Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Antara Tunggu dan Kayu

Setiap pokok kayu akan ada tunggulnya. Setiap tunggul pula tentu ada kayunya. Lagi besar pokok kayu itu besar pula tunggulnya. Tetapi, apakah banyak kayu yang boleh diperolehi daripada sesuatu tunggul yang besar itu bergantung kepada keadaan terjadinya tunggul itu. Ada tunggul kayu yang dibiarkan saja di muka bumi kerana manusia mahu mengambil kayunya secara berdikit. Kalau tunggul itu kayu jati, bolehlah dibelah dan ditarah bahagiannya untuk dijadikan batang cangkul ataupun batang kapak. Ada juga tukang yang mahir menarah tunggul kayu untuk dijadikan badan gasing.

Kalau tunggul kayu itu pokok getah biasa, tidak ada sesiapa yang mahu menarahnya. Tunggul getah adalah lebih baik dibiarkan sahaja untuk cendawan mata-kukur tumbuh. Bila musim hujan, akan tumbuhlah cendawan itu. Kalau dikutip dan dijemur amat berharga cendawan itu. Bila dimasak dengan tempoyak, dan dibubuh pula cili padi, akan berdenting pedasnya dan meresap ke tekak sedapnya. Kalau terlebih makan, berdesing ke telinga pula pedasnya. Kadang-kadang kita merasa pelik juga dengan tunggul pokok getah, kerana menjadi pilihan cendawan. Pokok lain banyak juga tunggulnya, tidak pula mahu cendawan itu tumbuh. Tetapi, cendawan jenis mata kukur sahaja yang gemar akan batang pkok getah itu. Cendawan lain seperti cendawan ganoderma tidak berminat menggunakan tunggul-kayu getah. Cendawan jenis ini lebih suka kepada pokok kelapa sawit. Malahan ia mudah tumbuh di batang pokok dan membesar dengan usia pokok itu. Kulat ganoderma itu kini dikatakan satu ubat amat berkhasiat mengubati pelbagai penyakit. Ada orang yang kata ia boleh menjadi bahan awet muda yang paling mujarrab.

Menyedari hakikat ini, tentulah para peneroka rancangan tanah mampu menjadi usahawan yang berjaya. Maklumlah, batang getah hingga ke tunggulnya mempunyai harga. Kalau batangnya boleh dijadikan kayu perabut, tunggulnya boleh dijadikan tapak tumbuhnya cendawan. Batang kayu kelapa sawit pula boleh dijadikan tapak semaian kulat ganoderma. Kalau batang kelapa sawit itu mempunyai ciri-ciri yang sama dengan batang kelapa biasa, tentulah kita boleh menggunakan pelbagai teknologi canggih yang ditemui di Fillipina. Di sana batang kelapa digunakan untuk pelbagai benda. Teknologi yang canggih membolehkan batang kelapa menjadi perabut yang amat berharga dan diekspot pula.

Harga Kayu Semakin Menjadi

Sekarang ini harga kayu pun sudah semakin naik. Tetapi, sayangnya kayu balak kita sudah semakin berkurangan. Yang ditebang banyak-banyak dulu tidak diganti kerana usaha yang panas-panas tahi ayam. Mungkin juga ada rancangan tanam semula kayu balak, ia tidak menjadi kerana kekurangan baja. Kalaulah yang menanamnya dulu menggunakan tahi ayam sebagai bajanya. Tentu sudah nampak akan hasilnya.

Soalnya sekarang, siapakah yang paling banyak mendapat konsessi balak, satu ketika dulu? Jawapannya adalah golongan istana dan para kroni. Kalau golongan ini yang membalun balak-balak itu dengan cara menjualnya kepada taukeh-taukeh, apakah mereka mampu menanam balik kawasan yang ditolak itu dengan pokok kayu ? Kalau mereka engkar, siapa ayng sanggup mendakwa mereka ? Jawapannya ialah tidak ada sesiapa yang berani. Lagipun kawasan balak yang ditebang itu telah dilaksanakan oleh para pengusaha yang sekarang ini sudah pun berhijrah ke negara barat, hidup senang lenang dengan khazanah negara ini.

- Kenapa Tauke Balak Suka Hidup Di Luar Negara ?

