Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Menyelamatkan Sang Selamat

Menyelamatkan Sang Selamat
(MGG Pillai: Bailing out the bailors)

Menteri Kerjaraya, Dato’ Seri S. Samy Vellu telah menyatakan bahawa kerajaan terpaksa memberikan pampasan kepada pemegang konsensi lebuhraya sebanyak RM19 bilion untuk selama 20 tahun, lamanya. Ini bukannya kerja yang mudah, katanya. Adalah lebih baik kalau dicipta satu formula baru agar pemegang konsensi ini mendapat pinjaman mudah sahaja. Dia tidak mahu membelakangkan kepentingan rakyat dalam hal ini dan mahu mencipta satu formula agar kedua-dua pihak berada dalam satu situasi yang sama-sama menang. Dia tidak mahu rakyat marhaen tertekan membayar sebanyak yang sepatutnya. Di waktu yang sama dia mahu menentukan agar pemegang konsessi itu akan terus pergi ke bank dengan keadaan yang lebih ceria. Kerajaan memberikan bayaran kepada mereka kerana tidak menaikkan harga tol. Sebahagian besar wang pembayaran itu adalah berupa imbuhan kerana mereka gagal memenuhi kadar jangkaan lalulintas yang sengaja mereka lebih-lebihkan angkanya dulu.

Inilah yang menjadi masalah yang menyulitkan pihak kerajaan dan orang awam. Pada 1986, Plus Highway (Lebuhraya Plus) telah mengambil alih urusan Lebuhraya Utara Selatan (North-South Highway) dan membelanjakan RM6 bilion untuk menaikkan status jalan itu dengan upahnya berbentuk konsessi selama 30 tahun. Ini bererti tempoh konsesi itu berakhir pada 2016. Tetapi, rancangan Dato’ Samy itu akan melanjutkan konsessi itu hingga 2021 pula.

Kerajaan memberikan semua pemegang konsessi lebuhraya kemudahan pinjaman berdasarkan “bayar-balik bila mampu”, di samping tanah yang luas kawasannya sehinggakan mereka boleh menjualnya untuk mendapatkan modal untuk memulakan perniagaan membina jalanraya. Tetapi, kontrak kerja itu sengaja dibebani dengan segala modal itu sehinggakan rakyat marhaen terpaksa membayar tol yang sentiasa dinaikkan kadarnya. Tambang keretapi dan bas ke Seremban lebih rendah harganya berbanding harga tol yang dikenakan ke atas pemandu yang menggunakan keretanya di lebuhraya itu. Dulu harga tol cuma RM1 kini ia sudah naik sehingga RM6.50. Apakah penyebab yang wajar menyebabkan harga itu dinaikkan dalam satu dekad? Kalau kerajaan mempunyai dana secukupnya kenapa tidak dibina sendiri Lebuhraya Sprint untuk kegunaan mereka yang duduk di Kuala Lumpur ataupun Petaling Jaya menggunakannya untuk ke Taman Tun Ismail ataupun Damansara Utama ataupun sebaliknya dengan dikenakan bayaran tol? Lebuhraya itu khabarnya memakan belanja RM 1 bilion.

Apa salahnya kalau kerajaan memberi saguhati kepada pemegang konsessi dan mengambil-alih peranan mereka dan kemudian batalkan saja bayaran tol? Tidak, perkara semacam ini tidak mungkin boleh berlaku. Pemegang konsessi tidak boleh meraih keuntungan selagi pengguna jalanraya tidak meningkat kepada puluhan ribu (kenderaan) setiap hari. Lebuhraya Utara selatan dapat bertahan kerana kutipan sebanyak RM4 jua yang dikutip setiap hari di Lebuhraya Persekutuan dan sekitar RM3 juta pada hujung minggu. Ini bererti, pemegang konsessi membuat keuntungan di setiap selekoh yang ada. Mula-mula mereka membalun keuntungan dalam kerja-kerja pembinaan, yang diagihkan kepada anak syarikat yang menyungkit naik harga projek mereka. Kemudian projek itu diagihkan lagi kepada anak-syarikat yang lain sambil menyauk keuntungan dalam setiap peralihan itu. Keuntungan yang paling besar dibalun lagi apabila syarikat utama yang kini sudah pun bertapuk hutangnya didedahkan kepada pasaran saham. Selepas itu bermulalah satu lakonan panjang di mana kerajaan akan bertindak simpati kepada pemegang konsessi dalam rayuan mereka mendapatkan bantuan imbuhan. Inilah lakonan yang dilakukan selama ini seolah-olah pemegang konsessi itu adalah kaki botol yang sedang mabuk di rumah-sundal.

