Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

YANG BERKURAP DAN MENGIRAP

Walaupun saya mengambil keputusan bercuti dari menulis untuk seketika, saya merasa terpanggil menulis kembali setelah membaca tulisan Poling Cyber di Minda Rakyat. Tulisan sahabat cyber saya itu amat menyentuh jiwa saya. Ia berputik setelah saya menulis kepada semua Webmasters tentang tawaran seorang pakar "Investor Relations". Beliau mengaku pernah "menguruskan tabung dana dan unit-unit pelanggan tetap, ia-itu pengurus dan tabung dana dan unit penyelidikan syarikat ekuiti antarabangsa selama lebih 15 tahun dan tgelah beransur besara sejak April 1997 dan bersara penuh dari tugas ini pada 31.12.1999. Beliau telah menulis kepada saya menyatakan betapa beliau berminat bersua muka dengan saya "kerana mahukan saya membuat 'abridged version' semua siri penulisan saya untuk diedarkan kepada semua JK Bahagian UMNO secepat mungkin dengan harapan artikel ini dapat membawa lagi kesedaran kepada mereka."

Butir diri yang beliau berikan itu diperolehi setelah saya meminta butir peribadi yang lanjut dan mahu mengetahui daripada Bahagian UMNO mana beliau datang. Rupanya beliau ini tidak mewakili bahagian mana-mana pun. Cuma mahu menjadi seorang "Father Christmas" di bulan Februari lah nampaknya. Menyedari hakikat yang ini adalah satu perangkap untuk saya, satu surat panjang pun diedar kepada semua Webmaster Laman Reformasi untuk memberi maklumat dan mendapat maklumat balas pula. Dalam satu masa yang amat singkat, maklum balas telah pun diterima dan saya pun faham maksudnya. Namun, saya mampu ketawa juga bagaimanakah seorang 'Investor Relations' sanggup bersua-muka tanpa mengetahui samada saya ini lelaki ataupun perempuan?. Kalau saya perempuan, bukankah permergian saya bertemunya memerlukan izin si suami dulu? Apakah dia ingat saya seorang pondan ?

Saya tidak mahu mengulas panjang tulisan Polong Cyber itu kerana beliau telah menulis cukup bernas sekali. Cuma saya ingin membawa perkara ini kepada pengetahuan pembaca betapa usaha berjihad ke jalan Allah itu tidak semestinya satu usaha yang tanpa ranjaunya.

Nama pena yang diklon

Di sini juga saya mahu menarik perhatian pembaca sekelian akan kekerapan nama pena saya diklon di Forum Gerak Reformasi. Dari dulu lagi saya tidak menulis dalam Forum itu, kerana tahu akan kemungkinan nama pena saya itu diklon juga. Adalah diharapkan para kawan dan sahabat cyber yang kerap berhubungan dengan saya akan faham situasi ini. Jangan mudah terikut-ikut menulis di situ apabila melihatkan nama pena saya terpapar di forum yang sememangnya menarik hati itu.

Untuk menenagkan fikiran terahadap anasir-anasir yang cuba mempurak-perandakan usaha jihad ini saya ingin menulis satu cerita mengenai dunia anjing yang mungkin dapat dijadikan iktibar untuk kita bersama.

* * * * *

Bila Anjing Menyambut Tetamu

Kalau anda pernah pergi ke rumah sahabat kita orang Cina yang tinggal di taman perumahan yang ramai orang bukan Islam, tentu sekali anda akan terpesona kepada segala jenis kereta yang canggih di kawasan itu. Rumah-rumahnya pula canggih-canggih. Ada yang membina sampai dua pintu besi yang berkuasa letronik, dan memasang CTV yang dapat mengawasi sesiapa yang mendekati pintu-get itu. Pada malam hari pula ketibaaan kita tentu sekali disambut oleh beberapa ekor anjing yang akan berlari-lari menyaingi kelajuan kereta yang kita pandu.