Kalau kita ambil direktori nama taukeh balak sejak tahun enam puluhan dulu kita dapati kebanyakan mereka sudah tidak ada lagi di negara ini. Mereka bukan mati, tidak...Mereka ini sedang hidup senang lenang di negara luar. Di Amrika Syarikat, Australia, Canada, Britaian, Holland dan New Zealand. Mereka sudah dapat kelulusan untuk menjadi penduduk tetap negara tersebut. Ada juga yang sudah pun mendapatkan paspot asing dan secara senyap-senyap masih lagi menyimpan paspot negara ini. Kalau kita selidik baik-baik kita dapati mereka tidak pun mempunyai konsessi balak seperti beberapa pemmpin UMNO ataupun keluarga istana. Mereka mampu menjadi kaya raya dengan memajak kawasan balak tersebut, semata-mata.

Di sini timbul beberapa soalan, bagaimana mereka boleh kaya raya sedangkan orang yang menerima kawasan balak itu masih ditakuk lama? Jawapan yang sebenar terletak pada tipu muslihat perniagaan yang mereka usahakan. Pada satu ketika dulu, pengetahun mengenai balak adalah satu pengetahuan yang diketahui oleh segelintir rakyat Malaysia. Pengekspotan dibuat mengikut jenis kayu dan harga kayu itu. Penetapan jenis kayu dibuat oleh jabatan tertentu sedangkan pengutipan cukai dilakukan oleh pihak kastam. Kayu kita mempunyai pelbagai gred. Ada gered nombor satu dan ada gred nombor tiga, dan seterusnya. Jadinya kalau kayu yang diekspot itu adalah kayu yang bermutu dan sepatutnya diklassifikasi sebagai gred nombor satu, cukainya tentulah tinggi. Apa yang dilakukan ialah membuat deklarasi agar gred kayu itu adalah gred terbawah sekali supaya cukainya rendah. Perbezaan gred nombor satu dengan gred terbawah boleh mencecah melebehi tiga ratus ringgit. Kalau satu kapal boleh dimuat dengan kayu balak sehingga empat ribu tan dan cukai dilarikan itu adalah sebanyak tiga ratus ringgit setiap tan, bayangkanlah keuntungan yang diperolehi setiap pengeluaran itu. Jadinya setiap pelayaran kapal itu cukai yang dilarikan adalah dalam anggaran satu juta dua ratus ribu ringgit. Bayangkanlah keuntungan yang diperolehi oleh si penyamun kayu yang pakai seluar pendek selalu. Itulah hasil cukai yang hilang, bagi setiap pelayaran ataupun pengekspotan kayu balak tersebut. Di waktu pengekspotan balak memuncak, seorang pengekspot balak pernah mengekspot sebanyak dua kali setiap bulan. Jadinya dia sudah menyamun cukai kerajaan sebanyak dua juta empat ratus ribu ringgit setip bulan.

- Penukaran surat deklarasi di luar negara

Mungkin ada pembaca yang mahu bertanya, kalau pengespotan kayu berkualiti dibuat dengan deklarasi kayu yang rendah mutunya, si pengekspot tentunya rugi dari segi harga jualannya? Tidak, dokumen ekspot ataupun Bill of Lading tiu ditukar pula dalam perjalanan sebelum kapal pengangkut balak itu sampai di pelabuhan destinasi perjalanannya. Katakanlah penjualan balak dibuat untuk Pelabuhan Nagoya, di Jepun. Tetapi dokumen penjualan dibuat untuk menjual balak itu ke Hongkong. Kapal tidak perlu berlabuh di Hongkong. Ia mampu meneruskan perjalanannya dan dokumen penjualan ditukar untuk mendaratkan muatannya ke Nagoya. Semua ini boleh dilakukan secara urusan elektronik sahaja. Soalnya sekarang, bagaimanakah semua ini boleh berlaku sedangkan jabatan kastam, dan jabatan hasil dalam negeri dikatakan jabatan kerajaan yang canggih dan cekap? Kita tidak mahu bincangkan perkara itu kerana biarlah mereka sendiri mencari jawapannya satu hari nanti. Cuma yang kita ungkitkan perkara ini sekarang, hasil hutan kita telah dibalun oleh golongan raja-raja dan para kroni itu untuk menyenangkan siapa?

