak akan menjadi golongan pelarian seperti mereka.”

-Dini Djalal-

.............................................................
Terjemahan oleh Sdr Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 23 Januari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com