Kelakuan anjing-anjing itu memberi kita satu gambaran seolah-olah mahu menjadi tukang tunjuk jalan kepada kita. Tidak kiralah anjing itu dibela oleh orang yang berduit banyak ataupun tidak berduit lansung. Perangai anjing seperti itu boleh kita perhatikan di mana-mana sahaja di seluruh dunia ini. Inilah keadaannya kalau kita memandu masuk kawasan yang banyak anjing. Kita akan menerima sambutan yang serupa samada kita memandu kereta itu di Malaysia, Manila, Peranchis ataupun di Long Island, Amerika. Inilah fenomena anjing menyambut tetamu yang tidak dikenalinya. Ia mungkin menyalak sambil berlari jauh ke hadapan kereta yang datang ke kawasnnya. Kadangkala sebagai orang baru di kawasan itu kita terpaksa berhati dengan anjing-anjing itu takut-takut terlanggar pula dan mencetuskan huru-hara secara tidak disengaja.

Sifat anjing yang baik-baik

Dari perangai anjing yang menyambut ketibaan kita itu, dapatlah kita meneka anjing yang mana yang dibela oleh orang kaya dan anjing yang mana pula yang tidak pun bertuan. Selalunya anjing yang dibela oleh orang kaya, diberi latihan secukupnya agar tidak menyalak sembarangan. Lagi lama anjing itu dilatih, lagi bagus perangainya sehinggakan anjing itu seolah-olah membisu tanpa bersuara. Lihat sahaja anjing yang digunakan untuk menghidu dadah di kebanyakan lapangan terbang antarabangsa. Jarang sekali kita dapat mendengar suara anjing-anjing itu. Begitu juga anjing-anjing yang digunakan oleh pihak keselamatan di Eropah yang mengawal kawasan sempadan negara barat. Anjing-anjing itu disungkup mulutnya dengan satu sarung agar tidak menggigit.

Begitu juga kalau kita pergi ke kawasan pergunungan di Eropah seperti di Chemonee (Peranchis) ataupun di Lausanne (Switzerland) ataupun Sun Valley (Amerika), kita dapat melihat anjing-anjing St. Bernard yang membawa satu tabung kecil di lehernya yang mengandungi minuman keras. Anjing ini dilepaskan untuk menjejaki orang yang tertimbus dalam salji dan menggali tempat timbusan itu untuk menyelamatkan mangsa salji runtuh tersebut. Setelah dibiarkannya tabung 'whisky' itu digapai oleh orang yang baru diselamatkannya itu, St Bernard itu pun akan berlari-lari mencari tuannya sambil menariknya untuk menunjukkan si malang yang baru diselamatkan itu.

Ini adalah cerita anjing yang baik-baik. Kerana itu, anjing disebut sebagai kawan manusia yang paling baik sekali di kalangan haiwan yang ada. Tetapi, itu adalah pengiktirafan orang barat setelah menlihatkan kegunaan anjing. Apatah lagi sejak mereka menggunakan anjing untuk memanaskan badan mereka ketika tidur di musim sejuk. Tetapi, setelah mereka mampu mendapatkan pemanas bilik dan setelah harga makanan anjing melambung naik, mereka sudah lupa akan jasa anjing itu dan cuba beralih pula kepada kucing untuk menjadi kawan baik mereka ketika tidur. Munculnya anjing kurap di Malaysia

Begitu juga di negara ini. Anjing yang baik masih lagi dibela oleh tuannya dan memberinya makanan yang baik-baik. Tetapi, kalau tuannya sudah tidak mampu lagi, anjing itu dibiarkan bebas dan bekeliaran untuk mencari makannya sendiri. Inilah anjing kurap namanya. Panggilan ini diberikan kerana keadaan anjing yang tidak dibela yang mudah dijangkiti penyakit serupa kurap. Keadaan anjing pun menjijikkan kerana mereka kerap bergaduh dan berebut makanan yang mereka jumpa. Kekerapan diserang penyakit inilah yang kerap memudahkannya menjadi anjing gila.

Memang orang Melayu amat pandai menggunakan anjing sebagai gambaran sesuatu yang menjijikkan. Ini adalah disebabkan pengalaman mereka yang bersangkutan dengan anjing kurap. Maklumlah, Melayu mana yang sanggup memelihara anjing kalau kos membela seekor anjing boleh mencecah lima ratus ringgit sebulan.

- Bila Anjing Kurap Masuk Kampung

Pada satu ketika dulu jarang sekali kita melihatkan anjing berkeliaran di kampung-kampung. Tetapi kini, pemandangan anjing berkeliaran di kampung adalah sesuatu yang amat lumrah. Anjing-anjing bandar yang terbiar sudah mula masuk kawasan kampung untuk mencari makanan dengan senang. Maklumlah, kawasan kampung jarang sangat berpagar tembok seperti di bandar-bandar. Kemasukan anjing kurap ini selalunya dipandang remeh sahaja oleh orang kampung. Mereka fikir, kawasan yang lapang dan luas serta keharmonian kampung yang terkawal begitu lama tentunya tidak akan terjejas oleh kedatangan seekor dua anjing kurap.