- Bila Pengekspotan Balak Dibekukan

Mungkin disebabkan perkara ini terlalu berleluasa, sudah ada beberapa pihak yang membuat cadangan agar kerajaan membekukan pengekspotan balak. Ini adalah bertujuan agar industri pembalakan bertukar kepada industri papan bergergaji dan papan lapis pula. Kaedah pembekuan ini tidak menjejaskan proses lari daripada membayar cukai. Kayu bergergaji yang diekspot ke luar negara ditipu juga di dokumen deklarasi ekspot. Kayu jenis murah dicatitkan sedangkan barang yang diekspot adalah kayu jenis yang bermutu. Kerja-kerja penipuan ini boeh berlaku kerana ramai manusia yang sepatutnya menegahnya dibayar upah agar diam menjadi tunggul sahaja.

- Bila Balak Semakin Pupus

Apabila balak di hutan semakin pupus barulah rakyat sedar betapa berharganya balak di hutan rimba kita. Barulah terebeliak mata rakyat setiap kali ada berita bagaimana raja mahukan kawasan balak yang baru. Soalnya sekarang, kenapakah kawasan balak mesti diberikan kepada Sultan ? Bukannya dia tidak diberi gaji dan elaun untuk duduk senang lenang di istananya ? Bukannya anak-anak baginda itu tidak diberikan elaun sara hidup mereka.

Sepatutnya semua kawasan hutan simpan hendaklah diwakafkan kepada semua institusi pengajian tinggi negara. Inilah caranya Amerika menentukan setiap universiti wilayahnya mempunyai modal yang cukup untuk menguruskan universiti tersebut. Dengan mewakafkan setiap inci hutan belantara yang diklassifikasikan sebagai hutan simpan, khazanah negara ini akan terjamin untuk rakyatnya dan bukannya untuk raja-raja ataupun para kroni parti yang memerintah. Cukuplah penyelewengan yang berlaku setakat ini. Mungkin dalam satu masa yang terdekat, kerajaan akan diperintahkan oleh parti lain. Kalau kerja mewakafkan kawasan hutan simpan ini dapat dilaksanakan, ia memudahkan penyelenggaraan hutan simpan itu untuk masa depan. Tidak timbul lagi cerita raja yang sanggup merendahkan dirinya berkempen untuk parti politik semata-mata kerana dia mahukan kawasan hutan simpan untuk membalun balaknya.

Sekarang ini balak sudah semakin pupus. Tetapi kita dapat lihat taukeh-taukeh balak semakin kaya. Mereka kaya kerana pandai mengendalikan keuntungan mereka. Mana yang sudah menetap di negara asing, mereka mampu membeli bangunan yang tinggi-tinggi di negara orang dan teRus memajukan keluarga mereka.

Di Malaysia, salah seorang taukeh balak yang kaya adalah tuanpunya Maran Sawmill. Kini umur beliau tentu sudah menjangkau tujuh puluh lima tahun. Khabarnya dua daripada tiga anak-anaknya sedang menetap di luar negara. Beliau pun khabarnya sudah mempunyai banyak bangunan lama di ibukota. Saya fkir bangunan yang bernama "Wisma Maran" di Jalan Tuanku Abdul Rahman, mesti kepunyaan taukeh ini. Bayangkan, inilah taukeh yang kerap memajak kawasan balak yang diperolehi oleh orang Melayu di Pahang, Terengganu dan mungkin juga Kelantan. Anak-anak beliau semuanya menerima pendidikan yang baik-baik di negara barat. Bagaimana pula orang Melayu yang menerima kawasan balak yang kemudiannya dipajakkan kepada taukeh ini. Bagaimana pula dengan anak-anak mereka ?