Adalah tidak memeranjatkan apabila setiap pemegang konsessi itu mengalami hutang besar yang tidak mampu dibayarnya. Pampasan daripada kerajaan membolehkan mereka hidup senang-lenang laksana maharajah di zaman dulu-dulu sehingga mereka mampu bertukar isteri, pesawat udara, istana kediaman di Switzerland, London dan New York dan segala rupabentuk kemewahan lagi yang menunjukkan mereka sudah kaya-raya. Itulah sebabnya Renong-UEM yang dikuasai oleh kumpulan yang sama, mempunyai hutang berkarat melebehi RM30 bilion. Namun, pemegang konsessi itu terlalu yakin bahawa mereka akan terlepas daripada beban hutang itu, tidak lama lagi. Kerajaan memang sedia membantu menyelamatkan keadaan mereka. Tidak kiralah kalau usaha menyelamatkan itu adalah satu bebanan kepada rakyat marhaen. Inilah sebabnya saya mempersoalkan kenyataan Dato’ Samy Vellu yang berkata: “orang ramai tidak semestinya berfikir bahawa kerajaan tidak memikirkan masalah mereka secara serius.” Sebenarnya Dato Seri rakyat memang tidak memikirkannya.

Apakah sebabnya Tan Sri Halim Saad diselamatkan? Kenapakah Tan Sri Tajudddin Ramli diselamatkan selepas beliau mepunah-ranahkan MAS? Kenapkah kerajaan tidak membeli balik 29 peratus saham pegangannya di BSKL dan menguasai MAS kembali dengan cara itu? Kelantangan Dato Samy Vellu mengenai pinjaman mudah itu adalah satu usaha menyediakan minda rakyat marhaen kepada satu lagi proses penyelamatan. Tentunya dia harus menyediakan satu kenyataan yang lebih jelas untuk dibentangkan di parlimen mengenai beban yang perlu ditanggung oleh kerajaan untuk menswastakan lebuhraya. Dia mesti nyatakan berapakah kos pampasan kepada kadar tol, berapa pula pampasan kepada pemegang konsessi kerana gagal mendapatkan pengguna yang dijangkakan, berapa pula pinjaman mudah yang akan terbabit dan apakah asas pemberian pinjaman itu. Daripada segala pinjaman yang telah diberikan, berapakah jumlah yang telah dibayar balik? Kita juga harus tahu kenapakah masalah tol ini menjadi isu hangat politik? Sebenarnya segala cadangan Samy Velu itu adalah merupakan satu proses ‘bailout’ ataupun penyelamatan yang menggunakan nama lain pula.

-MGG Pillai-
7.2.2001.

...............................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua

Catatan penterjemah:
Saya telah banyak menulis secara berkias akan kenaikan tol itu sejak siri SLPM. Masalahnya ialah pengurusan yang menipu rakyat marhaen. Terlalu banyak kebocoran dalam kutipan tol. Kita kerap diberikan resit perjalanan lain yang menunjukkan kadar bayaran lebih rendah daripada kutipan sebenarnya. Misalannya kalau kita ke Seremban daripada Kuala Lumpur, kita kerap diberikan resit berharga RM1.90 menunjukkan harga perjalanan terdekat ke pintu masuk Seremban itu. Bagaimanakan perkara ini boleh berlaku tanpa pengetahuan pihak pengurusan? Kenapakah terlalu sangat komputer rosak di tengah malam? Ini menunjukkan penipuan berterusan di pihak pemegang konsessi. Malahan kita masih ingat betapa kad ataupun tiket tol itu diimpot daripada Amerika.

Kalau kita masuk tol SPDH daripada Seremban ke Port Dickson, ada tiga jenis harga tol. Kalau diamati selalu kita akan dapati lori yang sepatutnya dikenakan harga lebih tinggi, dikenakan harga kereta biasa. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku selalu? Siapakah yang kaut wang songlapan yang dilakukan itu? Apakah kerja-kerja songlapan itu merupakan satu tindakan secara bersindiket?

Semua bentuk penipuan ini terus berlanjutan tanpa ada sesiapa mahu membincangkannya di parlimen. Hanya sekali-sekala adalah pergerakan parti pembangkang yang berpiket di pintu tol untuk mengganyang kenaikan harga tol. Tetapi, Mahathir jawab mudah sahaja. “I don’t care.......!!!


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 9 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com