Apa yang boleh dilakukan oleh anjing kurap ? Takkan mereka masuk kampung untuk bercakaran dengan kucing kampung? Lagipun kawasan kampung penuh dengan pokok di merata tempat. Mudah sangat kucing memanjatnya dan menjelerkan lidahnya kepada anjing kurap yang datang.

Tetapi, toleransi orang kampung beginilah yang selalunya membawa padah. Bila anjing kurap masuk kampung, dia pura-pura moyok sahaja. Malahan lidahnya yang panjang pun jarang sangat mahu dijelerkannya. Betapa panas pun keadaan cuaca di kampung ketika itu, lidah yang mudah terjeler dikulum dulu. Anjing kurap selalunya sanggup menelan air liur yang panas daripada menjelerkan lidahnya, bila masuk kampung. Malahan, ada juga anjing kurap yang banyak pengalaman akan duduk bersimpoh; seolah-olah anjing yang amat terlatih di rumah orang kaya, setiap kali dia melihat oang kampung datang mendekatinya.

Bila orang kampung melihatkan anjing bersimpoh seperti ini dia akan lupa bahawa binatang di depannya itu seekor anjing kurap. Malahan, orang kampung mana tahu membezakan anjing. Mana satu yang betina dan mana satu yang jantan pun tidak berapa pandai mereka mengecamnya. Bukannya senang untuk mengenal jantina anjing bila dia sudah bersimpoh. Orang yang suka menunggang kuda sampai 40 kilometer sekali tunggang pun tidak mudah dapat mengecam jantina anjing. Bila anjing bersimpoh dia sebenarnya menyerupai seekor kuda kerdil yang besimpoh. Kalau kuda biasa sudah bersimpoh memang amat sukar meneka jantinanya. Yang paling mudah orang akan menganggap binatang itu seekor binatang yang pondan. Itu sebabnya orang kampung mudah menganggap anjing kurap yang bersimpoh itu sebagai anjing pondan. Mungkin terpengaruh cakap-cakap orang yang selalu tunggang kuda jauh-jauh. Sayangnya orang kampung tidak pintar mengingat bahawa orang yang suka tunggang kuda jauh-jauh mudah menjelir lidahnya bila kepanasan. Malahan, bila penunggang kuda menjelir lidahnya, rupanya amat hodoh sekali sehinggakan sahabat handainya pun susah mengecamnya, kerana itu bukannya perangai manusia..

Anggapan seperti inilah yang selalu membawa padah pada orang kampung. Mereka mudah sangat percaya dengan cakap orang bandar. Apalagi kalau orang bandar itu ada pelihara kuda dan anjing.

Kini, anjing kurap daripada bandar suka masuk kampung orang Melayu kerana mahu curi ayam kampung dari reban. Rupanya, anjing kurap pun sudah pandai memilih. Ayam di bandar bukannya tidak ada. Kalau mereka pergi ke pasar memang ada sahaja lebihan ayam yang dicampakkan oleh para peniaga ayam. Tetapi, itu cerita dulu kala. Sekarang ini, jarang sangat ada lebihan ayam yang dibuang. Harga ayam yang semakin tinggi menyebabkan tidak banyak lebihan ayam yang mahu diberi kepada anjing kurap. Mungkin, lebihan ayam itu pun sudah ada pembelinya untuk direbus lama-lama dijadikan sup. Perkara semacam ini kalau berlaku dulu kala tentu menjadi bahan ketawa. Tetapi, sejak ekonomi merudum ini, ayam yang baru mati dalam sangkar pun sanggup disembelih oang untuk diproses dan dijual sebagai ayam segar yang mati disembelih. Disebabkan fenomena inilah makanya anjing kurap bandar lebih rela masuk kampung untuk mencari rezeki di kampung pula.