Di Sarawak dulu, ada seorang pengusaha yang mengeluarkan kayu 'dowell' perabut untuk diekspot ke Jepun. Orang panggil dia ketika itu dengan nama jolokan 'The Ramin King'. Jolokan ini timbul daripada kerja-kerja mengekspot kayu ramin yang telah diproses menjadi pelbagai bentuk kegunaan perabut. Tetapi, pada tahap awal perniagaannya itu dia mengekspot "batang penyapu". Bayangkan, mengekspot salah satu jenis kayu termahal di negara ini sebagai batang penyapu. Sebenarnya kayu ramin itu dibuat berbentuk batang penyapu panjangnya. Bila tiba di Jepun, batang itu dikerat-kerat dan dibentuk menjadi alat-alat perabut. Ini bererti, ketika membuat deklarasi penjualan batan penyapu, cukai ekspot hanyalah beberapa "sen" sahaja. Sedangkan mengekspot kayu itu sebagai jenis ramin mungkin memakan beratus ringgit tingginya. Ketika mengekspot batang penyapu itu taukeh ini hanya mempunyai kereta jenis Volvo 144 dan kerap memakai Singlet cap Pagoda. Akhirnya dia diberi monopoli membuka satu kawasan hutan yang terbesar di Sarawak kerana kawasan itu akhirnya digunakannya untuk membuat satu ampangan (untuk mengeluarkan janakuasa) yang kini tergendala. Di waktu yang sama taukeh batang penyapu itu telah diberikan kepercayaan besar untuk membuka pulau legenda Mahsuri. Inikah yang dikakatan: Tuah sabut timbul. Tetapi tuah batang penyapu siapa tahu? Soalnya sekarang, ramai rakyat tahu bahawa Taukeh batang penyapu ini adalah seorang proksi bagi beberapa jerung politik di negara ini. Melalui projek di Langkawi sahaja beliau mampu membeli jet peribadinya. Kemudian dia mampu mendapat lesen pengangkutan udara di Asean. Kalau semua projek itu adalah satu usaha sama antara beliau dengan orang yang memberikan proksi kepadanya, apakah jadinya dengan segala keuntungan projek itu ? Apakah pula akan jadi kalau si pemberi proksi sudah tidak berkuasa lagi ?

Taukeh batang penyapu ini mempunyai banyak syarikat yang disenaraikan di pasaran saham BSKL. Pada satu ketika dulu saham-sahamnya mempunyai harga yang tinggi. Banyak juga saham itu yang dibeli oleh institusi kerajaan seperti KWSP dan Tabung Haji. Tetapi, apabila beliau dilanda penyakit angin ahmar, saham-saham itu merudum seolah-olah penyakit angin ahmar itu menjangkiti saham itu pula. Kini, saham-saham yang dibeli dengan harga tinggi itu masih lagi belum boleh dijual. Ia terpaksa menunggu satu masa yang panjang lagi sebelum dilepaskan. Bayangkan saham yang dulunya berharga sekitar sebelas ringgit kini berada di tahap dua ringgit sahaja. Kalau banyak saham itu dalam pegangan bagaimana pula mahu dilepaskan untuk memberikan dividen yang tinggi ?

Bila Askar Melayu Berkorban Kerana Tauke Balak

Bila saya ingatkan keadaan kekayaan orang-orang balak masakini, saya tidak boleh lupakan keadaan askar-askar yang berada di hutan sepanjang masa projek balak membalak berada di kemuncak kegiatannya. Askar-askar bergerak setiap waktu di hutan belantara untuk menentukan kawasan balak tidak diganggu oleh sesiapa. Ketika itu komunis masih lagi berleluasa tetapi ancamannya tidak seberapa. Tetapi, askar Melayu sentiasa di kerah ke kawasan itu untuk menentukan keselamatan para pekerja dan tapak projek pembalakan itu. Di waktu yang sama, tuan-tuan punya kawasan balak berada di bandar besar, bersenang lenang. Pada satu ketika dulu kalau ada askar yang mati dalam perkhidmatan, balunya hanya diberikan pampasan sejumlah Dua Ribu Ringgit sahaja.

- Ancaman Komunis Yang Diada-adakan

Saya pernah berkawan rapat dengan beberapa keluarga yang menguruskan kawasan balak pada satu ketika dulu. Mereka kini semuanya sudah berhijrah ke luar negara dan menetap di sana. Kerana keakraban dan mungkin juga kerana keinsafan, saya mendapat satu rahsia besar daripada mereka. Rupanya, kebanyakan ancaman komunis yang dikatakan berlaku di kawasan pembalakan dulu adalah satu mainan wayang yang sengaja diada-adakan. Banyak pihak yang terbabit dalam konspirasi ini:

Pertama: Kumpulan taukeh balak yang sudah ternama bersekongkol dengan konspirasi ini menentukan kawasan balak yang baik-baik jatuh ke tangan mereka. Mereka tidak berapa berminat mendapat kawasan balak itu atas nama mereka sendiri. Adalah lebih menguntungkan kalau kawasan balak itu dipajak ataupun dibeli daripada warga istana kerana amat mudah menyisihkan 'jerung' yang amat ramai mahukan wang sogok dan habuan korupsi setiap hari. Begitulah juga kalau kawasan balak itu diperolehi atas nama YB ataupun orang yang bergelar.