Kerana itulah anjing kurap masuk kampung. Apabila muslihat ini disedari, barulah orang kampung terperanjat dan mula mengirap apa yang ada di tangan; menghalau anjing kurap yang cuba mendekati rumah mereka. Selalunya perbuatan ini bukannya mudah, kerana anjing kurap sudah faham sangat dengan perangai orang kampung. Mereka mengirapkan apa yang ada di tangan hanya untuk satu waktu yang pendek sahaja. Selepas itu kalau ada anjing kurap pun mereka tidak kira sangat. Inilah budaya toleransi orang kampung yang amat difahami oleh anjing kurap bandar. Mereka tahu perkara ini melalui pengalaman. Bukannya melalui kommunikasi dengan anjing kurap kampung. Dengan lain perkataan, pengalaman mematangkan mereka.

Si kurap kampung dan si kurap bandar

Dunia anjing sebenarnya tidak banyak bezanya dengan dunia manusia. Kalau anjing bandar masuk kampung tentunya mereka cuba mendampingi anjing kampung sebagai tanda hormat. Tetapi, kalau di kampung itu tidak pun ada anjing yang dibela oleh orang kampung, anjing bandar boleh berasa lega kerana dapat memonopoli kampung itu. Apatah lagi bila mereka tahu perangai orang kampung yang memang toleran dengan pendatang dari luar. Itu sebabnya anjing kurap yang masuk kampung mudah menyesuaikan diri mereka. Mereka mudah berlari ke sana dan sini, menyelongkar reban sana dan sini tanpa segan dan silu. Mereka tahu orang kampung tidak bising lama-lama. Itu sebabnya kalau anjing kurap sudah masuk kampung, mereka tidak perlukan masa yang panjang untuk mengetahui semua sudut kampung itu kerana mereka sudah menyelongkar semua tempat untuk membuat kepastian di manakah habuan yang senang diperolehi. Mula-mula masuk kampung dulu, anjing kurap hanya mencuri ayam di waktu malam hari, ketika orang kampung sedang dibuai mimpi. Lama kelamaan, mereka mencuri di siang hari kerana orang kampung sudah tua-tua belaka.

Ketua kumpulan anjing kurap pun tidak banyak masalah. Dia akan membiarkan saja perangai anak buahnya. Kalau orang kampung tidak kisah sangat kenapa pula dia perlu sibuk-sibuk ? Pernah juga ketika masuk kampung dulu dia mengenakan syarat kepada anak-anak buahnya agar mencuri ayam di waktu malam saja. Tetapi, lama kelamaan anak-anaknya sendiri pun mencuri di siang hari. Apa perlu ditakutkan, kata mereka. Orang tua bukannya mampu mengejar anjing kurap. Takkan disebabkan seekor ayam togel orang kampung sanggup berlari seluruh kampung menghambat anjing kurap?

Seperti lumrah alam, pada satu hari apabila penghulu anjing kurap bangun dari tidurnya dia terperanjat melihat anak-anak dan bininya yang tidur terlalu nyenyak tanpa mahu bangun untuk sarapan pagi. Bila didekatinya semuanya sudah tidak bernyawa lagi. Rupanya orang kampung sudah meracuni mereka dengan membubuh 'karbaid' dalam ayam mati yang dicampakkan kepada mereka di satu malam itu. 'Karbaid' yang disaluti kertas timah bila masuk ke dalam perut akan meletup dan memunahkan tali usus. Penghulu anjing hanya mampu menjelerkan lidahnya.

Rupanya orang kampung lebih bijak dari yang mereka sangkakan. Barulah raja anjing kurap sedar kenapa tidak ada anjing di kampung itu. Rupanya perangai orang kampung mengirap benda-benda di tangan menghalau mereka cuma satu simbol bahawa ada benda yang lebih hebat yang mereka rancangkan untuk menghalau anjing kurap dari kampung itu.

Kalaulah cerita anjing kurap ini dapat dijadikan iktibar oleh manusia, alangkah baiknya? Kalaulah cerita ini diberitahu kepada anjing-anjing yang sedang hidup mewah kerana belaan tuan-tuan yang kaya raya, alangkah baiknya. Bukankah besar kemungkinannya bahawa anjing yang sedang hidup mewah itu boleh menjadi anjing kurap bila-bila masa sahaja ? Kalau anjing sudah dihinggapi kurap, tidak kiralah samada ia anak anjing ataupun bapak anjing, penyakit kurap selalunya membuatkan anjing menjadi gila. Lebih-lebih lagi kalau anjing kurap itu menjeler sahaja lidahnya.

Marhaintua@Hotmail.com
7.2.2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com