Kawasan balak yang di 'buka' oleh orang yang bernama akan memudahkan permohonan lesen lori balak atas kaedah yang serupa. Lori balak yang dilesenkan ke atas orang ternama amat mudah berkeliaran tanpa gangguan dari pihak yang sentiasa laparkan wang saku ataupun bayaran bulanan. Kita mungkin teringat akan kisah Dato Hasan Ibrahim yang berjaya mengesan dua lori yang mempunyai nombor yang sama dan menggunakan satu lesen sahaja.

Kedua: Menggunakan ancaman komunis sebagai bahan menakutkan dapat melunturkan semangat sesiapa yang mahu mencuba industri pembalakan itu. Kita mesti ingat pengaruh beberapa pemimpin MCA sudah memungkinkan beberapa taukeh lain mendapat kawasan balak. Tetapi, apabila ada cerita ngeri tentang ancaman komunis itu, industri pembalakan menjadi satu industri yang dimonopoli oleh segelintir orang Cina sahaja. Kerana proses penipuan beginilah seorang taukeh batang penyapu mampu menjadi Tan Sri sekarang ini.

Rencana menakutkan itu mempunyai tujuan tertentu juga kepada pihak istana dan pemimpin politik yang mempunyai kawasan balak. Ini adalah satu amaran agar mereka tidak mempercayai orang lain selain mereka yang sudah lama dalam industri pembalakan itu. Dengan cara ini kumpulan yang lama itu dapat mengawal harga pajakan setiap kawasan balak yang di 'alibabakan' oleh para pemimpin Melayu itu. Ugutan seperti ini juga telah diperbesarkan oleh para pengusaha jentolak yang berat-berat. Perkara ini amat difahami oleh Tan Sri Eric Chia kerana beliau pada masa dulu adalah seorang pengusaha jentolak yang terbesar di negara ini. Dari sini kita boleh kaitkan bagaimana beliau menerima kepercayaan pemimpin ulung negara ini. Apatah lagi kerana beliau pun berkawan rapat dengan taukeh batang penyapu yang terkenal itu.

Ketiga : Ancaman komunis telah digunakan sebagai bahan menakutkan para pemerintah betapa pentingnya membesarkan kekuatan tentera dan polis di negara ini. Apabila angkatan tentera diperbesarkan, bererti lebih ramai lagi pegawai yang dapat naik pangkat menjadi jeneral, kolonel dan sebagainya. Yang lebih penting lagi, pembesaran tentera bererti keperluan membeli senjata yang canggih-canggih dan kelengkapan yang lebih banyak lagi. Ini memberi ruang kepada para kroni dan para bekas pegawai tinggi tentera menjadi hartawan dan jutawan segera. Itu sebabnya ramai jeneral bersara yang mempunyai rumah lebih besar daripada Raja Perlis kerana mereka kaya raya selepas bersara dan menjadi pembekal peralatan ketenteraan. Tentunya mereka hidup lumayan kerana sanggup bersekongkol dengan pemimpin politik negara. Tentu kita ingat kisah Skandal Northope yang didedahkan oleh Lim Kit Siang pada satu ketika dulu. Skandal serupa ini menjatuhkan kerajaan LDP di Jepun tetapi tidak menjejaskan kerajaan UMNO di Malaysia.

Keempat: Apabila kelengkapan tentera ditambah dan jumlah tenaga askar dibesarkan budget kementerian pertahanan pun dinaikkan. Ini termasuk pembikinan markas tentera yang baru dan pembesaran pusat latihan tentra yang baru juga. Penipuan seperti ini tidak diberkati Allah. Kini kita dapat melihat betapa Pusat Latihan Rekrut di Johor (PULAREK) telah ranap kerana standard pembikinan yang menyeleweng.

Kelima: Pembesaran angkatan tentera telah memudahkan parti politik yang memerintah menggunakan muslihat undi hantu dengan mudah.

Pada satu ketika dulu saya tidak berapa percaya dengan pendedahan ini. Saya fikirkan kawan-kawan saya itu cuba memikat hati saya. Tetapi, apabila diberitahu bahawa ada di antara mereka telah menyerahkan paspot Malaysia dan menyesal akan perbuatan itu, barulah saya mahu mempercayainya. Rupanya penyelewengan yang dilakukan oleh orang Cina itu adalah didalangai oleh orang Melayu juga.

Kilang Papan di bandar-bandar

Bila kita sebut hal ehwal balak, tentu kita tidak lupa dengan kedudukan kilang papan di bandar-bandar. Manusia yang menetap di kawasan kilang papan tentu faham akan jerebu habuk papan yang dikeluarkan oleh kilang papan itu. Soalnya sekarang, kalau balak berada di hutan rimba, kenapakah kilang papan berada di bandar-bandar ? Satu masa dulu, mungkin ada taukeh balak yang mempertikaikan masalah bekalan letrik yang diperlukan di kilang papan itu. Tetapi, kalau bekalan itu disediakan dengan menggunakan mesin (generator) trektor lama, ia sudah memadai untuk menggerakkan beberapa gergaji yang membelah dan mengerat balak untuk dijadikan papan bergergaji. Ini bererti, semua kilang papan sepatutnya dialihkan di mana balak itu dikeluarkan.

Sebenarnya ini adalah satu cerita lama yang pernah saya tulis kira-kira dua puluh lima tahun yang lalu. Ia tidak menarik perhatian kerana kebanyakan taukeh kilang papan adalah juga ahli parti MCA ataupun Gerakan. Kalau kita mestikan balak diproses di kawasan hutan, bererti pemotongan balak akan dibuat dengan berhati-hati. Ini bermakna setiap balak yang ditebang akan diproses kerana kos pengangkutannya sudah semakin menurun. Di waktu yang sama kos menyeleggara jalan raya pun boleh menurun kerana lori balak adalah kenderaan berat yang menjahanamkan jalanraya dengan cepat.

Sekarang ini tidak timbul lagi masalah tempat tinggal para pekerja kerana para pekerja boleh hidup senang lenang di tepi hutan di mana kilang papan dibina secara binaan sementara. Setelah habis semua balak ditebang, kilang itu boleh diruntuhkan dan alat kelengkapannya dihantar ke tempat lain. Dengan cara ini, balak dapat dipotong mengikut keprluan kilang papan dan tidak lagi dibawa ke merata tempat di mana kilang papan memerlukannya.

KESIMPULAN

Teknologi pemotongan balak pun sudah semakin canggih. Kegunaan tenaga pekerja sudah semakin berkurangan. Ini menguntungkan pembikinan papan gergaji kalau kos pengangkutan balak dapat dikurangkan. Dengan cara ini, kerja-kerja pungutan cukai dapat diselaraskan mengikut mutu papan bergergaji yang dikeluarkan oleh setiap kilang papan itu. Dengan lain perkataan proses mengutip cukai akan menjadi lebih telus dan membawa keuntungan yang berlipat ganda lagi kepada khazanah negara.

Balak dan pengekspotannya pernah mejadi satu industri besar di negara ini. Ia berkurangan kerana berkurangnya balak di hutan. Ia berkurang kerana kepincangan mengawal pembalakan dan penanaman semula kawasan hutan. Kecurangan berlaku kerana rakyat tidak diberitahu akan keadaan sebenarnya. Industri balak menjadi satu macam industri yang amat mistik kerana ia amat menguntungkan. Kini, rakyat sudah celek dan tidak bermata kayu. Yang kaya raya dalam industri balak dulu, sudah tidak ada lagi di negara ini.Yang tinggal hanyalah orang Melayu yang pernah bersengkang mata menjaga keselamatan industri itu.

Kita dapat menjangkakan beberapa cadangan di atas akan ditentang oleh beberapa pihak yang tidak gemar akan cadangan itu. Mereka akan menentang kerana mereka tahu cadangan tersebut akan mengecutkan keuntungan mereka. Tetapi, di waktu yang sama kita mahu mereka ini sedar bahawa masa yang amat panjang di mana mereka sudah menghisap khazanah negara ini secara percuma sudah lama berlalu dan harus diperbetulkan. Tidak kiralah mereka itu seorang wakil rakyat ataupun seoang anak sultan. Kita tidak mahu generasi muda mendapat bala disebabkan penyelewengan ke atas industri balak negara kita.

Marahaintua@Hotmail.com
9.2.2000.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com